Sambutan Hangat Piala AFF, 40,000 Tiket Online Aksi Malaysia Thailand Habis Dijual

Kuala Lumpur : Tiket bagi perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF 2018 di antara Malaysia dan Thailand pada Sabtu ini, dijual bagaikan ‘pisang goreng panas’ apabila kesemua 40,000 tiket secara dalam talian habis dijual.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi kenyataan di akaun Facebooknya berkata, penjualan tiket hari kedua yang bermula pagi tadi, telah ditutup apabila penjualan secara online di www.tickethotline.com.my, telah mencecah 20,000 keping.

Pada hari pertama penjualan tiket semalam, sebanyak 20,000 telah habis dijual.

FAM berkata, baki 40,000 keping tiket akan dijual secara fizikal bermula Khamis ini (29 Nov), iaitu sebanyak 30,000 akan dijual di kaunter tiket Stadium Nasional dan 10,000 di outlet terpilih Al-Ikhsan Sports, sehingga ia habis dijual.

“Waktu sebenar penjualan tiket secara fizikal di Stadium Nasional dan outlet terpilih Al-Ikhsan Sports akan dimaklumkan kemudian kerana ia bergantung jika tiada kelewatan untuk tiket-tiket berkenaan tiba dari Bangkok, Thailand yang dijangka pada malam esok.

“FAM tidak dapat menjual terus kesemua 80,000 keping tiket menerusi sistem online kerana untuk memberi peluang juga kepada para penyokong yang tidak dapat membuat pembelian secara online supaya mereka boleh membeli tiket secara fizikal di kaunter tiket di Stadium Nasional dan juga di outlet terpilih Al-Ikhsan Sports,” menurut kenyataan itu.

FAM juga menjelaskan bahawa tiada kaunter khas dibuka di Wisma FAM, Kelana Jaya kerana faktor jangkaan kesesakan di kawasan berkenaan yang terletak berdekatan kawasan perumahan.

Separuh akhir pertama Piala AFF 2018 antara Malaysia dan Thailand akan berlangsung di Stadium Nasional pada Sabtu ini, manakala aksi timbal balik dijadualkan di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 5 Dis.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, Filipina akan mencabar Vietnam di Bacolod (Filipina) pada 2 Dis, sebelum aksi timbal balik di Hanoi pada 6 Dis.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata penyokong boleh membeli tiket bagi aksi di Stadium Rajamangala bermula hari ini sehingga Jumaat (30 Nov), dengan harga ditetapkan RM80 bagi tempat duduk teres bawah (level 1) dan RM67 bagi tempat duduk teres atas (level 2 dan 3).

Beliau berkata penyokong Malaysia yang berminat untuk membeli tiket perlawanan yang akan bermula pada 7 malam waktu tempatan (8 malam waktu Malaysia), perlu membuat bayaran ke akaun Bank Islam – ‘FOOTBALL ASSOCIATION OF MALAYSIA’ dengan nombor akaun 12131010006121 mengikut bilangan tiket yang diperlukan.

Penyokong kemudian dikehendaki e-mel butiran peribadi, iaitu nama penuh, nombor MyKad, nombor telefon, kategori tiket (RM80 atau RM67), jumlah tiket dan lampirkan bersama slip pembayaran bank ke tiket@fam.org.my.

“Pihak FAM akan membalas e-mel berkenaan bagi mengesahkan penerimaan wang pembelian tiket tersebut. Tiket yang telah dibeli itu kemudian boleh diambil/ditebus di Bangkok dari Selasa, (4 Dis) hingga Rabu (5 Dis).  Anda akan dihubungi wakil FAM di sana bagi urusan pengambilan/penebusan tiket.

“Sebarang pembelian tiket melalui FAM bagi perlawanan ini selepas jam 11.59 malam pada Jumaat (30 Nov) tidak akan diproses dan pembayaran yang telah dibuat juga tidak akan dikembalikan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook FAM.

Beliau berkata, bagi penyokong Malaysia yang membeli sendiri tiket di laman web Thai Ticket Major, mereka perlu menebusnya di lokasi yang telah ditetapkan syarikat berkenaan.

Sumber : Bernama

 

 

JOM SHARE
  • Leave Comments