l

Archive for 'Semasa'

Kediaman Rasmi Perdana Menteri, Kompleks Seri Perdana Dibuka Kepada Orang Awam

Kediaman Rasmi Perdana Menteri, Kompleks Seri Perdana Dibuka Kepada Orang Awam

Kompleks Seri Perdana yang terletak  di Persiaran Seri Perdana, Presint 10 Putrajaya, kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad dibuka kepada orang ramai untuk lawatan.

Selaras dengan prinsip Seri Perdana sebagai kepunyaan rakyat, bahagian-bahagian tertentu Seri Perdana iaitu Blok Protokol dan Blok Bankuet akan dibuka untuk lawatan berkenaan.

Menurut  laman web rasmi kompleks berkenaan waktu lawatan dibuka pukul 9.00 pagi sehingga 12.30 tengahari dan ditutup pada 12.30 tengahari hingga 2.00 petang. Waktu lawatan akan mula beroperasi seperti biasa pada pukul 2.00 hingga 4.00 petang.

Kompleks itu beroperasi pada setiap hari termasuk cuti sekolah, kecuali Jumaat dan hari kelepasan am ditutup untuk tujuan penyelenggaraan.

Gambar : Laman web Seri Perdana

Tempoh melawat adalah selama 1 jam 30 minit secara datang terus (walk in) dan lawatan  berpandu namun  lawatan berpandu hanya dibenarkan pada hari Isnin hingga Khamis.

Pelawat dinasihatkan untuk mematuhi peraturan ketika berada di dalam kompleks seperti berpakaian kemas dan sopan serta tidak dibenarkan membawa apa-apa bentuk kamera atau telefon berkamera ke dalam kawasan kompleks.

Justeru, pelawat dari dalam dan luar negara juga perlu membawa kad pengenalan diri atau passport untuk tujuan pendaftaran.

Namun, pihak pengurusan boleh meminda jadual lawatan sekiranya terdapat majlis rasmi semasa waktu lawatan tersebut.

Seri Perdana dibina pada 1997, di atas tapak seluas 42.5 ekar mengikut kontur anak bukit dengan mengekalkan struktur geografi alam semula jadi selaras dengan konsep perancangan Putrajaya sebagai sebuah Bandaraya Taman.

Mencerminkan keunggulan seni bina, landskap dan reka bentuk yang menggabungkan warisan sejagat reka bentuk Melayu, Islam dan Eropah.

Sekiranya terdapat pertanyaan orang ramai boleh melayari laman web www.seriperdana.gov.my atau hubungi 0388888200 untuk maklumat lanjut.

Sumber : Bernama

 

Posted in: Semasa, Umum

Leave a Comment (0) →

PTPTN : Potongan RM40 Bagi Gaji RM2,000 Bermula Januari Ini

PTPTN : Potongan RM40 Bagi Gaji RM2,000 Bermula Januari Ini

Potongan gaji ke atas peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gajinya mencecah RM2,000 sebulan akan berkuat kuasa Januari tahun  hadapan, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata turut dilaksana mulai Januari depan adalah pengecualian bayaran balik pinjaman yang diberikan kepada peminjam daripada kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40) sekiranya mereka mendapat kelas pertama selepas menamatkan pengajian.

Katanya potongan pada kadar dua peratus atau RM40 bagi peminjam bergaji RM2,000 itu telah diputuskan Kabinet pada mesyuarat Jemaah Menteri 23 Nov lalu.

“Yang mampu kita lakukan buat masa ini ialah meletakkan RM2,000 sebagai threshold untuk permulaan pembayaran dan kemudiannya akan meningkat berdasarkan pendapatan (peminjam).

“Kabinet juga bersetuju bahawa dikecualikan pembayaran pinjaman bagi mereka yang mendapat first class honour (kepujian kelas pertama) daripada kumpulan M40, cadangan asalnya untuk kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40),” katanya kepada sumber di lobi Parlimen, hari ini.

Mengenai janji manifesto Pakatan Harapan untuk mereka yang bergaji RM4,000 ke atas diwajibkan membayar balik pinjaman, beliau berkata kerajaan akan berusaha untuk cuba menunaikannya selepas kewangan negara menjadi stabil.

Sumber : Bernama

 

Posted in: Semasa, Umum

Leave a Comment (0) →

Pencipta Watak Kartun Popular ‘SpongeBob SquarePants’ Meninggal Dunia

Pencipta Watak Kartun Popular ‘SpongeBob SquarePants’ Meninggal Dunia

Pencipta watak kartun terkenal, SpongeBob SquarePants, Stephen Hillenburg, meninggal dunia pada usia 57 tahun.

Perkara tersebut disahkan oleh Nickelodeon, yang menjadi penyiar siri kartun tersebut sejak tahun 1999 melalui sosial media rasmi mereka pada Selasa.

Menurut satu laporan, punca kematian Hillenburg adalah penyakit saraf motor ALS, di mana beliau sendiri pernah mendedahkan kepada umum bahawa beliau telah didiagnosis pada Mac tahun lalu.

Selain mencipta watak yang menjadi kegemaran ramai itu, Hillenburg juga mengarahkan filem The SpongeBob SquarePants pada tahun 2004.

Posted in: Semasa, Umum

Leave a Comment (0) →

”Kami Tidak Gerun Dengan Bukit Jalil,” – Jurulatih Thailand

”Kami Tidak Gerun Dengan Bukit Jalil,” – Jurulatih Thailand

Pemain Thailand tidak gentar dengan kemungkinan perlu berdepan dengan 80,000 penyokong Malaysia di Stadium Bukit Jalil apabila mereka beraksi pada perlawanan pusingan pertama separuh akhir Piala Suzuki AFF Sabtu ini.

Jurulatih pasukan Thailand Milovan Rajevac berkata suasana penuh tekanan di Stadium Bukit Jalil tidak membimbangkan para pemainnya.

“Ia tidak langsung menimbulkan kebimbangan kerana pemain profesional perlu mampu mempamerkan  prestasi baik tidak kira sama ada mereka bermain di hadapan 100,000 orang atau sekadar beberapa ratus orang sahaja. Kami perlu melalui dua perlawanan dan sekiranya kami membuat persiapan dengan baik dan bermain seperti dirancang, kami tidak akan menghadapi sebarang masalah,” katanya seperti yang dipetik media tempatan di sini hari ini.​​​​​​​

Anak didik beliau akan ke Kuala Lumpur untuk berdepan dengan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe dalam perlawanan pertama separuh akhir yang amat dinanti-nantikan Sabtu ini.​​​​​​​

Skuad “Gajah Perang” itu, yang menduduki tangga teratas dalam kumpulan mereka setelah mencapai kemenangan selesa 3-0 terhadap Singapura pada perlawanan akhir kumpulan Sabtu lepas, akan menjadi tuan rumah kepada “Harimau Malaya” dalam perlawanan kedua separuh akhir pada 5 Dis di Stadium Rajamangala di sini.

“Harimau Malaya” pula mara ke peringkat separuh apabila menduduki tangga kedua di belakang Vietnam setelah mempamerkan permainan jauh lebih mantap ketika mengalahkan Myanmar 3-0 pada perlawanan akhir kumpulan mereka di Bukit Jalil Sabtu lepas.​​​​​​​

Sementara itu Supachai Chaided, 19, yang menjaringkan satu gol dan dinobatkan sebagai pemain terbaik pada perlawanan Thailand-Singapura, berkata keadaan bising di Stadium Bukit Jalil yang penuh sesak semasa perlawanan separuh akhir Sabtu itu, tidak merisaukannya.

“Saya tidak rasa gementar kerananya. Kami pernah bemain di Malaysia. Kami tahu mereka ada ramai peminat apabila kami bertandang ke sana dan penyokong tempatan tentu akan memberi sokongan kepada pasukan mereka. Kami hanya beri fokus kepada permainan kami dan tidak perlu berasa wujudnya  tekanan tambahan berikutan sorakan bergemuruh oleh penonton tempatan,” kata pemain Buriram United itu.

Pemain pertahanan Thailand berasal dari Wales, Mika Chunuonsee juga menjangka perlawanan  pasukannya dengan Malaysia adalah sengit, tetapi tetap yakin dia dan rakan sepasukan akan meraih kejayaan pada akhir pertemuan separuh akhir dua pusingan itu.

“Sudah tentu bukan sesuatu yang mudah. Mereka (Malaysia) memang pasukan yang bagus. Mereka telah beraksi dengan amat baik hingga layak mara ke pusingan seterusnya. Saya berpendapat, sekiranya kami pergi ke sana bersama-sama rancangan permainan yang disusun rapi dan taktik yang betul, kami akan dapat membawa pulang kemenangan,” katanya.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, skuad Filipina bimbingan Sven-Goran Eriksson, yang menduduki tempat kedua di belakang Thailand, akan bertemu Vietnam untuk merebut satu lagi tempat ke perlawanan akhir.

Sumber : Bernama

 

Posted in: Semasa, Umum

Leave a Comment (0) →

Sambutan Hangat Piala AFF, 40,000 Tiket Online Aksi Malaysia Thailand Habis Dijual

Sambutan Hangat Piala AFF, 40,000 Tiket Online Aksi Malaysia Thailand Habis Dijual

Kuala Lumpur : Tiket bagi perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF 2018 di antara Malaysia dan Thailand pada Sabtu ini, dijual bagaikan ‘pisang goreng panas’ apabila kesemua 40,000 tiket secara dalam talian habis dijual.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi kenyataan di akaun Facebooknya berkata, penjualan tiket hari kedua yang bermula pagi tadi, telah ditutup apabila penjualan secara online di www.tickethotline.com.my, telah mencecah 20,000 keping.

Pada hari pertama penjualan tiket semalam, sebanyak 20,000 telah habis dijual.

FAM berkata, baki 40,000 keping tiket akan dijual secara fizikal bermula Khamis ini (29 Nov), iaitu sebanyak 30,000 akan dijual di kaunter tiket Stadium Nasional dan 10,000 di outlet terpilih Al-Ikhsan Sports, sehingga ia habis dijual.

“Waktu sebenar penjualan tiket secara fizikal di Stadium Nasional dan outlet terpilih Al-Ikhsan Sports akan dimaklumkan kemudian kerana ia bergantung jika tiada kelewatan untuk tiket-tiket berkenaan tiba dari Bangkok, Thailand yang dijangka pada malam esok.

“FAM tidak dapat menjual terus kesemua 80,000 keping tiket menerusi sistem online kerana untuk memberi peluang juga kepada para penyokong yang tidak dapat membuat pembelian secara online supaya mereka boleh membeli tiket secara fizikal di kaunter tiket di Stadium Nasional dan juga di outlet terpilih Al-Ikhsan Sports,” menurut kenyataan itu.

FAM juga menjelaskan bahawa tiada kaunter khas dibuka di Wisma FAM, Kelana Jaya kerana faktor jangkaan kesesakan di kawasan berkenaan yang terletak berdekatan kawasan perumahan.

Separuh akhir pertama Piala AFF 2018 antara Malaysia dan Thailand akan berlangsung di Stadium Nasional pada Sabtu ini, manakala aksi timbal balik dijadualkan di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 5 Dis.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, Filipina akan mencabar Vietnam di Bacolod (Filipina) pada 2 Dis, sebelum aksi timbal balik di Hanoi pada 6 Dis.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata penyokong boleh membeli tiket bagi aksi di Stadium Rajamangala bermula hari ini sehingga Jumaat (30 Nov), dengan harga ditetapkan RM80 bagi tempat duduk teres bawah (level 1) dan RM67 bagi tempat duduk teres atas (level 2 dan 3).

Beliau berkata penyokong Malaysia yang berminat untuk membeli tiket perlawanan yang akan bermula pada 7 malam waktu tempatan (8 malam waktu Malaysia), perlu membuat bayaran ke akaun Bank Islam – ‘FOOTBALL ASSOCIATION OF MALAYSIA’ dengan nombor akaun 12131010006121 mengikut bilangan tiket yang diperlukan.

Penyokong kemudian dikehendaki e-mel butiran peribadi, iaitu nama penuh, nombor MyKad, nombor telefon, kategori tiket (RM80 atau RM67), jumlah tiket dan lampirkan bersama slip pembayaran bank ke tiket@fam.org.my.

“Pihak FAM akan membalas e-mel berkenaan bagi mengesahkan penerimaan wang pembelian tiket tersebut. Tiket yang telah dibeli itu kemudian boleh diambil/ditebus di Bangkok dari Selasa, (4 Dis) hingga Rabu (5 Dis).  Anda akan dihubungi wakil FAM di sana bagi urusan pengambilan/penebusan tiket.

“Sebarang pembelian tiket melalui FAM bagi perlawanan ini selepas jam 11.59 malam pada Jumaat (30 Nov) tidak akan diproses dan pembayaran yang telah dibuat juga tidak akan dikembalikan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook FAM.

Beliau berkata, bagi penyokong Malaysia yang membeli sendiri tiket di laman web Thai Ticket Major, mereka perlu menebusnya di lokasi yang telah ditetapkan syarikat berkenaan.

Sumber : Bernama

 

 

Posted in: Semasa, Umum

Leave a Comment (0) →

Pasar Raya Besar Tak Dibenar Beroperasi Di Pinggir Bandar Dan Pedalaman

Pasar Raya Besar Tak Dibenar Beroperasi Di Pinggir Bandar Dan Pedalaman

Kerajaan tidak akan membenarkan pasar raya besar beroperasi di kawasan pinggir bandar dan pedalaman, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata ia bagi membantu kelangsungan perniagaan kedai runcit kecil yang beroperasi di kawasan-kawasan tersebut.

Pada masa ini, beliau berkata pasar raya besar menguasai 65 peratus daripada pasaran runcit dalam negara manakala 35 peratus lagi dipunyai kedai-kedai runcit kecil.

“Pasar raya besar sangat mengharapkan kerajaan membuka halangan supaya mereka juga boleh beroperasi di kawasan pedalaman. Itu kita tidak benarkan kerana ia akan menyebabkan industri runcit kecil terjejas,” katanya semasa menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2019 bagi KPDNHEP di Dewan Rakyat malam ini.

Beliau berkata kerajaan terpaksa mengimbangi keadaan tersebut walaupun menyedari kewujudan pasar raya besar di pinggir bandar akan menawarkan barangan runcit pada harga lebih murah kepada pengguna.

“Kelebihan pasar raya besar ialah dia boleh beli barangan dengan harga murah, dia beli banyak, jadi dia boleh jual murah, jual murah baik untuk pengguna.

“Di sisi lain, jika kita benarkan mereka sampai ke pinggir bandar ia akan menguntungkan pengguna tapi kesannya pula kedai runcit tak hidup, jadi kita terpaksa mengimbangkan keadaan ini,” katanya.

 

Sumber :  Bernama

Posted in: Semasa, Umum

Leave a Comment (0) →

Elakkan Diri Daripada Menjadi Statistik Jenayah Siber

Elakkan Diri Daripada Menjadi Statistik Jenayah Siber

KUALA LUMPUR (Bernama) — Penggunaan teknologi komunikasi yang saban hari semakin canggih belum tentu dapat melindungi penggunanya daripada menjadi mangsa jenayah siber.

Bahkan tanpa kematangan penggunaan teknologi, pengguna yang alpa akan mudah terpedaya dengan liciknya helah penjenayah dan pemutar belit yang semakin angkuh dengan modus operandi mereka.

Ini boleh dilihat daripada peningkatan kes jenayah siber berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jenayah siber yang semakin menjadi-jadi di negara ini turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo yang menyuarakan kebimbangan beliau dengan peningkatan jenayah berkenaan.

Sehingga 3 Oktober lepas, sebanyak 8,313 kes jenayah siber direkodkan melibatkan kerugian $299 juta. Ini berbanding statistik 2017 iaitu sebanyak 10,203 kes melibatkan kerugian kira-kira RM184 juta.

“Jenayah siber ini merupakan ancaman serius kepada rakyat kerana penipuan ini melibatkan kehilangan ratusan ribu ringgit yang merupakan hasil titik peluh mangsa,” kata beliau.

Antara jenayah yang dikategorikan sebagai jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, penipuan kad kredit, kecurian identiti serta pencerobohan data.

Dalam usaha memerangi jenayah siber, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan menubuhkan satu jawatankuasa kerja dalam masa terdekat dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), PDRM, Bank Negara Malaysia (BNM), syarikat telekomunikasi dan institusi kewangan.

Kerjasama ini diharapkan akan dapat mempercepat perkongsian maklumat dan maklum balas kepada orang ramai sekiranya sebarang elemen penipuan dapat dikesan.

KEMPEN KESEDARAN

Selain itu, KKMM juga menggerakkan Kempen Kesedaran Dan Pencegahan Jenayah Komunikasi sepanjang November ini hingga Disember 2019.

Agensi serta jabatan di bawah KKMM seperti MCMC, Bernama, RTM, Jabatan Penerangan (JaPen), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), dan Bahagian Komunikasi Strategik KKMM bakal menggalas tanggung jawab mempromosi dan mengadakan program khas masing-masing bagi menyokong kempen berkenaan.

Kerjasama dengan rakan strategik seperti PDRM, rangkaian media swasta, pelbagai kementerian, badan-badan bukan kerajaan dan pemimpin masyarakat diharap dapat meningkatkan keberkesanan kempen ini.

Sebagai contoh PDRM membantu dari aspek penguatkuasaan dan bahan kempen sementara stesen tv dan radio swasta pula membantu menyebar luas bahan kempen serta penglibatan kementerian lain membenarkan jerayawara kempen di tempat masing-masing.

Kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan pemimpin masyarakat juga bakal dijalin untuk menambahkan lagi keberkesanan kempen ini.

Sasaran utama yang dikenal pasti bagi kempen ini adalah orang awam terutamanya pesara, wanita bekerjaya dan golongan pertengahan umur kerana golongan ini yang dilaporkan mudah terpedaya dengan jenayah siber.

Kempen juga mensasarkan golongan muda termasuk pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.

Mereka yang ingin mendapat maklumat lanjut serta mengikuti perkembangan kempen ini boleh melayari media sosial dengan kata kunci #BeSmart #JanganTerpedaya dan #Scammers.

TIPU PANGGILAN

Secara umum, ada empat jenis penipuan yang dikenalpasti berlegar tanpa mengira masa untuk mencari mangsa iaitu sindiket tipu panggilan (juga dikenali dengan nama Macau Scam), Love Scam (juga dikenali 419 Scam), pinjaman tidak wujud dan penipuan belian dalam talian.

Sekiranya anda menerima panggilan dari nombor yang tidak dikenali, berhati-hatilah kerana ia mungkin anggota sindiket tipu panggilan yang cuba memerangkap anda! Lebih elok jika anda tidak menjawab panggilan daripada nombor yang anda tidak kenali!

Modus operandi untuk penipuan seperti ini ialah pemanggil mengaku kononnya anggota badan kerajaan seperti PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bank Negara, mewakili mahkamah ataupun badan swasta seperti pihak bank memberitahu bakal mangsa bahawa mereka mempunyai masalah dengan pihak berkuasa.

Antara masalah yang biasa dijadikan umpan adalah saman tertunggak, barang import yang atas nama pemanggil yang bermasalah cukai, serta hutang pinjaman tertunggak dengan pihak bank.

Bakal mangsa yang ketakutan akan cuba menyelesaikan masalah seberapa segera kerana tidak mahu masalah berpanjangan.

Pemanggil kemudiannya meminta maklumat peribadi dan kewangan bakal mangsa dan setelah berpuas hati, meminta sejumlah wang dipindahkan ke akaun pihak ketiga atau akaun mangsa sendiri yang mana pemanggil mempunyai kawalan ke atas akaun tersebut.

Sepanjang tahun 2017 sebanyak 2,912 kes tipu panggilan dilaporkan melibatkan kerugian berjumlah RM65,458,277.00. Malangnya sehingga 3 Oktober tahun ini sahaja 3,816 kes telah dilaporkan dengan nilai kerugian RM162,625,21. 90.

LOVE SCAM

Untuk penipuan Love Scam yang juga dikenali dengan nama ‘Romance Scam’, suspek mencari mangsa dengan berkenalan melalui laman sosial seperti Facebook dan Instagram.

Mensasarkan golongan yang dibelenggu kesunyian seperti golongan bujang lanjut usia, janda dan duda, suspek akan menggunakan kata-kata manis untuk memikat bakal mangsa sehingga wujud perasaan percaya kepada suspek.

Bila tiba masanya, suspek akan memperdaya mangsa dengan menjanjikan satu barangan bungkusan contohnya barang kemas dari luar negara namun dia menghadapi masalah untuk membawa masuk barangan itu dengan berhelah ia tersangkut di pihak kastam.

Untuk mendapatkan barang itu, mangsa perlu mendahulukan wang bagi membayar sejumlah yuran untuk mengeluarkan barang itu daripada simpanan pihak kastam. Tanpa banyak soal mangsa yang sudah percaya dengan kata-kata manis suspek bersetuju menjelaskan bayaran dan hanya sedar ditipu hanya bila mendapati barang yang dijanjikan tidak kunjung tiba.

Sehingga awal Oktober 2018, jumlah wang dilaporkan ditipu melalui sindiket ini berjumlah RM80,086, 530. 15 melibatkan 1,398 kes, berbanding hanya RM67,199,064.00 melibatkan 1,774 kes, sepanjang 2017.

NILAI MENINGKAT

Bagi kes penipuan pinjaman tidak wujud pula, sebanyak 513 kes dilaporkan sepanjang 2017 melibatkan kerugian bernilai RM32,186,648.00.

Modus operasi melibatkan suspek menawarkan pinjaman peribadi mudah lulus kepada mangsa yang sebenarnya tidak wujud. Mangsa pula atas dasar percaya dan mungkin terdesak sanggup mengeluarkan wang pendahuluan kononnya untuk membayar yuran memproses pinajaman, yuran penjamin, duti setem dan insurans.

Hingga 3 Oktober 2018, sebanyak 286 kes penipuan jenis ini dilaporkan melibatkan kerugian sebanyak RM37,283,986.11. Angka ini jelas menunjukkan meskipun jumlah kes penipuan berkurangan daripada yang dicatat sepanjang 2017, namun nilai kerugian adalah lebih besar.

Kecenderungan yang sama dapat dilihat dalam rekod penipuan belian dalam talian (e-commerce) yang mana walaupun jumlah kes yang dilaporkan sehingga awal Oktober 2018 lebih rendah dari jumlah keseluruhan kes pada 2017, nilai kerugian yang dicatatkan setakat ini untuk 2018 sudah pun melebihi nilai kerugian sepanjang 2017.

Jumlah kes yang direkodkan sehingga awal bulan Oktober 2018 adalah 2,813 melibatkan jumlah RM19,562,025.09. Untuk 2017 sebanyak 5,004 kes dilaporkan melibatkan jumlah RM19,312, 788. 00 pada 2017.

Suspek menawarkan urusniaga palsu dan kerana urusniaga dibuat dalam laman kedai dalam talian terkemuka, pembeli teruja melakukan pembelian tetapi berakhir dengan kekecewaan.

‘Penjual’ biasanya menawarkan harga yang jauh lebih murah daripada apa yang biasa terdapat di pasaran sebagai helah untuk mengumpan dan memerangkap mangsa.

Sumber: Bernama

Posted in: Informasi, Semasa

Leave a Comment (0) →

WIFI Percuma Di Kesemua Kawasan Rehat Dan Rawat PLUS Menjelang 2022

WIFI Percuma Di Kesemua Kawasan Rehat Dan Rawat PLUS Menjelang 2022

SEPANG, 26 Nov (Bernama) — Kesemua kawasan rehat dan rawat di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan bakal dilengkapi kemudahan wifi secara percuma menjelang 2022, kata Pengarah Urusan PLUS Malaysia Bhd (PLUS) Datuk Azman Ismail.

Beliau berkata kawasan rehat dan rawat pertama yang dijangka dilengkapi wifi percuma ialah Seremban arah selatan pada awal 2020.

“Pada masa ini proses tendering sedang dilakukan dan kemudahan wifi percuma adalah selaras dengan proses naik taraf kawasan rehat dan rawat PLUS,” katanya kepada pemberita selepas perasmian persimpangan bertingkat Bandar Serenia di sini oleh Menteri Kerja Raya, Baru Bian hari ini.

Menurut Azman, pada masa ini terdapat 24 kawasan rehat dan rawat di sepanjang lebuh raya PLUS di kedua-dua arah.

Sementara itu, Baru dalam ucapannya menegur syarikat konsesi lebuh raya supaya mengambil tindakan serius dalam aspek penyelenggaraan.

“Matlamat menjadikan lebuh raya Malaysia bertaraf dunia hendaklah merangkumi semua elemen pengurusan dan kejuruteraan termasuklah penyelenggaraan,” katanya.

Baru berkata kerja-kerja penyelenggaraan tidak hanya terhad kepada turapan jalan tetapi merangkumi aset-aset lain seperti cerun, sistem perparitan, aspek mekanikal dan eletrikal, bangunan, landskap, peralatan keselamatan, papan tanda dan lampu jalan.

Beliau berkata penggunaan elemen Revolusi Industri 4.0 dalam menangani kesesakan di lebuh raya perlu ditingkatkan kerana kesesakan yang berlaku tanpa diketahui punca adalah perkara yang tidak boleh diterima.

Sumber : BERNAMA

 

 

Posted in: Informasi, Semasa

Leave a Comment (0) →
Page 2 of 2 12