Tidak kira apa sahaja perniagaan yang anda jalankan, pastinya akan ada pesaing. Pesaingan adalah perkara biasa dalam perniagaan. Sememangnya sering kita dengar nasihat “Pesaingan akan menjadikan kita lebih baik”.
Semestinya benar nasihat itu. Bayangkan dalam pertandingan lumba lari, sekiranya pesaing-pesaing kita hanya berjalan, pastinya kita pun berjalan sahaja tetapi lebih laju sedikit untuk menang. Tetapi sekiranya pesaing-pesaing kita lari pecut, kita juga akan berusaha untuk pecut secepat mungkin untuk menang.
Begitulah juga dalam perniagaan. Pesaingan akan menjadikan kita lebih kuat lagi. Oleh itu, jangan takut pada pesaingan, tetapi, terima pesaingan dengan hati terbuka.
Cuma, bagaimana anda boleh bersaing dengan pesaing-pesaing anda supaya anda akan menjadi lebih hebat?
1. Cari perbezaan!
Pesanan Steve Jobs “You don’t look at your competitor and think how to be better. You look at your competitor and think how to be different”
Maksudnya adalah, cari kelainan dan perbezaan antara anda dan pesaing anda. Apabila anda boleh membezakan perniagaan anda dengan pesaing anda, maka, sebenarnya anda tidak bersaing. Anda telah menjadi berbeza!
Sekadar contoh, di satu-satu pasar malam, terdapat 5 gerai burger. Kesemuanya bersaing antara satu sama lain. Ke lima-lima gerai ini menjual produk yang sama. Iaitu, burger!
Tetapi, salah satu gerai tersebut melakukan sedikit kelainan. Roti (bun) burger yang digunakan adalah berwarna warni. Bukan seperti roti burger yang biasa kita makan. Ianya berwarna warni!
Apa yang terjadi sekarang adalah, gerai burger yang menggunakan roti berwarna warni mendapat lebih ramai pelanggan oleh kerana telah menciptakan sedikit kelainan berbanding dengan pesaing-pesaingnya yang lain.
Apabila kita mencari kelainan, kita seakan tidak lagi bersaing. Tetapi, kita membuka mata dan minda prospek untuk melihat perniagaan kita berbeza dan tidak seperti yang lain!
2. Lakukan dengan pantas!
Sekiranya anda menjalankan perniagaan dan anda hadapi beberapa masalah, krisis atau kegagalan dalam perniagaan dan strategi pemasaran, anda bukan seorang yang melaluinya. Pesaing-pesaing anda juga akan melalui perkara yang sama!
Apa yang membezakan perniagaan mana yang akan menjadi lebih hebat, adalah perniagaan yang dapat keluar dari masalah, krisis dan kegagalan dengan lebih pantas!
Lakukannya dengan pantas.
Sesetengah perniagaan akan alami kegagalan promosi. Dan apabila gagal, mereka menjadi fobia dan mengambil masa seminggu atau dua untuk cuba sesuatu yang baru supaya dapat selesaikan masalah kegagalan promosi itu. Mereka mengambil masa.
Tetapi, perniagaan yang hebat, tidak akan mengambil masa seminggu atau dua minggu. Mungkin sehari atau dua, mereka akan ubah teknik dan strategi dan melakukan sesuatu yang baru supaya dapat menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.
“Kepantasan” adalah matawang yang sangat penting dalam perniagaan. Untuk bersaing dan menjadi lebih hebat dari pesaing, anda perlu melakukan sesuatu dengan pantas. Dapat sahaja idea, terus aplikasikan. Jangan tunggu seminggu atau dua. Sebulan atau dua. Setahun atau dua.
Kalau boleh sejam atau dua jam ini, anda sudah mulakan. Itulah caranya untuk menang dalam persaingan perniagaan!
3. Bina jenama perniagaan anda!
Tanpa jenama, kita akan sering bersaing pada harga. Kita akan cuba meletakkan harga yang murah untuk mendapat pelanggan.
Tetapi, apakah masalahnya meletakkan harga murah? Pastinya pesaing juga akan meletakkan harga yang lebih murah! Apa yang akan terjadi adalah peperangan harga yang tidak akan habis. Susulan itu, keuntungan pula akan jatuh.
Dari meletakkan harga murah, apa kata anda belajar cara membina jenama. Dengan mempunyai jenama, orang ramai akan memilih produk, bukan kerana harga murah, tetapi kerana jenama.
Mengapa iphone dan imac sangat popular serata dunia? Adakah ianya lebih baik dari samsung dan PC? Tidak semestinya. Malah, harga produk Apple adalah lebih tinggi.
Ini kerana Apple telah membina jenama.
Membina jenama tidak semestinya memerlukan modal yang besar. Apa yang penting adalah anda tahu ilmu dan strategi pemasaran yang efektif yang tidak menggunakan kos yang tinggi.
Dengan mempelajari teknik perniagaan Internet dan strategi media sosial yang efektif, anda akan dapat membina jenama perniagaan anda secara percuma.
Seperti mana yang saya lakukan, perniagaan saya dari one man show, dan kini ke peringkat antarabangsa, bukan kerana saya habiskan wang pada pengiklanan (pastinya anda tidak pernah nampak billboard saya, iklan saya di akhbar ataupun di TV bukan?)
Tetapi, dengan mengetahui teknik dan strategi sebenar perniagaan Internet, anda juga akan dapat membina jenama perniagaan anda secara percuma atau kos yang sangat minima.
Sumber: Irfan Khairi