Posted on 16 Comments

Tips Elakkan Mengantuk Semasa Memandu

Assalamualaikum.

Hari Raya Aidilfitri akan tiba tidak lama lagi. Ramai yang tinggal diperantauan akan memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing. Bagi anda yang akan memulakan perjalanan pulang ke kampung, rancanglah perjalanan pulang dengan sebaiknya bagi menjaga keselamatan diri anda dan orang tersayang. Semoga Hari Raya Aidilfitri tahun ini disambut dengan penuh kegembiraan bersama dengan keluarga tersayang.

Kita perlu mengelakkan kemalangan jalan raya dengan melihat punca-punca yang boleh menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya. Salah satu punca berlakunya kemalangan jalan raya adalah disebabkan oleh pemandu yang mengantuk dan tertidur semasa memandu. Apabila mengantuk mereka tidak akan dapat menumpukan sepenuh perhatian semasa  memandu. Mengantuk semasa memandu tidak boleh dipandang remeh walaupun ianya memang sifat semulajadi manusia yang akan rasa mengantuk.

Memang kita tidak dapat untuk menghilangkan sepenuhnya rasa mengantuk ini tapi sekurang-kurangnya kita boleh menahan dan mencegah diri kita dari rasa terlalu mengantuk dan tertidur semasa memandu dijalan raya. Disini ada beberapa tips untuk mengelakkan rasa mengantuk semasa memandu.

1) Rehat Cukup Sebelum Perjalanan

Sebelum memulakan perjalanan balik kampung, anda mestilah bersedia dari segi fizikal dan mental. Tubuh badan anda hendaklah berada dalam keadaan yang sihat. Fikiran anda juga perlu sentiasa berada dalam keadaan yang tenang tanpa memikirkan terlalu banyak masalah. Anda juga perlu mengurangkan stress dalam diri. Kadang-kadang stress boleh buatkan anda hilang kawalan dan  memandu dalam keadaan yang merbahaya.

Anda perlu berehat dengan mendapatkan tidur yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan yang jauh. Mendapat tidur yang cukup adalah penting kerana ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan rasa mengantuk semasa memandu. Apabila mendapat rehat dan tidur yang mencukupi, tubuh akan merasa lebih segar dan fikiran juga rasa lebih tenang dan relaks.

2) Berehat Sekejap Jika Perlu

Memandu dalam tempoh masa yang lama boleh membuatkan tubuh anda menjadi penat dan anda akan rasa mengantuk. Jika anda rasa terlalu mengantuk jangan paksa diri anda untuk terus juga memandu kerana mahu cepat sampai ke destinasi. Tidak perlu terburu-buru mengejar masa untuk cepat sampai. Biar lambat asal selamat. Anda perlu berehat jika rasa terlalu penat.

Berhenti dan berehat sekejap di mana-mana tempat perhentian yang sesuai. Ambil masa sekurang-kurangnya untuk tidur sekejap selama 10-20 minit. Selepas itu barulah menyambung kembali perjalanan dalam keadaan lebih bertenaga. Walaupun anda tidur hanya sekejap ianya sudah cukup untuk memulihkan kembali tenaga anda untuk terus memandu.

3) Bawa Teman Untuk Berbual

Mengantuk semasa memandu boleh berlaku jika anda merasa bosan. Untuk elakkan diri dari merasa bosan semasa memandu carilah teman untuk berbual.  Jika anda melakukan perjalanan bersama ahli keluarga atau rakan-rakan, ajaklah mereka berborak apa saja topik yang anda suka. Walaupun hanya borak-borak kosong ia sebenarnya dapat mengalih perhatian anda dari rasa mengantuk.

Jika teman berbual anda itu seorang yang periang sepanjang masa dan pandai buat lawak lagi bagus kerana anda akan sentiasa gelak. Secara tak langsung dapat menghilangkan rasa bosan anda semasa memandu. Bila dah kurang rasa bosan, maka keinginan anda untuk rasa mengantuk juga akan berkurangan.

4) Pasang Radio Dan Lagu Kuat-kuat

Jangan biarkan suasana semasa anda memandu berada dalam keadaan terlalu sunyi sangat. Jika terlalu sunyi anda akan mudah merasa mengantuk. Kalau boleh pasang lagu yang anda suka dengan kuat. Kalau boleh anda pun nyanyi la sekali untuk hilangkan rasa bosan. Pasang lagu yang rancak-rancak sikit. Kalau pasang lagu yang berentak perlahan mata anda juga akan menjadi layu dan mengantuk.

Lagi satu untuk elak rasa mengantuk, anda cuba pasang dengan kuat lagu-lagu yang anda tidak suka. Mungkin keinginan anda untuk rasa mengantuk juga berkurang apabila mendengar lagu yang anda tidak suka. Boleh cuba cara ni tapi ia bergantung kepada seseorang juga. Kesan kepada setiap orang mungkin berbeza-beza.

5) Elakkan Memandu Dalam Gelap

Memandu dalam gelap disini merujuk kepada memandu pada waktu malam. Memandu pada waktu malam kalau boleh dapat dielakkan lagi baik kerana apabila berada dalam keadaan gelap keinginan seseorang untuk rasa mengantuk itu lebih tinggi berbanding berada ditempat yang cerah. Waktu malam juga adalah waktu semulajadi bagi jam biologi seorang manusia untuk berehat dan tidur.

Tapi ianya bergantung kepada individu itu juga. Ada orang yang sudah biasa memandu waktu malam ni maka tiada masalah bagi mereka. Ada juga mereka yang suka memandu waktu malam kerana jalan raya tidak jam seperti  pada hari siang. Dalam hal ini memandu waktu malam tidak salah kerana ia bergantung kepada keadaan dan individu itu sendiri. Cuma memandu waktu malam ni kena lebih berhati-hati berbanding waktu siang.

6) Mengambil Wudhuk Dan Bersolat

Salah satu cara untuk mengelakkan mengantuk adalah dengan mengambil wudhuk. Selepas itu anda boleh lakukan solat sunat hajat dan berdoa memohon kepada Allah supaya diberi keselamatan dalam perjalanan. Mengambil wudhuk dan solat ini boleh dilakukan sebelum memulakan perjalanan atau semasa berada dalam perjalanan dengan berhenti seketika ditempat-tempat perhentian khas atau masjid.

Insyaallah, dengan mengambil wudhuk ia akan dapat memberikan kesegaran dan kurang rasa mengantuk semasa memandu. Sebelum memulakan perjalanan baca doa naik kenderaan. Semasa dalam perjalanan banyakkan menyebut nama Allah supaya diri kita akan sentiasa beroleh ketenangan.

Sebagai kesimpulan, walaupun rasa mengantuk ini sebenarnya berada diluar kawalan kita, namun kita boleh mengambil langkah untuk mengurangkan rasa mengantuk semasa memandu dijalan raya. Kita perlu berhati-hati semasa memandu dijalan raya kerana kita mahu mengelakkan kes kemalangan jalan raya yang sentiasa tinggi setiap kali tibanya musim perayaan. Sebagai pemandu, ianya menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga keselamatan diri sendiri, keluarga dan juga pengguna jalan raya yang lain.

Apabila melakukan pemanduan untuk satu perjalanan yang jauh, sesiapa sahaja akan mudah rasa mengantuk. Ini kerana tubuh badan kita tidak banyak melakukan pergerakan dan terpaksa duduk untuk tempoh masa yang terlalu lama dalam kenderaan. Kita perlu sentiasa berhati-hati kerana akibat sedikit saja kecuaian yang kita lakukan ia boleh menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya. Semoga kita sentiasa diberikan keselamatan oleh Allah dalam setiap perjalanan yang kita lakukan.

Tips yang saya kongsikan ini hanya tips ringkas sahaja untuk hilangkan mengantuk semasa memandu. Boleh amalkan mana yang anda rasa bermanfaat. Mungkin anda ada tips lain yang lebih hebat lagi? Boleh kongsikan pada ruangan dibawah menggunakan komen facebook atau borang komen. Terima kasih. 🙂

JOM SHARE

16 thoughts on “Tips Elakkan Mengantuk Semasa Memandu

  1. 3 perkara tambahan yang biasa saya lakukan untuk elakkan / atasi mengantuk:
    1. Minum air mineral dan basuh muka
    2. Buka tingkap kenderaan sekurang-kurangnya 1 jam sekali
    3. Mengunyah kacang

    1. Terima kasih atas tips yang dikongsikan melalui pengalaman tu. Boleh diamalkan juga tu untuk kita mengelakkan mengantuk masa memandu ni.

      Buka tingkap pun bagus untuk dapatkan udara segar. Kadang2 kita jadi mengantuk sebab tak cukup oksigen. Bila asyik duduk dalam aircond je memang mudah sangat rasa mengantuk nye..hehe 🙂

  2. ooppsss saya bukan pemandu..huhu..
    tapi really hope semua berhati2 di jalan raya

    1. Eh cik finaz ni..hari ni memang la bukan pemandu tapi esok lusa mungkin jadi pemandu kot. hehe

      Apa pun terima kasih ya. Semoga semua yang yang balik kampung akan berhati2 dijalan raya. 🙂

  3. klo ngantuk elok berhenti kat rnr berehat dan mandi

    1. Terima kasih. Betul to bro wan. Tak leh paksa diri sangat. Kena bagi diri kita rehat sebentar untuk pulihkan tenaga semasa memandu.

      Bagus juga tu kalau dapat mandi. memang akan rasa segar dan bertenaga. Mata pun rasa segar sikit. 🙂

  4. selain mengantuk, bawa laju juga menjadi punca kemalangan..semoga kadar kemalangan pada musim perayaan tahun ini dapat dikurangkan.. 🙂

    1. Terima kasih. Pemandu kena berhati2 kerana banyak faktor kemalangan datang dari pemandu. Jangan memandu terlalu laju kerana ia sangat bahaya.

      Jika semua dapat mengambil langkah untuk berhati2 dijalan raya, insyaallah kadar kemalangan akan dapat dikurangkan pada musim perayaan ini. 🙂

  5. selalu sebab mengantuk la boleh menyebabkan kemalangan. patut berhenti bila mengantuk.. ini tidak, mungkin nak kejar masa kan.. tapi nanti diri sendiri yang susah..

    1. Terima kasih bro.
      Betul tu. Tak perlu nak kejar masa sangat. Kena berhenti jika rasa mengantuk. Ini bagi keselamatan diri sndiri dan juga orang lain. Kita tidak boleh memaksa diri kita sangat kerana apabila berada dijalan raya risiko untuk mendapat kemalangan itu sentiasa ada.

      Tapi kita boleh mengelaknya dengan memandu dengan berhati2. Semoga kita akan mengubah sikap dan berhati2 dijalan raya apabila pulang ke kampung halaman masing2 untuk menyambut hari raya. 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *