Jul
16
2011

Cara Meraih Kepercayaan Orang Lain

Assalamualaikum.

Dalam hidup ini kita sememangnya tidak boleh hidup bersendirian sahaja. Kita hidup saling bergantungan dengan orang lain. Banyak perkara yang kita lakukan memerlukan pertolongan orang lain juga. Jadi adalah penting untuk kita percaya kepada orang yang kita ingin meminta pertolongan itu. Begitu juga sebaliknya kita perlu membuat orang lain selesa dan percaya kepada diri kita. Bukan senang hendak mendapatkan kepercayaan orang lain kepada diri kita.

Kepercayaan orang lain terhadap anda akan datang dengan sendiri jika anda berusaha untuk mendapatkannya. Ada banyak cara yang anda boleh lakukan supaya mendapat kepercayaan dari orang lain. Orang lain akan menilai anda terlebih dahulu, kemudian mengenali sikap anda, selepas itu barulah mereka akan percaya kepada diri anda. Banyak kelebihan yang anda akan perolehi jika orang lain mempercayai diri anda.

Anda perlu mendapat kepercayaan orang lain untuk membina kredibiliti, dikenali, dihormati dan sebagainya. Semua ini penting contohnya jika anda seorang usahawan/peniaga, ketua/pemimpin, ulamak/pendakwah dan sebagainya. Hampir semua orang perlu untuk mendapatkan kepercayaan orang lain dalam hidupnya.

Bagaimana cara terbaik untuk meraih kepercayaan orang lain kepada diri anda? Saya akan berkongsikan kepada anda beberapa cara mudah untuk meraih kepercayaan orang lain kepada anda.

1) Percaya Dan Yakin Dengan Diri Sendiri.

Keyakinan diri adalah satu aspek penting yang dilihat oleh orang lain terhadap diri anda. Jika anda tidak percaya kepada diri sendiri bagaimana orang lain hendak percaya kepada anda. Anda perlu yakin dan percaya dengan kebolehan diri anda. Anggaplah diri anda sebagai orang penting kepada orang lain. Apabila melakukan sesuatu perkara lakukan dengan sebaiknya dan percaya dengan yakin apa yang anda lakukan itu betul. Buangkan sifat ragu-ragu kerana ia boleh melemahkan kepercayaan dalam diri anda sendiri.

Kepercayaan orang kepada anda akan bertambah apabila mereka melihat anda seorang yang yakin dalam melakukan sesuatu kerja yang dilakukan. Malah mereka cukup percaya kepada anda jika ingin meminta tolong dalam apa jua perkara. Atas sikap  yakin yang anda tunjukkan kepada mereka akan membuatkan mereka percaya anda seorang yang hebat dan berbolehan. Bukan mahu menunjuk-nunjuk tapi supaya orang lain tidak memandang rendah kepada anda dan membina keyakinan diri anda dalam melakukan sesuatu perkara.

2) Bersikap Jujur Dan Amanah.

Kejujuran adalah satu amalan yang sangat mulia. Orang yang jujur akan digemari oleh orang lain. Orang yang jujur juga akan mempunyai ramai kawan. Kejujuran adalah asas penting dalam sebuah persahabatan. Tanpa kejujuran sebuah persahabatan boleh terputus. Rugilah bagi mereka yang tidak jujur dalam hidupnya. Jagalah amanah yang diberikan oleh orang lain kepada anda.

Apabila seorang sahabat menceritakan sesuatu yang berbentuk peribadi kepada anda maka anda hendaklah menjaga amanah itu. Jangan sesekali membuka keaiban mereka dengan menceritakan rahsia mereka kepada orang lain. Jika seorang sahabat sanggup menceritakan rahsia mereka kepada anda, itu menunjukkan yang mereka mempercayai anda. Anda hendaklah sedaya upaya menjaga amanah yang diberikan dengan sebaik-baiknya.

3) Suka Membantu Orang Lain.

Sifat suka membantu orang lain besar pahalanya. Bantulah orang lain dengan niat yang ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Anda melakukannya supaya mendapat keredhaan Allah. Bantulah orang lain yang memerlukan bantuan dari anda mengikut kemampuan diri anda. Jika anda rasa anda boleh bantu maka bantulah, jika anda rasa tidak boleh tidak mengapa. Orang lain sudah tentu akan menghargai diri anda jika anda banyak membantu mereka.

Di atas kaebaikan yang anda lakukan itu sudah tentu mereka akan merasa terhutang budi kepada anda. Jika anda mengalami kesusahan sudah tentu mereka akan membantu anda pula. Mereka juga akan lebih percaya kepada anda kerana kebaikan yang anda lakukan itu. Mereka percaya kepada anda kerana anda telah banyak membantu mereka. Tapi jangan sesekali mengambil kesempatan di atas kebaikan yang anda lakukan itu. Hargailah kepercayaan yang anda dapat dari seseorang itu.

4) Menjaga Percakapan Dan Perbuatan.

Mulut adalah anggota badan yang sangat penting untuk dijaga. Jika tidak dijaga ia akan menyusahkan diri anda sendiri. Elakkan dari perbuatan buruk yang datang daripada mulut ni. Bercakap hanya perkara yang benar. Jauhi sifat suka bercakap bohong. Apabila bersama dengan orang lain jagalah percakapan anda. Gunakan bahasa yang baik apabila bercakap dengan mereka. Bercakap perkara baik dan benar akan meraih kepercayaan orang lain kepada anda.

Orang lain akan selesa bersama dengan anda jika anda seorang yang mempunyai akhlak yang baik. Jaga tingkah laku anda supaya tidak dipandang buruk oleh orang lain. Melalui sikap dan tingkah laku yang baik akan membuatkan orang lain hormat kepada anda. Mereka akan suka dan lebih percaya kepada anda dengan sikap baik yang anda lakukan. Kepercayaan datang dari imej yang anda tunjukkan kepada orang lain.

5) Sentiasa Menepati Janji.

Jangan sesekali memungkiri janji yang telah dibuat. Apabila memungkiri janji orang lain tidak akan mempercayai anda lagi. Jangan mudah berjanji sesuatu jika anda tidak yakin dapat menunaikannya. Jika anda yakin yang anda mampu menunaikan sesuatu janji itu barulah anda boleh berjanji. Janji itu bukan perkara main-main kerana jika selalu memungkiri janji boleh membuat orang lain benci kepada anda.

Hormatilah janji yang telah anda buat kepada orang lain. Jagalah perasaan mereka dengan menepati janji yang anda buat dengan mereka. Jika anda seorang yang selalu menepati janji, orang lain akan percaya kepada anda. Mereka percaya kepada setiap kata-kata anda. Mereka yakin dan percaya anda bukan seorang yang hanya pandai bercakap tapi tak serupa bikin. Anda seorang yang sentiasa pegang kepada kata-kata dan janji anda.

6) Menghormati Orang Lain.

Tidak kira siapa yang anda kenal, hormatilah mereka seperti anda menghormati diri sendiri. Jika anda seorang yang merendah diri, itu adalah satu sifat yang sangat disukai oleh sesiapa sahaja. Hormatilah sesiapa yang telah memberi pertolongan dalam hidup anda. Hargai jasa yang telah mereka lakukan kepada anda. Balaslah kebaikan yang mereka berikan kepada anda mengikut kemampuan diri anda.

Menghormati orang lain sudah cukup untuk membuatkan mereka suka kepada diri anda. Mereka akan mengagumi perbuatan anda itu. Malah mereka juga sudah tentu akan menghormati anda. Apabila mereka menghormati anda sudah tentu kepercayaan mereka kepada anda akan bertambah. Kepercayaan itu timbul oleh kerana rasa hormat mereka kepada anda.

Sebagai kesimpulan, katakan anda baru mengenali seseorang kawan, sudah tentu anda tidak terlalu mudah percaya kepadanya. Ini bagi mengelakkan anda menyesal di kemudian hari. Anda mesti akan cuba untuk mengenali hati budinya terlebih dahulu dan menilai dirinya yang sebenar. Samalah juga jika orang lain baru mengenali anda. Sudah tentu mereka akan menilai anda terlebih dahulu. Jika anda tunjukkan kebaikan dalam diri anda sudah tentu mereka akan mula mempercayai anda.

Apa sahaja perkara atau cara yang anda lakukan untuk meraih kepercayaan orang lain hendaklah dilakukan dengan ikhlas. Jangan cuba meraih kepercayaan orang lain hanya kerana mempunyai niat-niat yang tidak baik disebaliknya. Apabila anda mula dipercayai oleh orang lain, hargailah kepercayaan tersebut dengan melakukan perkara-perkara yang baik kepada mereka. Lakukanlah yang terbaik untuk diri anda dan juga orang lain. InsyaAllah semua orang akan mendapat manfaat. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Comments

Komen

17 Responses to “Cara Meraih Kepercayaan Orang Lain”

  1. MinahBlur says:

    sokong semua tu!
    nice sharing =)
    MinahBlur recently posted..Jom Bace Kisah Seram Mereka!

  2. bEe says:

    Percaya pd diri
    Dgn harapan & keyakinan…….

    Teringat kat lagu AF!!!! :-)

  3. faiz says:

    yup..btol tu..yg penting mesti jujur..
    faiz recently posted..Akak..Makcik or Whatever

  4. Ali ridha says:

    kepercayaan dah beri hampir 100%.
    duit habis lesap begitu saja.

  5. tehr says:

    lebih2 lagi kalau hidup berumah tangga, memang perlu saling mempercayai
    kalau tak, memang berantakan
    tehr recently posted..Kalah

  6. Chipcoklat says:

    Dalam kita hendak menjalinkan kepercayaan orang lain.. pertama sekali attitude kita kena jaga.. itu yang penting.. kita tidak perlu menonjolkan kepada orang lain yang kita ini boleh dipercayai.. Kadang2 kala dengan hanya akhlak kita yang baik sudah cukup untuk orang mempercayai kita.. sebagai contoh.. cuba kita lihat kepada seorang ustaz, kita tahu bahawa seorang ustaz itu akan berkelakuan baik..walaupun tak semua.. tetapi dengan kita percaya ustaz itu berkelakuan baik.. kita rasa senang untuk menceritakan masalah kita.. betul tak? Jd di sini dapat lah di rumus kan akhlak yang baik itu dapat memberi kepercayaan orang lain kepada kita..

    maaf tuan blog, ter buat entry plak.. hehehehe..
    Chipcoklat recently posted..Mari Berseronok!

  7. Assalamualaikum,

    Kita percaya,
    Namun diperdaya.

  8. zik says:

    nak mendapatkan kepercyaan untuk permulaan dalam business memang susah.. namun, bila dan banyak kali berurusan dan juga rekod yang baik..insyallah untuk akan datang kalau kita ada masalah kewangan… boleh juga deal…
    zik recently posted..Percaturan Ong Kim Swee menentang chelsea 21 Julai ini

  9. titan says:

    betul, bukan mudah nak raih kepercayaan dari orang lain. Bukan satu kerja yang mudah. :)
    titan recently posted..Komisen ke 5 dari Says.my

  10. nizamghazi says:

    Ayat yg sungguh sedap untuk dibaca. Terbaik ;)
    Nak dapat kepercayaan dri org lain, kita jg perlu pcya pada org lain. Sama2 pecaya.
    nizamghazi recently posted..Animasi Ringkas dari NizamGhazi

Leave a Reply


CommentLuv badge