Posted on Leave a comment

4 Panduan Beli Kain Ela Untuk Lelaki, Tak Ada La Jadi Mangsa Fesyen Raya Nanti!

Jika sebelum ini anda sudah terbiasa membeli baju melayu yang siap dijahit, apa kata tahun ini anda tukar pilihan. Hari minggu ini merupakan masa yang sesuai untuk anda pergi mencari dan membeli kain ela. Kami ada beberapa panduan berguna untuk anda yang bercadang ke gedung kain.

1. SAIZ BADAN

Orang kata, ukur baju di badan sendiri. Panjang kain ela yang sesuai untuk lelaki dewasa adalah empat. Kalau badan yang besar, eloklah membeli 4 ½ meter. Bagi yang sedang-sedang besar belilah kain empat meter suku (4 ¼). Sebenarnya, ukuran panjang empat meter sudah memadai namun untuk memudahkan kerja tukang jahit untuk memotong, lebih baik lebihkan sedikit. Jika anda masih kurang arif, minta saja pendapat penjual kain yang memang handal dalam menentukan ukuran kain yang diperlukan. Antara gedung kain yang boleh kami cadangkan adalah Nagoya, Kamdar, Gulatis, Jakel dan banyak lagi yang anda boleh tanya rakan lain.

2. JENIS FABRIK

Terpulang pada anda sama ada anda mahukan fabrik jenis kapas, crepe, jacquard, polyester, sutera, viscose, linen dan lain-lain. Tetapi kami menyarankan anda memilih kain ela berfabrik crepe kerana kain ini nipis dan lebih lembut dari sutera. Bagi anda yang agak malas untuk gosok baju, fabrik crepe untuk baju melayu adalah paling sesuai dan tidak mudah konyok. Tidak ada masalah apabila anda gemar satin. Perlu diketahui satin sangat leceh untuk digosok. Bagi anda yang kurang menggemari fabrik yang terlalu berkilat, satin bukan untuk anda melainkan anda suka menjadi tumpuan. Kami juga berpendapat satin mudah melekat pada tubuh apabila berpeluh. Biar apa pun pilihan anda, anda sendiri yang menentukan keselesaan.

3. KUALITI KAIN

Setibanya anda di gedung kain, anda akan mendapati ada pelbagai jenis kain yang meletakkan harga berlainan. Semestinya, kualiti yang tidak begitu bagus atau tidak tahan lama adalah lebih rendah harganya. Kain yang mahal pula semestinya kualiti yang tahan lasak dan boleh dipakai sehingga bertahun-tahun. Nasihat kami, sesekali memilih kain berkualiti apa salahnya. Lelaki hanya memakai baju melayu setahun sekali itu pun ketika sambutan Hari Raya. Maka, baju melayu anda boleh dipakai untuk tahun-tahun mendatang. Berbanding wanita, mereka boleh menggayakan baju kurung setiap hari termasuklah ke pejabat.

4. TUKANG JAHIT

Ada dua cara mudah untuk anda menyiapkan baju melayu. Pertama, anda ke kedai jahit untuk mengambil diambil ukuran badan. Kedua, anda boleh membawa baju melayu yang sudah siap sebagai contoh kepada tukang jahit. Jika anda tergolong dari mereka yang sukakan keringkasan, semestinya baju melayu gaya teluk belanga adalah pilihan terbaik. Baju melayu gaya cekak musang pula lebih segak dipakai bersama sampin dan songkok untuk ke majlis-majlis formal, sambutan Hari Raya mahupun ketika hari-hari penting dalam hidup anda.

Mungkin ada dikalangan anda berpendapat masih terlalu awal untuk memikirkan baju melayu tetapi inilah masa yang sesuai untuk anda survey kain. Bukan apa, kami takut nanti tukang jahit sudah tidak mahu menerima tempahan. Nak tak nak, terpaksalah anda beli baju melayu yang sudah siap. Lagipun, bila lagi hendak menimba pengalaman beli kain ela sendiri. Sebagai jejaka Maskulin, anda mampu!

Maskulin

JOM SHARE
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *