Pemain Thailand tidak gentar dengan kemungkinan perlu berdepan dengan 80,000 penyokong Malaysia di Stadium Bukit Jalil apabila mereka beraksi pada perlawanan pusingan pertama separuh akhir Piala Suzuki AFF Sabtu ini.
Jurulatih pasukan Thailand Milovan Rajevac berkata suasana penuh tekanan di Stadium Bukit Jalil tidak membimbangkan para pemainnya.
“Ia tidak langsung menimbulkan kebimbangan kerana pemain profesional perlu mampu mempamerkan prestasi baik tidak kira sama ada mereka bermain di hadapan 100,000 orang atau sekadar beberapa ratus orang sahaja. Kami perlu melalui dua perlawanan dan sekiranya kami membuat persiapan dengan baik dan bermain seperti dirancang, kami tidak akan menghadapi sebarang masalah,” katanya seperti yang dipetik media tempatan di sini hari ini.
Anak didik beliau akan ke Kuala Lumpur untuk berdepan dengan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe dalam perlawanan pertama separuh akhir yang amat dinanti-nantikan Sabtu ini.
Skuad “Gajah Perang” itu, yang menduduki tangga teratas dalam kumpulan mereka setelah mencapai kemenangan selesa 3-0 terhadap Singapura pada perlawanan akhir kumpulan Sabtu lepas, akan menjadi tuan rumah kepada “Harimau Malaya” dalam perlawanan kedua separuh akhir pada 5 Dis di Stadium Rajamangala di sini.
“Harimau Malaya” pula mara ke peringkat separuh apabila menduduki tangga kedua di belakang Vietnam setelah mempamerkan permainan jauh lebih mantap ketika mengalahkan Myanmar 3-0 pada perlawanan akhir kumpulan mereka di Bukit Jalil Sabtu lepas.
Sementara itu Supachai Chaided, 19, yang menjaringkan satu gol dan dinobatkan sebagai pemain terbaik pada perlawanan Thailand-Singapura, berkata keadaan bising di Stadium Bukit Jalil yang penuh sesak semasa perlawanan separuh akhir Sabtu itu, tidak merisaukannya.
“Saya tidak rasa gementar kerananya. Kami pernah bemain di Malaysia. Kami tahu mereka ada ramai peminat apabila kami bertandang ke sana dan penyokong tempatan tentu akan memberi sokongan kepada pasukan mereka. Kami hanya beri fokus kepada permainan kami dan tidak perlu berasa wujudnya tekanan tambahan berikutan sorakan bergemuruh oleh penonton tempatan,” kata pemain Buriram United itu.
Pemain pertahanan Thailand berasal dari Wales, Mika Chunuonsee juga menjangka perlawanan pasukannya dengan Malaysia adalah sengit, tetapi tetap yakin dia dan rakan sepasukan akan meraih kejayaan pada akhir pertemuan separuh akhir dua pusingan itu.
“Sudah tentu bukan sesuatu yang mudah. Mereka (Malaysia) memang pasukan yang bagus. Mereka telah beraksi dengan amat baik hingga layak mara ke pusingan seterusnya. Saya berpendapat, sekiranya kami pergi ke sana bersama-sama rancangan permainan yang disusun rapi dan taktik yang betul, kami akan dapat membawa pulang kemenangan,” katanya.
Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, skuad Filipina bimbingan Sven-Goran Eriksson, yang menduduki tempat kedua di belakang Thailand, akan bertemu Vietnam untuk merebut satu lagi tempat ke perlawanan akhir.
Sumber : Bernama