Nak Bisnes? Cuba Strategi Bisnes Gaya Semut Ni

Tidak dapat disangkal lagi bahawa pemilihan lokasi perniagaan yang strategik merupakan faktor penting yang bakal menentukan kejayaan perniagaan retail anda. Oleh itu, pemilihan lokasi perniagaan perlu dititikberatkan.

Anda mungkin berkata,” Tetapi perniagaan Warung Kak Lang tetap maju walaupun lokasinya nampak kurang sesuai!” Memang benar, tetapi ia mengambil masa sehingga belasan tahun untuk dipopularkan dari mulut ke mulut!

Alangkah baiknya jika perniagaan anda terus laris serta merta selepas dibuka! Apakah perkara-perkara yang perlu diambil kira dalam pemilihan lokasi perniagaan? Ikutilah strategi pemilihan lokasi bisnes gaya semut ini

1. Jenis Semut:
Ia diumpamakan sebagai sarasan pasaran anda. Saya kaitkan jenis semut dengan jenis tempat tinggalnya (sarang semut) untuk memudahkan anda memilih lokasi perniagaan yang tepat.

Contoh jenis semut adalah kumpulan orang ramai berjumlah 36, 45, 120 atau 500 orang; yang boleh jadi penghuni apartmen, rumah pangsa, pekerja pejabat atau kilang, mahu pun kanak-kanak sekolah.

2. Sarang Semut:
Ini merupakan tempat di mana semut menghabiskan sebahagian besar waktunya, samada di tempat kediaman mahupun tempat melakukan pelbagai aktiviti.

Contohnya di kawasan perumahan (sesuai dengan jenis semut yang disasarkan), kilang, pejabat dan sekolah.

3. Pengundang Semut:
Pengundang semut merujuk kepada tempat-tempat yang menarik perhatian semut untuk datang berkunjung. Apa beza pengundang semut dengan sarang semut? Sarang semut bersifat tetap, iaitu jika dipindahkan, sang semut turut sama berpindah.

Lain pula halnya dengan pengundang semut; jika adanya pengundang semut lain yang lebih dekat atau lebih manis, maka semut sebagai pelanggan tidak teragak-agak untuk berpaling tadah. Pengundang semut adalah seperti pusat membeli-belah, pasar, hypermarket, kursus dan gym.

4. Laluan Semut:
Laluan semut merupakan jalan yang diikuti oleh semut-semut. Laluan yang terbaik adalah di antara sarang semut dengan pengundang semut. Bagi sebahagian besar perniagaan, jalan dari tempat kerja semut menuju ke sarang semut merupakan laluan yang paling sesak dan paling kerap digunakan.

Jangan anggap bahawa kedudukan anda strategik hanya kerana ia berdekatan dengan sarang semut. Jika kedudukan anda di jalan buntu, ia serupa juga dengan tidak berada pada laluan semut.

Laluan semut yang terbaik adalah seperti di jalan-jalan utama kawasan membeli-belah, laluan dua hala, laluan pulang, dan berdekatan dengan pengundang-pengundang semut.

5. Nampak Oleh Semut;
Pastikan kedai anda dapat dilihat dengan jelas sewaktu semut berjalan mengikuti laluan semut. Tentukan jarak dan sudut pandangan semut. Makin senang dilihat, tanpa perlu tercari-cari, semakin mudah ia dikenalpasti oleh semut.

Hindari sudut yang boleh terlepas pandangan semut, seperti sudut yang terperuk ke dalam, posisi selepas selekoh, dan berada di tingkat yang terlalu tinggi.

Bagaimana jika sudah telanjur berada di lokasi yang salah? Maka anda perlu memilih di antara berbelanja lebih untuk promosi bagi mengundang semut, atau berpindah ke lokasi lain..

Usahawan.com