Pemilik nama Syed Mokhtar Al-Bukhary ini satu-satunya usahawan bumiputera yang pernah tersenarai dalam top-10 orang terkaya di Malaysia pada tahun 2016.
Kekayaan Syed Mokhtar sebenarnya meningkat dari RM5 bilion (2016) kepada RM5.25 billion pada tahun 2017. Beliau tersenarai di kedudukan ke 14 orang paling kaya di Malaysia pada tahun lepas. MMC Corp masih lagi menjadi penyumbang utama kekayaan Syed Mokhtar dengan pemilikannya sebanyak 52% dalam syarikat itu.
Jutawan yang sangat terkenal dengan sifat dermawan ini mempunyai aura yang tersendiri dalam merencana bisnes yang diusahakannya sehingga berjaya. Kredibiliti dan keunikan sifatnya yang diasuh dari kecil menjadikan beliau jutawan Malaysia yang semestinya menjadi kebanggaan untuk bumiputera utamanya.
#1- Tiada Jalan Singkat.
Nak kaya dan berjaya? Memerlukan masa yang lama. Jalannya penuh berliku dan prosesnya membuatkan anda kadangkala akan kaku. Ya, tiada jalan singkat untuk ke situ. Galilah kisah-kisah kejayaan para usahawan terdahulu, tiada jalan singkat yang dapat mereka tuju untuk kaya dan berjaya sebegitu.
Persediaan emosi dan fizikal itu perlu. Kerana jalan yang akan anda lalui adalah satu proses yang sangat memerlukan kekuatan dalaman supaya anda tidak akan terhenti di pertengahan jalan. Jangan pernah rasa mengalah kerana jika anda tersesat, pasti akan ada jalan keluar. Teruskan berjalan jika anda yakin dengan keputusan yang diambil.
#2- Jangan Kedekut.
Semua orang kenal dengan status beliau sebagai seorang dermawan hebat. Kerana prinsipnya inilah, rezeki yang dikecapinya berkat dan melimpah-limpah hasil ketelusannya dalam menderma. Jika anda hanya mempunyai nilai wang yang kecil, tidak mengapa, pupuklah jiwa untuk selalu memberi.
Kerana sekecil-kecil pemberian itu, adalah nikmat terbesar untuk mengolah rezeki anda bercambah dan barakah. Dan seandainya anda diberi peluang untuk punya rezeki besar, perkara yang sama juga perlu anda lakukan. Jangan berhenti memberi kerana rezeki anda bergantung kepada bagaimana pemberian anda lakukan. Dalam rezeki anda, pasti ada rezeki orang lain juga.
#3- Bergabung dan Bersatu Dalam Membantu.
Bagaimana orang Cina berkembang dalam bisnes mereka dengan mudah tanpa ada masalah. Kerana mereka bergabung dan bersatu membantu kaum mereka yang sama-sama berniaga. Begitu juga yang perlu diamalkan orang Melayu.
Bergabung dan bersatu dalam membantu bukan menjatuhkan. Sokongan antara satu sama lain amat diperlukan bagi memastikan bisnes orang Melayu sama-sama naik dan berjaya. Tubuhkan persatuan yang memantau perjalanan bisnes orang kita.
#4-Bersihkan Bisnes Dengan Bayar Zakat.
Nak kaya dan berjaya perlulah minta pada Yang Maha Esa. Pastikan bisnes anda sentiasa membayar zakat fitrah yang telah ditetapkan. Islam itu mudah. Bukan banyak pun zakat yang nak dibayar. Tetapi jika rezeki anda lebih, lebihkanlah membayar. Pasti berkali-kali lebih Allah akan gandakan rezeki dalam bisnes buat anda.
Redha Allah sangat penting bagi memastikan bisnes anda sentiasa berada pada landasan yang direstuiNya. Dengan harapan, semoga Allah sentiasa memberikan jalan bagi memudahkan setiap urusan dan pergorbanan anda untuk membangunkan bisnes dengan jayanya.
#5-Jaga Kebajikan Pekerja.
Jangan ambil mudah soal ini. Pekerja adalah penyumbang kita jadi kaya dan berjaya. Hargai dan hormatilah permintaan mereka sebaiknya. Buang ego anda sebagai bos. Kehidupan ini mudah, jika anda berbuat baik dengan pekerja pasti Allah balas kebaikan anda dengan memberkati perniagaan anda dengan sempurna.
Perniagaan ini juga ibarat roda, tidak selamanya anda berada di atas, tetapi jika ketika anda berada di atas, anda menghargai pekerja anda, dan satu masa anda terpaksa berada di bawah, pasti pekerja anda akan bersama-sama anda untuk menaikan semula anda di atas. Atas dasar kebaikan anda buat pada mereka. Anda adalah orang yang berjaya, jika dapat mempertahankan pekerja bekerja dengan anda dalam masa yang lama.
#6- Jangan Malu Cari Ilmu.
Jika anda mempunyai perasaan malu dalam mencari ilmu, ianya bererti anda tewas sebelum bertempur. Anda bukan mencuri, tetapi sama ada anda membayar atau dapatkan ilmu itu secara semulajadi.
Ilmu ni penting dalam bisnes. Setiap bisnes berbeza ilmunya. Jika anda ceburkan diri dalam bisnes perladangan, takkan anda nak gunakan teori bisnes jual tudung pula. Kerana itu beliau sangat tekankan ilmu dalam setiap cabang perniagaan yang diusahakannya.
#7- Ukur Baju Di Badan Sendiri.
Kerendahan diri dalam berbelanja amat penting bagi orang bisnes. Jangan tengok akaun ada tujuh angka terus tempah macam-macam perkakas dunia sehingga akaun bank susut nilainya. Jangan sesekali membazir pada barang yang tidak memberikan apa-apa faedah jangka masa panjang.
Seadanya berbelanja. Sesekali sekali dibolehkan juga. Tetapi jika selalu selalu pasti akan rosak segalanya. Bukan senang anda nak dapatkan angka yang banyak begitu. Baik melabur pada perkara yang membuatkan duit itu beranak pinak.
#8- Berilah Masa Untuk Faham Selok Belok Bisnes.
Beliau mengambil masa selama 34 tahun untuk faham segalanya tentang selok beluk bisnes. Anda jika baru bawah lima tahun dah rasa hebat dan faham semuanya, bererti anda gagal pada fasa pertama. Jangan mendongak ke langit.
Masa itu memerlukan ruang dan peluang. Jadi berilah diri anda ruang dan peluang dalam mencungkil serta mengali segala ilmu dalam bisnes. Nak berjaya kena tahu habis soal bisnes. Daripada A sampai Z. Tak boleh langkau-langkau. Kerana itu beliau mengatakan, nak berjaya bukan kerja mudah!
#9-Ubah Cara Berfikir.
Nak jadi orang kaya dan berjaya kenalah fikir seperti orang kelas pertama. Kemunduran dalam proses berfikir perlu dibuang sejauh jauhnya. Jangan lagi tersempit dalam ruang likup pemikiran yang sia-sia. Anda perlulah berfikiran hebat dan matang dan paling penting mestilah fikiran anda itu jauh ke depan.
Fikirkan soal kegigihan, ketekunan dan tidak mudah berputus asa. Barulah yang sempurna itu masuk ke ruang fikiran anda. Dan ianya akan bertukar kepada proses tindakan yang positif. Hakikatnya, apa yang kita fikirkan itulah yang akan kita lakukan. Jadi mulai saat ini jadikan ‘fikiran’ anda seperti mana usahawan kaya yang berjaya!