Perniagaan dan pemasaran memang tidak dapat dipisahkan. Sekiranya tiada pemasaran dilakukan, sesuatu perniagaan tidak mungkin dapat bersaing dengan peniaga-peniaga yang lain. Dunia hari ini sudah berubah, pelbagai cara pemasaran boleh dilakukan bagi memperkenalkan produk dan perkhidmatan yang disediakan. Antara kaedah pemasaran yang paling digemari pada dewasa ini adalah melalui internet.
Sejak diperkenalkan pada tahun 1960 sehingga hari ini, pelbagai revolusi telah berlaku pada internet. Internet dapat menaikan sesuatu perniagaan, internet juga dapat menjatuhkan sesuatu perniagaan. Pelbagai medium yang boleh digunakan untuk pemasaran telah dibangunkan.
Ada yang berbayar, dan ada juga yang percuma. Ironiknya, kebanyakan medium pengiklanan yang ada pada hari ini dibangunkan oleh kaum bukan Islam, dan mereka memperoleh keuntungan yang banyak kerana dapat memasarkan perniagaan masyarakat Islam. Menyedari hakikat itu, beberapa laman pemasaran dan pengiklanan telah dibangunkan oleh umat Islam sendiri.
Kini pakar-pakar teknologi maklumat Islam mula membangunkan laman-laman pemasaran yang lebih efektif. Walaubagaimanapun, ia tidak begitu mendapat sambutan seperti laman pemasaran yang dibangunkan oleh kaum bukan Islam. Faktor utama yang menyebabkan ia tidak begitu mendapat sambutan adalah kerana ia masih baru dan tidak diketahui ramai. Sebagai contoh, amboi.com.my telah dibangunkan khas untuk kegunaan masyarakat Islam di Malaysia terutama pada mereka yang tidak fasih berbahasa Inggeris. Walaupun begitu, ia tidak mendapat sambutan seperti ebay.com.my dan mudah.my kerana ia baru dilancarkan pada Januari 2012.
Laman pemasaran yang baru dibangunkan kini adalah hasil daripada kekurangan yang ada pada laman pemasaran yang ada terdahulu. Sebagai contoh, laman pengiklanan sebelum ini perlu mengambil masa yang agak lama untuk meluluskan sesuatu iklan. Lebih ironik lagi apabila setelah menunggu berhari-hari, iklan yang dimasukkan tidak diluluskan. Oleh hal yang demikian, laman pemasaran yang baru telah mengatasi kekurangan tersebut dengan mempercepatkan proses kelulusan setiap iklan yang dimasukkan. Kini kelulusan untuk meletakkan iklan di internet bukan lagi menjadi satu masalah.
Selain proses kelulusan yang cepat, laman pemasaran yang baru mempunyai integrasi laman sosial yang lebih berkesan. Sebagai contoh, setiap iklan yang dimasukkan pada amboi.com.my akan dipaparkan pada laman Facebook dan Twitter secara automatik. Dengan hal yang demikian, pengikut-pengikut dalam laman sosial secara automatik akan mendapat maklumat berkenaan dengan iklan terbaru yang ada padanya. Dengan integrasi laman sosial yang dibangunkan, lebih ramai rakyat Malaysia yang akan terdedah dengan perniagaan-perniagaan yang dijalankan oleh masyarakat Islam di Malaysia.
Banyak lagi laman-laman pemasaran percuma terdapat di Malaysia pada hari ini. Walaupun demikian, sebagai seorang Islam, adalah digalakkan untuk kita membantu dan menyokong perniagaan yang dijalankan oleh saudara kita sendiri. Rasulullah S.A.W pernah bersabda:
“Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat-menguatkan antara satu sama lain”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Saling menolong membangunkan ekonomi adalah salah satu cara
terbesar pada masa ini dalam menunaikan tanggungjawab saling membantu dalam menguatkan umat. Sekiranya umat Islam memiliki kuasa ekonomi serta mereka beriman dan beriltizam, maka masyarakat Islam sekaligus akan menjadi kuat. Namun sekiranya ekonomi umat lemah, sistem zakat tidak berjalan dengan berkesan, masyarakat Islam menjadi peminta sedekah dari orang lain dan Islam akan dipandang hina.
Dengan adanya Laman-laman pemasaran yang dibangunkan secara percuma untuk masyarakat Islam di Malaysia, insyallah ekonomi Islam dapat dimajukan lagi. Laman-laman pemasaran yang dibangunkan untuk peniaga-peniaga Islam ini dibangunkan bukan bersifat perkauman, namun begitu biarlah peniaga-peniaga Islam dahulu yang mendapat keistimewaan menggunakan laman-laman ini, sebelum iklan-iklan perniagaan kaum bukan Islam memenuhi ruang laman-laman tersebut.
Penulis: Adam Radin.
Sebagai seorang muslim, saya akan membantu seramai mungkin orang Islam untuk berjaya dalam bidang ekonomi. Saya tidak mampu membantu dari segi wang ringgit, namun setiap perniagaan yang dijalankan oleh saudara Islam akan saya sampaikan kepada saudara-saudara Islam yang lain, dengan harapan perniagaan tersebut akan berkembang dengan bantuan dariNya, insyallah.