Posted on 14 Comments

Pengorbanan Dalam Menuntut Ilmu

Assalamualaikum.

Sudah lama juga saya tidak menulis dan berkongsi idea di blog ini. Mungkin kerana kesibukan memasuki semester baru  di universiti tempat saya belajar ini. Nak kata sibuk tu boleh la sebab hidup seorang pelajar ni tak dapat lari dari kesibukan. Itu dah menjadi perkara biasa. Dalam proses menuntut ilmu sebagai seorang pelajar, ia menuntut banyak kesabaran dalam diri seseorang. Ianya adalah satu perjuangan dalam hidup ini.

Kita belajar dan menuntut ilmu kerana ia adalah untuk masa hadapan kita juga. Apa kerjaya yang kita akan lakukan dimasa hadapan bagi mencari rezeki yang halal. Itu untuk kehidupan di dunia. Ilmu yang kita belajar adalah untuk mendapatkan  keberkatan dan memperolehi ganjaran pahala dari Allah. Selain ilmu keduniaan, kita juga perlu mendalami lebih banyak ilmu agama sebagai persediaan untuk masa hadapan yang kekal iaitu hari akhirat.

Dalam artikel ini saya lebih fokuskan kepada kehidupan seorang pelajar kerana saya sendiri masih lagi seorang pelajar yang sedang menuntut di universiti. Tidak kiralah pelajar sekolah, kolej, universiti, atau di mana saja tempat kita belajar. Apabila bergelar seorang penuntut ilmu, ia memerlukan beberapa pengorbanan dalam diri kita.

Pengorbanan Masa

Antara pengorbanan yang paling penting dalam kehidupan seorang pelajar adalah pengorbanan masa. Pengorbanan masa penting kerana jika masa tidak diuruskan dengan baik, ia boleh memberi masalah kepada seorang pelajar. Masa yang ada lebih banyak diperuntukkan untuk belajar kerana pelajaran adalah lebih penting dari perkara-perkara lain. Masa yang ada digunakan untuk hadir ke kelas, membaca buku, menyiapkan kerja, melakukan tugasan, dan banyak lagi.

Adalah merugikan jika seorang pelajar mensia-siakan masa yang ada dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah dalam hidup mereka. Tidak salah untuk berseronok dengan keluar bersama kawan-kawan tapi ianya perlu terkawal bagi mengelakkan masa dihabiskan dengan sia-sia begitu sahaja sehingga boleh mengabaikan pelajaran.

Pengorbanan Wang Ringgit

Tidak semua benda kita akan memperolehi secara percuma. Menuntut ilmu mempunyai harga yang perlu kita bayar. Kita terpaksa mengeluarkan perbelanjaan dalam proses untuk mendapat dan menambahkan ilmu pengetahuan. Ibu bapa kita pula telah menghabiskan banyak wang ringgit untuk kita dengan menghantar kita ke sekolah sejak dari kecil. Pengorbanan ibu bapa kita memang terlalu besar sekali.

Jika dilihat semasa kita sedang belajar, banyak wang terpaksa dihabiskan untuk membeli buku-buku, alat tulis serta kelengkapan lain. Nota-nota dan tugasan akan di ‘print’ menggunakan wang yang kita ada. Semuanya perlu mengeluarkan perbelanjaan walaupun sikit. Ianya menuntut pengorbanan wang ringgit dari kita untuk mendapatkan ilmu pengetahuan.

Pengorbanan Fizikal

Setiap hari kita perlu menghadiri kelas yang bermula pada awal pagi. Kita perlu mengerahkan sedikit tenaga untuk mengerakkan tubuh badan kita untuk pergi ke tempat menuntut ilmu. Sama ada berjalan kaki atau menaiki kenderaan, ia menuntut kekuatan fizikal yang ada pada diri kita supaya kita dapat menghadirkan diri kita untuk ke tempat menuntut ilmu tersebut. Jika fizikal kita lemah seperti tidak sihat, ia akan menyebabkan kita tidak dapat pergi ke kelas untuk belajar.

Pengorbanan fizikal seperti kepenatan adalah perkara biasa kerana kita sedang berusaha untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Walaupun diri kita merasa penat namun ianya sudah menjadi tanggung jawab kita sebagai seorang pelajar yang sedang menuntut ilmu. Biar hari ini kita merasa penat, namun hasilnya adalah kejayaan dalam hidup kita di masa hadapan.

Pengorbanan Mental

Sebagai seorang pelajar kita akan sentiasa banyak berfikir dan mengingati ilmu yang kita belajar. Kita perlu menghafal dan memahami banyak perkara dalam pelajaran kita. Jangan biarkan perkara-perkara lain yang tidak penting menganggu fikiran kita. Fikiran kita perlulah sentiasa lebih fokus kepada pelajaran berbanding dengan perkara lain yang tidak penting.

Kita juga akan sentiasa diberikan kerja rumah, tugasan, kuiz dan juga menghadapi peperiksaan. Semua ini adalah perkara biasa  atau sudah menjadi asam garam dalam kehidupan seorang pelajar. Seorang pelajar perlu sentiasa rajin membaca dan mengulangkaji pelajaran mereka kerana ia  adalah satu usaha yang dapat membantu kita berjaya dalam pelajaran. Perbuatan malas berusaha perlu dijauhkan sama sekali. Orang yang tidak sanggup berusaha adalah orang yang tidak akan berjaya.

Pengorbanan Kasih Sayang

Kasih sayang di sini bermaksud kasih sayang dari ahli keluarga kita sendiri. Seorang pelajar  yang terpaksa merantau jauh dari keluarga kerana meneruskan perjuangan menuntut ilmu di tempat orang. Tidak dinafikan sesiapa sahaja akan berasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan ahli keluarga yang tinggal bersama selama ini. Ianya menuntut kesabaran dalam diri seorang pelajar untuk tinggal berjauhan dengan ahli keluarga.

Terpaksa tinggal berjauhan dengan ahli keluarga adalah untuk sementara waktu sahaja sehinggalah kita tamat belajar. Namun begitu, pada zaman sekarang jarak bukan lagi penghalang kerana kita dapat menghubungi ahli keluarga kita bila-bila masa sahaja. Teknologi telefon bimbit dan internet membuatkan kita sentiasa berasa dekat dengan orang yang jauh.

Dalam hidup ini, kita sememangnya perlu berkorban demi mencapai kejayaan yang kita inginkan. Bagi seorang pelajar mereka perlu mengorbankan keseronokan yang mereka inginkan demi untuk kejayaan pada masa hadapan. “Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian”, saya akan sentiasa mengingati ayat ini yang datang dari seorang sahabat yang memberi nasihat dan dorongan kepada saya. Walaupun ia hanya satu ayat yang ringkas sahaja, namun ia mempunyai maksud yang mendalam untuk difahami.

Sebagai seorang pelajar, kita perlu sentiasa bersemangat untuk terus menambahkan ilmu pengetahuan dalam diri kita. Jangan mudah berputus asa dengan ujian dan kesusahan yang kita hadapi. Kejayaan dalam hidup kita akan lebih bermakna jika kita telah merasai dahulu kesusahan sebelum mengecapi kejayaan itu.

Pengorbanan yang kita lakukan mungkin kita tidak nampak hasilnya dalam sekelip mata sahaja. Pengorbanan yang kita lakukan  pada hari ini akan terbalas di masa hadapan. Lebih manis, pengorbanan kita juga akan dibalas dengan ganjaran pahala di akhirat nanti. Sama-sama berusaha untuk menikmati kejayaan hidup di dunia dan akhirat.

JOM SHARE

14 thoughts on “Pengorbanan Dalam Menuntut Ilmu

  1. Hai Nik, dah lama tak singgah sini 🙂
    Rupanya busy dengan study.
    Tapi tak apa, blog ni sbgai part time, yg penting tu study. Setiap kehidupan perlukan pengorbanan. 🙂

    1. Betu tu bro nizam. Kehidupan ini memerlukan banyak pengorbanan yang perlu dilakukan.. 🙂

  2. korban demi masa depan yang cemerlang didunia dan akhirat.. insyallah…

    1. Terima kasih bro zik. Bukan hanya kejayaan di dunia yang kita harapkan tapi kejayaan hari akhirat adalah yang paling utama. 🙂

  3. apapun, mesti kena berkorban..

    1. Mesti kena berkorban walau apa pun yang berlaku. Kejayaan pasti akan datang selepas pengorbanan yang dilakukan. 🙂

  4. nampak macam mudah untuk berkorban ni tapi maksud tersirat pengorbanan tu yang ramai tak hayati dengan hati.pengorbanan pun perlukan keikhlasan… 🙂

    1. Keikhlasan amat penting dalam setiap pengorbanan yang kita lakukan. 🙂

  5. setiap dari kita ada tugas masing2
    sepanjang masa tanpa ada luang
    buat yang disuruh, kita yang untung
    tinggal yang dilarang, kita juga yang untung
    nak dapatkan sesuatu yang bagus, bukan mudah

    1. Terima kasih atas pendapat yang diberikan. Saya setuju, nak dapatkan sesuatu yang bagus bukannya mudah. banyak pengorbanan yang perlu dilakukan. 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *