Posted on Leave a comment

6 Rahsia Pemasaran Media Sosial Untuk Usahawan Solo

Di Malaysia, kita sering melihat nama-nama pekerjaan se­perti penasihat kewangan, ju­­­­­­ru­perunding tertentu, juruhartanah, freelancer, pereka bentuk grafik, penulis blog, penasihat insurans dan sebagainya. Golong­an kecil ini saya gelarkan mereka sebagai pahlawan moden kerana keberanian mereka.

Mereka berani untuk bergantung pada diri sendiri bagi menjana pendapatan, dengan harapan untuk memperoleh kehidupan yang lebih seimbang. Bagi mereka, masa bersama keluarga dan untuk diri sendiri perlu diseimbangkan dengan masa yang diperuntukkan untuk mencari pendapatan. Mereka juga tidak percaya kepada kaedah pendapatan melalui gaji bulanan seperti orang lain.

Sekiranya anda juga salah seorang daripada pahlawan mo­den ini, tentu sekali semua benda terpaksa difikirkan sendiri. Dari segi produk, strategi harga, membuat temu janji, kaedah pengedaran, bagaimana untuk mendapatkan pelanggan sehinggalah kepada penjenamaan, kewangan, pembayaran bil dan sebagainya. Kalau nak diikutkan memang tidak mampu hendak buat semua tetapi memandang­kan kewangan masih belum utuh untuk mengumpul satu pasukan yang kuat, hasrat itu terpaksa dipendamkan dahulu.

Satu daripada aspek yang se­ring dianggap remeh ialah pemasaran. Walaupun anda menggunakan media sosial untuk per­­niagaan namun cara anda ku­rang efektif akibat mengikut orang lain. Cara anda sama sahaja seperti orang lain. Walaupun mereka keliru, anda juga ikut keliru. Walaupun mereka acah-acah berjaya, anda pun turut acah-acah berjaya sedangkan realitinya masih seperti dahulu. Adakah anda harap akan berjaya dengan kaedah yang ala-ala se­perti ini?

Terdapat enam rahsia pemasaran media sosial yang anda perlu tahu sekiranya bergerak solo sebagai seorang usahawan, untuk berjaya dalam erti kata sebenar. Kesemuanya penting, sangat kritikal dalam menentukan sepantas mana kejayaan itu datang.

1. Perspektif daripada pengguna, bukannya anda.

Apa sahaja bahan-bahan pemasaran yang ditulis, tidak kira apa sahaja termasuklah penulisan blog, di laman web, katalog dan poster, papan tanda, status di media sosial kesemuanya perlu ditulis daripada perspektif pengguna yang juga bakal pe­langgan berbayar anda dan bukannya anda. Setiap perkataan, ayat dan cerita yang ditulis bakal membantu menukarkan mereka daripada hanya pengunjung kepada pembeli berbayar.

2. 80 peratus status perlu dimuat naik dalam bentuk ilmu pengetahuan, hanya 20 peratus berbentuk promosi dan jualan.

Anda pasti tidak suka sesiapa yang tiba-tiba datang menjual produk kepada anda bukan? Saya pun sama. Jadi jangan hidangkan katalog anda di media sosial anda, paparan skrin WhatsApp daripada ‘pengguna’ anda yang ‘berpuas hati’ dengan produk atau perkhidmatan anda, ayat-ayat menjual ataupun promosi-promosi kerana orang benci. Cuba anda tukar sedikit cara de­ngan lebihkan status berbentuk ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan industri anda. Lebih ramai pengikut akan mengikuti anda di media sosial nanti.

3. Media sosial anda perlu disokong oleh laman web dan kandungan yang baik.

Para pengguna akan melakukan sedikit kerja rumah tentang siapakah anda. Laman web rasmi anda pasti akan mereka tuju untuk jawapan sama ada jenama anda boleh dipercayai ataupun tidak. Mereka juga akan mencari anda di Google atau enjin pencarian lain sebelum kepercayaan diberikan. Anda ada mempunyai laman web sekarang? Saya hampir yakin jawapannya tidak.

4. Jadikan produk atau perkhidmatan anda sebahagian daripada hidup pengguna.

Jangan terlalu taksub dengan media sosial, ia hanyalah sekadar alat pengedaran kandungan yang anda sediakan. Apa yang anda jual perlu menyelesaikan sesuatu masalah dalam kehidupan pengguna. Tidak kira sama ada ia daripada aspek kehidupan peribadi ataupun di tempat kerja. Mereka akan melihat produk atau perkhidmatan anda bernilai kerana membantu menyelesaikan masalah yang mereka alami selama ini.

5. Jaga pengalaman pengguna terhadap produk atau perkhidmatan anda.

Pengalaman pelanggan anda amat-amat penting. Pastikan ia satu pengalaman yang baik dan mengujakan bagi mereka apabila produk atau perkhidmatan anda digunakan kerana mereka mampu menularkannya kepada orang lain. Jangan main-main dengan pemasaran mulut-ke-mu­lut. Ia mampu menaikkan jenama anda, pada masa yang sama mampu juga menjahanamkan anda sekiranya pengalaman sebaliknya berlaku.

6. Jangan cerita tentang Apakah dan Bagaimana, tetapi Mengapa.

Banyak jenama di luar sana yang gagal bercerita tentang mengapa mereka perlu dipilih oleh pengguna dan menggunakan produk atau perkhidmatan mereka. Pengguna perlukan jawapan kenapa jenama itu perlu dibeli dan bukannya jenama lain. Fikirkan.

AZLEEN ABDUL RAHIM adalah Pakar Pemasaran Digital. Ikuti pandang­an beliau di azleen.com

JOM SHARE
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *