Pada bulan Ramadhan kita telah diwajibkan untuk melakukan ibadah puasa. Tapi adakah ibadah puasa itu hanya dengan tidak makan dan tidak minum sahaja? Ramai orang yang berpuasa Ramadhan tapi mereka tidak mendapat pahala ibadah puasa melainkan hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja.
Ini kerana ramai orang yang berpuasa sekadar tidak makan dan tidak minum semata-mata. Tapi anggota pancaindera lain seperti mata, lidah, telinga dan anggota tubuh badan yang lain tidak berpuasa. Ada orang yang berpuasa tapi tetap melakukan kemaksiatan dan mendapat dosa. Dosa-dosa inilah yang akan menghilangkan pahala ibadah puasa dan akan menjadikan orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa pahala kecuali mendapat lapar dan dahaga sahaja.
Mata Melihat Perkara Kemungkaran
Kita mempunyai sepasang mata yang cantik dan hebat untuk melihat. Mata kita boleh menjadi tempat kemaksiatan jika ianya tidak dijaga dengan sebaiknya. Mata akan menjadi tempat maksiat jika kita melihat perkara-perkara yang diharamkan seperti melihat orang mendedahkan aurat, melihat hiburan yang melalaikan dan sebagainya. Memang seronok pada pandangan mata tapi dosa yang akan kita perolehi jika melihat perkara-perkara kemungkaran.
Pada bulan Ramadhan ini kita hendaklah menahan mata kita dari melihat perkara-perkara kemungkaran seperti menonton televisyen melihat rancangan hiburan yang melalaikan kita. Banyak rancangan berbentuk hiburan yang melalaikan kita sehingga kita sendiri tidak sedar yang kita telah berjam-jam menghabiskan masa dengan sia-sia begitu sahaja tanpa sebarang manfaat. Kita perlu bijak memilih rancangan yang boleh memberi manfaat kepada diri kita dan mengelakkan mata kita dari melihat kemungkaran.
Lidah Bercakap Perkara Buruk
Lidah adalah tempat yang sangat bahaya jika ia tidak dijaga. Lidah manusia jika tidak dijaga boleh membawa kepada sifat yang keji seperti mencaci, mengumpat, menfitnah dan sebagainya. Ia boleh membawa kepada pergaduhan, perpecahan dan permusuhan. Perbuatan fitnah pula adalah satu dosa besar. Ramai orang yang akan saling benci membenci antara satu sama lain jika lidah tidak dijaga.
Dosa-dosa dari lidah kita tidak akan terlepas selagi kita tidak memohon maaf kepada orang yang telah kita lakukan dosa itu. Oleh itu, jauhilah sifat-sifat keji yang datang dari lidah ini. Gunalah lidah kita untuk bercakap perkara-perkara yang baik kepada orang lain. Tambahkan amalan melalui lidah ini dengan menyebut nama Allah bagi mendapat pahala dibulan Ramadhan ini.
Telinga Mendengar Perkara Melalaikan
Begitulah juga dengan telinga manusia. Telinga boleh menjadi tempat maksiat jika mendengar perkara-perkara buruk seperti mendengar orang mengumpat, menfitnah, bergosip dan lain-lain. Telinga juga boleh menjadi tempat yang melalaikan jika banyak mendengar lagu-lagu yang tidak bermanfaat. Memang seronok didengar oleh telinga kita tapi ia mungkin tidak membawa manfaat langsung kepada kita.
Pada bulan Ramadhan ini bukankah lebih baik jika telinga kita digunakan untuk mendengar perkara-perkara baik seperti mendengar bacaan Al Quran, tazkirah ilmu, zikir dan sebagainya. Ianya akan mendekatkan lagi diri kita kepada Allah. Jika kita banyak mendengar perkara baik yang mendekatkan kita kepada Allah, maka pahala besar yang akan kita perolehinya.
Tangan Dan Kaki Melakukan Perkara Haram
Anggota badan manusia seperti tangan dan kaki jika tidak dijaga boleh mengakibatkan seorang manusia itu melakukan perkara-perkara yang diharamkan dalam islam. Jika tidak dijaga tangan manusia boleh mengambil hak orang lain seperti mencuri harta hak milik orang lain sama ada sengaja atau tidak sengaja. Kaki manusia pula jika tidak dijaga akan membawa diri manusia pergi ke tempat-tempat maksiat.
Banyak amalan yang boleh dilakukan bagi menambah pahala ibadah puasa yang kita lakukan pada bulan Ramadhan ini. Gunakan tangan yang kita ada untuk menghulurkan sedekah kepada orang lain yang memerlukan. Bantulah orang lain yang memerlukan pertolongan. Kaki yang kita miliki hendaklah selalu digunakan untuk membawa kita ke tempat-tempat ibadah bagi menunaikan solat 5 waktu secara berjemaah di masjid.
Hati Banyak Melakukan Kemaksiatan
Hati manusia adalah anggota yang paling penting untuk dijaga. Jika hati manusia itu sudah rosak maka akan rosaklah seluruh anggota badan yang lain. Hati seorang manusia itu akan menjadi rosak jika dia banyak melakukan maksiat dan dosa tanpa bertaubat dari dosa-dosa yang telah dilakukan. Jika hati banyak melakukan kemaksiatan maka akan semakin jauhlah kita dari mendapat hidayah Allah. Malah hati yang sudah rosak tidak merasa segan atau malu apabila melakukan maksiat.
Kita seorang manusia sememangnya tidak terlepas dari melakukan dosa. Tapi kita juga diberikan akal oleh Allah untuk berfikir yang mana baik dan yang mana buruk. Hati orang yang beriman akan sentiasa memilih untuk melakukan kebaikan. Kita hendaklah menahan hati kita dari melakukan kemaksiatan. Ambillah keberkatan pada bulan Ramadhan ini untuk membersihkanlah hati kita dengan solat dan berdoa memohon keampunan dosa-dosa kepadaNya.
Kita perlu berusaha untuk meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah. Hati yang baik akan sentiasa mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Mata akan melihat perkara-perkara baik, lidah akan menyebut perkataan yang baik dan membaca Al Quran, telinga akan banyak mendengar dan menerima ilmu, tangan akan menjadi ringan untuk bersedekah dan kaki akan selalu menjejaki masjid untuk melakukan ibadah.
Bagi mendapatkan kenikmatan sebenar bulan Ramadhan ini kita perlulah berusaha menjaga anggota badan dan hati kita seluruhnya untuk mendekatkan diri kepada Allah. Bulan Ramadhan ini bukan hanya kita puasa menahan lapar dan dahaga sahaja tapi hendaklah kita menahan anggota badan yang lain dari menurut nafsu yang sentiasa mengajak ke arah kemaksiatan. Keimanan dan ketakwaan kita pada bulan Ramadhan bukan hanya dilakukan pada bulan Ramadhan ini sahaja tapi ia hendaklah dilakukan dan diteruskan setiap masa pada bulan-bulan lain sehinggalah kita meninggalkan dunia ini.
kalau kita perasan memang ada banyak dosa2 yang slalu kita lakukan dengan kaki tangan , mulut…mat… hush cubaan.. moga kita lakukan yang terbaik untuk bulan ini..
betul tu bro zik..banyak ujian untuk kita. semoga kita dijauhkan dari dosa2 dibulan ramadhan ini.
banyak yang kena jaga time bulan puasa nih. sama-sama lah kita menjauhkan diri dari sebarang perbuatan yang mengurangkan pahala puasa nih.
Terima kasih. Betul tu banyak yang perlu kita jaga supaya tidak melakukan kemaksiatan dibulan ramadhan ini. kita kena jauhkan perbuatan yang boleh menyebabkan puasa kita menjadi sia-sia. Sama2 tingkatkan amalan dibulan ramadhan ini..
Penulisan yg baik 🙂
Bulan ramadhan pun kita x akan terlepas dari berbuat dosa.Rasa takut sgt
Terima kasih bro..itulah yang paling dirisaukan. bulan ramadhan pun kadang2 kita boleh terleka dan melakukan dosa. semoga kita sama2 dijauhkan dari segala dosa2..