Teruskan Berusaha, Jangan Berputus Asa

Assalamualaikum.

Dalam hidup ini ada pelbagai jenis bentuk kerisauan yang sentiasa hadir dalam diri seseorang. Ianya adalah merupakan proses kehidupan sebagai seorang manusia yang tidak terlepas dari sebarang masalah. Antara kerisauan yang biasanya kita hadapi adalah mengenai masa hadapan kita. Apa yang kita akan lakukan pada masa hadapan? Nak kerja apa dah habis belajar nanti? Bila agaknya boleh berjaya seperti orang lain? Itulah beberapa contoh persoalan yang sentiasa bermain dalam fikiran kita.

Masa hadapan adalah perkara yang selalu menjadi kerisauan dalam diri kita. Kita sangat risau jika tidak dapat kerjaya yang baik di masa hadapan kerana kita sudah tentu mahu hidup dengan senang di masa hadapan. Bagi seorang pelajar, selepas belajar nanti siapa yang nak sara hidup kita jika bukan diri kita sendiri. Banyak perbelanjaan dan perkara yang perlu kita tanggung. Malah kita juga perlu membantu ibu bapa kita. Kita tidak tahu bagaimana nasib kita di masa hadapan nanti.

Masa yang lepas sudah pun berlalu. Namun kita mungkin rasa menyesal dengan masa lepas kerana menyalahkan diri kita sendiri. Kita akan rasa bersalah kenapa kita tidak belajar dengan bersungguh-sungguh masa zaman kanak-kanak dahulu. Jika kita rajin masa zaman remaja dulu sudah tentu dapat masuk ke universiti, dapat aliran dan bidang yang menjanjikan kerjaya yang lebih baik seperti doktor, farmasi, jurutera dan lain-lain. Itu semua adalah perkara biasa yang mungkin bermain dalam fikiran kita.

Bangkit Dari Kegagalan Lepas

Walau di mana sahaja tahap kita berada sekarang, kita masih boleh berubah dan berjaya dalam hidup kita. Masa yang lepas biarkan ianya lepas. Jadikan ianya sebagai pengajaran yang berguna dalam hidup kita. Kita masih ada masa lagi pada hari ini untuk melakukan sesuatu yang boleh mengubah nasib diri kita. Kita masih ada masa untuk berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam apa sahaja kerja yang kita lakukan pada hari ini. Teruskan berusaha dengan penuh semangat yang kita sebenarnya boleh mengecapi kejayaan dalam hidup ini.

Orang yang berputus asa adalah orang yang rugi. Memang benar tersangatlah rugi bagi orang yang mudah berputus asa dalam hidupnya. Tidak ada orang yang dapat membantu jika mereka telah berputus asa dalam hidupnya. Kita sepatutnya jangan mudah berputus asa walaupun telah banyak kali kita gagal dalam hidup ini. Kegagalan adalah satu ujian dalam hidup ini. Lihatlah kepada orang-orang yang telah berjaya. Mereka juga pernah gagal dalam hidup mereka. Jadikan kejayaan mereka sebagai pencetus semangat untuk terus berjaya.

Bersyukur Atas Nikmat Yang Diperolehi

Kita sepatutnya bersyukur dengan apa sahaja nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kita. Bersyukurlah dengan rezeki yang kita perolehi pada hari ini. Kita tidak tahu bila-bila masa sahaja ianya akan ditarik balik. Jangan kita jadi orang yang lupa diri dengan nikmat yang kita perolehi. Jika kita seorang yang bersyukur, mudah-mudahan nikmat yang kita perolehi hari ini akan semakin bertambah lagi.

Setiap orang akan dapat merasai nikmat dalam hidup ini. Nikmat bagi setiap orang adalah berbeza-beza. Kekayaan dengan harta benda bukanlah segala-galanya dalam hidup seseorang. Kebahagiaan hidup adalah nikmat yang sebenarnya. Sudah tentu kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat yang kita mahukan. Semoga Allah mencukupkan kita nikmat semasa di dunia, dan memperbanyakkan nikmat pada hari akhirat kelak.

Sebagai kesimpulan, dalam hidup ini banyak perkara yang berlaku akan sentiasa menguji kesabaran kita. Kadang-kadang apa yang kita telah usahakan tidak memberikan hasil seperti yang kita harapkan. Itu memang perkara yang biasa berlaku dalam hidup kita. Namun begitu, kita jangan lekas marah, mengeluh, putus asa dan sebagainya. Kita perlu ingat yang kita masih ada Allah yang sentiasa bersama dengan kita, kerana hanya kepadaNya tempat untuk kita meminta pertolongan. Berdoalah kepada Allah diwaktu susah dan senang.

Jika sudah berjaya pula, janganlah jadi orang yang lupa diri kerana kepada Allah lah tempat untuk kita bersyukur. Bersyukurlah kepadaNya atas segala nikmat yang kita perolehi pada hari ini. Kita tidak dapat melihat masa hadapan kita, tapi kita boleh mengubah masa hadapan kita supaya menjadi lebih baik. Apa sahaja yang kita lakukan pada hari ini akan memberi kesan kepada masa hadapan kita.

“Kita tidak dapat mengubah apa yang berlaku pada hari semalam, tapi kita boleh menjadikan hari esok lebih baik dari hari semalam.”

    1. Nitafazays 04/07/2012
    2. ohcikgu 26/01/2012
    3. tehr 23/01/2012
      • Nik Thoha 23/01/2012

    Leave Comments