Posted on Leave a comment

5 Persamaan Sikap Orang Yang Berjaya

Bila mendengar nama-nama individu yang sangat berjaya, terkenal dan kaya-raya seperti Bill Gates, Warren Buffett, Carlos Slim, Robert Kwok, Tony Robbins dan segelintir lagi,  pasti ramai di kalangan kita mahu berjaya seperti individu-individu ini.

Walaupun mereka datang dari latar belakang berbeza, ada beberapa persamaan dari segi sikap dan pendirian mereka kongsi yang seharusnya dimanfaatkan kita dalam kehidupan seharian.

1. Sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki

Kita tahu apa yang mereka lakukan dan kejayaan yang mereka lakar di pentas dunia dan bagi setiap kejayaan dan apa saja yang mereka dapat, satu persamaan di sini ialah mereka mensyukuri apa yang mereka dapat walaupun benda tersebut bersifat remeh. Mengapa mereka suka berbuat demikian?

Menurut pakar, syukur sebenarnya membantu mood manusia dalam mengharungi perjalanan kehidupan seharian daripada sinis dan pemarah kepada gembira dan ceria.

Tanpa sifat syukur, manusia mudah bersikap dendam dan hasad sehingga sanggup melakukan perkara di luar batasan kemanusiaan semata-mata untuk jadi hebat daripada orang lain.

Jadilah orang yang banyak bersyukur kerana Allah berjanji sesiapa yang bersyukur, Allah bukan saja akan kekalkan malah menambah lagi nikmat yang kita terima.

Ingatlah akan pesan ulama besar tasawuf dan pengarang kitab Hikam, Ibnu Athaillah al-Sakandari rahimahullah, “Sesiapa yang tidak mensyukuri nikmat Allah, maka dia sudah bersedia untuk kehilangan nikmat tersebut namun, sesiapa yang mensyukurinya bererti dia telah mengikatnya dengan tali kekang.”

2. Tidak takut memasang matlamat, cita-cita besar

Ini persamaan yang dikongsi ramai orang berjaya di seluruh dunia. Pada satu masa dalam kehidupan mereka, mereka menetapkan matlamat atau cita-cita yang ingin digapai, walaupun ramai bersifat pesimis terhadap cita-cita tersebut.

Pada mereka, bila mereka berbuat sedemikian, mereka menjadi versi diri mereka yang terbaik dan menunjukkan prestasi cemerlang semasa bekerja.

Tidak ramai dalam kalangan kita yang mahu mengikut teladan ini kerana masih terperangkap dengan zon selesa. Pada mentaliti sesetengah daripada mereka, mereka bimbang mereka akan gagal sebelum sampai ke destinasi yang dituju.

Mentaliti gagal itu seharusnya ditolak ke tepi kerana jika kita tidak melakukannya, maka bagaimana kita tahu kita akan berjaya atau sebaliknya?

Luaskan pandangan dunia kita dan tetapkan matlamat yang kita boleh capai. Jika kita gagal sekalipun, sekurang-kurangnya kita berada pada satu tahap yang lebih baik berbanding dahulu.

Dan kegagalan silam boleh saja dijadikan sebagai rujukan untuk kita mengelakkan ia daripada berulang pada masa akan datang.

3. Etika kerja yang mengagumkan

Bukanlah sesuatu yang asing bila kita mendengar antara rahsia kejayaan pemimpin-pemimpin industri ialah etika kerja mereka yang bagus dan kesungguhan mencapainya walaupun itu bermakna kerja lebih masa.

Sesiapa yang menyangka kejayaan pemimpin-pemimpin ini dicapai dalam sekelip mata silap kerana ada di antara mereka ini telah berusaha selama satu dekad dan kejayaan yang mereka capai itu tidak datang bergolek seperti yang disangka.

Tambahkan sedikit masa dan kesungguhan kita gunakan untuk kerja kita. Tak kisahlah tempohnya berapa, sejam atau paling kurang 30 minit, cuba laksanakan.

Tanpa kita sedar, kita sebenarnya mengikis etika kerja bersifat sambil lewa sambil meningkatkan lagi kualiti kerja kita.

Dan siapa tahu, dengan kesungguhan sebegini, apa saja matlamat yang kita tetapkan dapat direalisasikan. Jangan peduli apa orang kata sebaliknya ambil peduli kualiti kerja dan matlamat yang kita kejar.

4. Pandai menjaga diri

Kejayaan takkan datang bergolek kalau aspek spiritual dan fizikal kita tak terjaga. Ini antara persamaan orang-orang berjaya, mereka tetap menjaga kesihatan diri. Jangan kerana kerja, kesihatan terabai sampai ke tahap terlantar di hospital atau kehilangan orang tersayang.

Orang-orang berjaya bijak menyeimbangkan kedua-dua aspek ini kerana kedua-duanya memainkan peranan sama penting dalam kejayaan.

Bila aspek spiritual kita terjaga, pandangan dunia kita menjadi lebih positif dan meningkatkan mood kita semasa bekerja dan bila kita menjaga kesihatan fizikal, kita bukan saja bertenaga semasa bekerja malah kita juga tahu bila masa untuk kita berhenti seketika dan berehat.

Curi sedikit masa dengan meluangkan masa bersama keluarga dan menjaga kesihatan diri. Mulakan inisiatif menjaga kesihatan seperti menjaga pemakanan dan aktiviti senaman. Jangan bersikap menyendiri, sentiasa luangkan masa bersama orang-orang hebat dan positif.

Nampak remeh bila menyentuh soal kesihatan tetapi hakikatnya, itulah perkara paling susah untuk kita jaga. Jadi, dalam rutin seharian, pastikan ia jadi sebahagian daripada agenda kehidupan kita.

5. Tidak lokek memberi

Orang-orang berjaya sedar, tanpa sokongan orang-orang di sekeliling terutama keluarga dan rakan-rakan yang percaya dengan visinya, mereka takkan sampai ke tahap mereka berada hari ini.

Maka tidak hairanlah mengapa orang-orang berjaya tidak lokek menyumbangkan harta, masa dan tenaga mereka untuk tujuan kebajikan seperti Bill Gates melalui yayasannya, Bill & Melinda Gates Foundation. Mereka sedar bila mana mereka memberi yang baik, maka pulangan yang mereka dapat juga baik.

Ada sesetengah daripada kita bersikap kedekut dalam soal memberi walaupun ianya bersifat remeh. Pada mereka, tiada apa-apa ganjaran memberi sebahagian daripada hasil titik peluh mereka kepada orang lain termasuk membayar zakat.

Padahal mereka lupa, bila kita memberi, kita sebenarnya menyuburkan lagi harta kita selain mengundang keberkatan Allah s.w.t dalam hidup kita. Dan terlalu banyak hadis Nabi SAW yang mengajar kita untuk bersikap memberi seperti perlakuan baik, solat Dhuha, senyum, membuang benda merbahaya dari jalanan dan berlaku adil.

Jangan bersikap lokek dalam kehidupan kerana sikap sebegini membuatkan kita sentiasa gelisah dan mengundang kebencian terhadap diri sendiri. Apa guna jadi orang berjaya tetapi jadi sasaran kebencian orang ramai kerana tidak mahu menyumbang semula kepada masyarakat.

Semoga memberi manfaat.

 

Sumber: thepatriots

 

 

JOM SHARE
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *