Posted on 11 Comments

Bersederhana Menyambut Hari Raya

Assalamualaikum.

Hari Raya Aidilfitri bakal berkunjung tiba tidak lama lagi. Semua umat islam akan menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri ini dengan penuh kegembiraan. Hari Raya Aidilfitri hanya disambut setahun sekali saja. Kemeriahan semasa hari raya tidak akan dirasai pada hari-hari lain. Di hari raya kita dapat berkumpul bersama ahli keluarga, menziarahi sanak saudara, menghadiri rumah terbuka dan banyak lagi. Ia dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dengan saudara kita yang lain.

Pelbagai persiapan dilakukan menjelang hari raya. Ada yang sibuk membeli belah, ada yang membersihkan rumah, membuat kuih raya, melakukan perjalanan balik kampung dan sebagainya. Hari Raya Aidilfitri hendaklah disambut dengan bersederhana dan penuh kesyukuran kerana kita berjaya menunaikan ibadah puasa selama sebulan dibulan Ramadhan.

Berjimat Cermat Semasa Berbelanja

Jika kita melihat dipusat-pusat membeli belah, orang ramai sudah mula sibuk berbelanja bagi menyambut hari raya. Masing-masing ingin membeli baju raya baru, kain langsir baru, membeli kuih raya dan sebagainya. Walaupun kita terlalu seronok untuk melakukan persiapan hari raya, janganlah kita sampai berbelanja terlalu banyak hingga boleh menyebabkan berlakunya pembaziran. Kita berbelanja sekadar yang perlu mengikut keperluan diri dan keluarga kita. Tidak perlu nak terikut-ikut dengan orang lain yang berbelanja sakan melakukan persiapan hari raya.

Kalau boleh semuanya hendak beli sebab tertarik dengan tawaran harga promosi hari raya yang murah di mana-mana sahaja tempat. Kita jangan mudah terpengaruh dengan promosi harga murah hari raya yang dilakukan di mana-mana sahaja tempat membeli belah setiap kali menjelang sambutan hari raya. Kita hendaklah sentiasa berjimat cermat dan bersederhana dalam berbelanja. Gunakan wang yang ada dengan berbelanja secara bijak dan berjimat cermat. Jika tidak berjimat cermat kita mungkin akan menyesal dikemudian hari.

Elakkan Membazir Makanan

Ada pelbagai jenis makanan tradisi hari raya seperti lemang, ketupat, rendang  dan banyak lagi. Semuanya memang sedap belaka. Bila tiba hari raya kalau boleh kita ingin merasai makanan-makanan tradisi melayu ini yang sudah sinonim dengan hari raya. Kalau zaman dahulu ramai yang buat sendiri makanan-makanan ni tapi zaman sekarang ni dah senang sikit sebab semuanya boleh dibeli yang dalam paket dan lebih cepat untuk disediakan.

Kita sepatutnya bersyukur dengan rezeki yang diberikan oleh Allah. Jangan sampai menyediakan makanan hari raya yang terlalu banyak hingga boleh menyebabkan berlaku pembaziran. Tidak semua orang akan melakukan pembaziran tapi kadang-kadang kita tidak sedar yang kita telah melakukan pembaziran yang tidak sengaja. Sebab tu kita kena selalu beringat supaya tidak berlaku sebarang pembaziran makanan di hari raya ini. Cukuplah sekadar bersederhana dalam menyediakan juadah makanan hari raya.

Tidak Makan Secara Berlebihan

Setelah sebulan menjalani ibadah puasa, diri kita telah dididik dengan berpuasa menahan dari makan dan minum pada siang harinya. Apabila tiba hari raya, kita tidak lagi berpuasa pada siang harinya. Diri kita benar-benar teruji kerana melihat pelbagai jenis juadah makanan hari raya yang sangat menyelerakan. Jika ikutkan kehendak nafsu kalau boleh semua makanan nak sumbat dalam perut. Tak ingat dah baru je lepas puasa sebelum ni.

Sebab itulah diri kita perlu sentiasa mengawal permakanan pada hari raya. Disamping dapat mengelakkan pembaziran, kita juga dapat menjaga kesihatan diri kita dengan tidak mengambil makanan hari raya secara berlebihan. Pada hari raya juga ramai orang yang akan membuat rumah-rumah terbuka hari raya. Sudah tentu banyak makanan yang disediakan kepada tetamu. Kita kena berhati-hati dan mengawal diri kita dari makan secara berlebihan. Kita makan mengikut keperluan dan bersederhana saja.

Sebagai kesimpulan, dalam kita bergembira menyambut hari raya, kita janganlah lupa kepada orang lain yang tidak berkemampuan seperti kita. Tidak semua orang mampu menikmati hari raya dalam keadaan gembira seperti kita. Ada yang tidak berkemampuan membeli pakaian baru dan tiada makanan sedap pun pada hari raya. Dengan bersederhana menyambut hari raya kita dapat bersyukur kepada Allah dengan nikmat rezeki yang kita perolehi.

Sambutan hari raya aidilfitri hendaklah disambut dengan penuh kesyukuran kepada Allah. Kita perlu bersyukur kepada Allah kerana sentiasa memberikan rezeki yang mencukupi kepada kita. Apa sahaja yang kita lakukan hendaklah mendapat keberkatan dari Allah. Semoga hari raya aidilfitri yang kita sambut pada tahun ini akan sentiasa diberkati oleh Allah.

JOM SHARE

11 thoughts on “Bersederhana Menyambut Hari Raya

  1. Apa yg Nik nyatakan di atas semuanya betul 🙂

    Cuma, agak terkilan pd sikap org yg tak kdg2 sprt tak mensyukuri dgn apa yg ada 🙁

    Tak tahulah nape mereka begitu mgkn sbb kehendak melebihi keperluan tu yg jadi mcm tu kot…..

  2. ikut budget apa yang ada… kalau dah banyak sangat belanja.. nanti hujung bulan.. dah kering.. memang kena plan2 awal…

  3. bulan pose ni bz. nak beli apa pun x sempat. baju pun pakai yg lama je.. huhu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *