l

Author Archive

Ramai Graduan Kejuruteraan Bakal Menganggur

Ramai Graduan Kejuruteraan Bakal Menganggur

BERKONGSI cerita tentang graduan sukar mendapat pekerjaan dalam industri bukan lagi suatu perkara baharu. Masalah ini dilihat sukar untuk diselesaikan.

Apakah jumlah pekerjaan tidak mencukupi iaitu pihak berwajib gagal menyediakan peluang pekerjaan atau graduan muda kekurangan kemahiran untuk memenuhi kehendak pasaran kerja. Atau juga graduan terlalu memilih pekerjaan.

Laporan oleh syarikat penilaian kebolehpasaran di beberapa negara di Asia mendapati lebih 80 % graduan bidang kejuruteraan tidak mempunyai kemahiran teknologi baharu diperlukan oleh majikan.

Hal ini turut sama berlaku di Malaysia. Tidak kira apa bidang kemahiran, graduan sukar mendapatkan pekerjaan.

Statistik yang dikeluarkan oleh kementerian berkenaan menyatakan lebih 50,000 graduan gagal dalam persaingan kebolehpasaran mendapatkan pekerjaan.

Lepasan-lepasan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam bidang profesional seperti kejuruteraan ‘terpaksa’ membuat kerja selain bidang mereka untuk menyara hidup.

Ada pihak menyifatkan negara ini sudah membazirkan sejumlah jurutera dan lepasan IPT yang sukar mendapat pekerjaan sesuai.

Peluang kerjaya ternyata tidak menunggu mereka.Beberapa perkara utama dikenalpasti daripada laporan pekerjaan sebagai jurutera:

1. Laporan menyatakan bahawa hanya 3.84 % jurutera mempunyai kemahiran teknikal, kognitif dan linguistik yang diperlukan untuk pekerjaan berkaitan perisian pada peringkat permulaan.

2. Hanya 3 % daripada jurutera mempunyai kemahiran teknologi baharu di kawasan yang kini berkembang pesat seperti artificial intelligence, machine learning, data science dan mobile development.

3. Oleh itu, hanya 1.7 % daripada jurutera mempunyai kemahiran yang diperlukan dalam pekerjaan baharu.

4. Laporan ini turut memberi sebab utama untuk kebolehpasaran menurun kerana hanya 40 % siswazah kejuruteraan melakukan latihan industri, sementara terdapat hanya 7 % yang melakukan pelbagai latihan.

5. Selain kekurangan latihan, jurutera juga mempunyai kebolehpasaran yang rendah kerana hanya 36 % melakukan projek di luar kurikulum mereka.

Oleh itu, mereka tidak selalu membina kemahiran untuk menyelesaikan masalah dalam pelbagai situasi.

6. Satu lagi masalah yang menambah rendahnya kebolehpasaran jurutera adalah bahawa subjek diajar dengan cara yang sangat teori sahaja – 60 % fakulti tidak memberi penekanan tentang penerapan konsep dalam industri dan hanya 47 % daripada jurutera mengikuti seminar berkaitan dalam industri.

Oleh itu, graduan perlu bijak mengambil segala peluang yang ada sebagai langkah awal untuk masa depan.

Sebagai contoh, graduan dalam bidang kejuruteraan tidak semestinya menjadi jurutera.

Kesediaan graduan dalam mengatasi ketidakbolehpasaran antaranya mereka perlu bersedia untuk mentransformasi diri dengan mengaplikasikan segala ilmu dan kemahiran yang ada sepenuhnya untuk majikan.

PROF. EMERITUS TAN SRI SAHOL HAMID ABU BAKAR ialah Naib Canselor Crescent University, Chennai, India dan profesor pakar tebatan banjir di University of Stuttgart, Jerman.

Sumber: Utusan Online

Posted in: Kerjaya

Leave a Comment (0) →

Lebih Ramai Rakyat Malaysia Membeli-belah Dalam Talian – Shopee

Lebih Ramai Rakyat Malaysia Membeli-belah Dalam Talian – Shopee

Shopee Malaysia muncul sebagai platform e-dagang nombor satu negara dan antara 10 laman paling kerap dilayari, demikian menurut firma analisis perancangan, urus niaga dan penilaian media merentasi platform Comscore.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho, berkata dengan hampir separuh penduduk negara ini ada dalam pangkalan datanya, Shopee mempunyai akses kepada Data Raya yang membolehkannya memahami tabiat beli-belah rakyat Malaysia.

Menurut pangkalan data itu, pesanan paling banyak diterima dari Selangor dan Kuala Lumpur sementara Perlis, Kedah, Pulau Pinang merekodkan peningkatan aktiviti beli-belah dalam talian dengan satu pertiga pembelian di negeri terbabit adalah dalam kategori Barangan Pengguna Cepat Laris (FMCG) termasuk produk penjagaan diri.

Posted in: Informasi, Semasa

Leave a Comment (0) →

Robert Kuok Kekal Individu Terkaya Di Malaysia

Robert Kuok Kekal Individu Terkaya Di Malaysia

Tan Sri Robert Kuok mengekalkan kedudukan nombor satu dalam senarai Orang Paling Kaya Forbes Malaysia 2019 dengan nilai bersih AS$12.8 bilion walaupun kekayaannya merosot sebanyak AS$2 bilion, menurut Forbes Asia.

Senarai Orang Paling Kaya Forbes Malaysia 2019 yang dikeluarkan hari ini menyebut 30 hartawan Malaysia menyaksikan kekayaan mereka merosot manakala 11 lagi menikmati peningkatan.

Sementara itu, Tan Sri Quek Leng Chan dari Hong Leong (Malaysia) menambah kekayaan sebanyak AS$ 2.2 bilion dan kekal pada kedudukan nombor dua dengan nilai bersih AS$9.4 bilion.

Tan Sri Teh Hong Piow dari Public Bank memperoleh AS$700 juta, meningkat satu anak tangga ke nombir tiga dengan nilai bersih AS$6.7 bilion.

Lima hartawan teratas dalam senarai itu ialah Tan Sri Ananda Krishnan di tempat keempat dengan AS$6.2 bilion, susut AS$900 juta apabila saham dalam penyedia perkhidmatan tenaga Bumi Armada susut 78 peratus tahun ini hingga 1 Mac.

Tan Sri Lee Shin Cheng dari IOI Corporation dan IOI Properties menduduki tempat kelima, dengan nilai kekayaannya merosot sebanyak AS$200 juta kepada AS$5.4 bilion.

Wong Thean Soon menduduki tempat ke-48, setelah mengalami kerugian terbesar apabila nilai bersihnya menjunam 63 peratus kepada AS$280 juta.

Saham syarikatnya My E.G Services, yang menawarkan akses perkhidmatan kerajaan secara dalam talian, terjejas selepas pilihan raya tahun lepas ekoran persepsi bahawa ia dikait rapat dengan kerajaan terdahulu.

Seorang pelabur besar dalam syarikat itu, kedudukan Datuk Dr Norraesah Mohamad, satu-satunya wanita dalam senarai tahun lepas, turut merosot.

Jutawan lain yang menyaksikan kekayaan mereka merosot termasuklah Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary yang mengekalkan kedudukannya di tempat ke-12 walaupun kekayaan merosot AS$200 juta kepada AS$1.7 bilion.

Saham syarikat berkaitan infrastrukturnya menyusut susulan kajian berterusan ke atas projek-projek infrastruktur mega Malaysia.

Seorang lagi hartawan yang mengalami kemerosotan ialah Pengerusi Genting, Tan Sri Lim Kok Thay, yang berada di nombor tujuh dengan kekayaan bernilai AS$4.4 bilion.

Beliau jatuh satu tempat daripada nombor enam tahun lepas apabila kekayaannya susut sebanyak AS$300 juta.

Pendatang baharu Abdul Kadier Sahib memasuki senarai itu buat kali pertama di tempat ke-49 dengan nilai bersih AS$275 juta.

Beliau ialah Pengarah Serba Dinamik Holdings, syarikat pembekal minyak dan gas yang dilancarkan pada 2017 dan menyaksikan sahamnya melambung.

Pengasas syarikat, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah, yang berada di tempat 40, dengan nilai AS$345 juta, memulakan perniagaannya setahun lalu dan menyaksikan kenaikan bersihnya sebanyak 11 peratus tahun ini.

Menurut Forbes Asia, terdapat dua hartawan menyertai semula senarai tahun ini.

Tan Sri Kua Sian Kooi dari KSK Group menduduki tempat ke-35 dengan nilai bersih AS$420 juta manakala Datuk Loh Kian Chong dari Oriental Holdings kembali dalam senarai di tempat ke-45 dengan nilai bersih AS$320 juta.

Nilai bersih minimum untuk dimasukkan dalam senarai tahun ini ialah AS$250 juta, turun daripada AS$ 300 juta tahun lepas.

Senarai ini disusun menggunakan maklumat dari individu, bursa saham, penganalisis, pangkalan data peribadi, agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia, dan sumber lain.

Jumlah nilai bersih adalah berdasarkan kepada harga saham dan kadar pertukaran pada penutupan pasaran pada 28 Februari.

Syarikat persendirian dinilai menggunakan nisbah kewangan dan perbandingan lain dengan syarikat-syarikat yang sama dengan dagangan awam.

Anggaran termasuk kekayaan pasangan, dan jika mereka merupakan pengasas syarikat, ia turut mengambil kira kekayaan anak hsil dari syarikat itu.

Dalam kes kekayaan anggota keluarga adalah berdasarkan kepada syarikat yang sama, ahli-ahli ini digabungkan menjadi satu penyenaraian, selagi masing-masing mempunyai kekayaan yang mencukupi untuk memenuhi syarat.

Senarai penuh boleh didapati dalam terbitan terkini Forbes Asia, yang sudah berada di pasaran. -BERNAMA

Posted in: Informasi, Usahawan

Leave a Comment (0) →

Facebook Guna Twitter Perjelas Gangguan

Facebook Guna Twitter Perjelas Gangguan

WASHINGTON: Rangkaian sosial terbesar dunia, Facebook (FB) terpaksa bergantung kepada Twitter hari ini untuk menjelaskan gangguan yang dihadapi aplikasi itu di seluruh dunia.

Sejumlah pengguna FB dan beberapa platform lain yang dimiliki gergasi teknologi itu termasuk Instagram, Messenger dan WhatsApp, berdepan masalah untuk mengakses perkhidmatan itu.

Akibatnya ramai pengguna beralih ke Twitter untuk meluahkan kekecewaan mereka.

Difahamkan gangguan bermula petang semalam dan menjejaskan pengguna di beberapa kawasan, termasuk Amerika Syarikat, Amerika Tengah dan Selatan, serta Eropah, lapor tweet dan laman pengesan gangguan, DownDetector.com yang dipetik CNN.

“Kami sedar sejumlah pengguna sedang berdepan masalah mengakses aplikasi keluarga Facebook. Kami sedang berusaha menyelesaikan masalah itu secepat mungkin,” kata Facebook di twitter.

Facebook turut menafikan khabar angin bahawa gangguan itu disebabkan serangan penggodam yang menggunakan ‘distributed denial-of-service (DDos). – Agensi

Posted in: Umum

Leave a Comment (0) →

Jangan Guna Telefon Bimbit Ketika Petir

Jangan Guna Telefon Bimbit Ketika Petir

BARU-BARU ini, seorang lelaki maut, manakala tiga lagi cedera selepas di panah petir ketika bermain bola sepak di Setia Alam, Selangor. Mangsa dikatakan sedang berada di padang bola dan memegang telefon bimbitnya.

Insiden ini adalah satu pengajaran kepada semua bahawa sambaran kilat boleh meragut nyawa dan ia boleh berlaku bila-bila masa tanpa kita ketahui. Sekiranya cuaca mula gelap dan terdengar guruh dari langit, itu adalah petanda hujan dan petir kilat juga akan berlaku.

Memahami kronologi kejadian petir, guruh dan kilat akan memberikan kefahaman menyeluruh bagaimana ia boleh mengakibatkan kematian. Suhu di bumi adalah bergantung kepada masa dan jarak cahaya matahari terhadap sesebuah kawasan.

Suhu dan kelembapan sesuatu tempat pula dipengaruhi oleh keadaan udara dan akan mengalami proses kitaran sejatan. Sejatan yang berlaku adalah proses di mana wap air akan terhasil dari permukaan takungan air yang dipengaruhi oleh suhu panas sehingga kandungan wap air yang sangat banyak menyebabkan udara berada pada kadar lembap.

Penghasilan awan komulus

Penghasilan wap air yang banyak akan naik ke atmosfera bagi menstabilkan tekanan udara. Wap air atau udara panas akan ke permukaan atmosfera dan menghasilkan awan komulus sehingga terjadinya awan yang mempunyai ruang udara tidak stabil, berlengas dan bergolak kuat dikenali sebagai awan komolunimbus.

Daripada pembentukan komolunimbus, ribut petir akan terjadi dalam keadaan bersel dengan diameter 3 hingga 5 kilometer dan ketinggiannya melebihi 10 kilometer. Melihat kepada karakter sel ribut petir, kita boleh membayangkan bagaimana impak yang akan berlaku kepada subjek yang dipanah, sudah pasti ia boleh membunuh dan meragut nyawa.

Tambahan lagi purata tempoh hidup petir kilat adalah 15 hingga 30 minit dan sepanjang laluan, kilat petir boleh menyebabkan kemusnahan teruk dan sangat membahayakan operasi penerbangan. Proses kilat petir ini adalah juga satu proses nyahcas elektrik secara tiba-tiba yang didefinisikan oleh pertubuhan kaji cuaca sedunia.

Nyahcas elektrik ini akan berlaku apabila perbezaan tekanan yang tinggi antara atmosfera dan bumi yang akan menghasilkan petir. Sudah pasti ketika petir berlaku ia akan menarik lebih banyak objek yang merupakan konduktor terhadap aliran elektrik seperti palang besi, pokok, kenderaan dan bahan berunsurkan logam.

Kilat petir juga akan terus ke permukaan bumi terutama di kawasan lapang dan kelajuan bagi sesuatu petir dianggarkan 300 kilometer sejam seperti kelajuan kereta formula 1, sekiranya berlaku perlanggaran dan kesannya boleh menyebabkan kematian.

Medium pembumian elektrik

Oleh itu, langkah berhati-hati harus diutamakan dengan tidak berada di kawasan lapang di mana arus kilat lebih mudah dan berpotensi tinggi untuk berlaku kerana bumi adalah medium pembumian elektrik yang sangat baik.

Kita juga perlu mengelak daripada berlindung di kawasan pokok kerana ketinggian pokok boleh dijadikan elektrod kilat untuk ke permukaan bumi. Sekalipun kita berada di rumah, seharusnya kita tidak menggunakan peralatan elektrik seperti televisyen kerana ia akan disambar petir dan boleh menyebabkan litar pintas sehingga berlaku kebakaran.

Rumusannya, setiap individu perlu menitikberatkan kesan kilat dan petir ini agar kejadian malang yang boleh meragut nyawa tidak berulang dan ia boleh dielak. Setiap individu juga haruslah mengambil langkah berhati-hati apabila cuaca mula gelap dan mendung kerana kilat petir akan berlaku dengan tiba-tiba dan tidak dapat dijangka.

Penulis adalah Pensyarah Matematik, Pusat Asasi UiTM, Kampus Dengkil

Sumber : BH Online

Posted in: Informasi

Leave a Comment (0) →

Salam Web Catat Sejarah Jadi Web Browser Patuh Syariah Pertama Di Dunia

Salam Web Catat Sejarah Jadi Web Browser Patuh Syariah Pertama Di Dunia

SalamWeb Technologies MY Sdn Bhd mencatatkan sejarah apabila menjadi syarikat pertama yang memperkenalkan perkhidmatan internet patuh syariah pertama di dunia melalui pelancaran SalamWeb pada 17 Januari di Glasshouse, Seputeh.

Mendapat pengesahan daripada Amanie Shariah Supervisory Board, SalamWeb merupakan platform carian atas talian (web browser) seperti web browser yang lain tetapi mempunyai keunikkan kerana menawarkan persekitaran maya yang lebih selamat dan mesra Islam.

SalamWeb yang turut dilengkapi dengan ciri-ciri terkini iaitu SalamProtect dilihat mampu membantu para ibu bapa untuk melindungi anak-anak daripada maklumat-maklumat yang tidak bermanfaat. Dengan adanya Salam Protect yang berfungsi sebagai penapis kandungan termaju (advanced content filter), laman web seperti laman lucah tidak lagi boleh dilayari dengan sewenang-wenangnya.

Selain itu, bagi memudahkan tugasan harian umat Islam, SalamWeb juga turut dilenkapi dengan ciri-ciri menarik yang lain seperti SalamNews, SalamChat, SalamTag dan SalamSadaqah serta penunjuk arah kiblat yang berfungsi dengan baik.

SalamNews yang boleh diubah suai menawarkan sumber berita secara langsung kepada pengguna daripada pelbagai sumber berita yang boleh dipercayai. Dengan ciri ini, pengguna tidak lagi perlu merasa risau dengan kandungan berita yang tidak sebenar sekali gus dapat mengelakkan daripada berlakunya kekeliruan.

Manakala SalamChat pula berfungsi seperti forum atas talian yang membenarkan pengguna untuk berkomunikasi dengan pengguna-pengguna SalamWeb yang lain.

Menerusi ciri SalamTag pula, setiap pengguna SalamWeb boleh menyumbang kearah mewujudkan persekitaran maya yang lebih selamat melalui tanda atau tag yang diberikan kepada sesuatu laman web. Tiga jenis tag iaitu Sesuai, Neutral dan Tidak Sesuai kemudian akan dihantar kepada pentadbir SalamWeb yang bertindak membuat penilaian sebelum mengesahkan tag yang diberi.

Dengan kata lain, apabila lebih ramai pengguna memberi tag kepada sesuatu laman web, maka ciri SalamTag ini akan dapat berfungsi dengan lebih baik sekali gus dapat membantu mewujudkan persekitaran yang lebih baik untuk umat Islam celik IT.

Melalui SalamSadaqah pula, pengguna kini dapat melaksanakan salah satu ajaran Islam iaitu membuat kebaikkan dan memberi sedekah dengan lebih mudah iaitu melalui platform atas talian.

Menariknya, ciri SalamSadaqah ini berfungsi apabila setiap ciri SalamTag yang digunakan atau keperihatinan pengguna untuk membuat laporan mengenai kandungan tidak selamat di atas talian akan ditukar menjadi sumbangan yang akan dipadankan dengan jumlah sumbangan dibuat  SalamWeb. Dengan adanya SalamSadaqah, pengguna dapat menukar pengalaman penggunaan internet harian kepada tujuan berbentuk kemasyarakatan.

Berucap pada hari pelancaran, Puan Hajjah Hasni Zarina selaku Pengarah Urusan Salam Web Technologies MY Sdn Bhd berkata misi syarikat berkenaan adalah untuk memperkasakan umat Islam.

“Misi kami adalah untuk memberi kuasa kepada manusia bagi membina satu Ummah digital dan membawa dunia dengan lebih dekat lagi. SalamWeb bertujuan untuk memperkasakan umat Islam sedunia dan membantu mereka menjalani kehidupan digital yang selaras dengan nilai dan kepercayaan mereka.

Kami sangat percaya pada kuasa masyarakat dan dengan produk kami, pengguna mempunyai pilihan untuk melayari kandungan yang paling penting kepada mereka dan mempunyai pengalaman dalam talian yang disesuaikan dengan cara hidup mereka.

Kami bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan dan global bagi memastikan produk kami selari dengan nilai-nilai Islam dan bernaung dalam gaya hidup Islam yang moden,’‘ katanya.

Kami sendiri setelah menggunakan aplikasi SalamWeb ini merasakan ia sangat bermanfaat terutamanya kepada ibu bapa yang prihatin dengan aktiviti dan masa yang diluangkan oleh anak-anak ketika menggunakan gajet sepanjang masa.

Diharap dengan adanya aplikasi mesra Islam ini, sedikit sebanyak dapat menyumbang ke arah pembentukkan generasi masa depan yang lebih baik.

Anda boleh memuat turun aplikasi salam web ini melalui Playstore dan App Store secara percuma. Anda juga boleh melayari laman web SalamWeb untuk maklumat lanjut.

Sumber: Siakap Keli

Posted in: Informasi, IT

Leave a Comment (0) →

Tips Penjagaan Komputer Supaya Sentiasa Dalam Keadaan Terbaik

Tips Penjagaan Komputer Supaya Sentiasa Dalam Keadaan Terbaik

Komputer peribadi (PC), mahu pun komputer riba (laptop), sudah menjadi salah satu alat elektrronik dalam melakukan kerja, mahu pun tugasan, lebih-lebih lagi buat pelajat, mahu pun mereka yang bekerja.

Buat mereka yang menggunakan PC atau ‘laptop’ secara dalam jangka masa panjang, sudah pasti akan menyebabkannya mula untuk perlahan, atau berat, yang mana ‘loading; terlalu lama.

Namun, adakah itu semua penyebab utama PC atau laptop, cepat rosak?

Menerusi perkongsian dari seorang juruteknik komputer, iaitu saudara Mohamad Taufik Jabir, terdapat beberapa aspek yang harus diberi penekanan, dalam memastikan ‘performance’ komputer sentiasa ‘tip top’.

Jom kita tengok sikit apa yang perlu dilakukan.

Beberapa hari lepas, aku ada tanya kawan-kawan Fb berkenaan perkara IT yang ingin depa tahu. Terdapat beberapa respon yang aku terima dan aku ingin ucapkan terima kasih kerana memberi respon.

Di dalam posting kali ini, aku akan jawab soalan pertama daripada saudara Khair Zawawi yang bertanya tentang tips penjagaan komputer.

TIPS PENJAGAAN KOMPUTER

Jika kau ingin tahu, sebenarnya penjagaan komputer ini tidak la susah mana. Ada beberapa perkara sahaja yang kau perlu beri perhatian terhadap komputer agar performance nya sentiasa tip top.

1. Pembersihan Habuk

Habuk ni pemusnah utama prestasi sesebuah komputer. Kalau komputer kau dah macam sarang tikus habuknya, tidak pernah servis walaupun sudah 10-15 tahun, processor kau akan mengeluarkan haba yang lebih panas daripada biasa kerana kipas cooler processor akan berputar perlahan.

Apabila itu berlaku, maka komponen seperti processor akan overheat. Apabila overheat, ianya sedikit sebanyak akan effect pada prestasi komputer.

Solusinya, Bila komputer sudah berhabuk, bersihkan segala kekotoran yang terkumpul.

2. Penggantian Thermal paste

Thermal paste ini liquid yang diletak atas processor. Tujuannya adalah untuk menyejukkan processor komputer kita. Setahu aku, sekarang ini sudah ada 2 jenis thermal paste, satu jenis liquid, dan satu lagi jenis macam getah. Aku tak ingat apa namanya.

Thermal paste ini eloknya setahun sekali kau kena tukar sebab apabila sudah kering, ianya akan mengeras dan suhu processor akan meningkat.

Kalau kau tak ada bajet nak tukar, buatlah dua tahun sekali tukar thermal paste tu. Itu sudah memadai untuk jaga suhu processor.

3. Air Flow Management (Sistem Saliran Udara)

Di dalam sebuah rumah, aliran udara atau air flow sangat penting untuk mengekalkan suhu rumah di dalam keadaan dingin. Apabila sebuah rumah tidak mempunyai air flow yang bagus, bila panas terik sahaja, sudah pasti di dalam rumah akan terasa bahang cahaya matahari. Begitulah juga dengan komputer.

Apabila suhu di dalam komputer itu panas, ianya akan memberi kesan kepada semua komponen di dalam komputer. Terutama sekali motherboard. Sebab itu, bila komputer panas, kau akan rasa sedikit lag pada komputer kau.

Untuk memastikan jangka hayat sesebuah komputer itu panjang, kita kena pandai menguruskan air flow komputer tersebut. Ada angin masuk, dan ada angin keluar. Sebab itu, kipas casing komputer dihasilkan. Tujuannya untuk membuat air flow di dalam komputer.

Guna dua kipas pun sudah memadai. Kau beli yang murah sahaja pun boleh. Janji kau buat macam aku cakap tadi, satu angin masuk, satu lagi angin keluar.

4. Susun File

Haa.. yang ni aku nak tegur sikit. Kebanyakan customer yang aku jumpa, boleh kata ramai yang letak file-file mereka ni di Desktop. Adakalanya sampai penuh dekat desktop tu sehingga tak nampak ruang kosong langsung.

Bukan tak boleh kau nak letak file dekat Desktop tu, boleh. Sikit-sikit sudah la. Yang selebihnya, simpan di My Documents atau di partition lain seperti D,E,F dan lain-lain.

Apabila kau letak semua file di Desktop, secara tak langsung, kau memberatkan komputer untuk load semua file tu ketika proses “Booting Windows.”

Aku lebih sarankan supaya file-file yang ada di transfer ke partition lain dengan tujuan tidak mengganggu Windows Partition. Walau bagaimanapun, itu hanya pendapat aku. Terpulang la kau nak ikut atau tak.

Kalau kau tak rajin atau tak reti nak buat semua ni, kau hantar sahaja komputer kau di kedai komputer. Beritahu technician kedai untuk servis komputer. Nanti mereka tahu la nak buat apa.

Biasanya, bila kau hantar untuk servis komputer ni, perkara yang mereka buat adalah membersihkan habuk di dalam komputer kau, menggantikan thermal paste jika perlu dan juga buat sedikit “performance test” pada komputer. Caj yang dikenakan itu bergantung pada kedai yang kau pergi. Rasanya setiap kedai caj lain-lain harga. Jadilah pengguna bijak.

Mohamad Taufik bin Jabir,
Juruteknik Komputer Persendirian

Posted in: IT

Leave a Comment (0) →

Susah Tidur Malam? Apa Kata Rujuk 14 Tips Ini Untuk Dapat Tidur Yang Lena!

Susah Tidur Malam? Apa Kata Rujuk 14 Tips Ini Untuk Dapat Tidur Yang Lena!

Ada kalanya, anda mungkin menghadapi waktu sukar untuk tidur malam sedangkan tidur itu merupakan satu keperluan tubuh untuk berehat dan menjana tenaga.

Memahami tentang masalah tersebut, Maskulin dengan ini suka citanya berkongsi tips yang boleh anda lakukan tanpa perlu bersusah payah :

1. Buat senaman ringan

Lakukan olahraga minimal dalam seminggu boleh mengatasi masalah susah tidur mengatasi sulit tidur. Aktiviti ini boleh menstabilkan suhu tubuh manusia dan mengurangkan rasa cemas serta depress. Olahraga di siang hari membantu untuk lebih mudah terlelap.

2. Segera matikan lampu

Segera matikan lampu saat hendak tidur. Dalam keadaan gelap, tubuh akan mempengaruhi pembentukan hormon melatonin yang membuat kita cepat mengantuk. Kalau taknak gelap sangat, pakai lampu yang sinarnya lembut dan tenang. Hindari memilih lampu yang warnanya putih terang seperti neon kerana ia memiliki komponen warna biru cukup kuat yang dapat mengganggu proses tidur.

3. Padam alat elektronik

Padam tv/komputer/laptop. Kesemua benda ini sama-sama memiliki komponen warna biru pada cahaya yang disebarkan, seperti lampu neon. Ia sememenagnya mengganggu jadual tidur dan sebenarnya boleh buat kita bertambah stress dengan sinaran biru itu.

4. Baca bacaan ringan

Jika hobi membaca buku sebelum tidur, gantikan dengan bahan bacaan yang ringan dan relax. Jangan sesekali bebankan fikiran dengan bacaan yang berat kerana ini menyebabkan otak terpaksa berfikir dan bekerja lagi!

5. Jaga pemakanan

Jaga pemakanan terutamanya makan malam. Elakkan makan berlebihan, makanlah sekadar yang mampu supaya tubuh kita boleh berehat dengan baik di malam hari.

6. Ambil supplemen

Amalkan pengambilan supplemen sebelum tidur. B Complex boleh mengurangkan stress kita dan menggalakkan kesihatan jantung. Manakala Vitaleapula boleh memberi kita kecerdasan otak, melegakan penghadaman dan untuk pertumbuhan sel baru yg lebih sihat.

7. Minum air masak

Minum air yang banyak dan sekurang-kuangnya segelas air masak sebelum tidur.

8. Nikmati teh herba

Cubalah secawan teh chamomile. Minuman herba boleh mengurangkan kebimbangan yang mungkin menyebabkan kesukaran tidur.

9. Sejukkan badan dengan mandi

Cuba mandi sebelum tidur. Ini boleh membantu mennenangkan minda.

10. Kemas bilik tidur

Wujudkan persekitaran yang selesa. Pilih tilam yang sempurna, bedsheet, persekitaran yang baik ataupun sistem penghawa dingin dipasang dengan baik, jika gunakan kipas pastikan tidak bising.

11. Dengar muzik yang lembut

Dengar muzik yang menenangkan. Ia boleh meningkatkan kualiti tidur, cuba dengar muzik klasik, rakyat, atau kontemporari atau muzik lain yang mampu menenangkan anda.

12. Buat rutin waktu bangun dan tidur

Tetapkan masa bangun dan tidur setiap hari. Tidur pada masa yang sama setiap hari adalah idea yang baik untuk menjaga masa bangun tidur yang konsisten – walaupun pada hujung minggu. Tidur tidak teratur boleh menyebabkan anda penat di siang hari.

13. Minum air panas

Minum sesuatu yang hangat. Minuman panas seperti segelas susu panas, coklat panas ataupun teh dapat berikan ketenangan.

14. Jangan pandang jam

Elakkan atau jangan tidur memandang ke arah jam. Jika anda sentiasa memandang ke arah jam tanpa sedar minda anda juga bergerak, anda membayangkan perkara yang terjadi pada hari esok.

Semoga tips ini membantu!

Sumber: Maskulin

 

 

Posted in: Kesihatan, Tips

Leave a Comment (0) →
Page 1 of 44 12345...»