SETIAP orang mempunyai masalah masing-masing. Tidak cukup di rumah, ada pula di tempat kerja, kemudian kawan-kawan pula meluahkan perasaan. Kesudahannya, manusia tidak boleh lari dari mengalami stres dek kerana ‘masalah-masalah’ tersebut.
Saat itu, mulalah berasa tertekan, kemurungan, sedih dan pelbagai lagi, mengakibatkan anda tidak menjadi diri sendiri.
Tatkala diri sedang stres, jangan pula paksa diri dan cuba menjalani kehidupan seperti biasa kerana saat itu, fikiran anda sedang bercelaru. Ada baiknya anda cuba buat lima perkara ini untuk meredakannya.
1. Rehatkan fikiran
Berhenti dari melakukan apa-apa aktiviti, ambil nafas dan lepaskan beberapa kali hingga anda berasa lebih tenang.
Ada baiknya jika ada keluar dan hirup udara segar, mungkin pergi ke taman? kosongkan fikiran dan lihat keadaan sekeliling yang mampu berikan ketenangan pada diri anda.
2. Mandi
Percaya atau tidak, mandi ketika sedang stres boleh memberikan ketenangan pada minda dan badan, lebih-lebih lagi jika anda memanjakan diri di dalam tab mandi kerana ia seolah-olah seperti berada di dalam rahim ibu.
Kalau inginkan lebih ketenangan, letakkan sekali aroma terapi dalam tab mandian dan pasangkan lilin wangian. Jika anda sukakan muzik, boleh juga pasang bunyi yang menenangkan.
3.Bercuti
Kalau rasa tahap stres anda dah teruk, seelok-eloknya ambil masa untuk bercuti sama ada seorang diri atau dengan kawan-kawan.
Dalam pada itu, anda boleh mencari semula diri sendiri dan mengenal pasti apa masalah anda selama ini.
4. Menangis
Kadang-kadang anda kena luahkan perasaan, usah dipendam. Sebab itulah, jangan takut untuk menangis, mana tahu lepas itu anda akan berasa lebih lega.
Ramai orang suka pendam perasaan hingga sampai satu masa ia akan meletup, seterusnya menjadikan masalah kecil menjadi besar. Kalau segan nak menangis depan orang, boleh menangis seorang diri atau dalam bilik air.
5. Jangan lari dari masalah
Jangan buat tidak tahu jika anda stres, selagi anda tidak berdepan dengannya, selagi itu ia wujud. Perasaan anda, hanya anda seorang yang boleh tanganinya.
Selain itu, jangan pula anda menjauhkan diri dari orang saat berdepan dengan stres tetapi seeloknya bercakap dengan seseorang yang dipercayai, kemudian, muhasabah diri dan cuba mencari jalan penyelesaian.
Setiap orang ada cara stres masing-masing tapi yang penting janganlah sampai memakan diri. Jika ia benar-benar di tahap bahaya hingga mengganggu kehidupan peribadi dan sosial anda, dinasihatkan agar berjumpa dengan pakar untuk mendapatkan bantuan.
Sumber: health.com