Pasar Raya Besar Tak Dibenar Beroperasi Di Pinggir Bandar Dan Pedalaman

Kerajaan tidak akan membenarkan pasar raya besar beroperasi di kawasan pinggir bandar dan pedalaman, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata ia bagi membantu kelangsungan perniagaan kedai runcit kecil yang beroperasi di kawasan-kawasan tersebut.

Pada masa ini, beliau berkata pasar raya besar menguasai 65 peratus daripada pasaran runcit dalam negara manakala 35 peratus lagi dipunyai kedai-kedai runcit kecil.

“Pasar raya besar sangat mengharapkan kerajaan membuka halangan supaya mereka juga boleh beroperasi di kawasan pedalaman. Itu kita tidak benarkan kerana ia akan menyebabkan industri runcit kecil terjejas,” katanya semasa menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2019 bagi KPDNHEP di Dewan Rakyat malam ini.

Beliau berkata kerajaan terpaksa mengimbangi keadaan tersebut walaupun menyedari kewujudan pasar raya besar di pinggir bandar akan menawarkan barangan runcit pada harga lebih murah kepada pengguna.

“Kelebihan pasar raya besar ialah dia boleh beli barangan dengan harga murah, dia beli banyak, jadi dia boleh jual murah, jual murah baik untuk pengguna.

“Di sisi lain, jika kita benarkan mereka sampai ke pinggir bandar ia akan menguntungkan pengguna tapi kesannya pula kedai runcit tak hidup, jadi kita terpaksa mengimbangkan keadaan ini,” katanya.

 

Sumber :  Bernama

JOM SHARE
  • Leave Comments