Menjadi seorang penulis mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Dalam artikel ini saya lebih fokus kepada kelebihan menjadi seorang penulis blog. Apa yang saya akan kongsikan adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri sepanjang menulis di blog ini. Saya juga mempunyai impian untuk menjadi seorang penulis buku. Cuma buat masa ini impian tersebut belum lagi terlaksana. Diharapkan suatu hari nanti saya akan dapat merealisasikan impian saya untuk menulis buku sendiri.
Sebenarnya sesiapa sahaja boleh menjadi seorang penulis. Yang perlu ada hanyalah minat dan usaha. Kebolehan untuk menjadi penulis tidak akan datang dengan sendiri tanpa usaha dilakukan. Tidak perlu menunggu menjadi benar-benar hebat dalam bidang penulisan baru nak mula menulis. Menulislah mengikut kemampuan diri kita. Setiap orang mempunyai kelemahan dan tidak sempurna. Yang mana terdapat kekurangan dan kelemahan itu kita cuba perbaiki untuk menjadi lebih baik.