Posted on 4 Comments

Hargai Diri Sendiri

Assalamualaikum.

Kita dilahirkan kedunia ini untuk menikmati kehidupan dunia dan membawa bekalan menuju hari akhirat. Dalam hidup ini kita yang menentukan nasib kita sendiri. Orang lain boleh membantu tapi ianya mestilah bermula dari diri sendiri kita dahulu. Jika kita memilih untuk berjaya, kita pasti akan berjaya. Setiap orang mempunyai kelebihan masing-masing yang ada pada diri mereka. Anda juga pasti mempunyai kelebihan diri anda sendiri.

Biasanya kita sangat mudah terpengaruh dengan apa yang dikatakan oleh orang lain. Jika ada orang bercakap mengenai kelemahan diri kita, janganlah kita mudah berasa lemah dengan kritikan itu. Sebaliknya kita perlulah sentiasa cuba sedaya upaya untuk memperbaiki kelemahan yang ada pada diri kita itu. Orang lain boleh berkata apa saja kepada diri kita, tapi kita tidak boleh lemah dengan kata-kata orang saja kan?

Kita perlu menghargai diri kita sendiri kerana kita adalah mahkluk ciptaan Allah yang sangat hebat. Kita diberikan kekuatan oleh Allah dengan memberikan akal yang cerdas dan tubuh badan yang sihat supaya kita dapat menikmati kehidupan ini dengan sebaiknya. Hargailah nikmat akal dan tubuh yang kita miliki. Gunakalah ia supaya dapat memberi kebaikan kepada diri kita sendiri dan juga orang lain.

Hidup Ini Satu Anugerah Allah

Kita dilahirkan ke dunia ini untuk beribadah kepada Allah. Hidup ini adalah anugerah yang diberikan oleh Allah kepada kita. Pelbagai nikmat yang kita perolehi didunia ini. Kita boleh menikmati segala nikmat yang ada didunia ini tapi jangan sampai kita lupa kepada hari akhirat. Diri kita sendiri adalah anugerah dari Allah yang sangat berharga dan tidak ternilai harganya.

Kita mampu melakukan banyak perkara yang kita suka. Kita diberikan kebolehan untuk berfikir menggunakan anugerah akal yang diberikan oleh Allah. Kita perlu menghargainya dengan melakukan perkara yang baik. Jangan salah gunakan nikmat yang ada ini dengan melakukan keburukan didunia ini. Bersyukur kita kerana diberikan pelbagai nikmat oleh Allah.

Melakukan Perkara Yang Memberi Manfaat

Kita hidup di dunia ini untuk memberi manfaat kepada orang lain. Kita boleh membantu orang lain dengan kelebihan yang ada pada diri kita. Orang lain pasti akan menghargai kita kerana dapat membantu mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi. Tapi sebenarnya apabila kita telah melakukan kebaikan kepada orang lain, kita telah pun menghargai diri kita sendiri terlebih dahulu.

Kita telah menggunakan kelebihan yang ada pada diri kita untuk perkara yang baik. Itu bermakna kita telah menghargai diri kita sendiri. Jangan mengharapkan mendapat pujian atas kebaikan yang kita lakukan. Tapi lakukan dengan niat yang ikhlas. Orang lain akan lebih menghargai diri kita jika kita ikhlas membantu mereka.

Hargai diri Sendiri Sebelum Orang Hargai Kita

Kita perlu menghargai diri kita sendiri kerana kita juga mempunyai kelebihan berbanding dengan orang lain. Jika kita mahu orang lain menghargai kita, maka kita perlu hargai diri kita sendiri dahulu. Merendah diri itu bagus kerana kita hanya manusia biasa sahaja. Tapi kita juga perlu mempunyai keyakinan dan percaya kepada diri kita sendiri. Kita perlu hargai kelebihan yang ada dalam diri kita.

Setiap orang mempunyai kebolehan yang berbeza dalam diri mereka. Apa sahaja yang kita lakukan bukan kerana kita mahu menunjuk-nunjuk kepada orang lain tapi kita serius mahu menjadi seorang yang berjaya dalam hidup ini. Orang lain juga akan menghargai diri kita jika kita menunjukkan kesungguhan dan ikhlas dalam setiap perkara yang kita lakukan.

Diri Kita Tidak 100% Sempurna

Setiap orang mempunyai kelemahan dalam diri mereka. Ini kerana diri kita tidak semestinya akan sempurna 100% dalam setiap aspek. Setiap kelemahan bukanlah penghalang bagi seseorang untuk mencipta kejayaan dalam hidup mereka. Kita boleh melihat kelemahan dalam diri kita. Cuba kenal pasti kelemahan dalam diri kita kerana kita boleh memperbaiki kelemahan yang ada dalam diri kita itu.

Apabila kita telah dapat mengenal pasti kelemahan dalam diri kita itu, maka kita perlulah berusaha untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Kita sekurang-kurangnya perlu berusaha untuk baiki kelemahan yang ada dalam diri kita. Kita juga boleh meminta bantuan orang lain jika perlu. Kelemahan itu akan dapat diperbaiki sedikit demi sedikit.

Setiap Orang Boleh Berjaya Jika Mereka Mahu

Setiap orang dilahirkan untuk berjaya jika mereka berusaha mencari kejayaan dalam hidup mereka. Kita tidak boleh hanya menyerahkan kepada nasib semata-mata. Usaha itu perlu sentiasa ada kerana usaha itu tangga kejayaan. Semuanya datang dari pemikiran kita sendiri. Jika kita berfikir seperti orang berjaya, diri kita akan rasa bersemangat berusaha mencari kejayaan itu.

Takkan kita hanya mahu melihat orang lain sahaja yang berjaya. Bila lagi giliran diri kita sendiri dapat berjaya seperti mereka. Kejayaan dalam hidup ini adalah satu kepuasan kepada diri kita sendiri. Diri kita berhak untuk mendapat apa sahaja kejayaan yang kita mahu. Jika usaha yang kita lakukan dengan bersungguh-sungguh, kejayaan akan datang kepada diri kita. Cuma masa yang menentukan.

Sebagai kesimpulan, diri kita adalah hak milik kita sendiri. Jika kita tidak pandai menghargai diri kita sendiri maka kita juga yang akan rugi. Diri kita sendiri yang akan menentukan apa yang kita mahu lakukan. Orang lain hanya dapat membantu kita tapi yang selebihnya perlu melakukan usaha untuk diri kita sendiri. Kita perlu menghargai diri kita dengan melakukan kebaikan untuk diri sendiri dan juga orang lain. Kepercayaan dalam diri sendiri juga penting.

Jika tidak dapat melakukan kebaikan kepada orang lain, jangan pula melakukan keburukan kepada orang lain. Diri kita adalah seorang hamba yang lemah didunia ini. Kita perlu sentiasa berdoa dan mendekatkan diri kepada Allah supaya diberikan kekuatan dalam diri kita bagi meneruskan kehidupan dunia yang penuh mencabar ini. Kita perlu sentiasa menghargai nikmat yang diberikan oleh Allah kepada kita.

Salah satu minat yang saya suka lakukan adalah menulis. Apabila saya memerlukan motivasi saya akan menulis untuk memberi semangat kepada diri saya sendiri. Apa sahaja yang saya tulis dalam artikel ini adalah apa yang terkeluar dari pemikiran saya. Menulis adalah satu kepuasan kepada diri saya. Menulis ada sesuatu yang menyeronokkan jika saya dapat menulis apa yang saya suka. Menulis juga sebagai tanda saya hargai diri saya sendiri.

Dapat berkongsi dengan orang lain juga adalah satu kepuasan dalam menulis. Dengan menulis saya dapat berkongsi ilmu yang baik kepada pembaca. Saya sentiasa cuba melakukan yang terbaik untuk diri saya sendiri dan juga pembaca. Apa yang baik itu datang dari Allah, dan apa yang kurang itu adalah datang dari kelemahan diri saya sendiri.

JOM SHARE

4 thoughts on “Hargai Diri Sendiri

  1. jadilah diri sendiri dan sentiasa menghargai diri kita. 🙂

  2. campaklah kita ke mana pun yg penting semuanya bermula drpd diri kita sendiri..terima kasih ats perkongsian 🙂

  3. bagus artikel ni bro.. setiap orang ada kelemahan tapi kita boleh cuba mengatasi kelemahan itu dengan memajukan dan memperbaiki diri sendiri..

  4. hanya kita sendiri yang dapat menilai berapa harga diri sendiri

    kalau selalu buat perangai buruk, jangan nak perasan pulak harga diri adalah tinggi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *