l

Archive for 'Usahawan'

6 sebab 2018/2019 adalah waktu TERBAIK mulakan perniagaan online

Mengapa saya kata 2018/2019 adalah waktu terbaik untuk mulakan perniagaan online?

Ketika 2005, apabila saya menulis buku perniagaan internet saya yang pertama, “Rahsia Jutawan Internet Terbongkar”, ramai yang tidak yakin dan percaya dengan perniagaan online. Apabila saya kendalikan seminar dan workshop, ada yang kata saya melakukan SCAM oleh kerana ketika itu, perniagaan online masih lagi baru di Malaysia dan ramai tidak tahu.

Bila tidak tahu, maka, itulah yang dikatakan scam, menipu, skim cepat kaya dan sebagainya.

Namun, dulu lain, sekarang lain. Internet adalah gaya hidup kita seharian. Pelbagai perkara kita lakukan di internet termasuk jual beli. Kepercayaan orang ramai terhadap perniagaan online kini tidak lagi seperti dulu.

Berikut adalah 6 sebab mengapa kini, 2018/2019 adalah waktu terbaik untuk anda mulakan perniagaan di internet…


1. Kini, semuanya boleh dijual di internet oleh kerana pasaran adalah sangat BESAR!

Kini, semuanya boleh dijual melalui internet. Tidak kira produk atau perkhidmatan. Tidak kira mahal atau murah. Internet adalah gaya hidup kita setiap hari. Kita bergantung pada internet untuk melakukan pelbagai perkara termasuk jual beli.

“Jual beli” pula semakin besar peluangnya oleh kerana pengguna internet yang semakin ramai. Bayangkan, ketika saya mula mengajar perniagaan internet di Malaysia pada tahun 2005, pengguna internet ketika itu adalah seramai 11 juta pengguna sahaja.

Tetapi, kini di Malaysia 87% penduduk Malaysia mempunyai akses internet. Bererti lebih 27 pengguna internet di Malaysia hari ini! Jumlah ini adalah sangat besar dan ini memberi peluang berkali-kali ganda untuk usahawan internet hari ini berbanding dulu.

Ada juga yang kata pasaran kini tepu. Bagi saya, ianya tidak tepu sekiranya anda tahu teknik dan strategi pemasaran yang betul.

2. Dulu, untuk memulakan perniagaan internet, ianya adalah mahal!

Teringat saya ketika saya mulakan perniagaan internet ketika tahun 2000, kos adalah agak mahal (tidak semahal membuka kedai). Kos membeli domain name dan webhosting ketika itu berharga USD500 (lingkungan RM2,000).

Kini, oleh kerana lebih banyak pilihan, untuk mendapat domain name dan webhosting dalam memulakan perniagaan internet anda, ianya boleh didapai pada harga RM100 sahaja! Bandingkan dengan saya yang perlu bayar RM2,000 satu ketika dulu.

Tambahan, kini pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Instagram, YouTube yang tidak memerlukan sebarang kos untuk anda gunakan sebagai alat pemasaran!

Kini, kos anda adalah kos produk anda sahaja. Bagi perkhidmatan, mungkin kos adalah agak minima. Walaupun sekiranya anda mempunyai kos produk/inventori, tetapi tidak seperti membuka kedai, anda tidak perlu berpuluh atau beratus stok untuk mula. Memadai mempunyai 2-3 produk pun anda boleh mula. Keuntuungan menjual 2-3 produk itu boleh menjadi modal pusingan untuk menambahkan invontori dan stok anda.

3. Wujudnya media sosial yang diguna ramai

Media sosial adalah gaya hidup. Ramai antara kita sudah serasi dengan media sosial. Kita gunakan Facebook untuk mendapat berita. Kita menonton video-video di YouTube. Ada juga yang aktif di Instagram. Mengapa tidak gunakan kemudahan-kemudahan ini untuk menjana pendapatan melalui perniagaan pula?

Alang-alang kita faham sedikit sebanyak cara menggunakannya, sekiranya tambah sedikit ilmu lagi, iaitu ilmu pemasaran internet menggunakan media sosial, kita akan tahu cara menjalankan perniagaan di internet pula.

Media sosial adalah percuma. Kini, tidak lagi boleh menggunakan alasan “tiada modal” untuk memulakan perniagaan oleh kerana pelbagai akses media sosial adalah percuma untuk menghubungi dan membina hubungan bersama bakal-bakal pelanggan anda. Anda perlu tahu teknik dan strateginya sahaja!

4. Semua orang ada smart phone!

Bukan itu sahaja, ada juga yang mempunyai lebih dari 1 smartphone. Smartphone kita pula sering di dalam capaian kita. Kalau tidak dalam poket kita, mungkin dalam bag tangan kita. Tak pun di atas meja berhampiran dengan kita. Mungkin juga anda sedang memegangnya sekarang membaca perkongsian saya ini!

Telefon pintar adalah gaya hidup kita kini. Melakukan bayaran bil, online banking serta jual beli, kita akan menggunakan telefon pintar. Sekiranya ditanya, manakah kedai paling dekat dengan kita?

Jawapannya adalah smartphone. Di mana kita boleh membeli apa sahaja.

Ini adalah peluang untuk anda mendapat pasaran yang jauh lebih besar berbanding dengan kedai fizikal.

5. Scalable. Dari zero menjadi hero!

Perniagaan internet adalah ‘scalable’. Bermaksud, ianya boleh bermula kecil mengikut kemampuan kita kini dan perlahan-lahan menjadi besar mengikut pengalaman dan ilmu kita satu hari nanti.

Sepertimana saya mulakan perniagaan saya pada tahun 2000 dulu, ianya hanyalah saya dan laptop buruk saya (dulu taklah buruk :). Kini, perniagaan sudah berkembang ke tahap antarabangsa sehingga mempunyai ibupejabat di Dubai, UAE.

Bagaimana saya lakukannya? Bukan dengan menggunakan wang modal yang banyak. Tetapi, dengan menggunakan ilmu perniagaan online untuk kembangkan perniagaan pada kos yang minima. Dan juga percuma! Pelbagai teknik dan strategi yang boleh dipelajari, seperti pemasaran internet, teknik viral, teknik targeting dan sebagainya yang tidak menggunakan kos, namun dapat mengembangkan lagi perniagaan.

Dan akhir sekali….

6. Kebebasan!

Kini, tidak semestinya matlamat adalah untuk menjadi “jutawan internet”. Ramai antara kita, termasuk saya yang berkeluarga kini mempunyai matlamat yang berbeza. Iaitu kebebasan.

Kebebasan membuat pilihan, kebebasan masa, dan juga kebebasan kewangan. Matlamat tidak semestinya materialistik, tetapi ingin melihat keluarga dan anak-anak menjalani hidup yang lebih selesa bersama kebebasan melakukan apa yang kita mahu, pada bila masa yang kita inginkan.

Hampir 20 tahun saya menjalankan perniagaan internet, inilah rezeki yang paling saya hargai, iaitu dapat meluangkan lebih banyak masa bersama isteri dan anak-anak di rumah.

Perniagaan online memberikan kebebasan ini oleh kerana ianya sangat fleksibel untuk sesiapa sahaja!

Sumber: Irfan Khairi

Hantar perkongsian artikel anda di sini -> https://www.layarsukses.com/hantar-artikel

Posted in: Perniagaan, Usahawan

Leave a Comment (0) →

JUAL DAUN, LELAKI INI PEROLEH PENDAPATAN RM400,000 SEBULAN

Apa juga perniagaan jika dijalankan dengan tekun, pasti akan menghasilkan keuntungan. Berbeza dengan perniagaan yang dijalankan lelaki Korea Selatan ini. Perniagaan unik ini membuahkan hasil yang lumayan kepada beliau.

Hong In Heon, mampu menjana pendapatan sebanyak USD 100,000 atau sekitar RM400, 000 sebulan hanya dengan menjual daun. Jual daun pun boleh untung?

Daun yang dijual Hong bukanlah sembarangan daun. Hong In Heon adalah ahli perniagaan yang menjual daun semanggi empat kelopak. Beliau turut memiliki ladang tanaman daun semanggi empat kelopak beliau sendiri.

Daun ‘bertuah’

Sumber Foto: Google

Semanggi empat kelopak dipercayai oleh ramai orang di Korea dan negara-negara jirannya sebagai tumbuhan yang membawa nasib baik kepada sesiapa yang memilikinya. Kepercayaan turun-temurun ini merupakan salah satu faktor kepada kejayaan perniagaan beliau.

Kepercayaan yang masih dipegang ramai orang inilah yang membuatkan perniagaan semanggi empat kelopak Hong In Heon laris di pasaran. Aura ‘nasib baik’ daun ini terbukti melalui kejayaan Hong sendiri.

Penjagaan Khusus

Dalam satu program televisyen di Korea, Daedongyeojido, Hong In Heon menjelaskan bahawa dia menyimpan dan menanam biji daun tersebut di tempat yang khas. Di dalam rumah kaca yang dibinanya,daun semanggi empat kelopak berkembang dengan subur.

Seperti yang dipetik daripada Koreaboo, Hong In Heon berkata jika disimpan dalam habitat suhu hangat, daun semanggi empat kelopak boleh berkembang dan dituai sepanjang tahun.

Sumber Foto: Google

Permintaan Tinggi Daripada Pengusaha Restoran dan Kafe

Keistimewaan daun semanggi empat kelopak Hong In Heon adalah daunnya boleh dan selamat untuk dimakan. Banyak kafe dan restoran di pelbagai kawasan di Korea Selatan membeli daun tuaian semanggi dari ladangnya.

Biasanya daun semanggi digunakan sebagai hiasan menu makanan dan minuman, kerana ia selamat untuk dimakan. Hong In Heon menjualnya dalam pek yang mengandungi 500 daun semanggi, dengan harga USD 150 atau kira-kira RM612.00. Dalam sehari, dia boleh menjual kira-kira 10,000 daun.

 

“Saya telah menjalani perniagaan floricultural selama 20 tahun, tetapi tidak mendatangkan keuntungan yang lumayan. Saya sedar yang saya harus melakukan sesuatu yang berbeza dan istimewa. Jadi, saya memilih daun semanggi empat kelopak kerana semua orang pasti menyukainya,” kata Hong In Heon.

Hong In Heon mendakwa bahawa daun semanggi yang dijualnya disimpan dengan kaedah yang selamat, tanpa menggunakan kejuruteraan genetik. Selepas sembilan tahun penyelidikan, percubaan dan kesilapan demi kesilapan, Hong In Heon akhirnya berjaya menjadi petani daun semanggi empat kelopak.

Ada ketikanya idea bisnes datang daripada aspek yang tidak terjangka. Sebagai pejuang dalam lapangan perniagaan, penting untuk kita melakukan penilaian dan melakukan ‘kira-kira’ pro dan kontra untuk setiap idea, disamping mengambil kira keperluan semasa manusia.

Seterusnya, usah terlalu bimbang untuk mulakan langkah pertama. Seperti Hong yang gagal dengan perniagaan yang dijalankan selama 20 tahun, sebaliknya beroleh keuntungan berlipat ganda hanya setelah 9 tahun mengusahakan tanaman daun semanggi.

Selamat maju jaya!

Sumber: Majalah Niaga

Hantar perkongsian artikel anda di sini -> https://www.layarsukses.com/hantar-artikel

Posted in: Motivasi, Usahawan

Leave a Comment (0) →

Jangan takut mulakan perniagaan!

Sememangnya kita manusia, adakalanya mempunyai perasaan takut untuk lakukan sesuatu. Perasaan “takut” atau “fear” mempunyai satu acronym:

F – False
E – Evidence
A – Appear
R – Real

Kita rasakan sesuatu yang tidak wujud dan tidak benar telah menjadi nyata. Takut pada sesuatu yang belum lagi terjadi.

Dalam perniagaan, antara ketakutan yang dihadapi adalah, takut gagal, takut nanti apa pula orang kata dan takut perlu berubah melakukan sesuatu di luar zon selesa.

Takut gagal…

Semua orang takut gagal. Mana tidaknya, kegagalan dikaitkan dengan perasaan stress, down, sedih, kecewa, kalah dan segala-galanya yang negatif. Kita telah di didik sebegitu sejak kecil lagi. Gagal adalah sesuatu yang tidak baik.

Dalam perniagaan, kegagalan itu adalah perkara biasa. Sukar untuk sesuatu perniagaan itu mencapai kejayaan yang hebat sekiranya tidak pernah mengalami kegagalan.

Kegagalan adalah pengajar terbaik untuk mencapai kejayaan. Untuk mencapai sesuatu yang berbaloi, pastinya perlu menghadapi beberapa risiko. Dan kegagalan adalah antara risiko yang perlu dihadapi.

Kejayaan perniagaan tidak ditentukan oleh berapa banyak sijil pendidikan yang kita pegang atau betapa tinggi akademik kita di universiti tempatan mahupun luar negara.

Kejayaan perniagaan ditentukan oleh pengalaman seseorang itu dalam perniagaan. Sebab itulah, ramai usahawan berjaya bukanlah mereka yang berjaya dalam bidang akademik. Tetapi kaya dengan pengalaman perniagaan.

Namun, pengalaman perniagaan ini termasuk juga pengalaman menghadapi kegagalan dalam perniagaan yang akan menjadikan seseorang itu lebiih bijak berniaga. Jangan takut dengan kegagalan oleh kerana ia akan menjadikan anda usahawan yang lebih bijak dan hebat!

Takut apa orang kata…

Sememangnya kita sering fikirkan, apa yang orang kata mengenai kita. Kita sering ingin memuaskan hati orang lain terlebih dahulu sebelum memuaskan hati kita.

Mengapa pula begitu?

Bukankah memulakan perniagaan adalah pilihan dan niat sendiri? Tidak perlu risaukan apa orang kata sekiranya ia hanya melewatkan dan menundakan kita memulakan sesuatu yang kita sendiri inginkan.

Apa bila kita terlalu “self concious” terlalu fikirkan apa yang orang fikirkan mengenai kita, kita seumpama menjalani hidup berdasarkan orang lain. Bukan kemahuan diri kita sendiri. Pada mulanya, mungkin kita akan mendapat kepuasan kerana mendengar kata orang lain. Tetapi lambat laun, ia akan menjadi terlewat dan kita akan menyesal kerana tidak mengikut gerak hati sendiri.

Manusia pastinya mempunyai pelbagai pendapat, idea, komen, kritik dan pemikiran tersendiri. Bukan tugas anda untuk memuaskan hati semua orang sehingga matlamat anda pula tidak tercapai.

Sekiranya niat, pilihan dan matlamat anda adalah untuk memulakan perniagaan, jangan fikirkan apa yang orang akan kata. Anda ingin mencari rezeki tambahan untuk diri anda sendiri dan keluarga anda. Bukan untuk mereka yang mengkritik anda.

Takut tidak selesa…

Berubah memerlukan kita keluar dari zon selesa. Sebagai manusia, kita adalah insan yang mempunyai tabiat. Dan tabiat sering melekat dan berulang-ulang, tidak kira tabiat baik atau buruk.

Tabiat membuatkan kita terperangkap dalam zon selesa. Dan untuk memulakan perniagaan kita perlu keluar dari zon keselesaan tersebut.

Mereka yang berjaya dalam perniagaan juga mempunyai tabiat. Tabiat mereka pula adalah berniaga. Zon selesa mereka adalah menjalankan perniagaan. Untuk TIDAK menjalankan perniagaan, bagi mereka, ianya tidak selesa.

Untuk memulakan perniagaan anda perlu mengubah tabiat anda. Keluar dari zon selesa yang sedia ada. Memang rasa takut, tetapi, itulah yang diperlukan untuk berubah.

Ramai antara mereka yang memulakan perniagaan dan menjalankan perniagaan juga satu ketika dulu perlu membuat keputusan yang sama – keluar dari zon selesa untuk mulakan perniagaan. Ianya adalah langkah pertama untuk berubah.

Satu quote yang berbunyi…

Twenty years from now, you will be more disappointed by the things you did’nt do than by the ones you did do.

Dua puluh tahun dari sekarang, anda akan lebih rasa kecewa dengan apa yang anda tidak lakukan berbanding dengan apa yang anda lakukan.

Selami kata-kata ini.

Jangan pula satu hari nanti kita rasa kecewa kerana tidak memulakan perniagaan yang kita sendiri inginkan.

Sumber: Irfan Khairi

Hantar perkongsian artikel anda di sini -> https://www.layarsukses.com/hantar-artikel

Posted in: Motivasi, Usahawan

Leave a Comment (0) →

5 Cara Bangun dari KEGAGALAN!

Tahukah anda, seorang bayi akan jatuh lebih 240 kali sebelum bayi itu belajar berjalan? Namun bayi tidak putus asa dan terus mencuba bangun dan jalan. Kerana mereka tidak tahu lagi erti putus asa!

Namun, kita sebagai dewasa, sudah faham erti kegagalan, dan akan lebih mudah putus asa. Mungkin kita pernah gagal sebelum ini, atau pengalaman kegagalan sangat berat membuatkan kita lebih mudah putus asa. Dan bila gagal, akan rasa down dan negatif.

Kegagalan adalah lumrah. Kita akan laluinya dari masa ke semasa dalam hidup, sama ada dalam keluarga, kewangan, perniagaan, masyarakat dan apa sahaja.

Berikut adalah 5 cara bagaimana anda boleh bangun dari kegagalan…

1. Ketahui bahawa sesuatu yang berbaloi pastinya tidak mudah!

Untuk mencapai sesuatu yang lebih baik, pastinya ianya tidak mudah. Sesuatu yang tinggi nilainya, pastinya sukar untuk kita capai. Seperti peserta pertandingan olimpik. Untuk mendapat pingat emas, usaha dan tenaga yang diperlukan tentunya berlipat-kali ganda berbanding dengan mereka yang tidak mendapat sebarang pingat- apatah lagi mereka yang tidak layak masuk sukan olimpik! Dan sememangnya ramai!

Untuk menjadi seorang yang hebat dan cemeralang dalam sesuatu ianya pasti sukar dan apabila sukar, pastinya ada kegagalan yang akan ditemui. Sekiranya mencapai kejayaan itu mudah, pastinya ramai dikeliling kita sudah berjaya.

Semua orang inginkan kejayaan, tetapi, tidak semua yang sanggup mencuba dan berusaha seperti anda. Kerana ramai akan ambil keputusan untuk putus asa apabila nampak sedikit kegagalan!

2. Ubah erti kegagalan

Apakah erti kegagalan bagi anda? Adakah gagal apabila anda putus asa? Atau gagal apabila anda tidak mahu lagi mencuba?

Apa kata erti kegagalan adalah apabila anda putus asa!

Selagi anda mahu mencuba dan berusaha, ianya bukan lagi gagal. Ia adalah perjalanan anda untuk mencapai kejayaan. Mana tidaknya, pastinya akan ada sedikit turun naik. Lagi besar yang ingin dicapai, maka lagi besarlah turun dan naiknya. Kalau sikit sahaja ingin di capai, sikit lah turun naiknya.

Pencipta mentol, Thomas Edison yang mencuba sehingga lebih 1,000 kali dalam mencipta mentol sebelum jumpa cara yang menjadi, berkata “Saya tidak gagal dalam mencipta mentol. Saya cuma jumpa 1,000 cara bagaimana ia tidak menjadi!”

3. Join the club!

Baca sahaja kisah-kisah kejayaan, pastinya mereka bermula dari kegagalan. Baru-baru ini saya sering membaca kisah Jack Ma (AliBaba.com), Elon Musk (Tesla & Space X) & pengasas Air B&B, dan kesemuanya pernah megalami kegagalan.

Bukan sahaja gagal, malah, kegagalan yang sangat teruk! Sekiranya anda gagal, anda dikalangan mereka yang kini berjaya. Bukan senang untuk menjadi senang.

Memang akan terasa down, sedih dan negatif, tetapi, perasaan ini juga dilalui oleh mereka yang berjaya kini. Saya sendiri juga sering gagal berkali-kali. Mungkin anda pun tahu perniagaan Internet saya pada tahun pertama hanya berjaya dapat 3 pelanggan sahaja!

3 pelanggan dalam masa satu tahun! So, join the club!

4. Belajar dari kegagalan

Sememangnya cliche dan sering kita dengar “Belajar dari kegagalan!”. Memang benar pun.

Kegagalan adalah guru terbaik. Ianya pahit untuk ditelan, tetapi seperti ubat, ianya adalah untuk kebaikan kita juga. Lebih banyak yang akan dipelajari dari kegagalan berbanding dengan kejayaan. Sebab ini juga, mereka yang sangat berjaya dalam bidang mereka pernah melalui kegagalan yang teruk sebelum ini.

Kegagalan akan mengajar kita pelbagai perkara, sekiranya….

Kita sanggup buka mata dan fikiran pada ilmu-ilmu di sebalik kegagalan tersebut. Jangan ego. Pastinya ada ilmu yang sangat berharga!

5. Jangan tunggu lama-lama!

Teruskan sahaja! Lakukan sesuatu yang baru dan jangan terlalu fikirkan kegagalan tersebut. Lagi lama anda fikirkan tentang kegagalan itu, lagi besar masalahnya dan lagi sedih anda akan jadi.

Yang lepas, biarkan sahaja sudah lepas. Ambil ilmu yang dipelajari dan cepat-cepat lakukan sesuatu. Sekiranya kita hanya fikirkan kegagalan itu tanpa melakukan apa-apa, kita akan menjadi lebih sedih, down, stress, marah dan banyak lagi fikiran-fikiran negatif akan melanda diri. Dan ini akan membuatkan lagi kita untuk putus asa.

Jangan fikirkan masalah, tetapi fikirkan penyelesaian. Dalam keadaan gagal, anda perlu dengan cepat dapatkan semula fikiran-fikiran positif ini. Tak salah untuk sedih dan rasa down. Tetapi, sekejap sahaja. Cepat-cepat keluar dari keadaan ini dan anda akan mendapat momentum anda semula!

Kegagalan adalah sesuatu yang biasa. Jika tanya pada saya yang sudah 18 tahun berpengalaman perniagaan, gagal itu adalah lumrah. Sudah berkali-kali jumpa kegagalan.

Namun, seperti seorang bayi yang mencuba lebih 240 kali sebelum pandai berjalan, kita juga perlu mempunyai mindest – tidak tahu apa ertinya gagal!

Irfan Khairi

Hantar perkongsian artikel anda di sini -> https://www.layarsukses.com/hantar-artikel

Posted in: Motivasi, Usahawan

Leave a Comment (0) →

Pengasas Amazon, Jeff Bezos Individu Terkaya Di Dunia Rampas Gelaran Milik Bill Gates

Pernah dihina dan ditertawakan, kini Jeff Bezos merampas gelaran milik Bill Gates sebagai individu terkaya dunia. Jeff Bezos secara rasmi adalah manusia paling kaya di dunia hasil kejayaan syarikatnya, Amazon, dengan visi beraninya menjangkau ke angkasa lepas.

Amazon adalah sebuah laman sesawang membeli-belah secara atas talian. Pada Jun lalu, pihak Amazon telah mengumumkan pembelian Whole Foods Market Amerika secara tunai dengan nilai sebanyak RM55.1 bilion sekali gus melonjakkan sahamnya sehingga 3.3%!

Seiring dengan harga saham Amazon yang melonjak mendadak, kekayaan Jeff sebagai pemegang saham terbesar Amazon turut meningkat drastik! Sejak itu, berita mengenai Jeff dan Bill Gates menjadi berita hangat yang terpapar di dada-dada akhbar…

Dengan harga saham Amazon meningkat hampir 60 peratus sejak beberapa tahun lalu, kekayaan peribadi pengasas syarikat berusia 54 tahun itu, meningkat dua kali ganda kepada lebih AS$110 bilion (RM430.38 bilion). Bezos mengatasi Bill Gates minggu ini untuk menduduki tempat teratas senarai jutawan tahunan majalah Forbes, menyebabkan pengasas Microsoft jatuh ke tempat kedua dengan kekayaan bernilai AS$90 bilion (RM352.13 bilion).

Beliau memecahkan rekod dengan formula kejayaan termasuk melakukan taruhan berani, menerajui perubahan dan bangkit daripada beberapa halangan. Sebagai pemegang gelaran individu terkaya di dunia, Bill Gates menyatakan bahawa Jeff Bezos seperti harimau yang ganas dan sedang mengejarnya dengan buas!

Kehidupan Peribadi Jeff Bezos

Sementara itu, kisah silam Jeff Bezos bukanlah seperti yang kita sangkakan. Ketika dilahirkan, bapanya Jeffrey Preston Jorgensen dan ibunya, Jacklyn Gise masing-masing baru berusia 18 dan 17 tahun. Malah, kedua-duanya masih lagi berada di bangku sekolah.

Namun begitu, setahun kemudian, kedua-duanya telah berpisah kerana Jeffrey adalah seorang pemabuk dan tidak mempunyai rasa bertanggungjawab terhadap keluarganya. Selepas bercerai, Jeffrey terus mengabaikan isteri dan anaknya serta tidak pernah memberi nafkah.

Cita-cita Menjadi Angkasawan

Tiga tahun kemudian, ibu Jeff telah berkahwin dengan seorang imigran dari Cuba yang bernama Miquel Bezos. Sewaktu berusia 14 tahun, Jeff mula memasang cita-cita untuk menjadi seorang angkasawan atau ahli fizik. Dua tahun kemudian, Jeff dilihat mempunyai kemahiran tertentu apabila beliau berjaya memasang kincir angin dengan menggunakan mesin kimpalan sekali gus membolehkannya menerima biasiswa di sekolah tinggi.

Jeff Bezos bergambar bersama ibunya, Jacklyn Gise dan bapa tirinya, Miquel Bezos

Dengan prestasi yang bagus, Jeff Bezos telah diterima masuk ke Universiti Princeton pada usia 18 tahun dan semua ini adalah berkat pengaruh daripada bapa tirinya. Setelah menamatkan pengajian di universiti terkemuka berkenaan pada tahun 1986, Jeff Bezos memulakan kariernya di Wall Street. Beliau pernah bekerja sebagai pakar komputer, pegawai bank dan menjadi Naib Presiden di syarikat Trust.

Pada tahun 1994, Jeff Bezos mengahwini cinta sejatinya, Mac Kenzie dan sehingga kini, mereka telah dikurniakan dengan empat orang cahaya mata. Kisah penubuhan Amazon bermula apabila Jeff telah melayari satu laman sesawang dan mendapati bahawa setiap tahun, berlaku peningkatan pengguna Internet sebanyak 2300%! Perkara ini membuatkan Jeff merasakan peluang perniagaan terbuka luas untuknya dan dia perlu melakukan sesuatu secara atas talian!

Justeru, beliau telah mengkaji dan menyenaraikan pelbagai barangan yang berpotensi untuk dijual di internet.. Daripada senarai 20 barangan, Jeff Bezos mengambil keputusan muktamad untuk menjual buku kerana terdapat banyak pilihan buku yang boleh dijual secara atas talian!

Setahun kemudian iaitu pada tahun 1995, Jeff akhirnya berjaya menubuhkan Amazon. Pada asalnya, syarikat tersebut dinamakan Cadabra Inc. Bagaimanapun, memandangkan ramai pihak yang sering tersalah dengar nama tersebut sebagai ‘Cadaver’ yang membawa maksud mayat atau bangkai, maka beliau menukarkannya kepada Amazon.

Namun begitu, Amazon tidaklah mencatatkan keuntungan yang memberangsangkan sepanjang 20 tahun penubuhannya. Hal ini demikian kerana kos penghantaran dan masa yang perlu ditanggung oleh pihak Amazon terlalu tinggi berbanding harga komoditi.

Oleh demikian, pada Mac 1997, Amazon mula berkongsi sahamnya dengan Nasdaq Exchange. Bagaimanapun, menerusi analisa yang dibuat oleh Lehman Brothers, dikatakan syarikat ini akan mengalami pengaliran wang keluar yang banyak dalam masa terdekat.

Walaupun ramai pihak yang mentertawakan kegagalannya dalam membangunkan Amazon, Jeff tidak menyerah kalah sebaliknya terus positif untuk melakukan sesuatu yang lebih penting. Disebabkan oleh kegigihan beliau, pada tahun 2016, Amazon mula meraih keuntungan bagi lima suku berturut-turut! Malah, kejayaan tersebut menandingi keuntungan yang diperoleh Facebook sekali gus meletakkan Amazon dalam senarai teratas 5 teknologi permodalan pasaran gergasi di Amerika Syarikat!

Pernah digelar ‘majikan yang kejam’, lelaki aneh dan sebagainya, berkat kegigihan dan semangat Jeff Bezos, beliau kini berjaya mengangkat syarikatnya dan boleh berbangga dengan keputusannya sendiri.

Jeff Bezos ketika berucap di Universiti Princeton pada 2010

Kini, Jeff Bezos menjadi individu terkaya di dunia dan beliau menjadikan platform Amazon untuk membina empayar perniagaan dan menundukkan insan-insan yang pernah menghina beliau suatu masa dahulu.

Kini, satu dunia menghormati beliau. Tahniah dan selamat maju jaya, Jeff Bezos!

“Anda perlu kuat dan mudah menyesuaikan diri berdepan cabaran selain cepat dan inovatif untuk melakukan perkara baharu dengan lebih pantas, itu adalah pertahanan terbaik menghadapi masa depan.

“Anda perlu selalu ke hadapan. Jika anda cuba menjauhi masa depan, masa depan akan menang setiap masa,” kata Bezos dalam temu bual diterbitkan majalah Vanity Fair tahun lalu.

Kesimpulannya nasihat kami daripada kisah Jeff Bezos ni ialah jangan putus asa dalam apa yang kita ceburi dan paling penting jangan pandang rendah pada orang lain. Bak kata pepatah tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa  yang tahu. Tengok macam Jeff Bezos ni siapa sangka dia mampu menjadi jutawan dari seorang pemabuk dahulunya…

Sumber : Era Baru

Hantar perkongsian artikel anda di sini -> https://www.layarsukses.com/hantar-artikel

Posted in: Informasi, Motivasi, Usahawan

Leave a Comment (0) →

Adakah Anda Seorang Peniaga Atau Usahawan? Mari lihat perbezaannya…

Persoalan di atas boleh menentukan bagaimana perniagaan anda dijalankan kerana pendekatan dan pemikirannya sangat berbeza. Kadang-kadang ada yang keliru dengan kedua-dua istilah ini adakah sama atau ada bezanya.

Seorang usahawan sudah pastinya adalah seorang peniaga tetapi seorang peniaga tidak semestinya seorang usahawan. Nak tahu yang mana satukah mencerminkan perniagaan yang anda jalankan sekarang? Jom tambah ilmu dengan membaca artikel ini.

Seorang peniaga lebih tertumpu pada urusan jual beli sahaja. Mereka mengambil barangan daripada pembekal dan menjualnya kepada pelanggan. Manakala usahawan pula melibatkan diri dengan usaha mencipta barangan keluaran sendiri. Seorang usahawan mempunyai daya kreatif dan inovatif.

Peniaga sentiasa berusaha untuk menambahkan keuntungan kepada perniagaannya. Tidak kira apa juga strategi pemasaran yang dilakukan asalkan keuntungan dapat diraih. Lain pula bagi usahawan yang lebih memfokuskan kejayaan dan kepuasan dalam perniagaan yang dijalankan dan bukan untuk keuntungan semata-mata.

Dari aspek ini peniaga lebih mudah kerana hanya menjual barangan yang sedia ada dalam pasaran tetapi persaingan dalam kalangan mereka adalah lebih ramai. Ini kerana kebanyakan peniaga menjual barangan yang sama cuma jenama yang berbeza. Usahawan pula berbeza kerana memperkenalkan barangan baru yang boleh menembusi pasaran.

Peniaga berfikir hanya untuk menyelesaikan masalah harian yang dialami oleh perniagaan mereka. Manakala usahawan pula berfikiran jauh ke hadapan dan sentiasa memikirkan cara untuk memajukan perniagaan untuk masa depan.

Keuntungan yang difokuskan oleh peniaga lebih tertumpu untuk jangka masa pendek. Usahawan pula sebaliknya dengan memikirkan keuntungan jangka masa panjang atas pelaburan yang dibuat meskipun pada permulaannya mungkin tidak mencapai keuntungan.

Jadi perniagaan anda kini lebih ke arah seorang peniaga atau usahawan? Anda yang tentukan kerana kini anda tahu perbezaannya.

 

Sumber: Majalah Niaga

Hantar perkongsian artikel anda di sini -> https://www.layarsukses.com/hantar-artikel

Posted in: Perniagaan, Usahawan

Leave a Comment (0) →

Mampukah peniaga kecil menjadi jutawan? Itu tidak mustahil sekiranya….

Peniaga kecil sering dilabel sebagai ikan bilis di lautan perniagaan yang luas terbentang. Manakala gelaran jerung dikaitkan dengan perniagaan gergasi dan maju. Tetapi sampai bila nak jadi bilis? Tidak mungkin anda tidak teringin nak jadi jerung kan? Dan ia tidak mustahil!

Contohnya, Puan Rozita Ibrahim telah bermula dengan menjadi peniaga kecil jualan langsung (direct selling) menjual herba dengan menggadaikan barang kemas untuk mendapatkan modal sebanyak RM400. Semua itu tidak mustahil untuk menjadi jutawan jika betul caranya. Disini kami kongsikan 4 syarat yang afdhal dilaksanakan oleh seorang peniaga kecil jika ingin maju ke hadapan.

#1 Bijak Mengambil Peluang

Syarat ini amatlah penting bagi seorang usahawan jika mahu meletakkan perniagaan anda di tempat teratas. Biasa kita dengar seorang usahawan itu haruslah kreatif dan inovatif. Tetapi bagaimana mengaplikasikan nilai kreatif dan inovatif itu dalam perniagaan?

Seseorang usahawan yang berfikiran jauh akan melihat suatu isu dan masalah di sesebuah komuniti atau tempat itu sebagai peluang. Jadi disitulah fungsi anda sebagai penyelamat atau pemudahcara bagi sesuatu isu itu dengan memberikan penyelesaian kepada masalah mereka.

#2 Jadi Luar Biasa

Adalah penting untuk menjadi luar biasa supaya kita tidak melakukan sesuatu yang dianggap cliche dalam dunia keusahawanan. Mengapa kita perlu jadi luar biasa? Jawapan utamanya adalah untuk menarik perhatian pelanggan. Jangan takut untuk bereksperimen dengan produk atau servis yang sedia ada. Hasilnya pasti memuaskan.

#3 Anggap Kegagalan Suatu Cabaran

Jangan menjadi seperti kebanyakan peniaga kecil yang mudah kecundang apabila perniagaan mereka berhadapan dengan ujian dan kegagalan. Cuba cari bantuan dan nasihat daripada pakar dengan menghadiri program seminar yang dapat membantu perniagaan anda seperti yang dianjurkan oleh Majalah Niaga.

Bimbingan daripada pakar akan membantu anda menganalisa kesilapan yang telah berlaku dalam perniagaan anda. Salah seorang speaker dari Majalah Niaga iaitu Hasbul ‘Ariff sering menasihati usahawan-usahawan khususnya peniaga kecil bahawa “Orang handal, hatinya kental. Tidak ada erti menyesal.Tumbang berkali-kali, mereka bangkit lebih tinggi.”

#4 Jangan Takut Dengan Persaingan

Kadang-kadang anda berasa gusar dan marah apabila ada peniaga lain yang meniru produk atau perkhidmatan anda. Peniaga kecil yang tidak mempunyai motivasi yang tinggi pasti akan mengganggap itu sebagai titik kejatuhan perniagaan mereka kerana pelanggan mereka bakal dirampas oleh pesaing mereka. SALAH!! Jangan sesekali fikir begitu.

Persaingan yang sihat adalah bagus jika anda menganggapnya sebagai pemangkin untuk menambahbaik produk atau servis anda supaya tidak alpa apabila kekal berada di dalam zon selesa.

Sumber; Majalah Niaga

Hantar perkongsian artikel anda di sini -> https://www.layarsukses.com/hantar-artikel

Posted in: Motivasi, Usahawan

Leave a Comment (0) →

Jack Ma dan Rahsia Bisnes Bernilai Billion Dollar Miliknya

Jack Ma dan Rahsia Bisnes Bernilai Billion Dollar Miliknya

Anda semestinya mengenali Bill Gates, pengasas Microsoft, Jeff Bezos, pengasas Amazon.com, dan Mark Zuckerberg pengasas Facebook. Mereka bertiga merupakan golongan orang-orang terkaya di dunia.

Bagaimanapula dengan Jack Ma? Pernahkah anda mendengar nama beliau? Mungkin ramai yang masih kurang mengenali beliau. Sedangkan beliau boleh dikategorikan sebagai golongan orang-orang terkaya di dunia.

Jack Ma adalah seorang pengasas ruang pasaran atas talian (online marketplace) yang dikenali sebagai Alibaba. Pada tahun 2014, Alibaba berjaya dinobatkan sebagai ruang pasaran atas talian (online marketplace) paling berjaya dengan dana IPO mencecah RM 81,780,790,000 (Lapan Puluh Satu Billion, Tujuh Ratus Lapan Puluh Juta, Tujuh Ratus Sembilan Puluh Ribu Ringgit)

Pada asalnya, Alibaba hanyalah sebuah ruang pasaran atas talian kecil yang ditubuhkan pada tahun 1999. Namun, berkat kesungguhan dan kerja keras beliau sehingga dinobatkan sebagai salah seorang penduduk China yang terkaya sehingga ke hari ini.

Pasti anda tertanya-tanya bagaimana beliau membina Alibaba daripada kosong, kan? Lihatlah rahsianya :

Mempunyai Daya Keinginan Untuk Terus Maju

Bisnes bukan hanya tentang produk dan pelanggan, sebaliknya tentang pesaingan. Kerana banyaknya pesaing, membuatkan Jack Ma terfikir-fikir bagaimana untuk maju, fikirkan bagaimana caranya untuk menjadikan bisnesnya terkenal di seluruh dunia.

Hasil daya pemikiran beliau yang maju, beliau bersama kumpulannya mampu memasarkan Alibaba ke persada antarabangsa.

Fokus Pada Pelanggan

Perjuangan di dalam dunia bisnes pasaran atas talian amat sengit. Terlalu ramai pesaingan besar. Boleh disebut siapa yang Boleh dikira siapa yang kuat, dialah yang menang. Tetapi beliau tidak pernah takut dengan pesaing-pesaing beliau. Kenapa? Kerana pesaing-pesaing belaiu hanya bertahan kerana pelanggannya. Apabila pesaingnya kehilangan pelanggan, maka berakhirlah bisnesnya.

Hal inilah yang membuatkan beliau mengutamakan pelanggannya. Baginya, Alibaba boleh berjaya jika mampun pertahankan kepercayaan pelanggannya. Dengan layanan terbaik, pelanggan mana pun akan sanggup berbelanja di sesebuah ruang pasaran atas talian sahaja.

Perkembangan Bisnes Ke Peringkat Antarabangsa

Beliau berpegang pada prinsip bisnes yang tidak hanya dipasarkan dalam sebuah negara sahaja, tetapi diseluruh dunia. Prinsip inilah yang mendorong beliau untuk membawa Alibaba ke mencapai pasaran antarabangsa.

Beliau percaya bahawa sesebuah bisnes telah “go international” dapat bertahan dalam jangka masa yang lebih panjang. Oleh sebab itulah beliau amat memanfaatkan penggunaan internet bagi mengembangkan bisnes beliau.

Abaikan Haters

Sepanjang perjalanan bisnesnya, beliau pernah merancang untuk menciptakan Alipay, sebuah mekanisme pembayaran khas bagi pelanggan Alibaba. Tapi, Alipay mendapat banyak umpatan dan penghinaan dari peniaga e-commerce lain. Mereka menganggap bahawa beliau sudah gila atas tindakannya. Namun, beliau tidak mempedulikan semua cacian dan hinaan itu.

Beliau mengabaikan kritikan para haters dan berusaha sehabis daya untuk mewujudkan Alipay. Akhirnya, Alipay berjaya menjadi salah satu kaedah pembayaran atas talian (online payment) terbesar di China. Peniaga yang berjaya ialah mereka yang mampu mengubah haters menjadi salah satu pelanggan setia mereka.

Bijak Mengambil Peluang

Atas kekurangan infrastruktur di China pada tahun 1990-an menjadi penyebab mengapa peniaga-peniaga disana sukar mengembangkan empayar perniagaan. Kekurangan inilah yang beliau dijadikan sebagai peluang.

Oleh kerana idea kreatifnya, dia berjaya membangunkan Alibaba, sebuah perusahaan e-commerce yang dapat membantu para peniaga untuk menjalankan bisnesnya. Para peniaga dapat bergabung di Alibaba dan menjual produk-produk mereka di satu market place tanpa perlu memasarkannya sendiri. Pelbagai jenis bisnes di Alibaba seperti B2B, B2C, dll.

Perlu Inovatif dan Kreatif

Tidak dapat disangkal lagi, peniaga mana-mana pun disarankan untuk sentiasa berinovasi dan kreatif supaya bisnes kekal berada di puncak. Inilah yang berjaya dikekalkan oleh beliau. Beliau selalu memerah otak untuk mendapatkan idea-idea inovatif dan kreatif untuk perkembangan Alibaba.

Ketika mendapat sesuatu idea, beliau terus melaksanakan idea-idea tersebut. Bila mana ada ideanya yang gagal dilaksanakan, beliau gigih mencari cara untuk tetap mencapainya atau bahkan mencari idea yang lebih bagus demi kemajuan bisnesnya.

Sentiasa Fokus

Banyak cadagan, kritikan, dan saranan yang diberikan oleh peniaga lain agar Alibaba tetap menjadi e-commerce terbesar di China. Namun, semua cadangan yang beliau terima akan ditapis secara matang. Andai kata beliau tidak setuju dengan sesuatu cadangan tersebut, beliau tidak ragu untuk berkata “tidak”. Namun begitu, beliau tetap fokus untuk menjalankan bisnes mengikut perancangan yang diaturnya sejak awal lagi.

Mencapai kejayaan dalam perniagaan itu tidaklah semudah membalikkan telapak tangan. Meskipun Alibaba sudah menjadi bisnes e-commerce terbesar di dunia, Jack Ma tetap bekerja keras untuk mempertahankan kejayaan e-commerce miliknya. Usaha dan kerja keras beliau inilah yang perlu anda contohi agar bisnes anda mampu berjaya seperti Alibaba.

Anda mahu lebih kaya dengan mudah, 7 cara ini mampu merealisasikannya, hanya memerlukan kerja keras bagi anda yang ingin memiliki banyak wang. Tetapi jika pengeluaran wang lebih besar berbanding jumlah wang hasil dari kerja keras yang anda lakukan untuk mendapatkan wang, maka ia menjadi sukar untuk membuatkan anda menjadi kaya.

Sumber: Usahawan

Hantar perkongsian artikel anda di sini -> https://www.layarsukses.com/hantar-artikel

Posted in: Informasi, Motivasi, Usahawan

Leave a Comment (0) →
Page 2 of 3 123