Temuduga merupakan satu peluang yang sepatutnya dirancang dan diambil berat oleh setiap pelajar. Tujuan utama temuduga adalah untuk menentukan dan memilih calon yang paling sesuai. Temuduga ialah komunikasi dua hala. Ia bukan hanya satu tugas bagi pada penemuduga untuk menetukan kesesuaian calon, tetapi juga para calon harus berusaha agar mereka didapati sesuai dan seterusnya dipilih.
Temuduga boleh dikendalikan oleh seorang penemuduga ataupun oleh beberapa orang, yang dipanggil ‘panel’ temuduga. Biasanya terdapat 3 atau 5 orang dalam sesuatu panel temuduga, ia bergantung pada kehendak pihak yang menganjurkannya.
Bagaimana ia dikendalikan, itu tidak penting. Apa yang harus diberi peringatan ialah cara anda berkelakuan, kerana itu yang akan menentukan peluang untuk anda berjaya di dalam temuduga tersebut. Anda perlu meyakinkan si penemuduga bahawa anda layak dipilih dan mempunyai segala ciri-ciri yang dikehendaki.
Berasaskan kepada laporan ahli-ahli panel temuduga yang telah menemuduga mereka yang hadir ke temuduga, perkara-perkara berikut telah didapati:
- Mereka lemah dalam membuat ‘arguement’.
- Bersikap pasif semasa temuduga.
- Tidak boleh bertutur dalam Bahsa Inggeris dengan baik.
- Tidak boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dengan baik.
- Tidak tahu menahu mengenai kursus yang hendak diambil.
- Belum/tidak tahu membuat pilihan kerjaya yang akan diambil.
- Tidak tahu menahu mengenai kursus-kursus yang ditawarkan oleh universiti-universiti tempatan dan luar negeri.
- Kurang pengetahuan am.
- Berpakaian tidak kemas.
Adalah menjadi tanggungjawab anda agar kelemahan-kelemahan seperti di atas dapat diatasi. Selain dari berusaha bersendirian untuk mendapat keterangan/memperbaiki perkara-perkara berkenaan, anda juga boleh berhubung dengan Kaunselor, guru-guru dan mungkin ibu bapa dan kawan-kawan bagi mendapat pertolongan yang sewajarnya.
Selain itu, kesalahan mengisi borang permohonan seperti tidak mengisi maklumat yang dikehendaki dengan lengkap, tulisan tangan yang sukar dibaca, borang yang kotor dan lain-lain. Ia memberi gambaran sikap, watak dan perlakuan calon. Jadi, perlu ditekankan bahawa proses temuduga bermula dari masa mengisi borang permohonan.
Persediaan Awal Sebelum Temuduga
Calon-calon mestilah bersedia dari segi mental dan fizikal sebelum menghadiri temuduga. Berikut adalah beberapa perkara yang elok dijadikan panduan.
1. Selidik dan dapatkan seberapa banyak mungkin maklumat-maklumat berhubung dengan kerjaya yang menjadi pilihan. Antara sumber-sumber yang boleh membantu anda dalam hal ini ialah:
- Kaunselor.
- Guru-guru kaunseling.
- Guru-guru yang mempunyai pengetahuan berkaitan dengan kerjaya tertentu.
- Buku-buku ‘Occupational Outlook Handbook’ dan ‘Dictionary of Occupational Tittles’ yang boleh diperolehi di bilik Kaunselor.
- Prospektus dari pelbagai universiti tempatan dan luar negeri yang terdapat di Perpustakaan Maktab.
- Pegawai-pegawai di Bahagian Bimbingan Kerjaya dan Perkhidmatan Pekerjaan, Kementerian Buruh dan Tenaga Rakyat.
- Pegawai-pegawai yang bekerja di dalam bidang kerjaya yang dipohon.
- Risalah-risalah dan bahan-bahan penerangan kerjaya yang boleh dipohon dari Bahagian Penganjuran Pelajaran MARA, Jabatan Buruh dan sebagainya.
- Ibu bapa, saudara-mara dan rakan-rakan.
2. Pastikan anda mempunyai kelulusan akademik serta kelulusan-kelulusan lain yang diperlukan sebagai syarat bagi mengikuti kursus/bidang yang dipohon. Janganlah semata-mata bergantung pada nasib dan ‘angan-angan’ sahaja.
3. Berhati-hati ketika mengisi borang permohonan(penempatan) yang pihak Maktab edarkan. Segala butir yang hendak diisikan perlulah difikir terlebih dahulu sama ada betul atau tidak, supaya borang anda nanti akan kelihatan bersih.
Kesalahan mengisi borang permohonan/penempatan seperti tidak mengisi maklumat yang dikehendaki dengan lengkap, tulisan yang sukar dibaca, borang yang kotor dan lain-lain, memberi gambaran sikap, watak dan perlakuan anda. Perlu diingatkan bahawa proses temuduga bermula dari masa anda mengisi borang permohonan lagi.
4. Ambil tahu serba sedikit mengenai hal-hal di sekelililng anda (baca surat khabar, majalah dan sebagainya mengenai berita-berita penting dan pengetahuan am).
Begitulah serba sedikit beberapa tips ringkas sebelum anda tahu jika anda akan menghadapi apa sahaja temuduga. Lakukan yang terbaik semasa anda menghadapi temuduga, kejayaan pasti menjadi milik anda. Jika anda ingin tahu lulus temuduga yang lebih baik anda wajib memiliki ebook Rahsia Lulus Temuduga. Klik di sini untuk memiliki ebook ini. Semoga bermanfaat.