l

Author Archive

Apakah Tabiat Anda Selaku Peniaga Yang Kurang Digemari Pelanggan?

Apakah Tabiat Anda Selaku Peniaga Yang Kurang Digemari Pelanggan?

Pelanggan ibarat nyawa kepada peniaga untuk meneruskan kelangsungan di dalam perniagaan. Tanpa pelanggan bisnes peniaga tidak dapat bergerak kerana tiadanya permintaan atau urusan jual beli. Dalam dunia bisnes yang serba mencabar dengan lambakan produk dan tawaran servis yang hampir kurang sama ditambah pula dengan persaingan, semestinya menjaga hubungan dengan pelanggan ialah suatu kemestian andai anda tidak mahu pelanggan lari.

Namun, ada peniaga yang tidak sedar dalam mereka mengejar impian dalam bisnes pelanggan tindakan mereka telah membuatkan pelanggan semakin menjauh. Ia satu petanda yang tidak baik untuk prestasi bisnes anda yang dikhuatiri bakal menyebabkan kejatuhan bisnes.

Artikel kali ini adalah tentang perkongsian antara tindak tanduk utama peniaga yang tidak disukai oleh para pelanggan. Sebagai peniaga anda wajib ambil tahu tentang perkara ini agar tidak melakukan kesilapan dalam sikap dan kelakuan terhadap pelanggan.

#1 Tidak Menghargai Pelanggan

Motif perniagaan bukan sekadar mencari keuntungan sahaja sehingga mengabaikan hubungan dengan para pelanggan. Teramatlah rugi jika anda pelanggan yang pernah membeli dengan anda tidak mampu menjadi pelanggan tetap atau setia gara-gara sikap anda sendiri yang tidak mampu membina jalinan ikatan di antara peniaga dan pelanggan.

Dalam usaha memikat hati pelanggan untuk kekal bersama anda pastikan tunjukkan penghargaan terhadap mereka. Ia mungkin teknik yang lama mahupun klise namun mampu memberikan impak kepada perniagaan.

Banyak cara untuk menghargai pelanggan. Untuk perniagaan walk in (offline) ke kedai anda boleh melayan mereka secara ramah mesra dan ucapkan terima kasih di kaunter pembayaran. Manakala bagi perniagaan di atas talian (online) sediakan satu landing page untuk berikan ucapan penghargaan sejurus mereka melakukan pembelian.

Di samping itu, anda juga boleh menghargai para pelanggan dengan berikan free gift, barangan pre loved, diskaun dan cara lain yang sesuai bagi menunjukkan apresiasi anda terhadap pelanggan. Mereka pasti suka!

#2 Terlalu “Hard Sell”

Dalam pemasaran, hard sell adalah iklan atau kempen yang menggunakan mesej jualan yang lebih langsung, kuat, dan seakan memaksa. Pendekatan hard sell kurang digemari oleh para pelanggan kerana ia bagaikan bentuk pemaksaan daripada peniaga agar mereka melakukan pembelian. Pelanggan membeli kerana mereka mahu bukan kerana terpaksa.

Berbanding menggunakan cara hardsell peniaga digalakkan untuk lebih soft sell kerana ianya lebih lembut, halus dan bukan secara langsung menjual. Apabila anda terlalu hard sell dalam menjual ia menyebabkan ketidakselasaan kepada pelanggan. Anda tidak boleh memaksa pelanggan untuk membeli namun boleh menarik minat mereka terhadap produk atau servis yang anda sediakan.

#3 Tidak Mendengar Pandangan Pelanggan

Kadang-kala ada pelanggan yang secara suka rela memberikan respon terhadap mengenai produk kerana user experience yang mereka ada. Peniaga seharusnya lebih matang dan terbuka dalam mendengar pandangan yang diberikan oleh pelanggan dan menerimanya dengan hati yang terbuka.

Daripada maklum balas yang pelanggan berikan inilah anda tahu prestasi produk untuk tambah baik boleh dilakukan. Tanpa pandangan daripada pelanggan peniaga dikhuatiri terus selesa pada tahap sama. Peniaga harus menjadi pendengar yang baik dengan mendengar pandangan dan luahan pelanggan serta berikan penyelesaian kepada meraka.

Peniaga disarankan untuk menerima respon daripada pelanggan dengan cara yang baik. Harus bijak dalam berhadapan komen dan juga objection daripada mereka. Boleh lakukan pembacaan lanjut pada artikel terdahulu berkenaannya.

#4 Kurang Memberikan Maklumat

Sebagai peniaga seharusnya jelas tentang produk anda sendiri bagi menjawab semua persoalan yang bakal ditimbulkan oleh prospek pelanggan. Pelanggan berhak mendapat akses penuh tentang produk yang anda tawarkan meliputi kebaikan, ciri-ciri dan keseluruhan info berkaitan produk.

Sebelum melakukan pembelian pelanggan perlu tahu dahulu apa manfaat yang bakal mereka perolehi. Sebagai contoh, untuk memastikan maklumat sampai kepada pelanggan anda boleh tunjukkan tutorial cara penggunaan untuk pelanggan lebih memahaminya. Testimoni daripada pelanggan terdahulu juga boleh dijadikan cara untuk penyampaian info.

Sikap dan tindakan anda sebenarnya mempengaruhi pelanggan. Walaupun perniagaan anda sudah maju namun jika ambil mudah soal menjaga pelanggan tidak ada gunanya juga. Pelanggan lebih tertarik untuk membeli dengan peniaga yang mereka rasa selesa dan percaya. Jadi, berhenti lakukan tabiat yang pelanggan anda tidak gemari. Jalin hubungan yang baik bersama mereka.

Sumber: Majalah Niaga

Posted in: Perniagaan, Usahawan

Leave a Comment (0) →

5 Persamaan Sikap Orang Yang Berjaya

5 Persamaan Sikap Orang Yang Berjaya

Bila mendengar nama-nama individu yang sangat berjaya, terkenal dan kaya-raya seperti Bill Gates, Warren Buffett, Carlos Slim, Robert Kwok, Tony Robbins dan segelintir lagi,  pasti ramai di kalangan kita mahu berjaya seperti individu-individu ini.

Walaupun mereka datang dari latar belakang berbeza, ada beberapa persamaan dari segi sikap dan pendirian mereka kongsi yang seharusnya dimanfaatkan kita dalam kehidupan seharian.

1. Sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki

Kita tahu apa yang mereka lakukan dan kejayaan yang mereka lakar di pentas dunia dan bagi setiap kejayaan dan apa saja yang mereka dapat, satu persamaan di sini ialah mereka mensyukuri apa yang mereka dapat walaupun benda tersebut bersifat remeh. Mengapa mereka suka berbuat demikian?

Menurut pakar, syukur sebenarnya membantu mood manusia dalam mengharungi perjalanan kehidupan seharian daripada sinis dan pemarah kepada gembira dan ceria.

Tanpa sifat syukur, manusia mudah bersikap dendam dan hasad sehingga sanggup melakukan perkara di luar batasan kemanusiaan semata-mata untuk jadi hebat daripada orang lain.

Jadilah orang yang banyak bersyukur kerana Allah berjanji sesiapa yang bersyukur, Allah bukan saja akan kekalkan malah menambah lagi nikmat yang kita terima.

Ingatlah akan pesan ulama besar tasawuf dan pengarang kitab Hikam, Ibnu Athaillah al-Sakandari rahimahullah, “Sesiapa yang tidak mensyukuri nikmat Allah, maka dia sudah bersedia untuk kehilangan nikmat tersebut namun, sesiapa yang mensyukurinya bererti dia telah mengikatnya dengan tali kekang.”

2. Tidak takut memasang matlamat, cita-cita besar

Ini persamaan yang dikongsi ramai orang berjaya di seluruh dunia. Pada satu masa dalam kehidupan mereka, mereka menetapkan matlamat atau cita-cita yang ingin digapai, walaupun ramai bersifat pesimis terhadap cita-cita tersebut.

Pada mereka, bila mereka berbuat sedemikian, mereka menjadi versi diri mereka yang terbaik dan menunjukkan prestasi cemerlang semasa bekerja.

Tidak ramai dalam kalangan kita yang mahu mengikut teladan ini kerana masih terperangkap dengan zon selesa. Pada mentaliti sesetengah daripada mereka, mereka bimbang mereka akan gagal sebelum sampai ke destinasi yang dituju.

Mentaliti gagal itu seharusnya ditolak ke tepi kerana jika kita tidak melakukannya, maka bagaimana kita tahu kita akan berjaya atau sebaliknya?

Luaskan pandangan dunia kita dan tetapkan matlamat yang kita boleh capai. Jika kita gagal sekalipun, sekurang-kurangnya kita berada pada satu tahap yang lebih baik berbanding dahulu.

Dan kegagalan silam boleh saja dijadikan sebagai rujukan untuk kita mengelakkan ia daripada berulang pada masa akan datang.

3. Etika kerja yang mengagumkan

Bukanlah sesuatu yang asing bila kita mendengar antara rahsia kejayaan pemimpin-pemimpin industri ialah etika kerja mereka yang bagus dan kesungguhan mencapainya walaupun itu bermakna kerja lebih masa.

Sesiapa yang menyangka kejayaan pemimpin-pemimpin ini dicapai dalam sekelip mata silap kerana ada di antara mereka ini telah berusaha selama satu dekad dan kejayaan yang mereka capai itu tidak datang bergolek seperti yang disangka.

Tambahkan sedikit masa dan kesungguhan kita gunakan untuk kerja kita. Tak kisahlah tempohnya berapa, sejam atau paling kurang 30 minit, cuba laksanakan.

Tanpa kita sedar, kita sebenarnya mengikis etika kerja bersifat sambil lewa sambil meningkatkan lagi kualiti kerja kita.

Dan siapa tahu, dengan kesungguhan sebegini, apa saja matlamat yang kita tetapkan dapat direalisasikan. Jangan peduli apa orang kata sebaliknya ambil peduli kualiti kerja dan matlamat yang kita kejar.

4. Pandai menjaga diri

Kejayaan takkan datang bergolek kalau aspek spiritual dan fizikal kita tak terjaga. Ini antara persamaan orang-orang berjaya, mereka tetap menjaga kesihatan diri. Jangan kerana kerja, kesihatan terabai sampai ke tahap terlantar di hospital atau kehilangan orang tersayang.

Orang-orang berjaya bijak menyeimbangkan kedua-dua aspek ini kerana kedua-duanya memainkan peranan sama penting dalam kejayaan.

Bila aspek spiritual kita terjaga, pandangan dunia kita menjadi lebih positif dan meningkatkan mood kita semasa bekerja dan bila kita menjaga kesihatan fizikal, kita bukan saja bertenaga semasa bekerja malah kita juga tahu bila masa untuk kita berhenti seketika dan berehat.

Curi sedikit masa dengan meluangkan masa bersama keluarga dan menjaga kesihatan diri. Mulakan inisiatif menjaga kesihatan seperti menjaga pemakanan dan aktiviti senaman. Jangan bersikap menyendiri, sentiasa luangkan masa bersama orang-orang hebat dan positif.

Nampak remeh bila menyentuh soal kesihatan tetapi hakikatnya, itulah perkara paling susah untuk kita jaga. Jadi, dalam rutin seharian, pastikan ia jadi sebahagian daripada agenda kehidupan kita.

5. Tidak lokek memberi

Orang-orang berjaya sedar, tanpa sokongan orang-orang di sekeliling terutama keluarga dan rakan-rakan yang percaya dengan visinya, mereka takkan sampai ke tahap mereka berada hari ini.

Maka tidak hairanlah mengapa orang-orang berjaya tidak lokek menyumbangkan harta, masa dan tenaga mereka untuk tujuan kebajikan seperti Bill Gates melalui yayasannya, Bill & Melinda Gates Foundation. Mereka sedar bila mana mereka memberi yang baik, maka pulangan yang mereka dapat juga baik.

Ada sesetengah daripada kita bersikap kedekut dalam soal memberi walaupun ianya bersifat remeh. Pada mereka, tiada apa-apa ganjaran memberi sebahagian daripada hasil titik peluh mereka kepada orang lain termasuk membayar zakat.

Padahal mereka lupa, bila kita memberi, kita sebenarnya menyuburkan lagi harta kita selain mengundang keberkatan Allah s.w.t dalam hidup kita. Dan terlalu banyak hadis Nabi SAW yang mengajar kita untuk bersikap memberi seperti perlakuan baik, solat Dhuha, senyum, membuang benda merbahaya dari jalanan dan berlaku adil.

Jangan bersikap lokek dalam kehidupan kerana sikap sebegini membuatkan kita sentiasa gelisah dan mengundang kebencian terhadap diri sendiri. Apa guna jadi orang berjaya tetapi jadi sasaran kebencian orang ramai kerana tidak mahu menyumbang semula kepada masyarakat.

Semoga memberi manfaat.

 

Sumber: thepatriots

 

 

Posted in: Motivasi

Leave a Comment (0) →

Bagaimana Lelaki Ini Buat Jualan 6 Angka Dengan Produk Affiliate Dalam Masa 2 Bulan!

Bagaimana Lelaki Ini Buat Jualan 6 Angka Dengan Produk Affiliate Dalam Masa 2 Bulan!

Dalam artikel ini, saya terpanggil untuk kongsikan satu kisah seorang lelaki ini..

Kisah ini mungkin boleh jadi iktibar dan memberikan motivasi dan jalan keluar pada anda. Harap anda boleh baca hingga habis ya.

Kisah ini adalah pengalaman sebenar bagaimana lelaki ini buat jualan RM121,175 dalam masa 2 bulan dengan online sahaja!

*Cerita ini adalah dimana bagaimana bermulanya kisah lelaki ini di dalam bisnes online yang dikongsikan di fb Mahmud Roslan.

Ceritanya macam ini..

Sebelum ini saya bekerja kilang di Johor Bahru dan saya hanya buat bisnes online secara sambilan untuk menambah pendapatan.

Posted in: Umum

Leave a Comment (0) →

Teknologi Artificial Intelligence (AI), Hanya Ambil Gambar, ‘Robot’ Akan Cantikkan Terus Gambar Tidak Kira Siang Atau Malam

Teknologi Artificial Intelligence (AI), Hanya Ambil Gambar, ‘Robot’ Akan Cantikkan Terus Gambar Tidak Kira Siang Atau Malam

Pada satu ketika dahulu, untuk mengambil gambar yang cantik dan berkualiti, seseorang perlu memiliki sebuah kamera canggih kerana tiada alternatif lain yang boleh mereka tukar.

Namun perkembangan teknologi semasa yang berkembang pesat dalam dunia fotografi membuatkan kita kini mempunyai pelbagai alternatif kamera lain tanpa perlu bergantung lagi kepada kamera profesional seperti DSLR.

Dengan teknologi Artificial Intelligence (AI) yang ada di dalam telefon bimbit, anda kini boleh mengambil gambar yang cantik dan profesional tanpa perlu lagi membawa kamera DSLR dan kantanya yang berat.

Kamera berkuasa AI menjanjikan pembacaan fotografi yang baik di mana segala ”setting” yang perlu kita buat pada kamera biasa, teknologi AI akan tolong lakukan sendiri di mana fungsi-fungsi ini jika hendak belajar akan mengambil masa berbulan-bulan bahkan bertahun, tetapi dengan Kamera AI ianya akan menolong anda dalam sekelip mata sahaja.

Teknologi AI cepat mengenal pasti tetapan mana yang diperlukan Semasa gambar cuba diambil, sekali gus membolehkan jurugambar amatur boleh menangkap momen-momen indah dengan baik sekali.

Peralihan kuantum dalam teknologi kamera membolehkan gambar kini diambil dengan mudah, dilihat antara jenama yang cepat menyesuaikan diri dengan teknologi AI ini adalah Vivo yang diterjemahkan dalam model V11.

Bila ambil gambar, masalah utama bila dalam cahaya terang adalah wajah seseorang yang gambarnya diambil akan gelap, jadi hasilnya amatlah mendukacitakan terutamanya jika ianya adalah momen-momen yang penting.

Ciri-ciri seperti HDR Backlight AI dan AI Low Light Mode yang ada dalam Vivo V11 membolehkan telefon mensesuaikan pencahayaan secara automatik mengikut tetapan dan subjek foto.

Algoritma AI adalah pemangkin utama yang memperkasa ciri-ciri ini. Mod AI Backlight boleh menangkap sehingga 6 bingkai pada jarak dinamik yang lebih luas sehingga 11ev, membetulkan pendedahan yang tidak sekata dan gambar-gambar ini akan digabungkan untuk menghasilkan gambar yang sempurna tanpa gambar subjek jadi gelap atau cacat.

Algoritma AI juga memastikan bahawa AI Low Light Mode menggabungkan bingkai yang berbeza ke dalam satu sama rata. Dengan menangkap lebih banyak maklumat dan mengurangkan bunyi bising dalam keadaan cahaya yang rendah, ia menjadikannya lebih mudah untuk mengambil gambar-gambar yang menakjubkan.

Untuk mempelajari tetapan fotografi memang rumit, tapi dengan teknologi AI yang ada adalam telefon Vivo V11, ianya terus menjadi mudah, penggunanya boleh mengambil gambar yang sempurna secara automatik di mana sahaja dan bila-bila masa.

Pengguna hanya perlu arahkan kemera dan ambil, kamera akan dengan cepat mengenal pasti keadaan yang berbeza seperti ‘malam’, ‘potret’, ‘makanan’ dan memohon tetapan yang disesuaikan untuk mendapatkan kualiti yang superb.

Vivo V11 adalah sebuah smartphone yang terbaik masa kini untuk dimiliki, didatangkan dengan fungsi dwi-kamera 12MP + 5MP dengan tambahan f/1.8 serta resolusi 25MP kamera hadapan dengan apperture f/2.0 ini pastinya akan menghasilkan gambar yang berkualiti.

Ditambah dengan teknologi kamera Artificial Intelligence (AI) yang terdapat di dalam Vivo V11, memang tidak salah lagi siri V yang dikeluarkan oleh Vivo ini khusus bagi mereka yang suka bergambar dan kaki selfie.

 

Sumber: SiakapKeli

 

Posted in: Informasi, IT

Leave a Comment (0) →

2 Jenama Produk ‘Ubat’ Nyamuk Dari China Diharamkan – Jabatan Pertanian

2 Jenama Produk ‘Ubat’ Nyamuk Dari China Diharamkan – Jabatan Pertanian

Jabatan Pertanian telah melarang penjualan produk lingkaran nyamuk berjenama Zenden Micro-Smoke dan Jianbao Mosquito Coil dari China di pasaran.

Ketua Pengarahnya, Datuk Jamal Harizan Yang Razali berkata, hal ini kerana produk-produk tersebut didapati tidak berdaftar secara sah dengan Lembaga Racun Makhluk Perosak (LRMP).

Beliau berkata, lingkaran nyamuk yang berdaftar di negara ini akan dinilai tahap keberkesanan, kesesuaian serta kesan sampingannya sebelum ia diluluskan untuk tujuan pemasaran.

“Mana-mana premis atau individu yang didapati menjual produk tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 20 (3) Akta Racun Makhluk Perosak 1974 yang membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

“Bagi pengguna yang memiliki dan menggunakannya boleh didakwa di bawah Seksyen 53A(1)(A) akta yang sama dan jika disabit kesalahan akan dihukum penjara selama setahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian buku ringkasan ‘Maklumat Residu Racun Perosak Dalam Tanaman Makanan’ sempena Ekspo Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia 2018 (MAHA 2018) di sini, Khamis.

Jamal Harizan berkata, sebanyak 3,005 kotak lingkaran nyamuk tidak berdaftar dengan nilai RM5,700 telah dirampas oleh Unit Serbuan dan Penyiasatan, Bahagian Kawalan Racun Perosak dan Baja, Jabatan Pertanian menerusi operasi pada bulan Oktober lepas.

Katanya operasi ini akan diteruskan di seluruh negara terutamanya di kedai-kedai runcit bagi membanteras penggunaan produk beracun tidak berdaftar.

“Kami mendapati premis perniagaan runcit di sekitar negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang banyak menjual produk tersebut,” katanya.

Sementara itu, katanya lebih 30 jenis produk racun makhluk perosak telah dikenal pasti di seluruh negara yang tidak berdaftar dengan LRMP dan berada di pasaran sepanjang tahun ini menerusi operasi berterusan.

“Justeru, para pengguna perlu mengenal pasti produk-produk racun makhluk perosak di pasaran didaftarkan menerusi kod pendaftaran berlabel LRMP terdahulu sebelum membeli atau menggunakannya menerusi laman web Jabatan Pertanian http://www.doa.gov.my.

“Jika produk-produk tersebut tidak mempunyai label LRMP dan nombor pendaftaran, pengguna perlu melaporkannya kepada Jabatan Pertanian untuk tindakan selanjutnya bagi menjamin keselamatan pengguna,” katanya. – BERNAMA

Posted in: Informasi, Semasa

Leave a Comment (0) →

Pemasangan kabel gentian optik daratan sepanjang 110,000 km bermula Januari 2019

Pemasangan kabel gentian optik daratan sepanjang 110,000 km bermula Januari 2019

Projek yang dilaksanakan XiddiG Cellular Communications Sdn Bhd (XiddiG) itu membabitkan kos RM5.41 bilion.

Pengerusi Eksekutif XiddiG, Datuk Seri Abdul Rashid Abdul Rahim, berkata fasa 1 projek itu membabitkan pemasangan kabel gentian optik daratan sepanjang 33,000 kilometer.

“Pemasangan kabel ini akan bermula pada stesen di Pengerang, Johor pada Januari 2019 dan ia dijangka siap dalam tempoh lapan bulan. Seterusnya kita boleh guna pakai Internet berkelajuan tinggi ini pada November 2019.

“Dalam pada itu, pemasangan kabel gentian optik dasar laut dari Hong Kong (hub antarabangsa) sedang dilaksanakan dan dijangka sampai di Malaysia pada April 2019. Sehubungan itu, kita perlu siapkan pemasangan kabel gentian optik daratan untuk ia mula beroperasi,” katanya kepada BERNAMA pada sesi taklimat dan pendaftaran kontraktor untuk projek itu anjuran Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Sembilan di sini, semalam.

Katanya, pihaknya sedang membuat siri jelajah ke seluruh negara untuk memberi taklimat dan mengumpul kontraktor untuk melaksanakan projek itu.

Abdul Rashid berkata, bagi Negeri Sembilan ia membabitkan pemasangan kabel gentian optik sepanjang 1,213 kilometer yang mana fasa pertama membabitkan 133 kilometer dengan kos dianggarkan RM220 juta.

Katanya, keseluruhan projek itu bernilai RM25 bilion yang dijangka selesai menjelang 2022.

“Projek dengan kerjasama Interconnection Commercial and Contracting Establishment (ICCE) itu bakal menjadi projek hubungan dasar laut terbesar dunia dengan kelajuan Internet terpantas.

“Kerjasama itu akan menggunakan laluan Hong Kong ke Malaysia yang membabitkan kos AS$1 bilion sebelum ke India, Sri Lanka dan seterusnya ke Jeddah,” katanya.

Katanya projek EM-IIG adalah sebahagian daripada perkongsian awam-swasta bertujuan menyediakan akses Internet berkelajuan serta berkapasiti tinggi.

Sektor komersial dan isi rumah di Johor, Selangor, Lembah Klang , Pulau Pinang, Langkawi dan Kelantan bakal mendapat akses kepada Internet berkelajuan tinggi mencecah 1Gbps setelah rangkaian itu siap menjelang 2020. – BERNAMA

Sumber: BH Online

Posted in: Informasi, Semasa

Leave a Comment (0) →

Bila Tinggalkan Kereta Terlalu Lama, ini 5 Perkara Perlu Anda Buat

Bila Tinggalkan Kereta Terlalu Lama, ini 5 Perkara Perlu Anda Buat

Dapat kerja, sambung belajar di luar negara atau keluar daerah berbulan lamanya. Bagaimanakah cara tinggalkan kereta dalam tempoh lama tanpa membiarkan ia rosak begitu sahaja?

Sering kali kita dengar bahawa kenderaan yang ditinggalkan dalam tempoh lama akan mengalami masalah seperti sukar menghidupkan enjin, brek kurang mencengkam dan peralatan elektronik yang tidak berfungsi.

Bagi mengelakkan daripada perkara sebegini berlaku, beberapa perkara perlu anda pastikan sebelum meninggalkannya.

TUKAR MINYAK ENJIN

Tukar minyak enjin dan penapis minyak terlebih dahulu kerana dikhuatiri minyak enjin lama akan meninggalkan mendapan kotor di bahagian dalam enjin. Lebih baik sekiranya menukar minyak enjin yang berprestasi tinggi kerana ia terjamin mampu menjaga bahagian dalaman enjin.

ISI MINYAK PENUH

Kondensasi adalah perkara yang sering berlaku pada kenderaan yang ditinggalkan dalam tempoh lama. Ia boleh menyebabkan tangki minyak berkarat dan dengan mengisi minyak penuh, proses kondensasi dapat dielakkan kerana ruang tangki yang penuh menghalang daripada ia berlaku.

LEPASKAN BREK TANGAN

Brek tangan yang digunakan dalam tempoh lama akan menyebabkan pad brek tersekat pada brek cakera.  Alternatif lain yang boleh digunakan adalah dengan meletakan pada gear satu bagi mengelakkan kenderaan bergerak.

TINGGIKAN KENDERAAN

Kenderaan yang dibiarkan tanpa bergerak akan menyebabkan tayar terbeban di bahagian bawah lantas menyebabkan tayar itu keras dan leper di bahagian tersebut. ‘Jack’ kenderaan tersebut agar tayar tidak bersentuhan dengan lantai.

CABUT BATERI

Bagi mengelakkan bateri kenderaan kehabisan kuasa, isi penuh air bateri dan cabutkan bateri tersebut daripada kenderaan.

Simpankan di tempat yang kering dan jauhkan dari matahari. Bateri yang dibiarkan lama pada kenderaan akan menyebabkan ia kehabisan kuasa lebih cepat kerana ia tidak dicas sebagaimana ketika enjin dihidupkan.

BALUT KENDERAAN

Cuci terlebih dahulu sebelum membalut dengan pembalut kenderaan agar dapat mengelakkan kerosakan cat.  Untuk prestasi yang terbaik, kilatkan (polish) terlebih dahulu agar kualiti cat kekal terjaga buat tempoh yang lama.

 

Sumber: Maskulin

 

Posted in: Informasi, Umum

Leave a Comment (0) →

Ibu Bapa Boleh Semak Keputusan UPSR, PPSR Anak Hari Ini Guna SMS

Ibu Bapa Boleh Semak Keputusan UPSR, PPSR Anak Hari Ini Guna SMS

Keputusan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) termasuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) telah dikeluarkan hari ini, pada pukul 10 pagi tadi.

Calon dan ibu bapa sudah boleh menyemak keputusan di sekolah ataupun melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) ke Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Semakan keputusan melalui sistem pesanan ringkas (mySMS 15888) adalah dengan menggunakan format penghantaran mesej seperti berikut:

Taip UPSR (jarak) ANGKA GILIRAN dan SMS ke 15888

Contoh: UPSR KC0000000 sms ke 15888

Semakan secara SMS boleh dibuat selepas jam 10 pagi, 29 Disember dan tamat pada jam 6 petang, 8 Disember.

Semak secara dalam talian, boleh terus ke sistem aplikasi keputusan upsr 2018.

Seramai 440,743 calon telah menduduk UPSR pada 20 September hingga 27 September lalu.  Ia melibatkan seramai 430,031 adalah calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan, manakala 10,712 pula calon sekolah swasta.

 

 

Posted in: Informasi, Semasa

Leave a Comment (0) →
Page 3 of 44 12345...»