Posted on Leave a comment

5 Jenis Kawan Yang Kita Perlukan

Mempunyai sahabat yang “sekepala” sememangnya menyeronokkan. Apatah lagi kawan yang banyak persamaan dengan kita dalam pelbagai perkara. Namun, sebenarnya bukan kawan yang “sekepala” saja yang kita perlukan dalam hidup.

Menurut pakar psikologi dan perunding perhubungan bebas, Cherie Burbach dari Amerika Syarikat, ada lima jenis kawan dengan ciri tersendiri yang kita perlukan dalam kehidupan.

Lima jenis kawan ini dapat membuatkan kita berasa positif tentang kehidupan dan membantu kita menjadi seorang individu yang lebih baik.

Malah mereka juga boleh membuatkan kehidupan menjadi lebih menarik, pemikiran menjadi luas juga membantu kita memahami dan mengharungi waktu sukar. Senang kata dunia menjadi lebih relevan dan indah bila berkawan dengan mereka.

1) Si Penghubung

Kawan yang aktif bersosial sesama rakan, sering bertanya khabar dan tidak ego untuk berhubung sangat diperlukan supaya kita tidak selalu rasa bersendirian. Mereka ini bagaikan bunga api dalam persahabatan yang menceriakan suasana. Si penghubung juga sering memperkenalkan kawan mereka kepada kita dan rangkaian kenalan kita pun menjadi semakin meluas dan ia bagus untuk hubungan kita sesama rakan dan mungkin juga baik untuk kemajuan karier.

Namun, jangan selalu mengharapkan mereka saja, kita juga perlu usaha bersama dalam mengukuhkan jalinan silaturahim itu.

2) Berpandangan berbeza

Pasti bosan jika kita mempunyai kawan yang pemikiran dan pandangannya sama saja seperti kita. Seorang rakan yang mempunyai pandangan berbeza dalam kehidupan membolehkan kita melihat sisi lain dalam sesuatu perkara itu. Mereka membuka mata dan minda kita mengenai banyak perkara atau isu yang kita tidak pernah terfikir sebelum ini.

Mereka juga meluaskan perspektif kehidupan kita dan memberi kita anjakan untuk berfikir dengan lebih mendalam lagi dalam banyak hal. Bersetuju atau tidak itu tidak penting, apa yang penting adalah kita menerima mereka seadanya dan belajar sesuatu yang lain sesama sendiri.

3) Kawan dekat

Di zaman teknologi hebat ini memang kita masih boleh berhubung dengan rakan walaupun dia ratusan batu jauhnya. Namun sebagai manusia biasa terutama yang masih bujang, kita masih memerlukan kawan yang kita boleh berjumpa dan berinteraksi secara peribadi.

Bila dalam kesenangan kita tidak lupakan mereka dan bila mengalami kesusahan boleh kita meminta bantuan mereka untuk ada di sisi kita. Jika dijaga persahabatan ini pasti berkekalan lama.

4) Si sempoi

Seorang kawan yang “sempoi” memahami apabila kita berlawak bodoh dengan mereka begitu juga sebaliknya. Mereka tidak cepat kecil hati dan kita juga tidak mudah terasa dengannya. Mereka boleh dibawa bergurau dan sering membuat kita ketawa.

Merekalah yang kita berhubung jika kita tertekan dan ingin melupakan seketika masalah yang membelenggu diri untuk kita terus ceria.

5) Positif dan matang

Ada bezanya kawan positif dengan berpura-pura. Kawan yang semula jadi positif dan matang mempunyai pandangan yang seimbang tentang baik dan buruk. Mereka realistik dan memberi nasihat yang tidak hanya untuk menyedapkan hati dan rasa kita namun dia bercakap benar tanpa mengguris perasaan kita.

Kawan begini sabar mendengar masalah dan keraguan kita dan sering menyuruh kita berfikir positif malah memberikan semangat berterusan untuk kita. Cubalah mencontohi mereka tentunya kita juga lebih positif dan matang dalam kehidupan.

Harian Metro

JOM SHARE
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *