Internet telah bermula sejak era 90-an lagi. Sejak itu, hingga kini, hampir 30 tahun telah berlalu. Semakin lama semakin tepu kita lihat perniagaan di Internet dengan pelbagai perniagaan seperti menjual tudung, produk kesihatan, cookies, jubah, dan macam-macam lagi yang bersaing dengan sengit.
“Internet ni sudah tepu”
Pernah saya dengar keluhan seseorang yang memikirkan untuk memulakan perniagaan. Dan sambungnya lagi…
“Dulu-dulu, tak ramai pesaingan, menjalankan perniagaan adalah mudah. Kini pesaingan ramai, sangat sukar untuk berjaya berniaga di Internet!”
Jadi soalannya, adakah ianya terlewat untuk memulakan perniagaan di Internet kini?
Jawapannya adalah TIDAK.
Dan sebabnya adalah berikut…
1. Ianya tidak terlewat oleh kerana internet juga berubah!
Dunia internet berubah sejak 30 tahun dahulu. Sekiranya dulu, apa yang popular adalah Altavista, Lycos, Infoseek, Netscape. Kesemua itu adalah enjin pencari seperti Google kini.
Tak lama dulu agak popular FourSquared, MySpace dan Friendster, namun kini Facebook dan Instagram mendominasi media sosial.
Meerkat dan Periscope tidak sempat pula menjadi popular di Malaysia oleh kerana Facebook Live dan Instagram Live mendapat perhatian lebih di Malaysia.
Jika dilihat, internet akan berubah dari tahun ke tahun. Ianya tidak sama seperti dulu. Selang 3-4 tahun, trend dan platform baru akan bermula atau akan berubah.
Oleh kerana trend di Internet berubah dari masa ke semasa, ini sebenarnya memberi peluang kepada sesiapa sahaja memulakan perniagaan di Internet pada bila-bila masa sahaja oleh kerana internet tidak sama seperti sebelum ini.
Pelajari ilmu baru dan platfom baru di Internet untuk sentiasa kompetetif dikalangan pesaing-pesaing anda.
Internet berubah. Oleh itu, anda juga perlu berubah dan mulakan sekarang!
2. Ianya tidak terlewat oleh kerana platfom juga bertambah!
“Dulu-dulu, tak ramai pesaingan, menjalankan perniagaan adalah mudah.”
Kata-kata itu hanya separuh benar. Memang benar dulu tak ramai pesaing. Tetapi, dulu menjalankan perniagaan internet tidaklah mudah.
Antara sebabnya adalah, dulu, platfom tidak banyak. Dulu tiada Facebook, tiada Instagram, tiada YouTube, tiada Google. Dulu juga tidak ramai pengguna Internet
Pada tahun 2000 hanya 350juta pengguna Internet
Pada tahun 2010 hanya 2 bilion pengguna Internet
Kini tahun 2018 sudah 4 bilion pengguna Internet
Oleh kerana platform di internet semakin bertambah, dan pengguna internet berganda dua kali sejak lebih 10 tahun lalu, ini menunjukkan bahawa pasaran kini adalah semakin luas berbanding dengan dulu.
Ketika ini, semakin banyak platfom, semakin ramai pengguna, oleh itu, semakin banyak peluang!
3. Ilmu dan pengetahuan yang bertambah!
Kini, ilmu perniagaan internet semakin bertambah. Kisah kejayaan usahawan-usahawan online juga sering kita dengar. Apatah lagi zaman ini, keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap internet dalah tinggi, tidak seperti dulu.
Dulu, tahun 2005 ketika saya mula mengajar pernigaan Internet, ramai yang mengatakan ianya SCAM dan SPAM. Perniagaan Internet adalah skim cepat kaya.
Kepercayaan terhadap transaksi online 10, 20 tahun lalu, adalah sangat rendah berbanding dengan kini.
Oleh kerana internet kini telah menjadi gaya hidup, maka ianya adalah waktu terbaik untuk memulakan perniagaan di Internet.
Tidak kira apa pun sebabnya, jangan jadikan alasan “terlewat” untuk anda tidak memulakan perniagaan di internet. Ini kerana, untuk mencari alasan, memang 1001 alasan boleh dicari untuk tidak berubah dan mulakan sesuatu.
Tetapi, kita hanya perlu satu sahaja sebab untuk kita mengubahkan hidup kita dan mulakan perniagaan tanpa melengah-lengahkan masa lagi sebelum ianya benar-benar terlewat!