Pengasas Amazon, Jeff Bezos Individu Terkaya Di Dunia Rampas Gelaran Milik Bill Gates

Pernah dihina dan ditertawakan, kini Jeff Bezos merampas gelaran milik Bill Gates sebagai individu terkaya dunia. Jeff Bezos secara rasmi adalah manusia paling kaya di dunia hasil kejayaan syarikatnya, Amazon, dengan visi beraninya menjangkau ke angkasa lepas.

Amazon adalah sebuah laman sesawang membeli-belah secara atas talian. Pada Jun lalu, pihak Amazon telah mengumumkan pembelian Whole Foods Market Amerika secara tunai dengan nilai sebanyak RM55.1 bilion sekali gus melonjakkan sahamnya sehingga 3.3%!

Seiring dengan harga saham Amazon yang melonjak mendadak, kekayaan Jeff sebagai pemegang saham terbesar Amazon turut meningkat drastik! Sejak itu, berita mengenai Jeff dan Bill Gates menjadi berita hangat yang terpapar di dada-dada akhbar…

Dengan harga saham Amazon meningkat hampir 60 peratus sejak beberapa tahun lalu, kekayaan peribadi pengasas syarikat berusia 54 tahun itu, meningkat dua kali ganda kepada lebih AS$110 bilion (RM430.38 bilion). Bezos mengatasi Bill Gates minggu ini untuk menduduki tempat teratas senarai jutawan tahunan majalah Forbes, menyebabkan pengasas Microsoft jatuh ke tempat kedua dengan kekayaan bernilai AS$90 bilion (RM352.13 bilion).

Beliau memecahkan rekod dengan formula kejayaan termasuk melakukan taruhan berani, menerajui perubahan dan bangkit daripada beberapa halangan. Sebagai pemegang gelaran individu terkaya di dunia, Bill Gates menyatakan bahawa Jeff Bezos seperti harimau yang ganas dan sedang mengejarnya dengan buas!

Kehidupan Peribadi Jeff Bezos

Sementara itu, kisah silam Jeff Bezos bukanlah seperti yang kita sangkakan. Ketika dilahirkan, bapanya Jeffrey Preston Jorgensen dan ibunya, Jacklyn Gise masing-masing baru berusia 18 dan 17 tahun. Malah, kedua-duanya masih lagi berada di bangku sekolah.

Namun begitu, setahun kemudian, kedua-duanya telah berpisah kerana Jeffrey adalah seorang pemabuk dan tidak mempunyai rasa bertanggungjawab terhadap keluarganya. Selepas bercerai, Jeffrey terus mengabaikan isteri dan anaknya serta tidak pernah memberi nafkah.

Cita-cita Menjadi Angkasawan

Tiga tahun kemudian, ibu Jeff telah berkahwin dengan seorang imigran dari Cuba yang bernama Miquel Bezos. Sewaktu berusia 14 tahun, Jeff mula memasang cita-cita untuk menjadi seorang angkasawan atau ahli fizik. Dua tahun kemudian, Jeff dilihat mempunyai kemahiran tertentu apabila beliau berjaya memasang kincir angin dengan menggunakan mesin kimpalan sekali gus membolehkannya menerima biasiswa di sekolah tinggi.

Jeff Bezos bergambar bersama ibunya, Jacklyn Gise dan bapa tirinya, Miquel Bezos

Dengan prestasi yang bagus, Jeff Bezos telah diterima masuk ke Universiti Princeton pada usia 18 tahun dan semua ini adalah berkat pengaruh daripada bapa tirinya. Setelah menamatkan pengajian di universiti terkemuka berkenaan pada tahun 1986, Jeff Bezos memulakan kariernya di Wall Street. Beliau pernah bekerja sebagai pakar komputer, pegawai bank dan menjadi Naib Presiden di syarikat Trust.

Pada tahun 1994, Jeff Bezos mengahwini cinta sejatinya, Mac Kenzie dan sehingga kini, mereka telah dikurniakan dengan empat orang cahaya mata. Kisah penubuhan Amazon bermula apabila Jeff telah melayari satu laman sesawang dan mendapati bahawa setiap tahun, berlaku peningkatan pengguna Internet sebanyak 2300%! Perkara ini membuatkan Jeff merasakan peluang perniagaan terbuka luas untuknya dan dia perlu melakukan sesuatu secara atas talian!

Justeru, beliau telah mengkaji dan menyenaraikan pelbagai barangan yang berpotensi untuk dijual di internet.. Daripada senarai 20 barangan, Jeff Bezos mengambil keputusan muktamad untuk menjual buku kerana terdapat banyak pilihan buku yang boleh dijual secara atas talian!

Setahun kemudian iaitu pada tahun 1995, Jeff akhirnya berjaya menubuhkan Amazon. Pada asalnya, syarikat tersebut dinamakan Cadabra Inc. Bagaimanapun, memandangkan ramai pihak yang sering tersalah dengar nama tersebut sebagai ‘Cadaver’ yang membawa maksud mayat atau bangkai, maka beliau menukarkannya kepada Amazon.

Namun begitu, Amazon tidaklah mencatatkan keuntungan yang memberangsangkan sepanjang 20 tahun penubuhannya. Hal ini demikian kerana kos penghantaran dan masa yang perlu ditanggung oleh pihak Amazon terlalu tinggi berbanding harga komoditi.

Oleh demikian, pada Mac 1997, Amazon mula berkongsi sahamnya dengan Nasdaq Exchange. Bagaimanapun, menerusi analisa yang dibuat oleh Lehman Brothers, dikatakan syarikat ini akan mengalami pengaliran wang keluar yang banyak dalam masa terdekat.

Walaupun ramai pihak yang mentertawakan kegagalannya dalam membangunkan Amazon, Jeff tidak menyerah kalah sebaliknya terus positif untuk melakukan sesuatu yang lebih penting. Disebabkan oleh kegigihan beliau, pada tahun 2016, Amazon mula meraih keuntungan bagi lima suku berturut-turut! Malah, kejayaan tersebut menandingi keuntungan yang diperoleh Facebook sekali gus meletakkan Amazon dalam senarai teratas 5 teknologi permodalan pasaran gergasi di Amerika Syarikat!

Pernah digelar ‘majikan yang kejam’, lelaki aneh dan sebagainya, berkat kegigihan dan semangat Jeff Bezos, beliau kini berjaya mengangkat syarikatnya dan boleh berbangga dengan keputusannya sendiri.

Jeff Bezos ketika berucap di Universiti Princeton pada 2010

Kini, Jeff Bezos menjadi individu terkaya di dunia dan beliau menjadikan platform Amazon untuk membina empayar perniagaan dan menundukkan insan-insan yang pernah menghina beliau suatu masa dahulu.

Kini, satu dunia menghormati beliau. Tahniah dan selamat maju jaya, Jeff Bezos!

“Anda perlu kuat dan mudah menyesuaikan diri berdepan cabaran selain cepat dan inovatif untuk melakukan perkara baharu dengan lebih pantas, itu adalah pertahanan terbaik menghadapi masa depan.

“Anda perlu selalu ke hadapan. Jika anda cuba menjauhi masa depan, masa depan akan menang setiap masa,” kata Bezos dalam temu bual diterbitkan majalah Vanity Fair tahun lalu.

Kesimpulannya nasihat kami daripada kisah Jeff Bezos ni ialah jangan putus asa dalam apa yang kita ceburi dan paling penting jangan pandang rendah pada orang lain. Bak kata pepatah tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa  yang tahu. Tengok macam Jeff Bezos ni siapa sangka dia mampu menjadi jutawan dari seorang pemabuk dahulunya…

Sumber : Era Baru

Hantar perkongsian artikel anda di sini -> https://www.layarsukses.com/hantar-artikel

JOM SHARE