Mar
06
2011

Destinasi Kerjaya Bagi Lepasan SPM

Assalamualaikum.

Artikel ini ditulis khas untuk bacaan pelajar-pelajar lepasan SPM yang ingin mendapatkan informasi ke mana destinasi dan hala tuju pemilihan kerjaya mereka selepas SPM. Saya tahu ramai mereka diluar sana juga pasti mempunyai kenalan atau saudara yang lepasan spm. Jadi jika anda seorang pelajar lepasan spm, kongsikan dengan kawan-kawan anda apa yang saya kongsikan dalam artikel ini. Baca sehingga habis ya.. :)

Ramai di antara rakan-rakan pelajar kita yang sebelum ini dah berjaya melanjutkan pelajaran ke dalam bidang yang diminati. Selain dari kelayakan serta keputusan cemerlang yang mereka terima, mereka juga cepat mengambil tahu tentang maklumat permohonan kerjaya yang terkini. Mereka dahulu pun sentiasa tertanya-tanya ke mana ye saya nak pergi selepas SPM ni? Dan kebanyakan mereka yang berjaya juga sentiasa mengambil tahu peluang dan permohonan kerjaya melalui media massa, buku panduan kerjaya yang terkini, surat khabar dan seumpamanya. Pelajar yang berjaya ialah pelajar yang banyak bertanya tentang status kerjaya dari semasa ke semasa.

Destinasi Bagi Lepasan SPM

Kebanyakan pelajar lepasan SPM masih tercari-cari destinasi dan hala tuju kerjaya masing-masing selepas SPM. Sukar untuk membuat keputusan terbaik yang bakal menentukan masa depan anda sendiri. Di sini apa kata anda baca sedikit informasi mengenai pilihan kerjaya anda selepas SPM.

1. Universiti

Pelajar-pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM sudah pasti memilih universiti sebagai destinasi  pengajian mereka selepas SPM nanti. Jika anda ingin ke universiti, anda haruslah memohon UPU  lepasan SPM/setaraf sebelum ditawarkan program diploma atau asasi di mana-mana IPTA di Malaysia. Selepas itu anda boleh teruskan pengajian ke peringkat ijazah.

2. Program Matrikulasi

Sekiranya anda tidak berjaya mendapat tempat dalam program asasi melalui UPU, janganlah bersedih :) Anda masih boleh menyambung pengajian asas di kolej-kolej matrikulasi dalam bidang Sains Hayat, Sains Fizikal atau Perakaunan. Sama saja dengan program asasi.

Selepas habis program matrikulasi, anda boleh apply UPU lagi untuk lepasan STPM/setaraf di mana anda akan memilih course untuk pengajian ijazah anda. Matrikulasi ada yang programnya setahun dan ada yang dua tahun bergantung kepada keputusan SPM anda. Ramai pelajar-pelajar dari program matrikulasi yang memperolehi keputusan cemerlang dalam pelajaran mereka.

3. Pengajian Luar Negara

Pelajar-pelajar yang mendapat penajaan biasiswa akan melanjutkan pelajaran mereka di luar negara. UK, USA, Australia, New Zealand, Indonesia, India, Japan, Korea, France, Egypt, Russia, Ireland dan Canada antara negara-negara yang menjadi pilihan bagi pelajar-pelajar Malaysia.

4. Politeknik, Program Teknikal dan Latihan.

Jangan mudah berputus asa sekiranya anda gagal ke IPTA dan Program Matrikulasi. Anda masih boleh melanjutkan pelajaran ke politeknik-politeknik seluruh Malaysia. Bila dah dapat result SPM, mohon cepat-cepat sebelum tutup tarikh permohonan.

Di politeknik, anda boleh mohon sijil atau diploma. Dengar-dengar ada 3 politeknik yang bakal dinaik taraf menjadi universiti. Politeknik Ungku Omar (PUO) dan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) antara politeknik yang bagus dari segi akademiknya. Banyak juga program yang ditawarkan di ILP dan ILJTM, MLPK dan sebagainya.

5. Kolej-kolej Swasta

Kalau beli surat khabar sekarang ni, ada banyak iklan-iklan kolej swasta. Tapi kena pandai pilihlah kolej mana yang bagus dan sesuai. Kalau anda mahu teruskan pengajian ke kolej, anda boleh masuk kolej-kolej yang ada nama sikit seperti Kolej Mahsa atau Masterskill. Nanti masuk kolej yang tak diiktiraf MQA (dahulunya LAN), susah nak dapat kerja.

Saya syorkan anda mohon medical courses seperti Farmasi, Teknologi Makmal Perubatan dan Sains Kesihatan sebab banyak peluang pekerjaan menanti anda diluar sana. Ada juga kolej yang menawarkan program diploma bersekutu dengan IPTA-IPTA di Malaysia. Contohnya di Kolej Shahputra ada ditawarkan program diploma UiTM. Anda juga boleh mohon Kolej Komuniti. Buatlah pilihan yang bijak.

6. Tingkatan 6

Ramai pelajar-pelajar lepasan SPM menjadikan tingkatan 6 sebagai destinasi terakhir mereka selepas SPM. Kenapa tingkatan 6 kurang popular? Bila masuk tingkatan 6, rasa macam budak-budak sekolah lagi kan? Kena pakai uniform sekolah, kena pergi ke sekolah, ada perhimpunan dan sebagainya. Tak macam di universiti, matrikulasi atau kolej yang ada sedikit kelonggaran.

Tapi sedar tak sedar, STPM juga berharga sebenarnya. Kalau mohon UPU untuk STPM/setaraf, pelajar-pelajar lepasan STPM diberi keutamaan dulu berbanding pelajar-pelajar lepasan diploma dan matrikulasi.

7. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)

Ramai yang tidak tahu kewujudan website SPA dan ada juga yang tak tahu langsung pasal SPA ini. SPA ni boleh anda mohon kerja-kerja tertentu seperti jururawat, juru x-ray, juruaudit, juruukur dan sebagainya. Jika permohonan anda berjaya, anda akan ditemuduga. Lepas lulus temuduga anda seterusnya akan dapat melanjutkan pengajian di  mana-mana kolej yang ditawarkan.

8. Kursus Ketenteraan dan ALAM

Bagi sesiapa yang berminat dengan aktiviti lasak serta tahan dengan cabaran dan dugaan fizikal yang tinggi, bolehlah membuat permohonan pengajian ke UPNM. Terdapat banyak caranya dan anda boleh rujuk di laman web atau buku panduan kerjaya yang terkini. Kepada yang berminat untuk melibatkan diri dengan dunia pekerjaan laut yang  mencabar, bolehlah mohon Akademi Laut Malaysia (ALAM).

9. Kursus Penerbangan

Mesti ramai yang berminat dengan kursus ini. Kursus ini merangkumi kerjaya seperti juruterbang, pramugara, pramugari dan ahli-ahli biasa di kawasan lapangan penerbangan. Kerjaya seperti juruterbang, pramugara dan pramugari ini lebih kepada di awangan biru manakala ahli biasa lebih kepada proses teknikal di kawasan lapangan penerbangan.

10. Institut Pendidikan Guru (IPG)

Bagi mereka yang berminat menceburi bidang perguruan bolehlah memohon kerjaya ini. Kerjaya ini sememangnya menjanjikan kepuasan kerana kita dapat berbakti kepada anak bangsa sendiri kelak. Walaupun agak mencabar serta bebanan tugas yang bakal ditempuhi, perkara ini umpama seperti alah bisa tegal biasa. Jadi bekerjalah dalam mendidik anak bangsa sehingga berjaya dan berguna untuk masyarakat dan negara kelak.

Akhir kata, disamping pelajar-pelajar berusaha membuat perbandingan tentang kursus pengajian, ayuh amalkan juga solat istikharah serta sentiasa banyakkan berdoa semoga Allah memberikan ilham untuk kita membuat keputusan terbaik yang diharapkan dapat membawa kebaikan kepada kehidupan kita di dunia ini dan juga di akhirat kelak.

Selain itu, tanamkan niat dalam diri untuk menjadikan kerjaya yang bakal dibina sebagai satu perjuangan dalam usaha memenuhi tuntutan fardu kifayah terhadap umat Islam. Umat Islam masa kini sememangnya memerlukan ramai pakar dalam segenap bidang untuk maju ke hadapan demi mencapai khaira ummah. InsyaAllah, kita sebagai generasi belia Islam hari ini dapat memenuhi aspirasi ummah dengan mencipta kecemerlangan dalam bidang yang diceburi.

Sebagai kesimpulannya, apa yang telah diterangkan adalah beberapa destinasi yang pelajar-pelajar Lepasan SPM boleh pilih untuk meneruskan pengajian. Ada banyak lagi sebenarnya tetapi ini pun sudah mencukupi untuk merangkumkan segalanya. Saya doakan anda berjaya kelak. Terima kasih dan tahniah kerana membaca artikel ringkas ini sehingga habis. Untuk mendapatkan lebih banyak informasi saya sarankan anda mendapatkan Panduan Rujukan Informasi Kerjaya Lepasan SPM yang terkini. Klik disini sekarang untuk mendapatkan rujukan lepasan spm.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Comments

Komen

Leave a Reply


CommentLuv badge