Posted on Leave a comment

Jangan Guna Telefon Bimbit Ketika Petir

BARU-BARU ini, seorang lelaki maut, manakala tiga lagi cedera selepas di panah petir ketika bermain bola sepak di Setia Alam, Selangor. Mangsa dikatakan sedang berada di padang bola dan memegang telefon bimbitnya.

Insiden ini adalah satu pengajaran kepada semua bahawa sambaran kilat boleh meragut nyawa dan ia boleh berlaku bila-bila masa tanpa kita ketahui. Sekiranya cuaca mula gelap dan terdengar guruh dari langit, itu adalah petanda hujan dan petir kilat juga akan berlaku.

Memahami kronologi kejadian petir, guruh dan kilat akan memberikan kefahaman menyeluruh bagaimana ia boleh mengakibatkan kematian. Suhu di bumi adalah bergantung kepada masa dan jarak cahaya matahari terhadap sesebuah kawasan.

Suhu dan kelembapan sesuatu tempat pula dipengaruhi oleh keadaan udara dan akan mengalami proses kitaran sejatan. Sejatan yang berlaku adalah proses di mana wap air akan terhasil dari permukaan takungan air yang dipengaruhi oleh suhu panas sehingga kandungan wap air yang sangat banyak menyebabkan udara berada pada kadar lembap.

Penghasilan awan komulus

Penghasilan wap air yang banyak akan naik ke atmosfera bagi menstabilkan tekanan udara. Wap air atau udara panas akan ke permukaan atmosfera dan menghasilkan awan komulus sehingga terjadinya awan yang mempunyai ruang udara tidak stabil, berlengas dan bergolak kuat dikenali sebagai awan komolunimbus.

Daripada pembentukan komolunimbus, ribut petir akan terjadi dalam keadaan bersel dengan diameter 3 hingga 5 kilometer dan ketinggiannya melebihi 10 kilometer. Melihat kepada karakter sel ribut petir, kita boleh membayangkan bagaimana impak yang akan berlaku kepada subjek yang dipanah, sudah pasti ia boleh membunuh dan meragut nyawa.

Tambahan lagi purata tempoh hidup petir kilat adalah 15 hingga 30 minit dan sepanjang laluan, kilat petir boleh menyebabkan kemusnahan teruk dan sangat membahayakan operasi penerbangan. Proses kilat petir ini adalah juga satu proses nyahcas elektrik secara tiba-tiba yang didefinisikan oleh pertubuhan kaji cuaca sedunia.

Nyahcas elektrik ini akan berlaku apabila perbezaan tekanan yang tinggi antara atmosfera dan bumi yang akan menghasilkan petir. Sudah pasti ketika petir berlaku ia akan menarik lebih banyak objek yang merupakan konduktor terhadap aliran elektrik seperti palang besi, pokok, kenderaan dan bahan berunsurkan logam.

Kilat petir juga akan terus ke permukaan bumi terutama di kawasan lapang dan kelajuan bagi sesuatu petir dianggarkan 300 kilometer sejam seperti kelajuan kereta formula 1, sekiranya berlaku perlanggaran dan kesannya boleh menyebabkan kematian.

Medium pembumian elektrik

Oleh itu, langkah berhati-hati harus diutamakan dengan tidak berada di kawasan lapang di mana arus kilat lebih mudah dan berpotensi tinggi untuk berlaku kerana bumi adalah medium pembumian elektrik yang sangat baik.

Kita juga perlu mengelak daripada berlindung di kawasan pokok kerana ketinggian pokok boleh dijadikan elektrod kilat untuk ke permukaan bumi. Sekalipun kita berada di rumah, seharusnya kita tidak menggunakan peralatan elektrik seperti televisyen kerana ia akan disambar petir dan boleh menyebabkan litar pintas sehingga berlaku kebakaran.

Rumusannya, setiap individu perlu menitikberatkan kesan kilat dan petir ini agar kejadian malang yang boleh meragut nyawa tidak berulang dan ia boleh dielak. Setiap individu juga haruslah mengambil langkah berhati-hati apabila cuaca mula gelap dan mendung kerana kilat petir akan berlaku dengan tiba-tiba dan tidak dapat dijangka.

Penulis adalah Pensyarah Matematik, Pusat Asasi UiTM, Kampus Dengkil

Sumber : BH Online

JOM SHARE
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *