Posted on Leave a comment

Kisah Gergasi Yang Tertewas

Nokia suatu ketika dulu merupakan brand ternama telefon mudah alih selama lebih dari dua dekad. Di zaman kegemilangannya, hampir semua golongan kelas menengah di banyak tempat seluruh dunia memiliki telefon bimbit Nokia Communicator. Ketika itu, Nokia merupakan simbol prestij yang baru. Namun semua itu tinggal sejarah. Mulai Oktober 2014, Nokia telah lenyap selamanya, “dibunuh” oleh Microsoft yang telah mengambil alih perusahaan yang berasal Finland ini pada tahun 2013.

Gergasi perusahaan internet, Microsoft, mengambilalih Nokia pada September 2013 dengan nilai USD 7.2 billion. Pengambil alihan ini merupakan berita besar dalam industri teknologi komunikasi dan digital kerana ini merupakan petanda nyata bahawa Nokia sudah sampai ke penghujung jalan. Ramai yang tidak percaya dengan kenyataan ini, terutama sekali apabila mengenangkan nama Nokia yang pernah besar, megah, dan berkibar di mana-mana.

Sejak 1998, Nokia menguasai pasaran telefon bimbit dunia, termasuk pasaran Malaysia, baik di pasaran rendah (low end), menengah, mahu pun pasar premium. Pelbagai produk Nokia yang dilancarkan amat dinanti-nantikan oleh peminat telefon bimbit. Antara lain Nokia Communicator, yang membolehkan para penggunanya menaip dengan keyboard, mengirim mel elektronik, bahkan mengirim dokumen dalam bentuk faks. Nokia menjadi simbol prestij kelas menengah di dunia.

Tetapi pada awal tahun 2000-an, Nokia mulai mendapat persaingan hebat. Dalam enam tahun terakhir, penjualan Nokia menurun 40 peratus setelah syarikat dari Kanada, RIM (Research In Motion Ltd) mengeluarkan Blackberry dan syarikat dari Amerika Syarikat, Apple, mengeluarkan iPhone dan iPad dengan sistem operasi iOS. Sementara itu, Google memperkenalkan sistem operasi Android yang digunakan dalam pelbagai telefon pintar jenama-jenama seperti Samsung dan LG.

Walaupun ramai pengguna telefon pintar semakin menyukai sistem operasi iOS dan Android, Nokia tetap degil mempertahankan sistem operasi Symbian yang dianggap kurang dinamik. Para pegawai atasan Nokia menganggap penurunan jualan produk Nokia bersifat sementara dan akan kembali pulih dalam waktu terdekat. Masih ramai yang percaya bahawa pasaran Nokia yang goyah akan kembali kukuh.

Realitinya, penjualan Nokia makin menurun dan tidak pernah kembali lagi ke puncak. Saham Nokia jatuh hingga lebih dari 80 peratus pada tahun-tahun berikutnya. Jika pada tahun 2000 saham Nokia diperdagangkan dengan nilai GBP 54, 73, pada tahun 2013 ia jatuh menjadi GBP 4 (GBP 1 = MYR 6). Nokia tidak pernah lagi bangkit menikmati kejayaan.

Yang menyedihkan adalah Nokia pernah membuat produk tablet, sebelum Apple mengeluarkan iPad. Sayangnya, Nokia tidak memperkembangkan lebih jauh tablet Nokia.

Empat Faktor Kegagalan

Mengapa Nokia yang pernah mengecapi kejayaan yang seluruh pelosok dunia dan begitu cepat jatuh dan lenyap tanpa kesan? Terdapat empat faktor utama kegagalan Nokia.

Pada tahun 2002, Nokia mengeluarkan Siri 60 dengan sistem operasi Symbian dan mendapat maklum balas yang baik dari pasaran. Namun begitu, pada tahun 2007, setelah Apple memperkenalkan sistem operasi iOS yang lebih dinamik dan pada tahun 2008 Google mengeluarkan sistem operasi Android, Nokia mulai ditinggalkan oleh pengguna telefon pintar. Sistem operasi Symbian dianggap tidak responsif dan tidak dinamik. Ini salah satu penyebab utama kejatuhan Nokia.

Faktor kedua: Nokia tidak mampu mengatasi kemajuan persaingan dalam industri telefon pintar. Pada suku ke-4, 2010 pasaran Nokia adalah 30%, pada suku ke-4 2012, penjualan Nokia hanya kurang dari 0.5 peratus.

Faktor ketiga: Nokia bukan hanya kalah dengan persaingan Apple, Samsung, Sony, dan Blackberry dalam pasaran telefon pintar high-end, tetapi juga dalam segmen telefon low-end. Nokia turut kalah dengan HTC, Huawei, ZTE, dan Micromax yang menghasilkan telefon low-end. Meskipun Nokia mengeluarkan Nokia 1100 dan kemudiannya Nokia Asha, semuanya sudah terlambat. Ia sudah kehilangan momentum.

Faktor keempat: Nokia gagal melakukan strategi branding yang tepat. Apple adalah perusahaan telefon pintar yang menggunakan strategi ini, dengan menonjolkan iPhone sebagai umbrella brand dan kemudian mengeluarkan model-model baru setiap tahun. Samsung juga dengan cepat mengikut konsep ini dan mulai mengeluarkan telefon high-end mereka melalui siri Galaxy S.

Sebenarnya Nokia memiliki Siri N dan kemudiannya Siri Lumia, tetapi yang menjadi persoalan adalah Nokia gagal menciptakan sesuatu yang menyegat dan ranggi seperti yang dilakukan oleh Apple yang mengeluarkan model baru setiap September. Bagi pencinta iPhone dan iPad, mereka selalu ingat bahawa mereka boleh mencari model terbaru setiap September.

Setelah beberapa tahun lamanya, Nokia tidak dapat menjangka kehendak pasaran, malah mengabaikannya. Dalam era teknologi seperti sekarang, Nokia tidak melakukan inovasi secara berterusan. Akhirnya sudah tentunya para pengguna ”menghukum” Nokia.

Setelah mengambil alih Nokia pada tahun 2013, sebenarnya Microsoft berharap jualan akan meningkat kembali. Namun begitu, momentum emas sudah hilang. Nokia yang ditukar sistem operasi menggunakan Windows Phone tidak mampu mengejar pesaingnya.

Pengajaran yang diperolehi daripada kejatuhan jenama Nokia adalah, setiap perusahaan harus sentiasa dinamik dan dapat menjangka setiap perkembangan pasaran.

Sumber: Usahawan.com

JOM SHARE
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *