Facebook yang merupakan rangkaian sosial dalam talian terbesar dunia telah membeli aplikasi perkongsian gambar, Instagram pada 2012 dengan harga AS$1 bilion (RM4.29 bilion) kini sedang berusaha untuk menjadi keupayaannya sebagai platform iklan digital kedua terbesar dunia selepas Google.

Instagram ketika ini mempunyai lebih 400 juta pengguna secara bulanan mengatasi pesaingnya Twitter yang hanya mempunyai 300 juta pengguna.

Walaupun mahu menggunakan Instagram sebagai asas perniagaan iklan digitalnya, Facebook didapati hanya memulakan usaha tersebut secara perlahan supaya tidak mahu mengganggu pengguna dengan paparan iklan secara berlebihan.

Menurut firma penyelidikan Evercore ISI, Instagram dijangka mampu meraih pendapatan lebih AS$250 juta (RM1.07 bilion) melalui pengiklanan digital tersebut dalam tempoh tiga bulan.

Malah menurut syarikat penyelidik pasaran eMarketer, dijangka syarikat-syarikat perniagaan akan membelanjakan sehingga AS$600 juta (RM2.58 bilion) untuk mengiklankan produk masing-masing menerusi Instagram untuk tahun ini dan AS$1.5 bilion (RM6.44 bilion) pada 2016.

Facebook bagaimanapun tidak dapat menganggarkan berapakah pendapatan yang bakal diraih melalui Instagram. Syarikat itu pada Rabu lalu mengumumkan pendapatan bersihnya berjumlah AS$891 (RM3.82 bilion) pada suku ketiga tahun ini dengan pendapatan sebanyak AS$4.5 bilion (RM19.31 bilion).

Ketika ini terdapat lebih 1.55 bilion pengguna melayari Facebook sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh sebulan, meningkat 14 peratus berbanding setahun yang lalu. Jelas laman web sosial itu, majoriti penggunanya kini mengakses Facebook menggunakan telefon pintar masing-masing.

Jelas penganalisis, Facebook mempunyai potensi yang besar untuk meraih pendapatan menerusi pengiklanan secara digital yang ketika ini beroperasi secara berasingan dengan laman web utama Facebook. Antaranya ialah aplikasi Instagram dan WhatsApp.

Pada masa ini, terdapat lebih 800 juta pengguna WhatsApp, iaitu aplikasi perhubungan yang dibeli oleh Facebook pada 2014 dengan harga AS$19 bilion (RM81.51 bilion).

Sumber: http://www.utusan.com.my