Posted on Leave a comment

24 CIRI USAHAWAN BERJAYA

Usahawan-Berjaya

Adakah anda tergolong di kalangan usahawan yang berjaya? Baca lebih lanjut untuk mengetahui sifat-sifat penting sebagai seorang usahawan berjaya.Terdapat beberapa ciri-ciri penting yang terdapat pada usahawan berjaya iaitu:

1. Usahawan perlu sentiasa mempunyai keinginan untuk berjaya dengan cemerlang dalam hidup. Bagi dia hidup yang berjaya adalah hidup yang bermakna.

2. Seseorang usahawan harus berani menanggung risiko.Dia sukakan cabaran dan kejayaan menghadapi cabaran akan memberi kepuasan kepada mereka.

3. Usahawan pandai merancang dan boleh berfikir sebaik-baiknya apa yang patut mereka lakukan.

4. Seseorang usahawan akan menyelesaikan masalah dengan cepat dan sebaik mungkin. Mereka tidak membiarkan masalah itu bertimbun-timbun hingga gagal diselesaikan.

5. Usahawan sentiasa positif mengenai masa depannya. Dia sering berfikir bahawa jika berusaha bersungguh-sungguh mereka akan beroleh kejayaan.

6. Untuk memastikan bahawa dia tidak terpengaruh oleh gejala negatif, usahawan mencari persekitaran yang baik dan dapat membantunya merialisasikan cita-citanya.

7. Satu formula terpenting bagi seseorang usahawan ialah lakukan dengan baik apa yang dirancang. Dia tidak hanya mempunyai banyak idea, tetapi berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadikan ideanya satu kenyataan.

8. Seorang usahawan adalah seorang ketua yang berwibawa dalam organisasi perniagaannya. Dia sedar mengenai kepentingan pengurusan pekerja dan dapat mengurus pekerjaannya dengan baik. Dia disukai serta dihormati pekerjanya dan mereka bekerja dengan penuh semangat dan disiplin. Dia berkebolehan untuk mengawal perniagaannya dengan teratur dan memastikannya segalanya berjalan lancar .

9. Asas bagi perniagaan ialah saling mempercayai. Seseorang usahawan perlu percaya kepada kebolehan pekerjanya, percaya kepada pembekalnya serta pembelinya.

10. Sifat yang paling penting dalam diri usahawana adalah berkeyakinan. Keyakinanlah yang menyebabkan seseorang usahawan menjadi berani menempuh risiko dan dugaan. Bersama keyakinan inilah dia mampu bergerak maju walaupun dengan bantuan yang sedikit atau tiada bantuan langsung.

11. Usahawan harus bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan. Jika dia membuat kesilapan, dia akan bertanggungjawab terhadap kesilapannya itu dan menjadikannya pengajaran serta bertekad tidak mahu mengulanginya lagi pada masa akan datang.

12. Usahawan bijak mengenal pasti peluang. Dia sentiasa berkesempatan mengaut keuntungan atau peluang baru bagi memajukan perniagaannya. Keupayaan mengenal pasti peluang, merebut dan melaksanakannya adalah kualiti penting seseorang usahawan berjaya.

13. Kebiasaannya manusia akan berhenti di zon selesa dan tidak lagi memasang cita-cita untuk lebih maju. Usahawan berjaya sentiasa menetapkan matlamat yang lebih tinggi meskipun cita-citanya selama ini telah dicapai.

14. Seorang usahawan berfikir secara positif. Dengan cara ini dia berkebolehan melihat sesuatu masalah sebagai peluang, berbeza daripada ramai insan yang menganggap peluang sebagai masalah.

15. Seseorang usahawan itu sentiasa mahu mengetahui sejauh manakah dia berjaya melaksanakan tugasnya dengan mendapatkan maklum balas mengenai pencapaiannya. Maklum balas ini membolehkan dia merangka strategi baru untuk memajukan perniagaan atau membuat keputusan penting.Usahawan berfikir bahawa sebenarnya dia boleh melakukan lebih baik daripada sebelumnya. Dia sentiasa mencari jalan bagi memperbaiki cara mengurus perniagaan atau produk yang dihasilkannya demi memajukan lagi perniagaannya.

16. Usahawan menyusun strateginya dengan rapi sebelum dia memulakan sesuatu projek. Dia perlu mengambil kira kemungkinan yang akan berlaku dan mengambil langkah untuk meminimumkan kemungkinan kegagalan pada perkara yang boleh dikawal oleh dirinya. Dia juga mengenal pasti perkara di luar kawalan yang mungkin berlaku dan membuat persediaan awal mengelakkan sebarang akibat buruk yang akan menimpa dirinya. Paling penting pada seorang usahawan ialah merancang masa kerana inilah kunci segala perancangan.

17. Usahawan memerlukan seberapa banyak maklumat yang terkini dan berguna untuk membolehkan dia merancang serta membuat keputusan dalam perniagaannya. Oleh itu, seorang usahawan sentiasa mencari maklumat terbaru dan menggunakan khidmat agensi sebaik mungkin.

18. Usahawan fokus pada pencapaian matlamatnya. Ia jelas dan mempunyai nilai dalam hidup. Dia akan melakukan pelbagai usaha yang dirancang rapi untuk matlamatnya itu. Dengan fokus inilah usahawan dapat melakukan sesuatu dengan cara atau usaha yang tidak mampu dilakukan orang lain. Apabila telah mencapai matlamat, dia akan menetapkan matlamat yang lebih cemerlang lagi. Dia sentiasa bergerak menuju kejayaan.

19. Seseorang usahawan mampu mengubah suai pentadbiran untuk memajukan syarikatnya. Dia akan menggunakan kakitangan dan mengagihkan kerja berdasarkan minat serta kebolehan kakitangan.

20. Pengurusan perniagaan yang efisien dan efektif adalah perlu bagi menjamin kemajuan sesebuah perniagaan. Seorang usahawan perlu mahir dalam merancang, mengorganisasi, mendorong pekerja dan mengawal perniagaan.

21. Semangat yang kental perlu untuk usahawan kerana dalam perniagaan dia akan menempuh pelbagai dugaan dan rintangan. Sesiapa yang dapat menempuh cabaran tersebut, dialah yang boleh berjaya

22. Usahawan adalah pemimpin. Mereka bijak dalam menyusun strategi pengaruhnya. Dengan pengaruh, dia mampu mendapatkan lebih banyak peluang yang menguntungkan dalam masa singkat. Seorang usahawan perlu ada daya pengaruh bagi membolehkannya berjaya dalam urusniaga dan mengatur urusan pekerjanya.

23. Seseorang usahawan yang berjaya itu kuat bekerja. Dia sanggup melakukan kerja tanpa mengira masa. Ini dapat dilakukannya kerana dia sukakan kerjayanya.

24. Usahawan pandai membuat keputuan yang bijak untuk membolehkan perniagaan berjalan lancar dan meminimumkan masalah yang bakal timbul.

Adakah anda ingin menjadi seorang usahawan berjaya? Nilai diri anda berdasarkan ciri-ciri di atas dan perbaiki segala kelemahan anda. Pasti anda mampu menjadi seorang usahawan berjaya.

Sumber : Petikan dari majalah Sukses – 10 September 09
JOM SHARE
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *