Posted on 1 Comment

Salam Maal Hijrah 1433H

Assalamualaikum.

Salam Maal Hijrah 1433 saya ucapkan kepada semua umat islam. Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi kerana masih memberikan kita peluang untuk menikmati kehidupan yang baik dan sejahtera ditahun baru hijrah yang telah disambut beberapa hari yang lalu. Ini bermakna umur kita semua telah bertambah untuk setahun lagi. Kita semua masih diberikan peluang oleh Allah untuk menghirup udara segar di muka bumi Allah ini. Ianya satu nikmat dan anugerah dari Allah yang tidak ternilai harganya.

Setiap kali menyambut tahun baru islam ini kita selalu mendengar tentang Hijrah. Apakah yang difahami oleh kita tentang makna hijrah ini. Setiap dari kita perlu sentiasa berhijrah untuk menjadi lebih baik dalam apa sahaja perkara yang ita lakukan. Setiap orang mampu untuk berhijrah. Bergantung kepada diri masing-masing sama ada mahu berhijrah atau pun tidak. Untuk berhijrah kita mesti mula dengan diri kita sendiri.

Perlu Ada Kesedaran

Kita hidup sebagai khalifah di muka bumi ini perlu sentiasa sedar dengan tujuan hidup kita dan ke mana kita akan pergi selepas kehidupan dunia ini. Adalah sangat merugikan bagi mereka yang hidup di dunia ini semata-mata untuk makan, minum, tidur dan lain-lain lagi. Kita mempunyai tanggung jawab dan kewajipan besar yang perlu dilaksanakan iaitu melakukan amal ibadat kepada Allah sebagai bekalan untuk kehidupan yang kekal abadi di hari akhirat. Ibadat paling utama adalah melaksanakan kewajipan solat 5 waktu kerana solat adalah perhubungan di antara kita dengan Allah.

Perlu Menuntut Ilmu

Ilmu adalah sangat penting kepada seorang manusia. Dengan ilmu yang dimiliki ia akan dapat memimpin mereka ke jalan yang benar. Kita perlu sentiasa berusaha menambahkan ilmu pengetahuan dalam diri untuk berhijrah. Carilah ilmu yang bermanfaat yang akan dapat mengubah diri kita untuk menjadi seorang insan yang lebih baik dari sebelumnya. Carilah ilmu yang baik itu dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Kalau kita hanya memandang rendah dengan ilmu maka bersedialah untuk merana di dunia dan akhirat. Kerana orang yang tidak memiliki ilmu akan tersesat didunia dan juga akhirat.

Persekitaran Yang Baik

Faktor persekitaran juga boleh mempengaruhi diri kita. Jika kita berada dalam suasana persekitaran yang baik, peluang untuk kita berhijrah boleh menjadi lebih mudah. Carilah suasana yang baik dengan orang-orang disekeliling kita. Banyak melakukan kebaikan kepada orang lain mengikut kemampuan diri kita. Jangan pula mencari masalah dengan orang lain kerana ia akan menyusahkan diri kita sendiri. Jika kita banyak bergaul dengan orang-orang yang baik, ia akan dapat membantu diri kita untuk berhijrah menjadi orang yang lebih baik dari sebelumnya.

Berdoa Kepada Allah Untuk Berubah

Doa adalah senjata utama orang islam. Doa dapat mendekatkan diri kita kepada Allah. Kita Boleh memohon kepada apa sahaja hajat yang kita inginkan. Untuk berhijrah menjadi lebih kadang-kadang sukar bagi diri kita kerana ia memerlukan satu semangat yang kuat dalam diri kita. Jika kita rasa tidak mampu, jangan lekas berputus asa. Sebaliknya berdoalah kepada Allah supaya diberikan kekuatan dalam diri untuk berubah menjadi orang yang lebih baik. Kita boleh bertawakal kepada Allah selepas berdoa dengan bersungguh-sungguh. Jika kita benar-benar ikhlas, Allah pasti akan membantu hambaNya yang memerlukan pertolongan.

Kita sebagai orang islam perlu menghayati peristiwa hijrah pada zaman Rasulullah s.a.w untuk menyebarkan agama islam. Perjuangan orang-orang islam pada zaman dahulu sangatlah besar kerana mereka sanggup berhijrah dari Mekah ke Madinah demi ingin mempertahankan agama islam. Konsep hijrah pada zaman kini bergantung kepada setiap individu bagaimana mereka memahami maksud sebenar hijrah dalam kehidupan mereka.

Kita perlu sentiasa berusaha untuk berhijrah supaya diri kita dapat menjadi orang yang lebih baik dari sebelumnya. Kita perlu sentiasa mempunyai keinginan yang kuat untuk sentiasa meningkatkan ketakwaan dalam diri kita kepada Allah. Semoga pada tahun baru hijrah 1433 ini, Allah akan memberi kekuatan dalam diri kita untuk berhijrah menjadi seorang insan yang lebih baik dan lebih beriman dari tahun yang sebelumnya


JOM SHARE

1 thought on “Salam Maal Hijrah 1433H

  1. salam maal hijrah, nik
    moga2 sentiasa beroleh rahmatNya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *