Adakah ianya terlalu lewat untuk mulakan perniagaan?
Mungkin umur kita (atau sesiapa sahaja yang anda kenali) telah mencecah 35… 40… 45… 50… atau lebih! Mungkin kita rasakan kita agak “tua” atau lewat untuk memulakan perniagaan online.
Pastinya jawapannya adalah tidak!
1. Pengalaman!
Pengalaman memainkan peranan yang penting dalam kejayaan. Sama ada pengalaman dalam perniagaan sebelum ini, atau pengalaman dalam hidup. Mereka yang telah melalui hidup beberapa dekad pastinya telah melalui pelbagai asam garam hidup dan berjumpa dengan pelbagai jenis ragam orang.
Pengalaman ini adalah sungguh berharga apabila memulakan perniagaan. Pengalaman memberi pelbagai kebijaksanaan dalam membuat sebarang keputusan perniagaan. Pengalaman mengajar kita kesabaran untuk berusaha dalam perniagaan.
2. Tidak lagi “gilakan” wang!
Ketika muda, mungkin wang menjadi prioriti utama. Apabila umur semakin meningkat, walaupun wang masih lagi penting, tetapi bukan lagi keutamaan. Mungkin ketika ini, kebebasan menjadi prioriti- kebebasan masa untuk bersama keluarga, kebebasan membuat pilihan, kebebasan kewangan dan sebagainya.
Apabila memulakan perniagaan bukan lagi bermotifkan wang dan kekayaan semata-mata, ia memberikan sebab yang lebih baik untuk berusaha memulakan perniagaan- sering kali untuk keluarga! Motif inilah yang paling kuat dan akan memberi motivasi dan momentum yang hebat pada mereka!
3. Tahu cara untuk berjaya!
Mungkin ketika muda, “darah muda” membuatkan kita lebih yakin, dan ada kalanya terebih “over confident” pula. Maklumlah, masih lagi mentah. Tetapi, usia dewasa membuatkan kita lebih tahu apa yang diperlukan untuk berjaya.
Kita tahu cara menetapkan matlamat dan cara untuk mencapai sesuatu matlamat. Kita tahu erti kegagalan dan apa yang diperlukan untuk mencapai kejayaan. Pendek kata, tidak kira tahap mana pencapaian kita hingga hari ini kita tahu apa yang diperlukan untuk berjaya.
Sebenar-benarnya, tiada siapa yang terlewat dalam perniagaan. Setiap kali saya diajukan soalan “adakah saya terlewat dalam memulakan perniagaan?”
Sering saya teringat Colenel Saunders, pengasas KFC. Beliau mencapai kejayaan pada umur 72 tahun.
Tapi kini tak perlu melihat jauh, Tun Mahathir pun kini berumur 92 tahun dan menjadi perdana menteri paling tua di dunia! Satu inspirasi bahawa umur tidak boleh lagi jadi penghalang.
Umur sudah tidak patut lagi menjadi alasan untuk tidak melakukan sesuatu yang anda inginkan! Apatah lagi kita yang mungkin dalam 40-an atau 50-an yang berniat dan bercita-cita untuk mulakan perniagaan di Internet.
Jangan jadikan “umur” sebagai alasan terlewat.
Kerana sekiranya anda MAHU, maka anda perlu mencari ILMU dalam apa sahaja dan LAKU apa yang anda perlu lakukan!