l

Archive for 'Motivasi'

5 Persamaan Sikap Orang Yang Berjaya

5 Persamaan Sikap Orang Yang Berjaya

Bila mendengar nama-nama individu yang sangat berjaya, terkenal dan kaya-raya seperti Bill Gates, Warren Buffett, Carlos Slim, Robert Kwok, Tony Robbins dan segelintir lagi,  pasti ramai di kalangan kita mahu berjaya seperti individu-individu ini.

Walaupun mereka datang dari latar belakang berbeza, ada beberapa persamaan dari segi sikap dan pendirian mereka kongsi yang seharusnya dimanfaatkan kita dalam kehidupan seharian.

1. Sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki

Kita tahu apa yang mereka lakukan dan kejayaan yang mereka lakar di pentas dunia dan bagi setiap kejayaan dan apa saja yang mereka dapat, satu persamaan di sini ialah mereka mensyukuri apa yang mereka dapat walaupun benda tersebut bersifat remeh. Mengapa mereka suka berbuat demikian?

Menurut pakar, syukur sebenarnya membantu mood manusia dalam mengharungi perjalanan kehidupan seharian daripada sinis dan pemarah kepada gembira dan ceria.

Tanpa sifat syukur, manusia mudah bersikap dendam dan hasad sehingga sanggup melakukan perkara di luar batasan kemanusiaan semata-mata untuk jadi hebat daripada orang lain.

Jadilah orang yang banyak bersyukur kerana Allah berjanji sesiapa yang bersyukur, Allah bukan saja akan kekalkan malah menambah lagi nikmat yang kita terima.

Ingatlah akan pesan ulama besar tasawuf dan pengarang kitab Hikam, Ibnu Athaillah al-Sakandari rahimahullah, “Sesiapa yang tidak mensyukuri nikmat Allah, maka dia sudah bersedia untuk kehilangan nikmat tersebut namun, sesiapa yang mensyukurinya bererti dia telah mengikatnya dengan tali kekang.”

2. Tidak takut memasang matlamat, cita-cita besar

Ini persamaan yang dikongsi ramai orang berjaya di seluruh dunia. Pada satu masa dalam kehidupan mereka, mereka menetapkan matlamat atau cita-cita yang ingin digapai, walaupun ramai bersifat pesimis terhadap cita-cita tersebut.

Pada mereka, bila mereka berbuat sedemikian, mereka menjadi versi diri mereka yang terbaik dan menunjukkan prestasi cemerlang semasa bekerja.

Tidak ramai dalam kalangan kita yang mahu mengikut teladan ini kerana masih terperangkap dengan zon selesa. Pada mentaliti sesetengah daripada mereka, mereka bimbang mereka akan gagal sebelum sampai ke destinasi yang dituju.

Mentaliti gagal itu seharusnya ditolak ke tepi kerana jika kita tidak melakukannya, maka bagaimana kita tahu kita akan berjaya atau sebaliknya?

Luaskan pandangan dunia kita dan tetapkan matlamat yang kita boleh capai. Jika kita gagal sekalipun, sekurang-kurangnya kita berada pada satu tahap yang lebih baik berbanding dahulu.

Dan kegagalan silam boleh saja dijadikan sebagai rujukan untuk kita mengelakkan ia daripada berulang pada masa akan datang.

3. Etika kerja yang mengagumkan

Bukanlah sesuatu yang asing bila kita mendengar antara rahsia kejayaan pemimpin-pemimpin industri ialah etika kerja mereka yang bagus dan kesungguhan mencapainya walaupun itu bermakna kerja lebih masa.

Sesiapa yang menyangka kejayaan pemimpin-pemimpin ini dicapai dalam sekelip mata silap kerana ada di antara mereka ini telah berusaha selama satu dekad dan kejayaan yang mereka capai itu tidak datang bergolek seperti yang disangka.

Tambahkan sedikit masa dan kesungguhan kita gunakan untuk kerja kita. Tak kisahlah tempohnya berapa, sejam atau paling kurang 30 minit, cuba laksanakan.

Tanpa kita sedar, kita sebenarnya mengikis etika kerja bersifat sambil lewa sambil meningkatkan lagi kualiti kerja kita.

Dan siapa tahu, dengan kesungguhan sebegini, apa saja matlamat yang kita tetapkan dapat direalisasikan. Jangan peduli apa orang kata sebaliknya ambil peduli kualiti kerja dan matlamat yang kita kejar.

4. Pandai menjaga diri

Kejayaan takkan datang bergolek kalau aspek spiritual dan fizikal kita tak terjaga. Ini antara persamaan orang-orang berjaya, mereka tetap menjaga kesihatan diri. Jangan kerana kerja, kesihatan terabai sampai ke tahap terlantar di hospital atau kehilangan orang tersayang.

Orang-orang berjaya bijak menyeimbangkan kedua-dua aspek ini kerana kedua-duanya memainkan peranan sama penting dalam kejayaan.

Bila aspek spiritual kita terjaga, pandangan dunia kita menjadi lebih positif dan meningkatkan mood kita semasa bekerja dan bila kita menjaga kesihatan fizikal, kita bukan saja bertenaga semasa bekerja malah kita juga tahu bila masa untuk kita berhenti seketika dan berehat.

Curi sedikit masa dengan meluangkan masa bersama keluarga dan menjaga kesihatan diri. Mulakan inisiatif menjaga kesihatan seperti menjaga pemakanan dan aktiviti senaman. Jangan bersikap menyendiri, sentiasa luangkan masa bersama orang-orang hebat dan positif.

Nampak remeh bila menyentuh soal kesihatan tetapi hakikatnya, itulah perkara paling susah untuk kita jaga. Jadi, dalam rutin seharian, pastikan ia jadi sebahagian daripada agenda kehidupan kita.

5. Tidak lokek memberi

Orang-orang berjaya sedar, tanpa sokongan orang-orang di sekeliling terutama keluarga dan rakan-rakan yang percaya dengan visinya, mereka takkan sampai ke tahap mereka berada hari ini.

Maka tidak hairanlah mengapa orang-orang berjaya tidak lokek menyumbangkan harta, masa dan tenaga mereka untuk tujuan kebajikan seperti Bill Gates melalui yayasannya, Bill & Melinda Gates Foundation. Mereka sedar bila mana mereka memberi yang baik, maka pulangan yang mereka dapat juga baik.

Ada sesetengah daripada kita bersikap kedekut dalam soal memberi walaupun ianya bersifat remeh. Pada mereka, tiada apa-apa ganjaran memberi sebahagian daripada hasil titik peluh mereka kepada orang lain termasuk membayar zakat.

Padahal mereka lupa, bila kita memberi, kita sebenarnya menyuburkan lagi harta kita selain mengundang keberkatan Allah s.w.t dalam hidup kita. Dan terlalu banyak hadis Nabi SAW yang mengajar kita untuk bersikap memberi seperti perlakuan baik, solat Dhuha, senyum, membuang benda merbahaya dari jalanan dan berlaku adil.

Jangan bersikap lokek dalam kehidupan kerana sikap sebegini membuatkan kita sentiasa gelisah dan mengundang kebencian terhadap diri sendiri. Apa guna jadi orang berjaya tetapi jadi sasaran kebencian orang ramai kerana tidak mahu menyumbang semula kepada masyarakat.

Semoga memberi manfaat.

 

Sumber: thepatriots

 

 

Posted in: Motivasi

Leave a Comment (0) →

7 Tips Elak Daripada Dibelenggu Muflis

7 Tips Elak Daripada Dibelenggu Muflis

Mahkamah boleh mengisytiharkan kau muflis jika korang mempunyai hutang melebihi RM50,000 dan tidak mampu membayar ansuran melebihi enam bulan.

Paling tinggi sekali peratus bankrap ialah;

1. Pinjaman Sewa Beli Kenderaan
2. Pinjaman Perumahan
3. Pinjaman Peribadi

Semuanya sebab kurangnya perancangan kewangan yang berkesan. Kau gaji besar pun tapi boros berbelanja tak guna jugak. Mentaliti kena mantap dulu.

Antara 7 tips untuk mengelakkan daripada dibelenggu muflis ialah;

1. Hidup Di Bawah Kemampuan

Kalau dulu, setiap bulan dapat gaji mesti makan Nandos, Kenny Rogers. Lepas ni kurangkanlah. Boleh makan, takde salahnya. Tapi, janganlah sampai lupa nak menyimpan dan bayar hutang.

Jadi, berubahlah. Berjimat cermat. Tak payah mengada nak minum kopi mahal tu. Minum je air masak. Hilang dahaga jugak.

2. Buat Bajet & Ikut

Rangka bajet, tulis dan patuhinya. Tulis apa yang ingin dibelanjakan dan yang lebih penting lagi, patuhi bajet yang telah dibuat. Kau perlu berdisiplin dalam berbelanja. Membuat bajet adalah langkah yang sangat penting. Barulah kau tahu ke mana wang kau pergi.

3. Tahan Nafsu Berbelanja

Ada orang menggelupur apabila tengok perkataan SALE 80%. Walaupun tak ada duit, tapi nak juga beli. Rugi tak beli masa harga promosi katanya. Walaupun dia dah ada barang tu dan masih boleh dipakai.

Lepas beli tu, mula la rasa menyesal. Tak dapat nak bayar hutang. Duit dah habis berbelanja sakan. Jadi, fikir dulu sebelum bertindak.

4. Simpanan Tetap

Bila kau simpan wang dalam akaun bank, senang nak keluarkan balik. Baik buat potongan gaji ke Tabung Haji ataupun ASB. Nak buat ASB Financing pun elok juga. Bank akan potong siap-siap daripada akaun bank kau sebagai force saving. Yang selebihnya kau berbelanja lah.

5. Pendapatan Sampingan

Tambahkan pendapatan sampingan. Contohnya, jual barang secara online, buat part time takaful atau Grabcar. Berhenti mengeluh tapi berpeluhlah mencari pendapatan sampingan.

6. Berhenti Buat Hutang Baru

Berhenti buat hutang baru. Jika dah ada hutang kad kredit RM5K, jangan buat hutang peribadi untuk bayar kad kredit tu. Gali lubang tutup lubang bukan caranya. Menambahkan pening kepala ada la. Jangan bertangguh bayar hutang. Rosak CCRIS nanti mula lah bising.

7. Jangan Membazir

Jauhkan diri daripada sifat membazir. Bezakan antara barang-barang keperluan dan kehendak. Gaji kau bawah RM3K tapayana pakai kereta import mewah lah. Pakai kereta tempatan sudah. Telefon tu elok lagi tak perlu tukar baru. Baju nak yang berjenama je tak guna kalau bank telefon pun kau tak angkat. Guna sampai habis, pakai sampai rosak.

Anak muda biasanya ada hutang kad kredit dan pembiayaan peribadi. Nak cepat kaya kononnya, main skim cepat kaya, main skim pelaburan emas. Sanggup buat pembiayaan peribadi untuk dapatkan modal. Tengok-tengok melingkup. Apa pun tak dapat. Senang sangat terpedaya.

Dapat dapat gaji jangan duk beli benda tak penting je. Masa zaman muda duk gilakan kereta import mewah, tukar sport rim bagai. Tiap bulan dapat gaji pergi travel. Siap beli GoPro, DSLR bagai.

Cubalah muhasabah sekejap diri tu. Tak guna gaya hidup kau mewah tapi hutang keliling pinggang. Tak guna travel sana sini tapi hutang kawan tak reti nak bayar balik.

Nak kahwin berhutang, nak beli kereta import mewah pun berhutang. Lepastu, bila masa kau nak simpan duitnya? Kah!

SHARE l TAG jika bermanfaat.

Perkongsian Dari: Amir Syahir

Posted in: Informasi, Motivasi, Tips

Leave a Comment (0) →

Perbezaan antara Amatur dan Profesional

Perbezaan antara Amatur dan Profesional

Mengapakah ada di antara kita yang sangat berjaya dan ada di antara kita yang hanya konsisten bekerja yang biasa-biasa? Jawapannya rumit dan pelbagai.

Ramai yang di antara kita yang amatur.

Amatur akan berhenti bersungguh-sungguh apabila mencapai sesuatu matlamat. Profesional tidak berhenti, kerana ia percaya sesuatu pencapaian itu hanyalah permulaan.

Amatur mempunyai objektif sahaja manakala Profesional mempunyai proses yang panjang dan jauh ke depan.

Amatur percaya yang ia bagus dalam apa jua perkara. Profesional mengetahui, tahap atau lingkaran kecekapannya.

Amatur melihat kritikan dan bimbingan sebagai ancaman. Profesional pula arif tentang kelemahannya serata mencari dan meraih kritikan yang membina.

Amatur menilai intensiti. Seperti seorang presiden kelab mampu untuk mengadakan majlis makan malam yang lumayan. Profesional menilai komsistensi. Seperti presiden kelab yang konsisten mengadakan kelas bimbingan khas berkala buat ahlinya demi pembangunan modal insan.

Amatur memandang sesuatu kegagalan itu sebagai titik berakhirnya perjuangan dan mereka beranggapan mereka orang yang gagal selama-lamanya. Profesional memandang sesuatu kegagalan itu sebagai titik permulaan dan peluang untuk mereka membaiki diri mereka demi pertumbuhan bakat dan potensi.

Amatur memandang matlamat akhir itu menyeronokkan membenci kepada prosesnya. Profesional memandang, proses untuk mencapai matlamat akhir, kedua-duanya menyeronokkan. Kedua-dua itulah kebahagiaan mengikut persepsi profesional.

Amatur berkehendak untuk bersaing serta menjatuhkan pihak lawan atau penyaingnya. Profesional berkehendak untuk membantu semua individu untuk terus maju dan berjaya bersamanya.

Amatur menuduh orang lain. Profesional berani bertanggungjawab.

Amatur mementingkan kecepatan. Profesional mementingkan kejauhan kejayaan.

Amatur memikirkan perkara yang terang-terang boleh berlaku. Profesional memikirkan perkara yang terang-terang boleh berlaku, serta segala kemungkinan yang berpotensi untuk berlaku.

Amatur melihat percanggahan pendapat sebagai ancaman dan kelemahan. Profesional melihat percanggahan pendapat sebagai perkembangam ilmu pengetahuan.

Amatur hanya ingin mendapat nama dan sanjungan. Profesional ingin memaksimumkan manfaat umum.

Amatur melihat kronisme sebagai peluang keuntungan. Profesional melihat prinsip yang luhur sebagai peluang keuntungan.

Seorang ahli falsafah pernah mengungkapkan, “kita sangat suka meminta Tuhan untuk mengubah nasib dan takdir, tetapi kita malas untuk memahami hakikat dunia”

Amatur ialah mereka yang sangat suka meminta Tuhan untuk mengubah nasib dan takdir manakala profesional ialah mereka yang berusaha untuk memahami hakikat dunia.

Rujukan

1. The difference between the Amateurs and Professionals

2. Mat Luthfi, Kisah 25 Filsuf Barat (2016)

Perkongsian Dari: Sadiq Salihoddin
Tentang Penulis: Seorang mahasiswa jurusan Pengajian Islam.

Hantar perkongsian artikel anda di sini -> https://www.layarsukses.com/hantar-artikel

Posted in: Motivasi

Leave a Comment (0) →

5 Perkara Usahawan Boleh Contohi Daripada Kemenangan Khabib Nurmagomedov

5 Perkara Usahawan Boleh Contohi Daripada Kemenangan Khabib Nurmagomedov

Baru-baru ini viral tentang Khabib Nurmagomedov yang telah berjaya menumpaskan seteru utamanya iaitu Conor McGregor di Kejohanan UFC 229. Sedia maklum kedua-dua bintang seni mempertahankan diri (martial arts) ini mempunyai kelebihan yang tersendiri. Namun, pencapaian yang ditunjukkan oleh Khabib sememangnya luar biasa dan di luar jangkaan.

Agaknya, apa semangat yang kita boleh ambil daripada kisah kejayaan Khabib ini buat usahawan. Jom kita belajar sesuatu daripadanya.

#1 Menghormati Ibu Bapa

Walau sudah banyak kejayaan yang dikecapi oleh Khabib ini tidak langsung menjejaskan rasa hormatnya terhadap ibu bapa. Khabib tetap menyanjung tinggi jasa dan pengorbanan kedua orang tuanya sehingga kini. Bapa Khabib iaitu Abdulmanap bukan sahaja bapa kepada Khabib bahkan dialah yang menjadi tulang belakang kepada kecemerlangan Khabib kerana merupakan seorang mentor yang membimbing Khabib dalam seni mempertahankan diri sejak kecil lagi.

Usahawan juga seharusnya begitu, sebesar manapun kejayaan yang anda telah kecapi jangan lupakan jasa ibu bapa. Daripada redha dan restu ibu bapalah mampu kita di kedudukan sekarang.

#2 Bijak Mengatur Strategi

Sebelum menentang Conor, Khabib telah menetapkan satu fokus untuk mengalahkan lawannya itu berikut beberapa kontroversi yang ditimbulkan sendiri oleh Conor. Berikutan itu Khabib telah merancang strategi menewaskan Conor menggunakan cara kuncian leher daripada belakang yang mengakibatkan seterunya itu menyerah kalah.

Begitu juga untuk para usahawan yang seharusnya pandai merancang strategi yang berkesan di dalam perniagaan. Ia bukan sahaja untuk mendepani para pesaing bahkan untuk anda terus kekal di dalam pasaran. Jika gagal memasang strategi impaknya mungkin anda akan alami nasib sama seperti Conor.

#3 Mempertahankan Diri dan Agama

Alasan utama Khabib menunjukkan amarahnya terhadap Conor berikutan penyentuhan isu agama dan peribadi Khabib. Conor sengaja membuat provokasi dengan memberikan wiski dan mempermainkan soal agama walaupun mengetahui bahawa lawannya itu Muslim. Ini semestinya mendatangkan rasa tidak puas hati pada Khabib.

Bagi pemilik bisnes inspirasi yang boleh diambil ialah kekal dan pertahankan kredebiliti anda sebagai usahawan yang matang dan berilmu. Sekaligus pertahankan juga nama bisnes (branding) anda di pasaran agar kekal diyakini para pelanggan. Sentiasa utamakan agama dengan elakkan segala urusan yang syubhah atau meragukan.

#4 Gigih dan Cekal Berusaha

Sejak dari kecil Khabib telah didedahkan dengan sukan mempertahankan diri. Beliau dilatih sejak dari kecil oleh bapanya sendiri. Walau bagaimanapun beliau tidak pernah berhenti melakukan latihan meskipun sudah mencapai banyak rekod kemenangan antarabangsa. Buktinya, sejak beraksi di dalam pertandingan Mixed Martial Arts (MMA) beliau masih bersih daripada rekod kekakalahan atau seri.

Buat usahawan, jika benar perniagaan ini adalah minat yang mendalam buat diri anda teruskan usaha yang gigih untuk memperolehnya. Jangan terlampau mudah kecewa dan putus asa jika sesuatu yang dirancang tidak menjadi. Buat sampai jadi!

#5 Kagumi Pesaing

Khabib dikenali dengan peribadi yang baik dan tidak ego terhadap lawan walaupun sebagai seorang jaguh yang hebat. Serangannya terhadap Conor pun disebabkan isu sensitif yang ditimbulkan oleh Conor sendiri. Namun, Khabib tetap menghormati lawan dan pertandingan itu sendiri. Khabib menjadikan pentas pertandingan untuk berlawan secara sihat untuk para lawannya.

Usahawan juga boleh mengamalkannya di dalam bisnes. Dalam dunia perniagaan semestinya akan wujud persaingan. Penting untuk menghormati dan kagumi pesaing anda. Jangan pandang rendah pada pesaing anda kerana mereka juga ada kekuatan. Bersainglah secara sihat.

Kisah kejayaan Khabib adalah suatu yang menggagumkan buat masyarakat. Bila ada fokus atau matlamat kita mesti akan berusaha ke arah itu. Fokus Khabib adalah untuk mengalahkan lawannya Conor. Fokus kita sebagai pemilik bisnes pula apa? Cepat tetapkannya dan lakukan tindakan untuk mencapai. Semoga kita semua terinspirasi untuk jadi lebih bagus!

Majalah Niaga

Posted in: Motivasi

Leave a Comment (0) →

Penganugerahan Tokoh Maal Hijrah Suatu Kebangkitan Usahawan Muda

Senarai penerima Tokoh Maal Hijrah untuk 1440 Hijrah telah pun diketahui. Kesemua penerima mempunyai keistimewaan dan kredibiliti dalam bidang masing-masing. Satu nama yang menjadi tumpuan ialah “Yaya” iaitu Tokoh Maal Hijrah OKU bagi negeri Terengganu. Sebagai seorang pengusaha kuih bakul dan bulan yang berjaya pemilihan Yaya sebagai penerima Tokoh OKU Maal Hijrah adalah suatu yang tepat.

Jadi, ayuh kita kenali usahawan muda ini dengan lebih dekat lagi

#1 Bersemangat Waja

Walaupun tergolong dalam kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) beliau berusaha gigih untuk membangunkan perniagaannya. Pada peringkat awal sekitar tahun 2016 beliau hanya menjalankan perniagaan kuih bakul dan kuih bulan daripada rumah sahaja. Namun dalam usaha untuk mengembangkan bisnesnya beliau menukar corak bisnes dengan mengaji staff seramai 65 orang.

Dengan mengambil pekerja beliau bukan sahaja dapat mengurangkan beban kerja sebaliknya juga turut dapat mengembangkan dan memperkukuh jenama perniagaannya iaitu Sedeh Sokmo MMDT Enterprise. Malah, tindakan mengambil pekerja ialah suatu yang tepat kerana inilah panduan utama untuk menjadi usahawan yang bagus adalah jangan lakukan kerja sendirian. Anda akan penat dan hasil tidak memberangsangkan. Ambil pekerja dan agihkan tugas supaya lebih efektif.

Beliau memegang teguh dengan prinsip bahawa kekurangan yang ada pada diri tidak harus dijadikan alasan untuk terus maju dalam bidang yang diceburi. Setiap orang harus mencabar diri untuk menjadi lebih baik dan berjaya pada masa akan datang. Inilah yang dilakukan oleh beliau dan sepatutnya menjadi inspirasi buat semua.

#2 Penglibatan Aktif

Di samping sibuk menjalankan perusahaan beliau turut mengambil peluang untuk terlibat aktif dengan pelbagai aktiviti khususnya yang menjurus kepada bidang keusahawanan. Kesempatan ini digunakan untuk menimba lebih banyak ilmu dan pengetahuan tentang keusahawanan agar dapat membantu menambahbaik lagi bisnesnya.

Pemilik nama sebenar Haziqah Nurulhuda Harun atau lebih mesra disapa Yaya ini terlibat secara aktif dalam banyak seminar, kelas mahupun forum yang dianjurkan oleh banyak pihak. Pengelibatan beliau secara aktif ini bukan sahaja setakat ingin mendapatkan ilmu keusahawanan sahaja bahkan kesempatan tersebut di ambil untuk berkongsi kisah inspirasi kejayaanya kepada orang di luar sana.

Kini beliau terlibat aktif dalam beberapa seminar untuk kemajuan dan pembangunan masyarakat sebagai penceramah jemputan yang banyak memberi panduan, perkongsian pengalaman dan seumpamanya.

#3 Kreatif dan Inovatif

Walaupun kuih bulan dan kuih bakul merupakan simbolik untuk kaum Cina namun beliau menggunakan semangat berbilang kaum ini untuk mengubahsuai mengikut kesesuaian kaum Melayu. Nilai kreatif yang ada pada diri beliau telah dapat mengubah citarasa pada dua jenis kuih berkenaan. Namun apa yang pasti beliau tidak cuba untuk mengubah keaslian kuih bakul dan kuih bulan itu sendiri.

Selain kreatif, sebagai usahawan beliau juga mempunyai ciri inovatif di dalam diri. Buktinya, pada awal mengusahakan kuih bakul dan kuih bulan beliau hanya mampu menawarkan dua perisa sahaja iaitu asli dan durian. Namun dengan inovatifnya kini perusahaannya sudah mempunyai hampir 32 perisa. Lebih membanggakan kini beliau dalam perancangan untuk menambah enam lagi perisa.

Ciri kreatif dan inovatif ini telah menjadi kelebihan buat beliau kerana bukan sahaja mendapat tempahan dari dalam negara bahkan turut mendapat perhatian pelanggan antarabangsa seperti Qatar, Russia, Abu Dhabi, Australia, Kuwait, Korea Selatan, Singapura dan Thailand. Bisnes beliau semakin berkembang maju.

#4 Penerima Anugerah Berprestij

Sebagai usahawan muda dan tergolong dalam OKU kejayaan beliau pastinya mewujudkan rasa bangga kepada orang ramai. Di atas semangat, keyakinan, kegigihan dan kecekalan hati beliau banyak menerima anugerah yang menghargai bakat dan kejayaannya. Selain daripada dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah OKU negeri Terengganu, beliau juga pernah dianugerahkan dengan Anugerah Ikon Belia Terengganu tahun 2017.

Nilai-nilai positif yang ditunjukkan oleh Yaya boleh dicontohi untuk kita semua. Tidak kira dalam kehidupan, pelajaran dan juga perniagaan. Kekurangan menguatkan kita dan bukannya melemahkan!

Sumber; Majalah Niaga

Hantar perkongsian artikel anda di sini -> https://www.layarsukses.com/hantar-artikel

Posted in: Motivasi, Usahawan

Leave a Comment (0) →

10 Panduan Agar Murah Rezeki, Ingat Rezeki Bukan Hanya Wang Semata!

Murah rezeki! Semua orang mahukan rezeki murah, terutamanya wang ringgit dan harta benda. Murah rezeki bermaksud rezeki yang senang diperoleh dan cukup buat menampung keperluan selepas berusaha bersungguh-sungguh dengan jalan halal. Rezeki tidak hanya dalam bentuk wang ringgit dan harta benda tetapi juga dalam bentuk kemakmuran termasuk kesihatan yang baik.

Dalam Islam, Allah dan Rasulullah telah memberikan banyak panduan kepada umatnya cara beroleh rezeki berkat dan murah rezeki.  Panduannya terkandung dalam al-Quran dan sunah, terpulang pada kita untuk mengkaji dan menghayatinya.

1)Banyak dan selalu taubat

Taubat bermakna meninggalkan segala dosa, wajib ke atas setiap Muslim. Ini termasuklah meninggalkan dosa, menyesal kerana perlakuannya, berazam tidak mahu mengulanginya lagi. Tidak cukup dengan itu, kita wajib memulangkan segala yang hak jika berkaitan dengan hak manusia lain. Taubat bukan sekadar di mulut tapi mesti dihayati. Sayidina Ali pernah menyuruh seorang sahabat mengulang istighfarnya semula kerana istighfar yang dibuat sebelum itu dalam tergesa dan tiada penghayatan.

2) Takutkan Allah

Kita wajib memelihara diri daripada perbuatan yang mengakibatkan dosa. Dengan kata lain, mesti meninggalkan larangan Allah. Gagal mengawal diri bermakna akan terkeluar dari kalangan orang yang bertakwa. Bagaimana mahu tanamkan rasa takut pada Allah? Antaranya dengan sentiasa merasakan Allah melihat segala yang kita lakukan, yakin bahawa Allah maha mengetahui, merasakan malaikat sentiasa mencatat perbuatan kita dan bekerja bukan kerana takut ketua atau majikan tetapi kerana menganggap itu ibadah kepada Allah.

3) Sentiasa mengingati Allah

Mengingati Allah boleh sahaja dalam pelbagai bentuk amalan. Yang paling utama dengan menjadikan semua amalan ikhlas kerana Allah dan menepati syarak. Dalam Islam, amalan mengingati Allah lebih dilaksanakan dalam bentuk lisan. Ini termasuk zikir seperti al-Basmallah (Bismillahirahmanirrahim) atau beristighfar (Astaghfirullahalazim). Paling mudah adalah dengan mengamalkan Bismillah setiap kali memulakan sesuatu daripada hal sekecilnya sehingga urusan yang besar-besar.

4) Selepas berusaha, maka bertawakallah

Banyak kisah teladan yang dapat kita hayati berkaitan kisah tawakal. Isteri Nabi Ibrahim yang juga bonda Nabi Ismail, Hajar hanya mampu bertawakal ketika ditinggalkan bersama anaknya, Ismail, di padang pasir tandus.  Dia tidak membantah kerana itulah perintah Allah kepada suaminya dan diyakini oleh suami bahawa Allah akan memelihara mereka berdua.

Ketika anaknya menangis dahaga selepas bekalan mereka habis, dia berlari antara Safa dan Marwah kalau-kalau terjumpa manusia supaya dapat meminta sedikit air. Sehingga akhirnya Allah turunkan rezeki air yang terpancar di bawah tapak kaki anaknya.

Rezeki itu melimpah-ruah sehingga menjadi telaga zamzam yang kita nikmati sehingga kini, malah lokasinya berkembang sebagai kota Mekah yang dikunjungi jutaan umat Islam saban tahun. Elakkan tawakal yang salah, iaitu mengharapkan bantuan semata tapi tak mahu berusaha langsung. Rezeki tidak jatuh dari langit begitu sahaja kecuali jika kita berusaha mendapatkannya.

5) Beribadat dengan sebenar-benarnya

Lakukan ibadat secara konsisten dan ikhlas kerana Allah. Walaupun bersungguh lakukan ibadah tapi tidak bermakna kita boleh mengabaikan aspek mencari rezeki. Harus seimbang kedua-duanya, malah menganggap bekerja itu juga satu ibadat.  Rasulullah bersabda yang diriwayatkan Ma’qal b Yasar, “Allah berfirman, wahai manusia, beribadatlah kepada-Ku dengan bersungguh-sungguh agar Aku penuhi hatimu dengan rasa mencukupi (kaya jiwa) dan Aku penuhi tanganmu dengan rezeki. Wahai manusia, janganlah jauhi Aku jika tidak akan Aku penuhi hatimu dengan kemiskinan dan aku penuhi tanganmu dengan kesibukan.” (Riwayat Abu Hakim)

6) Menunaikan rukun Islam kelima

Haji adalah rukun Islam kelima, yang diwajibkan kepada orang yang berkemampuan. Memang ramai yang bertangguh untuk menunaikan haji walaupun diri berkemampuan atas alasan masih muda dan beranggapan biarlah buat haji apabila diri sudah tua. Hakikatnya ramai yang kurang sedar akan janji Allah betapa ibadat haji itu sebenarnya akan membuka lebih pintu rezeki buat kita.

Andainya belum berkemampuan, pasanglah niat mulai sekarang, insya-Allah, dimurahkan rezeki untuk sampai ke sana. Jika belum berpeluang menunaikan haji kerana belum tiba giliran, kita masih boleh menunaikan umrah bila-bila masa sahaja.

7) Hubungkan silaturahim

Silaturahim yang dimaksudkan adalah dalam kalangan kaum keluarga berhampiran. Silaturahim merujuk kepada amalan berbuat baik kepada kaum kerabat yang mempunyai hubungan kekeluargaan  atau perkahwinan.   Bersilaturahim dalam ruang lingkup amat luas, sama ada dari segi membantu harta, bersikap baik atau mendoakan kesejahteraan mereka.

Banyak hadis yang mengaitkan mengenai menjaga silaturahim dengan murahnya rezeki. Antaranya yang diriwayatkan Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda, “Sesiapa yang ingin  diperluaskan  rezekinya, dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menjalinkan silaturahim.” (Riwayat Bukhari)

Islam juga tidak melarang kita berurusan dengan kalangan ahli maksiat, sama seperti Islam tidak melarang kita daripada berhubungan dengan orang bukan Islam. Bersilaturahim dengan kalangan ahli maksiat bukanlah suatu kesalahan tetapi kita harus memastikan agar pergaulan itu tidak sama sekali mempengaruhi kita agar menjadi ahli maksiat seperti mereka.

8) Sedekah secara konsisten

Allah berfirman dalam surah Saba’: 39, “Dan apa ahaja yang kamu dermakan, maka Allah akan menggantikannya dan Dialah juga sebaik-baik Pemberi rezeki.” Tidak usah bimbang jika harta yang susah payah kita cari diberikan kepada orang lain. Perasaan takut miskin itu hanya tipu daya syaitan semata-mata. Sebaliknya jika kita yakin seperti yang dijanjikan Allah dan diceritakan Rasulullah seperti ini, pasti rasa bimbang itu akan tersingkir pergi.

9) Membantu fakir miskin

Sama ada kita sedar atau tidak, Allah akan menolong kita apabila kita menolong orang yang memerlukan. Rasulullah sendiri adalah seorang yang amat rapat dengan orang miskin. Banyak cara yang boleh kita laksanakan untuk membantu orang miskin, antaranya dengan mendampingi dan menziarahi mereka, memperuntukkan bantuan bulanan yang termampu buat mereka, selain berdoa agar kita terhindar daripada ditimpakan ujian seperti mereka.

10) Berhijrah mencari rezeki

Rasulullah berhijrah dari Mekah ke Madinah dalam usaha untuk mengembangkan dakwah, selain memperkukuhkan ekonomi orang Islam. Sahabat Rasulullah yang kebanyakannya adalah individu kaya, juga berhijrah ke Madinah tanpa rasa bimbang dengan nasib mereka di tempat baru.

Sahabat yang terkenal, Abd Rahman Auf seorang pedagang kaya meminta ditunjukkan pasar agar dia boleh berniaga di Madinah. Hasilnya, dia berjaya mengembalikan kekayaan yang ditinggalkan di Mekah dan itu dapat digunakan untuk membantu perjuangan orang Islam di Madinah.

Selain itu, berdasarkan sejarah juga, para pedagang dari Arab datang ke Asia untuk berniaga selain menggunakan peluang untuk berdakwah. Kedatangan mereka untuk meneroka peluang yang ada, selalunya berbekalkan tawakal dan natijahnya mereka berjaya membina empayar niaga tersendiri.

Maskulin

Posted in: Motivasi, Tips

Leave a Comment (0) →

11 Kata-kata Motivasi Untuk Para Usahawan

Bidang keusahawanan bukanlah sesuatu yang hanya berkaitan dengan menjadi kaya dan ternama. Sama ada perniagaan dalam mahupun luar talian, jalan untuk berjaya selalunya berliku dan bergelombang. Ia tidak semudah yang dilihat dengan mata kasar, tidak sesenang yang ditafsir fikiran. Adakala nya anda terpaksa berjuang bersendirian.

Anda perlu bersedia menghabiskan masa berjam-jam untuk belajar dan menerima maklumat baru seiring perkembangan zaman. Anda mungkin perlu melalui kegagalan demi kegagalan dan mencuba banyak strategi perniagaan sebelum anda bertemu satu model perniagaan yang betul yang bukan sahaja berfungsi tetapi juga sesuai dengan pelan, visi dan matlamat hidup anda.

Sebaik sahaja anda membuat keputusan untuk terjun ke bidang perniagaan, anda seolah-olah telah memilih jalan hidup yang diibaratkan seperti ‘roller coaster’.

Memang seronok menjadi bos dalam syarikat atau perusahaan sendiri. Namun akan ada hari-hari apabila anda berasa bimbang, bingung dan bersendirian.

Ketika saat-saat sukar seperti ini,  anda akan lebih banyak bersendirian dan kembali kepada fitrah. Mengharapkan kekuatan iman dan ketenangan untuk terus positif.

Oleh itu, penting bagi seorang usahawan untuk memiliki minda dan emosi yang sihat dan stabil. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa memiliki kedua-dua unsur ini lebih penting daripada sebuah empayar perniagaan.

Itulah sebabnya ada individu mahupun pihak-pihak tertentu yang mengambil inisiatif untuk membuku atau mengumpul petikan kaya-kata motivasi daripada individu-individu seluruh dunia yang sudah terbukti berjaya dalam bidang masing-masing. Mereka juga terkenal kerana memiliki karekter yang sentiasa positif, tenang tetapi tetap kental berdepan cabaran.

Berikut 11 kata-kata motivasi dalam bisnes yang mungkin dapat menyuntik semula semangat para usahawan yang kian hilang dan membantu anda untuk lebih sukses.

Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary

“”Saya asalnya tidak tahu apa-apa. Setiap orang yang mahu berjaya dan telah berjaya pada asalnya bermula daripada sifar (reset to zero). Apa yang saya tidak tahu, minta tolong daripada orang lain. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita mendapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.” ~ Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary

Tan Sri Tony Fernandes

“Jangan takut dengan aduan (komplen) kerana ia merupakan penyelidikan pasaran secara percuma. Pelanggan anda mengambil masa dan tenaga untuk menulis kepada anda menceritakan apa yang tidak kena dan bagaimana ianya boleh diperbaiki. Banyak syarikat melantik perunding untuk memberitahu hal yang sama.

Justeru, kami melayan setiap emel dengan penuh penghargaan.” ~ Tan Sri Tony Fernandes (Pengasas AirAsia)

Datuk Kamarudin Meranun

“Saya merasakan hidup sebagai satu amanah dan bagi saya adalah perlu untuk meneruskan perniagaan kerana sekurang- kurangnya usaha ini dapat mewujudkan berbagai peluang terutama peluang kerja.” Datuk Kamarudin Meranun ( Pengasas bersama AirAsia)

Datuk Wira (Dr) Hj Ameer Ali Bin Mydin

“Maafkan semua kesalahan yang dilakukan pekerja anda kecuali jika dia menipu sebab semua orang buat silap dan kita belajar daripada kesilapan tetapi menipu melibatkan sikap dan ini boleh menjurus ke arah masalah yang lebih besar di masa hadapan.” ~ Datuk Wira (Dr) Hj Ameer Ali Bin Mydin

Steve Jobs

“Satu-satunya cara untuk melakukan sesuatu yang yang hebat adalah dengan menyukai apa yang anda lakukan.” ~ Steve Jobs

Abraham Lincoln

“Sesuatu pasti akan datang kepada mereka yang menunggu, tetapi hanyalah saki-baki lebihan daripada mereka yang berusaha untuk mendapatkannya terlebih dahulu.” ~ Abraham Lincoln

Tun Dr. Mahathir bin Mohamad

“Kita berada di dunia yang mencabar. Yang malas akan ketinggalan. Cuma yang berusaha akan berjaya.” ~ Tun Dr. Mahathir bin Mohamad

Sir Richard Branson

“Jika seseorang menawarkan kepada anda satu peluang yang luar biasa tetapi anda tidak pasti anda boleh atau tidak untuk melakukannya, katakan ya, kemudia, belajar bagaimana untuk melakukannya.” ~ Sir Richard Branson (Pengasas Virgin Group)

Mark Zuckerberg

“Risiko yang paling besar adalah tidak mengambil sebarang risiko. Dalam dunia yang berubah dengan cepat, satu-satunya strategi yang dijamin gagal adalah tidak mengambil risiko.” ~ Mark Zuckerberg (Pengasas Facebook)

Jack Ma

“Kita tidak pernah kekurangan wang, kita kekurangan orang yang berimpian yang sanggup mati demi impian mereka.” ~ Jack Ma (Pengasas Alibaba)

Jeffrey Preston Bezos

“Soalan yang biasa ditanya didalam perniagaan adalah “kenapa”? Itu adalah soalan yang bagus, tetapi soalan yang sepatutnya ditanya adalah “kenapa tidak?” ~ Jeffrey Preston Bezos ( Pengasas Amazon)

Majalah Niaga

Posted in: Motivasi, Perniagaan

Leave a Comment (0) →

JUAL DAUN, LELAKI INI PEROLEH PENDAPATAN RM400,000 SEBULAN

Apa juga perniagaan jika dijalankan dengan tekun, pasti akan menghasilkan keuntungan. Berbeza dengan perniagaan yang dijalankan lelaki Korea Selatan ini. Perniagaan unik ini membuahkan hasil yang lumayan kepada beliau.

Hong In Heon, mampu menjana pendapatan sebanyak USD 100,000 atau sekitar RM400, 000 sebulan hanya dengan menjual daun. Jual daun pun boleh untung?

Daun yang dijual Hong bukanlah sembarangan daun. Hong In Heon adalah ahli perniagaan yang menjual daun semanggi empat kelopak. Beliau turut memiliki ladang tanaman daun semanggi empat kelopak beliau sendiri.

Daun ‘bertuah’

Sumber Foto: Google

Semanggi empat kelopak dipercayai oleh ramai orang di Korea dan negara-negara jirannya sebagai tumbuhan yang membawa nasib baik kepada sesiapa yang memilikinya. Kepercayaan turun-temurun ini merupakan salah satu faktor kepada kejayaan perniagaan beliau.

Kepercayaan yang masih dipegang ramai orang inilah yang membuatkan perniagaan semanggi empat kelopak Hong In Heon laris di pasaran. Aura ‘nasib baik’ daun ini terbukti melalui kejayaan Hong sendiri.

Penjagaan Khusus

Dalam satu program televisyen di Korea, Daedongyeojido, Hong In Heon menjelaskan bahawa dia menyimpan dan menanam biji daun tersebut di tempat yang khas. Di dalam rumah kaca yang dibinanya,daun semanggi empat kelopak berkembang dengan subur.

Seperti yang dipetik daripada Koreaboo, Hong In Heon berkata jika disimpan dalam habitat suhu hangat, daun semanggi empat kelopak boleh berkembang dan dituai sepanjang tahun.

Sumber Foto: Google

Permintaan Tinggi Daripada Pengusaha Restoran dan Kafe

Keistimewaan daun semanggi empat kelopak Hong In Heon adalah daunnya boleh dan selamat untuk dimakan. Banyak kafe dan restoran di pelbagai kawasan di Korea Selatan membeli daun tuaian semanggi dari ladangnya.

Biasanya daun semanggi digunakan sebagai hiasan menu makanan dan minuman, kerana ia selamat untuk dimakan. Hong In Heon menjualnya dalam pek yang mengandungi 500 daun semanggi, dengan harga USD 150 atau kira-kira RM612.00. Dalam sehari, dia boleh menjual kira-kira 10,000 daun.

 

“Saya telah menjalani perniagaan floricultural selama 20 tahun, tetapi tidak mendatangkan keuntungan yang lumayan. Saya sedar yang saya harus melakukan sesuatu yang berbeza dan istimewa. Jadi, saya memilih daun semanggi empat kelopak kerana semua orang pasti menyukainya,” kata Hong In Heon.

Hong In Heon mendakwa bahawa daun semanggi yang dijualnya disimpan dengan kaedah yang selamat, tanpa menggunakan kejuruteraan genetik. Selepas sembilan tahun penyelidikan, percubaan dan kesilapan demi kesilapan, Hong In Heon akhirnya berjaya menjadi petani daun semanggi empat kelopak.

Ada ketikanya idea bisnes datang daripada aspek yang tidak terjangka. Sebagai pejuang dalam lapangan perniagaan, penting untuk kita melakukan penilaian dan melakukan ‘kira-kira’ pro dan kontra untuk setiap idea, disamping mengambil kira keperluan semasa manusia.

Seterusnya, usah terlalu bimbang untuk mulakan langkah pertama. Seperti Hong yang gagal dengan perniagaan yang dijalankan selama 20 tahun, sebaliknya beroleh keuntungan berlipat ganda hanya setelah 9 tahun mengusahakan tanaman daun semanggi.

Selamat maju jaya!

Sumber: Majalah Niaga

Hantar perkongsian artikel anda di sini -> https://www.layarsukses.com/hantar-artikel

Posted in: Motivasi, Usahawan

Leave a Comment (0) →
Page 1 of 13 12345...»