Pemasangan kabel gentian optik daratan sepanjang 110,000 km bermula Januari 2019

Projek yang dilaksanakan XiddiG Cellular Communications Sdn Bhd (XiddiG) itu membabitkan kos RM5.41 bilion.

Pengerusi Eksekutif XiddiG, Datuk Seri Abdul Rashid Abdul Rahim, berkata fasa 1 projek itu membabitkan pemasangan kabel gentian optik daratan sepanjang 33,000 kilometer.

“Pemasangan kabel ini akan bermula pada stesen di Pengerang, Johor pada Januari 2019 dan ia dijangka siap dalam tempoh lapan bulan. Seterusnya kita boleh guna pakai Internet berkelajuan tinggi ini pada November 2019.

“Dalam pada itu, pemasangan kabel gentian optik dasar laut dari Hong Kong (hub antarabangsa) sedang dilaksanakan dan dijangka sampai di Malaysia pada April 2019. Sehubungan itu, kita perlu siapkan pemasangan kabel gentian optik daratan untuk ia mula beroperasi,” katanya kepada BERNAMA pada sesi taklimat dan pendaftaran kontraktor untuk projek itu anjuran Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Sembilan di sini, semalam.

Katanya, pihaknya sedang membuat siri jelajah ke seluruh negara untuk memberi taklimat dan mengumpul kontraktor untuk melaksanakan projek itu.

Abdul Rashid berkata, bagi Negeri Sembilan ia membabitkan pemasangan kabel gentian optik sepanjang 1,213 kilometer yang mana fasa pertama membabitkan 133 kilometer dengan kos dianggarkan RM220 juta.

Katanya, keseluruhan projek itu bernilai RM25 bilion yang dijangka selesai menjelang 2022.

“Projek dengan kerjasama Interconnection Commercial and Contracting Establishment (ICCE) itu bakal menjadi projek hubungan dasar laut terbesar dunia dengan kelajuan Internet terpantas.

“Kerjasama itu akan menggunakan laluan Hong Kong ke Malaysia yang membabitkan kos AS$1 bilion sebelum ke India, Sri Lanka dan seterusnya ke Jeddah,” katanya.

Katanya projek EM-IIG adalah sebahagian daripada perkongsian awam-swasta bertujuan menyediakan akses Internet berkelajuan serta berkapasiti tinggi.

Sektor komersial dan isi rumah di Johor, Selangor, Lembah Klang , Pulau Pinang, Langkawi dan Kelantan bakal mendapat akses kepada Internet berkelajuan tinggi mencecah 1Gbps setelah rangkaian itu siap menjelang 2020. – BERNAMA

Sumber: BH Online

JOM SHARE
  • Leave Comments