Posted on Leave a comment

Gunakan Masa Yang Tersembunyi

Assalamualaikum WBT.

Seringkali kita mengeluh bahawa masa yang ada pada setiap hari tidak mencukupi kerana terlalu sibuk dengan tugas atau kerja harian. Yang menyedihkan lagi, kita tidak berpeluang untuk melakukan amal ibadah yang khusus kepada Allah SWT. Umpamanya menghadiri majlis ilmu, bersolat jemaah di masjid atau surau dan sebagainya.

Sebenarnya, Allah SWT itu Maha Adil kerana setiap makhluk yang ada di muka bumi ini dianugerahkan masa 24 jam sehari. Tetapi sikap kita sendiri yang tidak tahu bersukur dan pandai menguruskan masa dengan baik, maka dia mengatakan masa yang ada tidak mencukupi.

Sebab itulah Allah SWT berfirman dalam surah Al-Asr yang bermaksud:

“Demi Masa! [1] Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian [2] Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar [3]”

Bagi seorang pelajar, tugas utamanya adalah menggunakan sepenuh masa yang ada untuk belajar bersungguh-sungguh. Ini bertujuan, agar kita mendapat keberkatan dan kejayaan dalam pembelajaran. Kadang-kadang kita tidak menyedari ada beberapa masa yang tersembunyi yang sering kita lupakan dan biarkan ianya berlalu dengan sia-sia. Antara masa-masa tersebut adalah:

1. Masa telefon

Bercakap di telefon menjadi amalan kegemaran bagi sesetengah pelajar. Sehinggakan terlalu asyik bercakap, kerja-kerja lain terabai seperti tugasan dan ulangkaji. Sekiranya perkara yang dibincangkan itu bermanfaat, tidak menjadi masalah. Tetapi kebanyakkannya menggunakan masa telefon untuk bercakap perkara yang tidak berfaedah. Bukankah berpuatan ini hanya membuang masa sahaja.

Seharusnya kita menggunakan telefon untuk bercakap perkara yang penting dan bermanfaat sahaja. Oleh itu, masa yang kita gunakan untuk bercakap di telefon tidak terlalu lama.

2. Masa menunggu

Kadang-kadang kita terpaksa menunggu terlalu lama untuk menyelesaikan sesuatu perkara. Misalnya, kita menunggu bas untuk pulang dari sekolah, menunggu giliran untuk berjumpa doktor, menunggu kawan untuk meminjam nota dan lain-lain lagi. Segelintir daripada kita menggunakan masa menunggu dengan hanya berbual dengan orang sebelah, mendengar radio, melihat telatah orang lain yang lalu-lalang ataupun tertidur. Aktiviti sebigini kurang baik bagi seorang pelajar.

Adalah lebih baik masa menunggu tersebut kita gunakan dengan sebaiknya seperti membaca buku, mengulangkaji nota ringkas dan pelbagai cara lagi. Maka itu, tidaklah masa itu terluang dengan begitu sahaja.

3. Masa berjalan

Dalam keadaan tertentu, kita terpaksa berjalan dalam jarak yang jauh kerana tempat yang ingin ditujui tidak membenarkan kita menggunakan kenderaan seperti di dalam bagunan sekolah, universiti ataupun hospital. Justeru, jangan kita biarkan masa melangkah kaki dengan begitu sahaja, sebaliknya kita gunakan masa tersebut untuk bertanya kepada diri kita tentang perkara yang baru dipelajari di dalam kelas.

4. Masa membantu keluarga

Perbuatan suka menolong orang lain terutamanya ibu dan bapa kita merupakan perkara yang terpuji. Namun begitu, bagi orang yang tidak suka membuang masa dia akan menggunakan masa membantu keluarganya dengan berfikir atau belajar dengan cara membayangkan apa yang telah dipelajarinya. Sebagai contoh, dia membayangkan struktur binaan sesuatu komponan bagi subjek elektrik.

5. Masa berziarah

Sememangnya kita semua dituntut untuk menjaga hubungan silaturrahim sesama manusia. Salah satu cara untuk mengeratkan hubungan persaudaraan ini adalah menerusi berziarah. Namun begitu, Islam menyarankan agar kita menziarahi saudara kita tidak melebihi 3 hari kecuali ada perkara yang tidak dapat dielakkan.Kita juga dilarang untuk menggunakan platform ini untuk mengumpat atau bercakap tentang perkara yang sia-sia. Adalah lebih baik kita membawa bersama buku-buku atau nota apabila mengikuti keluarga untuk menziarahi sanak saudara.

6. Masa bercuti

Setelah penat belajar, kita perlu merehatkan tubuh bandan dan minda kita agar lebih bertanaga untuk meneruskan pembelajaran. Buatlah aktiviti-aktiviti yang berfaedah seperti bersukan berekriasi dan seumpamanya. Namun begitu, janganlah terlalu ghairah bercuti sehingga melupakan nota-nota ringkas yang telah kita buat bersama semasa pergi bercuti. Jika ada masa terluang, bacalah nota-nota tersebut supaya kita tidak lupa terus dengan pelajaran.

Oleh yang demikian, kita seharusnya tidak menyia-nyiakan masa yang ada pada diri kita.Gunakanlah masa tersebut dengan sebaiknya. Biarpun masa yang kita ada hanya lima minit kerana ianya terlalu berharga.

*

Penulis: Faizal Bin Mohamad Twon Tawi.
Penulis merupakan seorang pensyarah di Politeknik. Memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Sarjana Pendidikan Teknik dan Vokasional. Beliau mula menjalankan tugas di Politeknik Ungku Omar pada tahun 2007 dan  berpindah ke Politeknik Seberang Perai pada tahun 2010 sehingga kini. Cenderung menulis artikel barkaitan agama dan motivasi dalam blog. Boleh melayari http://fmtt.blogspot.com.

JOM SHARE
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *