Posted on 18 Comments

Tahap Keilmuan Dalam Diri Manusia

Assalamualaikum.

Menuntut ilmu adalah satu kewajipan bagi setiap orang islam. Kita telah diajar menuntut ilmu oleh ibu bapa kita sejak dari kecil lagi. Kemudian kita dihantar ke sekolah untuk belajar ilmu di sekolah daripada guru-guru pula. Apa saja jenis ilmu yang kita belajar selagi berlandaskan syariat islam akan dapat memberi manfaat kepada kita. Ilmulah yang akan menyelamatkan seseorang itu di dunia dan ilmu jugalah yang akan menyelamatkan seseorang itu di akhirat kelak. Ada empat jenis golongan manusia yang hidup di dunia ni. Golongan ini dibahagikan kepada empat berdasarkan kepada peringkat ilmu pengetahuan yang mereka miliki.

1) Orang yang memiliki ilmu dan tahu diri mereka berilmu.

Golongan yang pertama ini memiliki ilmu yang mendalam diri mereka kerana mereka rajin menuntut ilmu. Memiliki ilmu yang banyak tidak melupakan mereka untuk terus menyampaikan ilmu yang mereka miliki kepada orang lain pula. Contoh mereka yang berada dalam golongan ini adalah seperti ulamak, guru-guru, ustaz-ustazah dan banyak lagi. Mereka tahu yang mereka telah memiliki ilmu dan mereka merasakan menjadi satu kewajipan pula bagi mereka untuk menyampaikan ilmu yang mereka miliki kepada orang lain pula. Mereka inilah orang yang sebenar-benarnya berilmu.

2) Orang yang memiliki ilmu tapi tidak tahu diri mereka memiliki ilmu

Mereka yang berada dalam golongan yang kedua ini pula adalah mereka yang terleka ataupun lalai dalam hidup mereka. Mereka sebenarnya banyak menuntut ilmu tapi tidak mengamalkan ilmu yang mereka miliki. Cara mereka bertindak juga adalah seperti orang yang tidak tahu apa-apa padahal mereka telah banyak menuntut ilmu. Contohnya, seseorang itu tahu yang solat itu wajib bagi orang islam tapi kenapa mereka masih mengabaikan dan meninggalkan solat? Ini kerana mereka ini telah lalai dengan kehidupan dan tidak mengamalkan segala ilmu yang mereka miliki dengan sebaiknya. Mereka ini perlu diberikan kesedaran.

3) Orang yang tidak berilmu dan tahu diri mereka tidak berilmu

Mereka yang berada dalam golongan ini pula memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar dari orang-orang yang lebih pandai. Mereka ini sedar yang mereka tidak memiliki ilmu jadi mereka perlukan guru-guru yang akan dapat memberikan mereka bimbingan. Mereka ini lebih senang untuk diberi bimbingan kerana mereka sedar akan kekurangan dalam diri mereka. Maka menjadi tugas orang yang memiliki ilmu yang lebih tinggi untuk mendidik mereka ini supaya mereka dapat mempelajari ilmu yang bermanfaat untuk diri mereka.

4) Orang yang tidak berilmu tapi tidak tahu diri mereka tidak berilmu.

Mereka ini dianggap sebagai manusia yang paling buruk kerana mereka ini orang yang bodoh kerana tidak berilmu tapi merasakan diri mereka seorang yang pandai seolah-olah memiliki ilmu yang tinggi. Mereka merasakan yang diri mereka ini sudah cukup pandai padahal banyak lagi ilmu yang mereka tidak mengetahui. Mereka ini pandai bercakap mengenai sesuatu yang mereka sendiri tidak mengetahuinya tanpa asas yang kukuh. Mereka ini amat susah sekali untuk diberi tunjuk ajar kerana sifat sombong yang berada dalam diri mereka.

Sebagai kesimpulannya, walaupun setinggi mana pun ilmu yang kita miliki kita seharusnya sentiasa dahagakan ilmu setiap masa. Ilmu yang akan menyelamatkan kita di dunia dan akhirat. Janganlah kita berada dalam golongan orang yang jahil. Salah satu cara yang mudah menuntut ilmu adalah dengan banyak membaca. Bacalah apa-apa bacaan sekalipun selagi bahan bacaan itu berfaedah. Carilah seorang guru yang dapat membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada kita dalam sesuatu bidang ilmu yang kita pelajari.

JOM SHARE

18 thoughts on “Tahap Keilmuan Dalam Diri Manusia

  1. ada juga golongan tak berilmu tapi berlagak pandai..
    dan memandai-mandai..tapi golongan berilmu dan sentiasa merendah diri adalah terbaik antara yang terbaik..

    1. golongan yang berlagak pandai ni tidak akan disukai oleh orang..kalau ilmu tinggi sekalipun kita perlulah sentiasa merendah diri..terima kasih.. 🙂

  2. semakin banyak orang itu menimba ilmu, semakin tinggilah martabatnya dengan syarat ilmu yg dipelajarinya itu haruslah digunakan utk kebaikkan…

    1. saya setuju dengan pendapat saudara..ilmulah yang akan menaikkan martabat seseorang itu..terima kasih.. 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *