l

Archive for 'Usahawan'

7 Nasihat Jutawan Kurma Jenama Yusuf Taiyoob Yang Anda Boleh Contohi

Siapa yang tak kenal dengan iklan Yusuf Taiyoob? Iklan yang sinonim dengan rakyat Malaysia ketika bulan Ramadhan tiba.

Mengapa iklan ini menjadi ingaun kita? Pastinya, kerana taglinenya yang berjaya menghantui minda kita dengan suara perempuan berbisik menyebut Yusuf Taiyoob.

Jutawan Kurma atau dikenali sebagai Raja Kurma ini mempunyai lebih 1,000 pengedar di negara ini tidak termasuk di luar negara dan hampir 50 kakitangan di pejabatnya. Bilangan pekerja itu tidak termasuk pekerja di gudang Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Perjalanan dan rentetan kisah kejayaan yang dikecapi hari ini bukan kerja mudah yang boleh diperolehi atau dihasilkan dalam masa sehari dua tetapi ianya mengambil masa yang panjang. Namun hasilnya mampu membuatkan jenama Yusuf Taiyoob gah dalam lapangan perniagaan yang diusahakan.

#1- Usaha Jadi Pemilik Bisnes

Prinsip utama dalam hidup Datuk Yusuf Taiyoob ialah beliau tidak suka bekerja dengan orang lain atau bergelar pekerja tetapi lebih suka menjadi bos biarpun terpaksa melalui pelbagai kesukaran dan pengalaman pahit.

Beliau pernah menjual minyak wangi di Lapangan Terbang Bayan Lepas dan juga pernah dihalau oleh syarikat besar ketika menjual minyak wanginya.

Kerana itu beliau tekad untuk menjadi pemilik bisnes supaya beliau tidak ditindas sesuka hati oleh orang lain dan beliau dapat membuka peluang pekerjaan kepada yang memerlukan.

#2- Buru Peluang Depan Mata

Memburu impian dan peluang adalah dua perkara berbeza. Memburu peluang adalah bagaimana cara kita mencari dan melihat setiap peluang yang ada.

Menapis setiap peluang yang ada atau merebut semua peluang yang datang dengan sebaiknya. Jangan tamak dan terburu-buru.

Datuk Yusuf Taiyoob amat menghargai setiap peluang yang datang dan pastinya beliau akan memanfaatkan peluang yang ada itu dengan sebaiknya.

#3- Bijak Selesaikan Masalah

Menjadi pemilik bisnes bukan hanya menunggu duit masuk sahaja tetapi setiap risiko yang datang perlu ditangani dengan cemerlang. Waras dalam membuat keputusan yang tidak memudaratkan bisnes.

Contohnya beliau pernah berhadapan dengan masalah di mana kurma yang diimport dari Iran tidak berkualiti seperti yang dipersetujui dalam perjanjian, namun beliau tidak terus melatah, beliau mengambil inisiatif sendiri dengan pergi ke negara Iran dan menyelesaikan masalah dengan bijak supaya perkara yang sama tidak berulang lagi.

#4- Fikir Jauh Ke Depan

Nak jadi jutawan, fikiran mesti ke depan sebelum orang lain datang. Bukan fikir setakat biasa-biasa tetapi mesti diluar takuk kebiasaan.

Lihat bagaimana Datuk Yusuf Taiyoob berani mewujudkan sesuatu perkara yang baru iaitu menjual makanan dari timur tengah termasuk kurma di pasaran tempatan, walaupun pada mulanya ramai yang tidak yakin akan bertahan lama.

Fikir jauh ke depan perlu selaras dengan kekuatan mental dan emosi kerana pada asasnya pasti anda akan diserang bertubi-tubi dengan ketidakyakinan orang lain terhadap apa yang bakal anda usahakan.

#5- Jangan Gusar Dengan Kegagalan

Kegagalan dalam perniagaan minyak wangi tidak mematahkan semangat beliau, beliau berusaha dan mencari jalan lain dengan menukar corak perniagaan iaitu perniagaan kurma.

Bagi beliau, gagal sekali tidak mengapa, tetapi gagal dua kali ditempat yang sama itu perlukan tindakan segera. Kegagalan akan menjadi pemacu kita untuk lebih berusaha mencapai apa yang kita impikan sebenarnya.

#6- Tebalkan Kesabaran

Lihat bagaimana  kesabaran yang menebal dalam diri beliau membuahkan hasil apabila perniagaannya berkembang maju sehingga beliau mampu menjadi pengeluar dan pembekal kurma di pasaran tempatan serta negara jiran termasuk Singapura, Indonesia dan Thailand.

Jangan buat kerja sekerat jalan. Pupuk diri jadi orang penyabar. Setiap kesabaran pasti akan mendapat ganjarannya. Selalunya orang yang sabar akan mendapatkan hasil yang luar biasa berkat kesabaran yang lama.

#7- Jaga Kebajikan Pekerja

Beliau mempunyai sifat bertanggungjawab dan beretika terhadap pekerja-pekerjanya dan pihak-pihak tertentu yang mempunyai hubungan secara langsung atau tidak langsung dalam perniagaan beliau.

Beliau sangat menghargai pekerjanya kerana bagi beliau kebajikan pekerja adalah sumber rezekinya. Menjaga setiap sisi utama kebajikan pekerja itu sangatlah perlu supaya perniagaan yang diusahakan mendapat restu dari Yang Satu.

Majalah Niaga

Posted in: Perniagaan, Usahawan

Leave a Comment (0) →

6 Tips Kejayaan Dari Pengasas KFC, Colonel Sanders.

Anda suka makan KFC? Pastinya ia merupakan ayam goreng paling sedap untuk dinikmati tidak kira golongan muda atau tua. Colonel Sanders adalah nama yang dikenali ramai sebagai pengasas restoran KFC.

Beliau adalah tokoh usahawan yang boleh dijadikan inspirasi dalam selok belok dunia perniagaan ini. Ketokohan beliau dalam bidang perniagaan terbukti apabila beliau berjaya menempatkan KFC sebagai satu jenama terkenal dunia.

#1-Belajar Untuk Suka Dengan Pekerjaan

Di awal 1900-an, pada umur 10 tahun, Sanders memulakan pekerjaannya yang pertama di ladang untuk menyara ibu tunggalnya serta adik-beradik. Tapi malangnya pekerjaan itu tidak bertahan lama.

Kerjanya terganggu oleh burung-burung biru dan tupai-tupai merah dan lain-lain haiwan sehingga kerjanya tidak dapat disiapkan.

Kerana itu Sanders dipecat. Dan ketika dia pulang ke rumah dengan hanya 2$, dia dimarahi ibunya. Ketika itu Sanders berazam untuk memuaskan hati majikannya — bekerja dengan lebih tekun.

Majikan barunya seorang peladang Jerman bernama Henry Monk. Setelah berusaha untuk menebus kesalahan pada ibunya, Sanders bekerja keras di ladang

Sanders berpegang pada kata-kata Monk, “Buat segala apa yang anda boleh, & buat yang terbaik anda boleh. Itulah cara untuk

#2-Jangan Takut Untuk Ubah Kerjaya Anda

Sebelum Sanders menjadi Colonel yang kita kenali, dia pernah bekerja melalui pelbagai pengalaman bekerja. Dia pernah bekerja sebagai buruh untuk tentera, bomba keretapi, pekerja landasan keretapi, penjual insurans, obstetrik dan usahawan bot feri. Selepas mendapat tawaran pajakan stesen pam Standard Oil, takdirnya untuk menjadi pengasas KFC bermula.

Sanders berumur 65 tahun ketika membuka franchais KFC. “Jangan berputus asa di umur 65, mungkin ‘bot’ anda belum sampai.” Katanya di dalam sebuah temuramah.

#3-Tambah ‘Nilai’ Selagi Mana Anda Boleh

Apa yang pelanggan anda mahukan dari produk atau servis anda? Sekarang, cuba tambahkan nilainya. Contohnya, ketika Sanders mengambil alih stesen pam Standard Oil, tiada siapa yang mahu membeli darinya kerana dia adalah orang baru. Sanders perlu fikirkan sesuatu untuk menambat hati penduduk di situ.

“Saya ingat ketika saya merantau menjual tayar kereta dulu, ada satu tempat ini memberikan servis yang saya belum pernah jumpa sebelum ini. Mereka mengelap cermin kereta saya. Itu sahaja, sangat mudah.” kata Sanders.

Pelanggan datang untuk mengisi minyak, tetapi mereka dapat lebih dari itu. Bukan sahaja servis mengelap cermin kereta, malah Sanders sediakan servis isikan angin tayar kereta. Pelanggan berpusu-pusu untuk merasai servis di stesen itu. Hasil jualan stesen itu meningkat 3 kali ganda dan mencatat rekod baru.

Malangnya, perniagaan Sanders bankrap di akhir 1920-an — bermulanya dia mengalami kemurungan — apabila Kentucky mengalami kemarau berpanjangan. Peladang-peladang tidak mampu untuk mengisi minyak di stesennya.

Namun, reputasi hebat Sanders dalam mengendali stesen dikenali ramai, dan Shell menawarkannya sebuah stesen pam minyak tanpa perlu bayar sewa jika dia setuju untuk berpindah ke Corbin Kentucky.

Di sini bermulanya cerita tentang KFC. Apabila pemandu lori memberitahunya bahawa di kawasan tersebut tiada restoran atau tempat makanan yang sedap, Sanders nampak peluang untuk menambah nilai di situ.

#4- Lakukan Semua Yang Anda Boleh Dan Lakukan Terbaik

Sanders meletakkan kemahiran memasaknya yang sederhana dan mudah untuk digunakan dengan baik. Dia menubuhkan meja makan sendiri dan enam kerusi di bilik yang dipasang di stesen servis dan mula melayani makanan panas kepada pelanggan yang lapar. Tiada menu, tiada pilihan, hanya makanan yang berkualiti.

Tetapi beliau melakukan dengan baik dan penuh kesungguhan. Beliau tidak gentar dengan cabaran. Beliau tidak takut gagal dan berjaya pada akhirnya. Kuncinya satu, lakukan perkara itu dengan terbaik dan jangan pernah mengalah.

#5- Kuasai Bidang Teknologi Dan Eksperimen

Ayam goreng bukan menu Kolonel pada mulanya, kerana ia mengambil masa terlalu lama untuk memasak. Pada tahun 1939, periuk tekanan telah diperkenalkan beliau mengambil peluang dengan bereksperimen memasak ayam goreng.

Dia berjaya. Menjelang tahun 1940, beliau telah menyempurnakan resipi rahsianya dengan 11 herba dan rempah-rempah dan dia boleh memasak ayam goreng segar hanya dalam tempoh kurang lapan minit.

Sebagai usahawan untuk mengecapi kejayaan anda mesti berani mencabar diri mencari teknologi baru dan bagaimana penggunaan inovatif mereka boleh meningkatkan perniagaan anda.

#6-Jangan Takut Tangan Anda Kotor

12 tahun kemudian, Sanders memperkenalkan ayam gorengnya kepada seorang kawan, Pete Harman di Salt Lake City. Dia memasak ayam goreng untuk Harman dan isterinya sendiri, dengan harapan Harman akan menjual ayam itu di restorannya.

Tetapi, Harman tidak membuat apa-apa janji, tetapi melakukan ujian. Ia ternyata menjadi hit dengan pelanggannya dan Harman setuju untuk menjual ayam Kolonel secara kekal. Restoran Harman menjadi francais KFC pertama.

Sedaya upaya beliau berusaha sendiri dalam menyediakan ayam goreng yang berkualiti kepada para pelanggannya dan akhirnya beliau berjaya melakukannya.

Majalah Niaga

 

Posted in: Motivasi, Usahawan

Leave a Comment (0) →

Jangan jadikan UMUR “TUA” sebagai ALASAN!

Adakah ianya terlalu lewat untuk mulakan perniagaan?

Mungkin umur kita (atau sesiapa sahaja yang anda kenali) telah mencecah 35… 40… 45… 50… atau lebih! Mungkin kita rasakan kita agak “tua” atau lewat untuk memulakan perniagaan online.

Pastinya jawapannya adalah tidak!


1. Pengalaman!

Pengalaman memainkan peranan yang penting dalam kejayaan. Sama ada pengalaman dalam perniagaan sebelum ini, atau pengalaman dalam hidup. Mereka yang telah melalui hidup beberapa dekad pastinya telah melalui pelbagai asam garam hidup dan berjumpa dengan pelbagai jenis ragam orang.

Pengalaman ini adalah sungguh berharga apabila memulakan perniagaan. Pengalaman memberi pelbagai kebijaksanaan dalam membuat sebarang keputusan perniagaan. Pengalaman mengajar kita kesabaran untuk berusaha dalam perniagaan.

2. Tidak lagi “gilakan” wang!

Ketika muda, mungkin wang menjadi prioriti utama. Apabila umur semakin meningkat, walaupun wang masih lagi penting, tetapi bukan lagi keutamaan. Mungkin ketika ini, kebebasan menjadi prioriti- kebebasan masa untuk bersama keluarga, kebebasan membuat pilihan, kebebasan kewangan dan sebagainya.

Apabila memulakan perniagaan bukan lagi bermotifkan wang dan kekayaan semata-mata, ia memberikan sebab yang lebih baik untuk berusaha memulakan perniagaan- sering kali untuk keluarga! Motif inilah yang paling kuat dan akan memberi motivasi dan momentum yang hebat pada mereka!

3. Tahu cara untuk berjaya!

Mungkin ketika muda, “darah muda” membuatkan kita lebih yakin, dan ada kalanya terebih “over confident” pula. Maklumlah, masih lagi mentah. Tetapi, usia dewasa membuatkan kita lebih tahu apa yang diperlukan untuk berjaya.

Kita tahu cara menetapkan matlamat dan cara untuk mencapai sesuatu matlamat. Kita tahu erti kegagalan dan apa yang diperlukan untuk mencapai kejayaan. Pendek kata, tidak kira tahap mana pencapaian kita hingga hari ini kita tahu apa yang diperlukan untuk berjaya.

Sebenar-benarnya, tiada siapa yang terlewat dalam perniagaan. Setiap kali saya diajukan soalan “adakah saya terlewat dalam memulakan perniagaan?”

Sering saya teringat Colenel Saunders, pengasas KFC. Beliau mencapai kejayaan pada umur 72 tahun.

Tapi kini tak perlu melihat jauh, Tun Mahathir pun kini berumur 92 tahun dan menjadi perdana menteri paling tua di dunia! Satu inspirasi bahawa umur tidak boleh lagi jadi penghalang.

 

Umur sudah tidak patut lagi menjadi alasan untuk tidak melakukan sesuatu yang anda inginkan! Apatah lagi kita yang mungkin dalam 40-an atau 50-an yang berniat dan bercita-cita untuk mulakan perniagaan di Internet.

Jangan jadikan “umur” sebagai alasan terlewat.

Kerana sekiranya anda MAHU, maka anda perlu mencari ILMU dalam apa sahaja dan LAKU apa yang anda perlu lakukan!

Irfan Khairi

Posted in: Motivasi, Usahawan

Leave a Comment (0) →

5 Rahsia Bagaimana Air Asia Berjaya Dalam Pemasaran.

Jika anda diberi peluang, penerbangan mana yang menjadi pilihan anda untuk merentasi langit biru? Pastinya penerbangan yang menawarkan kos yang murah yang berbaloi-baloi.

Yang akan melekat di minda anda tatkala membuat pilihan pastinya, penerbangan yang sinonim dengan warna merah iaitu syarikat penerbangan AirAsia.

Bagaimana Air Asia kekal bertahan malah makin hari makin bertambah pelanggan yang menjadikan Air Asia sebagai pilihan utama. Dalam tempoh setahun sahaja Tony Fernandes telah berjaya menyelesaikan masalah beban hutang syarikat. Prestasi Air Asia semakin bergemerlapan seiring dengan keuntungan yang diperolehi.

Air Asia ditubuhkan pada tahun 1993 dan mula beroperasi pada tahun 1996. Pada awal penubuhannya ianya diasaskan oleh syarikat kepunyaan kerajaan iaitu DRB-HICOM. Rentetan hutang yang bertimbun, Tony Fernandes melalui syarikatnya Tune Air Sdn Bhd nekad mengambil syarikat tersebut.

Lihat bagaimana gahnya Air Asia setelah beralih tangan. Nasib menyebelahi Tony Fernandes dan hari ini beliau mampu tersenyum bangga melihat hasilnya. Jom lihat bagaimana teknik pemasaran yang dilakukan Air Asia ini.

#1-Tagline Yang Menarik Dan Kreatif

Tagline Kini, `Semua Orang Mampu Terbang’ atau Now Everyone Can Fly telah melonjakkan penjenamaan AirAsia sehingga menguasai seluruh dunia.

Tagline yang simple tapi maksud yang disampaikan kena dengan perkhidmatan yang di tawarkan. Tidak perlu ayat atau perkataan yang canggih cukup untuk sebaris ayat yang boleh dihadam dalam minda semua peringkat umur dengan senang dan tidak membebankan.

#2-Penggunaan media sosial

Penggunaan Facebook sebagai alat pemasaran merupakan trend terkini di dalam dunia perniagaan. Percuma dan mudah untuk digunakan, Facebook turut membolehkan peniagaan berskala kecil turut sama melakukan aktiviti pemasaran seperti mana perniagaan berskala besar.

Lihat bagaimana bos besar Air Asia, Fernandes sendiri aktif dalam menggunakan media sosial ini. Beliau percaya hubungan yang akrab dengan media sosial memberi impak kepada penjualan tiket syarikatnya.

Lihat bagaimana Air Asia berjaya mencipta rekod menjual 500,000 tiket penerbangan hanya dalam masa 24 jam melalui Facebook sekaligus menjimatkan sebahagian kos pemasaran mereka.

#3-Jenama Yang Kukuh

Sesuatu yang perlu anda pelajari dengan syarikat ini ialah jenama yang kukuh. Setelah mengenal pasti sasaran, mereka mula memilih jenama yang dapat mengambarkan perkhidmatan yang ditawarkan iaitu Air Asia.

Lihat bagaimana jenama itu benar-benar telah menakluk seluruh Asia. Jenama yang sangat mudah untuk difahami oleh pelanggan. Pelanggan tidak perlu fikir penat berfikir tentang apa yang Air Asia boleh tawarkan kepada mereka.

#4-Pemasaran Online Terus Kepada Pelanggan

Kuasa internet digunakan sepenuhnya oleh Fernand untuk merealisasikan visi Air Asia dalam menakluk pelanggan seluruh Asia. Mereka tidak perlukan ejen pelancongan untuk melariskan tiket.

Internet dan e-Commerce menjadi tunjang utama dalam mengatur langkah menyebarkan setiap promosi di laman web. Semua itu dilakukan sendiri oleh Air Asia. Kuasa telefon pintar diterokai sepenuhnya oleh pihak Air Asia. Segalanya dihujung jari.

#5-Sasaran pasaran

Mereka mensasarkan golongan yang tidak pernah merasai menaiki kapal terbang kerana itu konsep yang digunakan adalah penerbangan tambang murah. Satu peluang yang sangat direbut oleh rakyat Malaysia yang rata-ratanya tidak mempunyai pendapatan tinggi.

Bijak dalam mensasarkan pasaran menjadikan AirAsia pilihan utama yang tidak akan diragui. Kerana mesejnya mudah dan jelas. Iaitu menyelesaikan masalah kepada pelanggan yang mahu menaiki kapal terbang dengan bajet yang murah dan berbaloi. Sasaran pasaran mereka tepat jadi keuntungan mereka juga ligat!

Perkongsian Dari: Majalah Niaga

Hantar perkongsian artikel anda di sini -> https://www.layarsukses.com/hantar-artikel

 

Posted in: Perniagaan, Usahawan

Leave a Comment (0) →

Jutawan Homestay Ini Sedia Berkongsi Ilmu

SIAPA sangka, bermula dengan impian, pasangan suami isteri ini berjaya memiliki hartanah di ibu kota yang bernilai tinggi.

Selain memiliki Homestay Fardain Place, pasangan ini juga berjaya memiliki beberapa unit rumah dan menjadikannya homestay elit sehebat hotel terkemuka di sekitarnya.

Sikap merendah diri pasangan suami isteri ini memiliki kejayaan yang hebat dan luar biasa, dikagumi ramai malah ada yang menggelarkan mereka sebagai jutawan hartanah.

Faridilatras Abd Rahman, 38, berkata, dia selalu memasang impian tersebut setiap kali melalui kawasan pembinaan Regalia Residence, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, beberapa tahun lalu setiap kali pergi dan pulang kerja.

“Pada mulanya, ia hanya kata hati untuk memiliki hartanah bernilai tinggi di kawasan kota metropolitan dan angan-angan sahaja namun segalanya adalah rezeki. Alhamdulillah, hari ini saya dan isteri, Ain Farahati Maarof, memilikinya dan mampu menjana pendapatan tetap kepada keluarga kami,” katanya.

Faridilatras berkata, penglibatannya dalam bidang hartanah tercetus apabila melihat kejayaan rakan-rakannya yang berkecimpung dalam hartanah.

Dia juga mengagumi kejayaan ahli perniagaan rempah ratus di Masjid India yang berasal dari India, Ahmad Dawjee memiliki beberapa hartanah di Kuala Lumpur.

“Dia datang ke negara ini pada 1934 dan sudah melihat potensi hartanah di negara ini. Dia memiliki beberapa hartanah yang bernilai tinggi dan mewakafkannya kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Kesederhanaan peribadinya menjadi inspirasi kepada saya untuk terlibat dalam industri hartanah di negara ini yang mempunyai prospek yang besar,” katanya.

Lebih mengujakan, selain memiliki homestay dan rumah sewa di negara ini, Faridilatras juga mempunyai homestay di Australia.

Berkongsi kejayaannya, Faridilatras berkata, ia bukannya sesuatu yang mudah, dia banyak menghabiskan membaca buku berkaitan hartanah, mengikuti kelas dan seminar untuk mendalami ilmu dalam bidang tersebut.

“Saya tidak malu mempelajari bidang hartanah kerana saya yakin, industri ini akan memberikan kepuasan kepada saya. Pada mulanya, isteri tidak berminat dalam perniagaan, namun segalanya berubah apabila kecintaannya terhadap ini lebih mendalam berbanding saya,” katanya sambil berseloroh.

Faridilatras yang merupakan anak kedua daripada lima adik beradik ini, tidak menoleh belakang lagi dan terus mengembangkan perniagaan itu yang dilihat mempunyai potensi yang besar.

“Saya tidak menyesal meninggalkan kerjaya sebelum ini. Ini pilihan saya dan latar belakang dalam bidang pengajian Islam tidak menjadi halangan kepada saya untuk terlibat dalam bidang ini.

“Saya tidak akan melupakan rumah pertama yang saya yang dibeli di Kajang, kemudian ditambah sehingga beberapa buah rumah sewa.

“Saya belajar menyewakan rumah dan memberanikan diri membeli rumah yang lain. Saya tidak mempunyai masalah asalkan akaun bersih dan bayaran yang dijelaskan pada setiap bulan.

“Ada juga hartanah dicagarkan dan wangnya saya gunakan bagi membeli hartanah lain,” katanya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dari Universiti Islam Madinah.

Kini, Faridilatras bukan sahaja pakar hartanah, malah menyediakan kelas dan anjurkan kursus hartanah pada bayaran RM2,000 untuk tiga jam.

“Saya mahu melatih mereka mengenai teori dan cara menilai hartanah. Mereka yang berminat dalam hartanah, membeli di bawah harga pasaran dan menjual semula apabila harganya meningkat beberapa kali ganda. Saya mahu mereka memiliki hartanah di kawasan tengah bandar,” katanya anak jati Perlis.

Homestay elit setanding hotel

Menikmati suasana pagi di suasana kampung membangkitkan rasa damai dalam diri bagi mereka yang tidak mempunyai kampung dengan mendiami rumah inap atau homestay.

Pilihan yang ada untuk merasai suasana kampung adalah homestay atau rumah rehat. Pastinya bunyi kicauan unggas, suasana perkampungan yang dikelilingi gunung dan sawah padi serta deruan sungai memberikan ketenangan dan membuatkan kita lupa pada tekanan dan kesibukan kerja.

Bagaimanapun, seiring dengan peredaran masa, ramai pemilik rumah yang tidak mendiami rumah mereka mengambil peluang menjadikannya homestay terutamanya di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Pelbagai kemudahan disediakan oleh pengusaha homestay termasuklah peralatan barbeku, kemudahan solat serta kemudahan bilik yang kondusif untuk memberikan pengalaman yang menarik kepada pelanggan mereka.

Namun, bagi pengasas Homestay Fardain Place, Faridilatras Abd Rahman dan Ain Farahati Maarof, homestay yang diusahakan di kawasan bandar terutamanya sekitar kota metropolitan atau ‘segitiga emas’ Kuala Lumpur, mampu menjana pendapatan lumayan.

Tidak gentar untuk bersaing dengan hotel bertaraf lima bintang di kawasan tersebut, Fardain Place menyediakan kemudahan yang kondusif dan servis yang maksimum untuk memberikan kepuasan kepada pelanggan.

Kenapa memilih homestay di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur?

Fardain Place tidak menganggap kunjungan tetamu di homestay kami adalah kunjungan yang terakhir. Kami akan memastikan setiap kunjungan mereka memberikan pengalaman yang manis dan sukar untuk dilupakan.

Pemilihan kawasan segi tiga emas ini kerana kami melihat potensi lokasinya yang sentiasa menjadi pilihan warga tempatan dan pelancong antarabangsa.

Kawasan ini adalah lokasi yang strategik kerana mempunyai pelbagai kemudahan asas dan beberapa pusat beli-belah terkemuka seperti KLCC dan Pavilion serta Bukit Bintang. Kebanyakan tetamu homestay kami adalah mereka yang hadir untuk melancong, urusan rasmi dan sebagainya.

Dengan menawarkan harga yang berpatutan da kemudahan serta fasiliti yang setaraf dengan hotel menyebabkan Fardain Place menjadi pilihan sejak 2014.

Apakah kelebihan yang ditawarkan untuk bersaing dengan hotel bertaraf lima bintang di kawasan ini?

Kami menyediakan kemudahan homestay sejak beberapa tahun lalu dan sentiasa melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa. Kunjungan tetamu tanpa henti menyebabkan kami belajar pelbagai perkara terutamanya dalam pengurusan homestay melibatkan kebersihan, ketepatan waktu penyerahan dan pemulangan kunci dan fasiliti yang memberikan keselesaan kepada tetamu.

Selain tetamu tempatan, kebanyakan tetamu adalah pelancong asing dari Perancis, Kanada, Eropah, Jepun, Korea, Arab dan banyak lagi. Fardain Place seperti ‘duta kecil’ negara untuk menunjukkan sikap rakyat di negara ini kepada orang luar.

Kami menyediakan pelbagai kemudahan di sini seperti mana yang terdapat di hotel lima bintang, selain itu penggunaan password atau kata laluan untuk membuka pintu menyebabkan Fardain Place unik dan berbeza daripada homestay lain.

Di samping itu, kemudahan internet, dapur untuk memasak, mesin basuh pakaian dan suasana homestay yang berkonsepkan moden dan kontemporari memberikan keselesaan kepada tetamu.

Malah, mereka boleh menggunakan segala kemudahan yang disediakan seperti mana penghuni di kondominium tersebut. Pastinya harga yang berpatutan yang ditawarkan memberikan kelebihan kepada Fardain Place.

Walaupun masih baharu dalam industri homestay, apakah strategi yang digunakan untuk ke peringkat antarabangsa?

Fardain Place mempunyai lebih lima homestay di kawasan Kuala Lumpur iaitu di Regalia Residence, Jalan Sultan Ismail dan Vipod Residence di Jalan Kia Peng. Kedua-duanya mempunyai kelebihan yang tersendiri dan mempunyai peminat sendiri. Sudah tentu, teknik pemasaran yang betul dan kemudahan lain daripada yang lain mendorong kedua-duanya menjadi pilihan tetamu tempatan dan luar negara.

Kami mempromosikan Fardain Place di laman sosial dan menawarkan tempahan dalam talian melalui kerjasama dengan penyedia platform berasaskan pelancongan sedia ada iaitu Agoda dan Booking.Com. Dalam masa sama, kami sentiasa melakukan penambahbaikan sistem prasarana teknologi maklumat sedia ada bagi memberikan perkhidmatan dalam talian yang lebih lancar agar menjadi perkhidmatan homestay dalam talian setanding apa yang ditawarkan di homestay luar negara.

Pengenalan platform tempahan homestay dalam talian atau laman web sendiri dijangka memperluaskan pasaran kami selain menarik warga tempatan dan luar negara merancang percutian sendiri menggunakan platform internet.

Alhamdulillah, setakat ini, bayaran homestay yang bermula daripada RM350 sehari menerima tempahan daripada mereka yang menginap untuk tempoh sehari semalam sehingga beberapa minggu.

Kami juga bersedia untuk berunding mengenai harga yang ditawarkan sekiranya tetamu menginap di homestay kami dalam tempoh lama.

Bagaimanakah potensi homestay di kawasan elit pada masa akan datang?

Sebagai pendatang baharu dalam bidang homestay di kawasan elit, kami harus bijak mengintai peluang dan sentiasa melakukan penambahbaikan dan meningkatkan servis kepada tetamu kami. Pendapatan homestay tidaklah besar namun ia mampu menjana keuntungan yang besar sekiranya kita bijak mengambil peluang.

Fardain Place bermula dengan ‘kosong’ dalam industri homestay, namun sikap ingin mencuba dan belajar menyebabkan kami terus berada dalam lapangan ini. Industri homestay mempunyai potensi yang besar untuk berkembang maju kerana kita boleh menawarkan kemudahan setaraf hotel dengan harga yang berpatutan. Apa yang penting ialah mampu memberikan keselesaan kepada tetamu terutamanya yang mempunyai anak kecil kerana mereka memerlukan kawasan luas untuk bergerak bebas.

Homestay di kawasan elit akan menjadi pilihan sekiranya pelbagai kemudahan yang disediakan memberikan keselesaan kepada tetamu dengan menawarkan bayaran yang berbaloi. Pemilihan lokasi seperti kemudahan pengangkutan awam, tempat makan, pusat beli-belah yang tidak memerlukan masa dan jarak yang jauh akan menjadi pilihan tetamu.

Kebanyakan tetamu saya adalah warga asing dan maklum balas yang diberikan mengenai homestay kami ialah keselesaan dan menjimatkan masa dan wang mereka untuk menikmati percutian kerana tidak perlu mengeluarkan kos pengangkutan yang tinggi. Anak-anak mereka selesa untuk bermain kerana rumah yang luas dan sebagainya.

Fardain Place mengajak anak muda yang ingin menceburi bidang perniagaan, memilih industri homestay kerana ia memberikan pulangan yang lumayan sekiranya bijak mengambil peluang. Ia mampu menjana pendapatan tetap sekiranya meletakkan kelangsungan industri homestay dalam kondisi yang baik. Ia mampu memacu pertumbuhan pelancongan negara pada masa depan.

Apakah perancangan di masa depan?

Fardain Place akan melakukan pelbagai kemudahan yang menarik dan istimewa pada tahun ini terutamanya kepada pasangan yang ingin berbulan madu di ibu kota.

Fardain Place akan menyediakan pakej yang menarik dengan harga yang berpatutan. Ia dijangka mendapat sambutan hebat kerana Fardain Place menerima permintaan tinggi daripada pelancong tempatan yang tinggal di luar Kuala Lumpur dan antarabangsa.

Kami juga akan mengemas kini perkhidmatan pengangkutan untuk kemudahan tetamu homestay Fardain Place sekiranya mereka ingin ke luar kawasan lembah Klang antaranya Genting Highlands, Legoland dan sebagainya.

Fardain Place juga akan membuka beberapa homestay baharu di kawasan Kuala Lumpur dalam masa terdekat dan melihat potensi di beberapa lokasi strategik di luar Kuala lumpur antaranya Putrajaya dan kawasan yang menjadi tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa.

Sinar Online

Posted in: Motivasi, Usahawan

Leave a Comment (0) →
Page 3 of 3 123