Jan
06
2010

Bahaya Apabila Orang Berilmu Berbangga Diri

Salam sejahtera.

Bahaya apabila orang yang berilmu berbangga diri.Itulah tajuk artikel saya pada kali ini.  Artikel ini hanya sebagai panduan dan peringatan. Ia tiada niat untuk menunding jari kepada siapa-siapa pun. Ianya untuk memberi peringatan kepada diri saya sendiri dan juga anda sahabat-sahabat saya yang lain.

IMAM Al-Ghazali pernah berkata, mereka yang bersifat ego tidak segan silu menghina orang lain sama ada di depan khalayak atau belakang serta menolak kebenaran dan nasihat baik yang diajukan kepada dirinya.

Ibnu Mas’ud juga pernah berkata yang maksudnya: “Cukuplah seseorang itu dianggap telah berdosa apabila dikatakan kepadanya: bertakwalah kamu kepada Allah, lalu ia menjawab, jagalah dirimu sendiri (jangan jaga tepi kain orang). Sikap demikian melambangkan sikap ego.”

Antara punca seseorang itu bersikap ego dan bongkak ialah banyaknya ilmu pengetahuan yang banyak dimiliki seseorang itu. Kalau tidak dikawal hatinya dengan sifat rendah diri (tawaduk), ia boleh bersikap sombong dengan ilmunya. Seseorang yang sedar ia mempunyai kelebihan di dalam bidang ilmu dan amalannya tidak mudah dapat mengawal hatinya daripada dihinggapi perasaan ego.

Jika tidak dikawal seseorang itu akan merasa dirinya sempurna daripada orang lain dan sentiasa merasa senang hati apabila ia disebut sebagai seorang yang banyak beramal dan banyak beribadat. Di mana saja ia pergi sentiasa diberi perhatian dan keutamaan dan hal ini menyebabkan lama-kelamaan akan bertambah egonya kerana berasa diri mempunyai kelebihan.

Berasa diri cantik dan mempunyai kelebihan dari segi keturunan serta harta juga boleh membangkitkan ego seseorang. Malah sampai merendah-rendahkan martabat orang lain oleh kerana merasa dirinya sangat tinggi darjat dan kelebihannya.

Sifat ego adalah sifat yang membinasakan dan tiada seorang makhluk pun akan terlepas daripada sifat berkenaan kecuali mendekatkan diri dengan Allah. Manusia harus sedar bahawa kita dijadikan Allah daripada air yang hina dan Allah yang kemudiannya menentukan bentuk yang sepadan dengannya.

Ini jelas dinyatakan dalam surah Ad-Dhar ayat dua dan tiga yang bermaksud: “Dari setitis mani yang bercampur (kami jadikannya), lalu kami mengujinya, Maka kami jadikannya orang yang dapat mendengar dan dapat melihat. Sesungguhnya kami juga menunjukkan jalan kepadanya. Adakalanya manusia itu menjadi orang yang tahu berterima kasih dan ada kalanya ia menjadi orang yang tidak tahu berterima kasih.”

Kita harus sedar bahawa tiada manusia yang lebih mulia di sisi Allah kecuali ibadatnya tanpa mengira kaya, miskin, berpangkat atau sebagainya. Sebenarnya, Islam memandang sikap ego, sombong, bongkak dan besar kepala sebagai sifat akhlak yang buruk dan menjadi batu penghalang untuk ke pintu syurga.

Penyakit ego adalah punca timbulnya penyakit jiwa lain yang bukan saja boleh mengganggu keseimbangan jiwa dan fikiran seseorang, malah boleh membawa bencana kepada masyarakat jika tidak dikawal dan diubati.

Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: “Tidak akan masuk syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sifat ego walaupun sebesar zarah.”

Allah juga mencela sifat ego seperti dalam firmannya dalam Surah An-Nahl ayat 23 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah benci kepada orang yang bersifat ego.”

Allah berfirman lagi dalam Surah al-Mukmin ayat 60 yang maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang bersifat ego (menyombong diri) daripada menyembah Aku, mereka akan masuk ke dalam neraka jahanam dan menderita kehinaan di dalamnya.”

Akhir sekali semoga kita semua tidak termasuk di dalam orang-orang yang sombong dan ego oleh kerana tingginya ilmu yang kita miliki. Jadila seperti resmi padi semakin berisi semakin tunduk kebumi. Sama-sama la kita renung-renungkan….

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Comments

Komen

3 Responses to “Bahaya Apabila Orang Berilmu Berbangga Diri”

  1. AyieBlog says:

    Salam,entry yang menarik semuga ayie,keluarga dan rakan-rakan sentiasa memperlihat apa kekurangan pada diri ini :),
    AyieBlog recently posted..Hasad Dengki Beserta Iri Hati

  2. Keren mas, saya baru tau tentang ini

Leave a Reply


CommentLuv badge