Posted on 17 Comments

Bidang Sains Komputer Satu Peluang Berharga

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Cuba bayangkan sekejap jika dunia hari ini tanpa ‘komputer’. Tidak akan ada PC atau laptop, tidak ada komunikasi yang menggunakan laman web yang memerlukan talian internet, tidak boleh melihat gambar di internet dan sebagainya. Malah tidak akan ada telefon bimbit atau kamera digital, kerana kedua-dua ini juga adalah satu sistem komputer. Wah, tidak dapat dibayangkan bagaimana agaknya jika keadaan sekeliling kita tanpa komputer yang sememangnya menjadi teman dalam hidup kita setiap hari.

Setiap hari teknologi komputer semakin terus berkembang pesat seiring dengan perkembangan sains dan teknologi. Bidang teknologi maklumat(IT) atau sains komputer adalah satu bidang yang memfokuskan kepada pelbagai aspek kejuruteraan komputer, sama ada membina sistem komputer baru, mereka bentuk laman web, membaiki sistem komputer, membangunkan satu program baru atau perisian terkini yang boleh digunakan dalam komputer. Memang terlalu luas bidang ini jika hendak diceritakan semuanya.