Memang sering dikatakan, keyakinan diri berkait rapat dengan kejayaan seseorang itu. Seseorang perlu mempunyai keyakinan pada diri sendiri untuk mencapai kejayaan. Manakala seseorang yang tidak mempunyai keyakinan diri pula, sukar untuk mencapai kejayaan.
Maklumlah… tiada self-confidence!
Perkara ini sering diulang dalam minda kita, dan bagi kita yang “tiada keyakinan diri” akan sering terasa terperangkap dengan tabiat diri sendiri dan tidak dapat melihat jalan mencapai kejayaan.
Namun sebenarnya, persepsi “keyakinan diri” itu sendiri sering kali disalah ertikan. Adakah ianya bermaksud “berani”? Atau bijak berbicara? Atau tidak takut mengambil risiko?
Sememangnya perlu tahu apakah yang dimaksudkan dengan berkeyakinan tinggi. Adakah seseorang yang masuk dalam bilik mesyuarat dan bercakap dengan suara yang lantang dan memberi pelbagai hujah dan mengabaikan pendapat orang lain merupakan seorang yang berkeyakinan tinggi?
Pada asalnya mungkin kita akan lihat dirinya sebagai seorang yang berkeyakinan tinggi. Tetapi, apabila diselami, suara yang lantang mungkin untuk menyorokkan kelemahan yang lain. Hujahnya yang pelbagai mungkin tidak kukuh. Mengabaikan pendapat orang lain memang seperti dirinya yakin dengan hujahnya, tetapi adakah sikap ini diterima sebagai seorang yang berkeyakinan tinggi dan boleh berjaya?
Pastinya keyakinan diri bukanlah sesuatu sikap yang terus diperolehi apabila kita dilahirkan. Ianya perlu dibina. Namun, perlu fahami apakah maksud keyakinan diri terlebih dahulu sebelum dapat membinanya.
Berikut adalah 3 cara meningkatkan keyakinan diri…
1. Akui kelemahan dan ingin belajar untuk perbaiki
Seseorang yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi bukanlah orang yang 100% yakin dengan kebolehan dirinya sendiri, tetapi seseorang yang akui bahawa beliau mempunyai kelemahan, dan sanggup dan ingin belajar untuk perbaiki kelemahan tersebut.
Sikap rendah diri ini adalah keyakinan diri yang sebenar. Bukan over confident bahawa dirinya adalah 100% betul. Tetapi, ingin mencapai yang terbaik dan tahu mungkin ada kelemahan diri yang perlu diperbaiki.
“Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis tidak mengatakan bahawa orang yang berjaya adalah orang yang sempurna dan tahu segala-galanya. Tetapi orang yang memperbaiki dirinya sendiri lebih baik dari semalam. Itulah keyakinan diri.
Seseorang yang berkeyakinan diri tidak semestinya mengatakan “saya tahu jawapan dan penyelesaiannya 100%!” tetapi, seorang yang berkeyakinan diri akan mengatakan “Saya tidak pasti. Apa pendapat anda? Mungkin saya salah. Apa kata kita berbincang dan cari penyelesaiannya”.
2. Lakukan perubahan yang kecil. Bukan yang besar!
Bina keyakinan diri dengan melakukan sesuatu dan berubah. Tetapi bukan melakukan perubahan yang besar dan hebat. Lakukan sedikit demi sedikit. Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Itulah cara membina keyakinan diri. Slow progress.
Perkataan Jepun “Kaizen” bermaksud memperbaiki sikit demi sedikit setiap hari. Dengan melakukan sedikit demi sedikit, ia memberi peluang kepada kita untuk memupuk tabiat yang baru. Bukan sesuatu perubahan yang drastik!
Sebagai contoh, sekiranya tidak yakin untuk bercakap dihadapan awam (public speaking) depan orang ramai, jangan terus mulakan begitu. Apa kata menulis artikel pendapat ringkas terlebih dahulu dan kongsikan di Facebook. Kemudian kongsikan pendapat dengan sekumpulan kecil, orang-orang yang kita kenali. Kemudian, kembangkan kepada orang yang kita tidak kenali, dalam kumpulan kecil.
Lama kelamaan, kita akan rasa lebih yakin bercakap dihadapan kumpulan yang besar. Practice makes perfect, tetapi apa yang penting adalah “practice”, yang bermaksudkan, lakukannya. Knowing is not Doing. Kita kena lakukan walaupun bermula sedikit dan kecil.
3. Membantu orang untuk bina keyakinan diri!
Satu ketika dulu, saya seorang yang pendiam dan pemalu. Kini, juga bagi mereka yang mengenali saya tahu itulah sikap saya- mungkin tidak dilihat melalui perkongsian saya di blog, atau dalam video-video YouTube, Facebook dan LIVE saya, tetapi hakikatnya, saya masih lagi seorang yang pendiam dan pemalu.
Namun, apa yang meningkatkan keyakinan diri saya adalah apabila saya membantu orang. Keyakinan saya dalam menyampaikan ilmu dan membantu orang ramai bukan disebabkan bermulanya saya sudah sedia mempunyai keyakinan diri. Tetapi, sebaliknya adalah, oleh kerana saya membantu dan menyampaikan ilmu, makin lama, makin terbina keyakinan diri saya.
Letakkan mindset anda sebagai mindset “membantu”. Apabila kita fikirkan bahawa kita ingin membantu orang lain, keyakinan akan terbina.
Tidak yakin berucap dihadapan orang ramai? Apa kata anda fikirkan bahawa anda berucap berniatkan ingin membantu orang ramai.
Tidak yakin untuk memulakan perniagaan? Apa kata anda fikirkan bahawa perniagaan anda akan membantu orang ramai. Mungkin juga membantu keluarga anda.
Apabila kita meletakkan kepentingan adalah pada orang lain, dan bukan pada diri kita sendiri, kita akan jadi lebih yakin.
Memang membina keyakinan diri adalah penting. Tetapi, perlu lebih peka apakah maksud yakin pada diri sendiri terlebih dahulu sebelum kita dapat membinanya. Harapan saya, melalui perkongsian ini, ia menyuntik inspirasi dan motivasi kepada anda bahawa sebenarnya, sesiapa sahaja boleh mempunyai keyakinan diri yang tinggi.
Tidak semestinya mereka yang berani, lantang dan kuat sahaja! Anda juga boleh!
Sumber: Irfan Khairi
Hantar perkongsian artikel anda di sini -> https://www.layarsukses.com/hantar-artikel