Dalam kehidupan sebagai seorang pelajar, banyak persediaan yang perlu kita lakukan untuk menghadapi dunia yang serba mencabar pada masa sekarang. Dalam artikel yang serba ringkas ini saya lebih mengkhususkan kepada pelajar sains komputer atau IT kerana saya sendiri adalah seorang pelajar IT. Pelajar dalam bidang lain ataupun sesiapa sahaja boleh membaca artikel ini kerana penulisan artikel ini bersifat umum dan sesuai dibaca oleh sesiapa sahaja.
Orang lain belajar anda pun belajar. Tapi kehidupan anda sudah tentu tidak akan sama dengan mereka kan? Anda yang akan menentukan hidup anda sendiri. Bidang sains komputer dan IT ini sememangnya luas untuk diterokai. Jika anda seorang pelajar sains komputer/IT, bersyukurlah kerana berpeluang untuk menimba ilmu pengetahuan dalam bidang ini. Bukan semua orang diberi peluang yang sangat berharga ini seperti yang anda dapat.
Jika anda terlalu memikirkan soal susahnya belajar sains komputer/IT memang anda tidak akan berjaya dalam bidang ini. Bidang ini mungkin tidak sesuai dengan diri anda. Maka anda perlu cari bidang lain yang lebih mudah dan sesuai dengan diri anda. Ini kerana bidang sains komputer/IT ini adalah sangat mencabar dan orang yang tidak sukakan cabaran tidak akan dapat meneruskan cabaran ini.
Cabaran dalam bidang sains komputer/IT ini bukan sahaja semasa belajar tapi juga selepas anda belajar kerana persaingan dalam bidang sains komputer/IT ini boleh dikatakan agak mencabar. Sebagai seorang pelajar bidang sains komputer/IT ini anda perlu mempersiapkan diri anda untuk menghadapi realiti dunia sebenar yang lebih mencabar lagi. Dalam artikel ini saya ingin berkongsikan 10 persediaan yang perlu ada dalam pemikiran seorang pelajar sains komputer/IT.
1. Pengaturcaraan Komputer Adalah Seni Yang Hebat
Siapa cakap bahasa pengaturcaraan komputer atau programming itu susah? Haa memang akan susah jika anda tidak meminati subjek ini. Subjek programming merupakan mata pelajaran yang popular bagi seorang pelajar sains komputer/IT. Jika orang lain yang tidak belajar sains komputer hanya tahu menggunakan komputer sahaja. Tapi anda lebih hebat kerana anda tahu apakah proses yang berlaku dalam komputer itu. Anda rasa hebat tak? Anda memang hebat. Itulah kelebihan belajar pengaturcaraan komputer.
Pengaturcaraan adalah seni yang hebat dalam sebuah komputer. Anda yang menentukan bagaimana sesuatu proses itu berlaku melalui program yang anda cipta. Ianya memerlukan anda untuk berfikir lebih mendalam lagi bagi menyiapkan sebuah program. Anda boleh menunjukkan kehebatan anda sebagai seorang pelajar sains komputer/IT kepada orang lain melalui programming ini. Bukan niat untuk menunjuk-nunjuk tapi supaya orang lain nampak kelebihan sebenar belajar sains komputer/IT ini. Anda bukan hanya tahu main game tapi anda mampu mencipta game anda sendiri. Sudah tentu anda tidak akan dipandang rendah oleh orang lain. 😀
2. Jangan Terlalu Fikirkan Universiti Mana Tempat Belajar
Tahniah saya ucapkan kepada anda kerana telah berjaya menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Tidak kiralah universiti mana atau mana-mana sahaja tempat pengajian yang anda belajar. Anda perlu sentiasa bersyukur kerana diberi peluang untuk belajar di situ. Bukan semua orang berpeluang untuk menyambung pengajian ke peringkat pengajian tinggi seperti yang anda perolehi itu. Bersyukurlah dengan peluang yang diberikan. Anda memang seorang yang benar-benar bertuah.
Jika anda terlalu memikirkan tempat pengajian anda itu tidak terkenal, anda akan susah untuk berjaya. Tempat anda belajar tidak akan sesekali menjamin kejayaan dalam kehidupan anda. Ini kerana yang menjamin kejayaan dalam bidang anda adalah melalui sikap dan usaha anda sendiri. Biarlah di mana sahaja tempat anda diberi peluang untuk belajar. Tapi anda yang akan berusaha sendiri untuk menentukan kejayaan anda. Bukan disebabkan mana universiti tempat anda anda belajar itu. Universiti hanyalah tempat persinggahan untuk menimba ilmu pengetahuan di dalamnya.
3. Bukan Universiti Sahaja Sebagai Tempat Belajar
Tempat untuk belajar dan menuntut ilmu itu sememangnya sangatlah luas. Tidak terhad kepada universiti sahaja untuk meneruskan kejayaan dalam hidup anda. Biarpun anda tidak berpeluang untuk belajar di universiti seperti orang lain, janganlah anda cepat berputus asa. Teruskan menimba ilmu walau di mana sahaja anda berada. Jangan tersilap menganggap hanya universiti sahajalah sebagai satu-satunya tempat untuk belajar. Universiti hanyalah hebat di mata manusia. Jangan terlalu memikirkan kepada pandangan manusia. Apa yang lebih penting anda belajar kerana Allah. Dialah yang maha berkuasa ke atas segalanya.
Biar pun anda telah tamat belajar di universiti, itu tidak bermakna anda juga akan turut berhenti belajar. Ilmu Allah itu sangat luas dan berada di mana-mana sahaja untuk anda terokai sendiri. Anda boleh belajar dan menimba ilmu pengetahuan dari orang lain yang boleh menjadi guru kepada anda. Anda boleh menimba ilmu sendiri dengan banyak membaca melalui buku-buku. Internet yang sangat luas juga adalah lubuk kepada ilmu pengetahuan ini. Carilah dan terokailah ilmu Allah yang luas ini.
4. Apa Yang Belajar Di Universiti Sebagai Bekalan Ilmu
Tempat belajar/universiti adalah satu tempah persinggahan untuk belajar dan menimba ilmu pengetahuan. Jadikan universiti sebagai tempat untuk anda mencedok seberapa banyak ilmu yang anda mampu perolehi di dalamnya. Ini kerana ianya akan menjadi bekalan kepada diri anda selepas tamat belajar dari universiti nanti. Jangan sesekali mensia-siakan peluang berharga yang anda perolehi ini.
Jika anda tidak mahu menimba ilmu pengetahuan maka anda juga yang akan rugi. Banyak bekalan ilmu yang anda perolehi dari universiti ini akan menjadikan diri anda lebih berjaya dalam hidup ini. Realiti di alam pekerjaan adalah berbeza sama sekali dengan apa yang anda belajar semasa di universiti. Gunakan segala ilmu yang anda perolehi dari universiti untuk menghadapi realiti dunia sebenar dan seterusnya dapat memberi manfaat kepada diri anda sendiri dan juga orang lain.
5. Jangan Berhenti Belajar Dan Menuntut Ilmu
Kita sememangnya sebagai seorang manusia perlu terus belajar dan terus belajar sampai bila-bila. Tiada istilah kita telah tahu semua perkara dalam hidup ini. Ini kerana manusia tidak akan tahu semua perkara dalam hidup mereka. Tapi kita hendaklah sentiasa berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan sebanyak mungkin ilmu pengetahuan dalam diri kita. Anda telah dilahirkan untuk belajar sejak dari kecil lagi sehinggalah anda mampu mengenal dunia hari ini. Anda perlu sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan bagi menjadikan diri anda sebagai insan yang berjaya didunia dan juga akhirat.
Menuntut ilmu itu satu kewajipan untuk memandaikan diri anda. Jika tidak anda akan menjadi seorang yang bodoh atau jahil dalam setiap tindakan yang anda lakukan. Untuk lebih berkat sesuatu ilmu yang anda ada, anda hendaklah mengamalkan ilmu-ilmu yang anda tahu itu dalam kehidupan anda. Anda juga boleh mencurahkan ilmu itu kepada orang lain dengan mengajar ilmu yang anda ada supaya ia akan dapat memberi manfaat kepada diri anda sendiri dan juga orang lain. Biar semua orang sama-sama mendapat manfaat.
6. Tahu Kelemahan Dan Kekuatan Diri
Setiap insan yang bernama manusia itu tidak sempurna. Setiap orang pasti mempunyai kelebihan dan kelemahan dalam diri masing-masing. Anda perlu kenal pasti setiap kelemahan dalam diri anda. Cuba perbaiki kelemahan tersebut. Jangan jadikan kelemahan itu sebagai penyebab untuk anda tidak boleh berjaya seperti orang lain. Jangan terlalu takut dengan kelemahan anda kerana ianya boleh menghilangkan keyakinan dalam diri anda. Sikap berputus asa juga adalah tidak bagus kerana ia menunjukkan anda seorang yang mudah patah semangat.
Jika anda mempunyai sesuatu kelebihan berbanding orang lain, janganlah pula menyombong diri. Anda hendaklah cuba membantu orang lain dengan kelebihan yang anda ada itu. Dengan membantu orang lain anda akan lebih dihargai dan dihormati oleh orang lain. Jangan terlalu mengharapkan pujian dari orang lain atas kelebihan anda, jika tidak ia akan menghilang keikhlasan dalam diri anda. Cubalah membantu orang lain dengan sedaya upaya mengikut kemampuan diri anda.
7. Tunjukkan Kebolehan Supaya Tidak Dipandang Rendah
Bukan mudah untuk memberikan kepercayaan kepada orang lain untuk merasa yakin kepada anda. Cuba anda tonjolkan kelebihan yang ada dalam diri anda. Bukan dengan niat untuk menunjuk-nunjuk tapi sebagai dorongan kepada anda untuk lebih diyakini oleh orang lain. Tunjukkan bakat dan kemahiran yang ada dalam diri anda. Dengan kelebihan yang ada dalam diri anda itu, orang lain mesti tidak berani untuk memperlekehkan anda malah mereka akan rasa hormat dan kagum dengan diri anda.
Orang akan memandang rendah kepada anda jika anda seorang yang pengecut dan tidak berani berhadapan dengan orang lain. Jangan takut untuk menjadi yang terbaik kerana anda juga mampu melakukannya. Anda juga seorang yang dilahirkan untuk menjadi orang yang hebat seperti orang lain. Salah satu cara untuk menonjolkan diri anda adalah dengan menggunakan kemahiran atau bakat yang ada dalam diri anda untuk menolong orang lain. Sudah tentu orang lain akan merasa kagum dengan kehebatan diri anda. 😉
8. Tetapkan Matlamat Di Masa Hadapan
Setiap orang sudah tentu mempunyai matlamat hidup mereka sendiri dalam hidup ini. Banyak perkara yang ingin mereka lakukan di masa hadapan. Sudah tentu anda mempunyai matlamat hidup anda sendiri kan? Apa yang anda ingin lakukan di masa hadapan. Begitu juga saya, saya mempunyai matlamat hidup saya sendiri apa yang saya mahukan pada masa hadapan nanti. Sama-samalah kita berusaha untuk mencapai matlamat hidup kita itu.
Tidak salah menetapkan apa sahaja matlamat dalam hidup anda selagi anda rasa ianya mampu dengan kemampuan anda. Sebagai contoh, anda seorang pelajar sains komputer/IT tapi anda mempunyai matlamat masa hadapan untuk menjadi seorang doktor pula. Itu namanya matlamat yang berada diluar kemampuan diri anda. Kalau anda rasa anda mampu, anda boleh teruskan. Tidak menjadi kesalahan. Jika rezeki anda berada dalam bidang sains komputer ini maka carilah matlamat yang sesuai dengan bidang yang sedang anda belajar ini. InsyaAllah matlamat anda itu akan tercapai jika anda telah berusaha dengan bersungguh-sungguh.
9. Pastikan Ini Yang Paling Di Mahukan
Ada banyak benda yang anda mahukan dalam hidup ini. Anda mahu bekerja, anda mahu jadi kaya, anda mahu berkahwin, anda mahu membantu orang lain. Memang banyak perkara yang anda mahu lakukan dalam hidup ini kan? Itu sememangnya sifat semula jadi manusia yang sentiasa ingin mencuba dan melakukan sesuatu mengikut apa yang mereka mahukan. Jika rezeki anda untuk berada dalam bidang sains komputer/IT ini anda perlulah bersyukur. Tetapkan dalam diri anda bidang inilah yang paling anda mahukan dalam hidup ini.
Jangan cepat terpengaruh dengan apa yang orang lain cakap. Kadang-kadang jika anda terlalu mendengar apa yang orang lain cakap, ianya boleh mempengaruhi diri anda. Jangan mudah menerima apa yang orang lain cakap. Jika apa yang orang lain cakap itu sesuatu yang negatif ia boleh menjatuhkan diri anda. Sebaliknya jika apa yang orang lain cakap itu boleh memberikan kesan positif dalam diri anda maka terimalah dengan hati yang terbuka. Jadikan ia sebagai perangsang untuk lebih membantu diri anda melakukan apa saja yang anda mahukan.
10. Yakinlah Dengan Diri Sendiri
Jika anda tidak yakin dengan diri sendiri, mana mungkin orang lain akan yakin kepada anda kan? Keyakinan adalah penting dalam menjadikan diri anda lebih berjaya dalam apa sahaja perkara yang anda lakukan. Sebagai seorang pelajar yang menuntut dalam bidang komputer/IT, anda perlu yakin yang anda mampu untuk berjaya dalam bidang ini. Anda perlu yakin yang anda boleh menguasai bidang ini. Belajarlah dengan penuh keyakinan untuk berjaya kerana ianya adalah untuk masa hadapan anda sendiri.
Buangkan jauh-jauh segala sifat takut kerana sifat itu boleh membawa kesan buruk dalam hidup anda. Orang yang penakut akan susah untuk berjaya dalam apa yang mereka lakukan. Malah anda tidak akan kemana-mana jika masih mempunyai sifat penakut. Ramai yang takut untuk belajar dalam bidang komputer/IT kerana mereka menganggap bidang ini sangat susah untuk belajar. Anda perlu yakin yang anda boleh, kuatkan semangat anda untuk berjaya dan menguasai ilmu dalam bidang komputer/IT ini.
Sebagai kesimpulan akhir, kita perlu ingat apa sahaja ilmu yang kita belajar di dunia ini adalah untuk kebahagiaan hidup kita di dunia dan akhirat. Jangan sesekali kita menyombong diri dengan banyaknya ilmu yang kita anda ada. Jangan pula berbangga diri sekiranya kita memiliki ilmu yang tinggi. Gunakan ilmu yang kita ada dengan berkongsi ilmu kepada orang lain. Jika kita dapat membantu orang lain itulah yang sebaiknya.
Bidang sains komputer atau bidang IT ini memang sangatlah luas untuk diterokai. Selagi komputer dan internet terus wujud selagi itu bidang ini akan terus berkembang pada masa hadapan. Jika anda menyempitkan pemikiran anda dengan perkara-perkara negatif, anda tidak akan ke mana-mana. Yakinlah dengan diri anda yang anda memiliki kehebatan yang tersendiri. Biar apa orang nak kata kepada anda janganlah mudah patah semangat. Kita belajar kerana Allah bukan kerana orang lain. Yakinlah yang rezeki Allah itu sangatlah luas sama-sama kita nikmati.
Alhamdulillah, dapat juga saya menyiapkan satu artikel yang serba ringkas ini untuk dikongsikan dengan anda semua. Segala apa yang ditulis dalam artikel ini adalah pendapat yang keluar dari pemikiran saya sendiri. Mungkin pendapat anda tidak sama dengan saya. Jika terdapat mana-mana yang kesilapan yang tertulis dalam artikel ini harap dimaafkan. Jika terdapat kekurangan dalam penulisan saya ini adalah kelemahan dalam diri saya sendiri. Mana-mana yang baik itu sama-sama kita amalkan. Semoga dapat memberikan manfaat. 🙂
slm, boleh syorkan spek. kom. yg bakal student SC perlu ada? TQ
Saya hendak berkongsi kajian yang pernah dibuat di kawasan pendalaman India untuk mencelik IT. Apa pengkaji buat adalah dengan meletakkan satu set komputer yang mempunyai akses internet. Penduduk pendalaman ini memang buta IT tetapi mereka belajar dengan explore dan tanpa didikan formal mereka berjaya mengunakan komputer yang disediakan dengan baik walaupun pada asal tidak celik IT
Wah terima kasih kerana berkongsi satu informasi menarik ni. Apa yang saya nampak disini maknanya setiap orang mampu belajar IT ni jika mereka rajin untuk meneroka dan belajar..orang yang malas tidak akan menadapat apa2..
Yang saya tahu kos nih bukan calang2 org yang ambik…kawan saya ada sorang bekas penuntut IPTA amik kos nih..tak silap dia UPM dulu…mmg dasyat…
Memang dahsyat gak bro siapa yang belajar kos sains hebat ni..mesti kawan bro tu seorang yang sangat hebat..hehe
penerangan yang padat dan tepat… insyallah kalau kita berusaha dan merancang dengan baik… ianya akan berjaya dilaksanakan.. yang penting jangan berputus asa…
Terima kasih bro zik..segala apa yang kita rancang pasti akan berjaya jika kita tidak berputus asa..:)