Posted on Leave a comment

Ubah Pemikiran Suka Makan Gaji

TIDAK pernah terlintas di fikiran untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan seawal usia 20 tahun ini. Namun begitu, saya mula menceburi bidang perniagaan apabila terlibat dalam satu program keusahawanan iaitu Persatuan Usahawan Muda (PUM) anjuran Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM).

Selepas menyertai program keusahawanan tersebut, saya mengubah persepsi diri bahawa graduan pada hari ini tidak sepatutnya berfikiran cetek dan hanya menunggu peluang kerja akan datang bergolek dalam sekelip mata selepas tamat belajar nanti. Disebabkan majoriti pemikiran gra­duan mempunyai konsep yang sa­ma seperti ini, maka tidak hairanlah ramai graduan hari ini yang menganggur.

Menerusi bidang keusahawanan, seseorang itu mampu mencipta pelbagai peluang pekerjaan kepada orang lain sekaligus dapat membantu ekonomi negara dan mengurangkan kadar pengangguran yang berlaku.

Pada awal penglibatan saya dalam bidang perniagaan, saya menubuhkan syarikat saya sendiri, Spekbesar Bookstore yang kini memiliki tujuh pekerja.

Peranan saya dalam syarikat adalah sebagai ketua pemasaran. Kami memulakan bisnes secara kecil-kecilan dengan hanya menjual buku-buku ilmiah di sekolah & IPT serta buku perancang Shoutul Ikhwah. Alhamdulillah, atas kesungguhan dan semangat ahli syarikat, kami berjaya mendapatkan hasil jualan dalam jumlah lima angka ha­nya dalam satu bulan sahaja.

Sejak dari situ, saya amat yakin dan percaya kami mampu melangkah lebih jauh lagi walaupun masih belajar. Pe­ngalaman sebagai ketua pemasaran adalah bukan suatu kerja yang mudah.

Hal ini kerana pemasaran adalah tulang belakang kepada sesuatu perniagaan. Syarikat yang besar dan kukuh juga tidak pernah berhenti mengiklankan produk-produk mereka apatah lagi kita yang masih bertatih menguruskan syarikat baru setahun jagung ini.

Apabila saya memegang jawatan ini, saya perlu merangka strategi pemasaran de­ngan pelbagai cara. Saya juga perlu turun padang berguru dengan mentor-mentor yang lebih mahir dalam bidang pemasaran seperti kelas Funnel Evo. Untuk menambah lagi ilmu saya menyertai personal coaching bersama mentor. Orang kata nak cepat pandai selalu mencari guru yang betul dan selalu rapat dengan mereka supaya ilmu-ilmu mereka akan turun kepada kita.

Selain itu, saya juga meng­adakan perjumpaan dengan pegawai-pegawai kanan mana-mana syarikat buku untuk melebarkan lagi bisnes buku saya ini. Dari situ saya menjalinkan hubungan dengan syarikat buku lain dan dapat memasarkan buku-buku saya secara terus serta secara tidak langsung dapat membantu me­ningkatkan kemahiran ber­komunikasi saya dengan lebih baik dan lebih yakin untuk bercakap di hadapan khalayak ramai.

Penglibatan dalam bidang keusahawanan ini bukan sahaja dapat meningkatkan peluang pekerjaan dan menambahkan pendapatan sampingan, malah dapat membantu me­ningkatkan komunikasi dan jati diri seseorang.

Seorang usahawan juga ha­ruslah mempunyai semangat yang kental dan tidak pernah putus asa. Hal ini kerana, kunci sebuah perniagaan ialah mempunyai kemahuan dan kesungguhan yang sangat tinggi.

Oleh itu, saya menyeru kepada generasi muda pada masa kini untuk mula melibatkan diri dalam bidang perniagaan demi menjamin masa depan. Tambahan pula, berniaga juga merupakan sunah Rasulullah dalam memba­ngunkan ekonomi Islam pada suatu ketika dahulu. Marilah sama-sama kita bangkit dan mengubah masa depan yang lebih cerah dengan melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.

Nur Atikah Mohammad adalah pelajar tahun 3, Bacelor Sains Pembangunan Manusia dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia

Utusan Online

JOM SHARE
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *